Thursday, May 19, 2011

AMERIKA SYARIKAT BERPUASHATI DENGAN MALAYSIA....NAJIB

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melawat tempat urusniaga dagangan saham selepas majlis Pelancaran Pelaburan Malaysia 2011 di bangunan Bursa Saham New York (NYSE) di New York, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi NYSE, Lawrence Leibowitz (kanan).

Malaysia bukanlah seteruk digambarkan pembangkang kononnya negara luar tidak berminat lagi melabur di negara ini, lebih-lebih lagi Amerika Syarikat (AS).

Gembar gembur oleh seseorang yang kononnya 'rakan rapat' pemimpin AS bahawa Malaysia kini 'disisihkan' Washington tidak benar.

Sebenarnya orang itu semakin tersisih dan kini dihimpit masalahnya sendiri di dalam dan luar negara.

Ternyata lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ke AS mempunyai matlamat lebih besar dan berharap kerjasama erat dalam bidang ekonomi kedua-dua negara akan membawa kebaikan kepada suasana pelaburan di negara ini.

Selain pelaburan, dilaporkan bahawa Persidangan Global Forbes melibatkan ketua pegawai ekseutif dari luar negara, akan diadakan di Malaysia September depan.

Laporan Bernama dari New York menyebut beberapa firma multinasional AS akan melabur antara AS$5 bilion dan AS$6 bilion di Malaysia dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata pelaburan berkenaan akan melibatkan sektor elektronik lanjutan, tenaga yang boleh diperbahrui, minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi, penjagaan kesihatan, farmaseutikal serta perkhidmatan.

Malah, beliau berkata Motorola, yang beroperasi di Malaysia sejak 37 tahun lalu dengan 7,000 pekerja, akan melabur kira-kira RM4 bilion bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Global di kilangnya di Pulau Pinang bagi menyediakan sokongan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Asia Pasifik.

"Ini adalah satu pencapaian besar...mereka berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan kerajaan Persekutuan. Mereka kini terbabit dalam sistem teknikal untuk Polis Diraja Malaysia," kata beliau kepada wartawan Malaysia hari ini pada hari kedua lawatan kerja beliau ke New York, semalam.

Najib akan melawat Johns Hopkins University di Washington.

Semasa ditanya mengenai kesan pelaburan yang bakal diterima terhadap Malaysia, Najib berkata, ia akan membawa kepada pendapatan lebih tinggi di kalangan rakyat.

Beliau berkata, negara tidak boleh mencapai status negara maju tanpa pertumbuhan tahunan purata sebanyak enam peratus.

"Jika kita tidak mempunyai teknologi baru, kita tidak boleh bersaing dengan negara-negara lain. Kita perlu mewujudkan pekerjaan kerana kita mempunyai kira-kira 20 institusi pengajian tinggi awam serta institusi swasta. Pelajar juga ke luar negara dan tidak semua boleh mendapat pekerjaan dengan kerajaan," katanya.

Mengenai sebab yang dinyatakan oleh bakal pelabur yang berminat terhadap Malaysia, Najib berkata, kestabilan politik dan kesinambungan dalam dasar kerajaan, serta Model Baru Ekonomi merupakan faktor tarikan.

Beliau berkata, lebih 230,000 warga Amerika melawat Malaysia tahun lalu manakala 1,500 keluarga menyertai Program Rumah Kedua Malaysia.

Najib, yang menghadiri majlis yang dihoskan oleh Steve Forbes semalam (Rabu) berkata, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Forbes itu memberitahu beliau bahawa Persidangan Global Forbes melibatkan ketua pegawai ekseutif dari luar negara, akan diadakan di Malaysia pada September ini.

Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan berasingan dengan Gene Delaney, Naib Presiden Eksekutif Motorola, Vikram Pandit, Ketua Pegawai Eksekutif CitiGroup, Frank Kem, Naib Presiden Kanan dan Rakan Kongsi Pengarah Urusan IBM serta Jeff Hayman, Presdent/CEO AIG Consumer.

Beliau juga menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU).
MoU itu antara General Electric dan AirAsia X, Universiti Putra Malaysia dan University of Maryland serta Kementerian Kesihatan dan University of Maryland.