(Sembang Ahad)
Tidak bolehkah kalau tidak ada provokasi dalam pilihan raya?
Tiada maknanya pada hari penamaan calon, ketika kempen dan pada hari pembuangan undi, penyokong parti dibenarkan berada berhampiran pusat-pusat berkenaan tetapi sebaliknya berlaku pergaduhan.
Menyedih dan memalukan kerana ia berlaku sesama Melayu dan sesama saudara seIslam. Tidak tahulah kalau PAS menganggap penyokong UMNO bukan-Islam.
Kita masih ingat pada dan 1980an ada yang mati dihentak dengan batu jokong dan tidak kurang pula yang berdarah dan bengkak-bengkak kerana sepak terang dan sebagainya.
Jadi adalah baik kalau kerajaan memikirkan mengadakan peraturan baru menyekat perhimpunan sedemikian untuk mengelakkan provoksi berlaku.
Pilihan raya bukan untuk menyebabkan orang luka dan berdarah. Pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.
Biarlah ia berlaku dengan aman dan tenteram. Namun ternyata pilihan raya kecil Bagan Pinang penuh dengan provokasi – sejak hari penamaan calon lagi.
Provokasi ini kebanyakannya dilakukan oleh penyokong PAS. Buktinya? Menurut laporan media;
1. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta penulis portal Malaysian Insider dan Harakah Daily diminta beri keterangan tentang dakwaan mengelirukan kononnya penyokong parti itu cedera diserang ahli UMNO.
2. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, gambar mangsa yang ditunjukkan Salahuddin dan disiarkan dalam portal berbeza dengan orang yang membuat laporan polis.
3. Tiada siapa yang tampil membuat laporan polis mengatakan cedera teruk ditetak ‘pedang samurai’.
4. Salahuddin semalam gagal tunjukkan bukti salinan laporan polis atau nama lelaki yang ‘cedera’ ditetak.
5. Ia hanya satu salinan laporan polis seorang penyokong PAS yang mendakwa keretanya dihalang oleh petugas BN.
6. Laman web Harakah sendiri telah menarik balik berita itu.
Jika diteliti kembali, ada tiga perkara mengenai Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Bagan Pinang, Salahudin Ayub.
Pertama dialah yang mendakwa kononnya Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim bohong;
Kedua, dia mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah; dan
Ketiga, dia mengaku menyebarkan gambar petugas PAS sebagai untuk menyatakan ia ‘benar-benar berlaku dan bukan direka-reka’.
Salahuddin juga menegaskan pihaknya bertanggungjawab penuh dengan kenyataan mereka dalam sidang media yang mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah.
"Saya bertanggungjawab penuh dengan penyebaran gambar itu dan memang ia benar-benar berlaku bukan direka-reka," kata Salahudin kepada Harakahdaily semalam.
Sehubungan itu, katanya, beliau bersama peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin telah memberikan keterangan di bawah seksyen 112 (keterangan saksi) di Balai Polis IPD Port Dickson jam 6.45 petang semalam.
Polis meminta Naib Presiden Pas itu, serta penulis portal berita Malaysian Insider dan Harakah Daily tampil memberi keterangan berhubung dakwaan yang mengelirukan kononnya penyokong parti itu dikasari dan diserang oleh ahli UMNO hingga cedera.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, dalam blog berkenaan Salahuddin telah memegang sekeping gambar berkaitan kejadian itu dengan gambaran kecederaan yang teruk ke atas mangsa.
Tetapi kata beliau, gambar mangsa cedera yang ditunjukkan oleh Salahuddin dan disiarkan dalam kedua-dua portal berita itu berbeza dengan orang yang dilaporkan kepada polis.
''Pihak polis telah pun membuat siasatan awal dan setakat ini tiada siapa yang datang mengatakan beliau telah dipukul begitu teruk keadaannya.
''Polis ada menerima laporan dan membuka siasatan dan pihak polis sendiri telah menghantar mangsa ke hospital dan beliau telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Tak ada kesan darah pun. Hanya lebam-lebam saja. Orang itu juga orang lain, bukan yang dalam gambar itu.
"Nama yang disebut sama tetapi gambar memang berbeza. Kalau betul orang itu ada, datanglah buat laporan," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal (Martek) PDRM semalam.
Osman berkata, kenyataan yang dibuat itu mengelirukan orang ramai dan mereka terdorong untuk mempercayainya.
Katanya, polis telah berhubung dengan Salahuddin tetapi sehingga hari ini pemimpin Pas itu gagal berbuat demikian.
Polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 111 Kanun Perkara Jenayah.
Beliau juga mengesahkan gambar yang disiar oleh Harakah Daily itu tidak sama dengan individu yang terlibat, hanya nama sahaja yang sama.
Osman turut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengelirukan orang ramai dan mencetuskan keadaan huru-hara.
''Polis akan mengesan individu yang memulakan SMS ini dan akan mengambil tindakan. Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai," katanya.
Pada sidang akhbar sama, polis memberi amaran supaya mana-mana parti tidak membina struktur seperti khemah yang digunakan untuk meraih undi.
''Kita akan ambil tindakan jika ada pihak yang cuba menakutkan pengundi pada 11 Oktober ini dan menghalang mana-mana pengundi yang layak.
''Pihak polis akan memeriksa kenderaan yang memasuki laluan di Bagan Pinang ini dan menahan mana-mana pihak yang membawa senjata berbahaya," kata Osman.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, pihaknya menerima 66 laporan sepanjang pilihan raya kecil ini berlangsung.
''Daripada jumlah itu, 22 sedang disiasat dan tiada tangkapan dibuat. Baki 44 laporan itu, polis sedang meneliti dan ada yang tidak diambil tindakan contohnya bendera hilang tetapi kemudian ditemui semula," katanya.
Beliau memberitahu, tiada kes yang dilaporkan itu disiasat di bawah Akta Hasutan tetapi di bawah Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Mesin Cetak.
''Daripada 22 laporan itu, 10 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Seremban untuk mendapatkan nasihat," jelasnya.
Salam Tuan,
ReplyDeleteDiharap pihak polis dapat menyiasat kes ini dan membongkar penipuan dan mereka yang terlibat. Ini dah kira kes menghasut. Bagi kita yang jauh, diluar kawasan 'panas' mungkin boleh menerima berita serangan ini sebagai satu berita semata2 tapi keadaan mungkin berbeza di 'ground zero'. Berita sebegini boleh menjadi satu bentuk provokasi kearah tindakan yang agresif, mencetuskan huru hara.
Biarpun tamat sudah Prk Bagan Pinang, walau siapapun yang menang, jangan lepaskan dalang penghasut ini. Orang2 sebegini tidak akan serik, kes2 seumpama akan berulang lagi.Dan tika itu, dalam keadaan yang lebih tension, mungkin kesan apa yang ditakuti bisa menjadi kenyataan.
Siasat sepenuhnya dan jika ternyata mereka ini spesis penghasut, hukum mereka dengan setimpal. Dan jika ternyata mereka ini seperti nama2 yang disebut, berikan mereka pilihan untuk dihukum mengikut hukum Islam sebagaimana hukuman keatas penghasut.