Terus terang, ada dua perkara membimbangkan penulis.
Bukan bimbang Kristian akan menjadi agama rasmi negara ini. Itu sukar berlaku.
Tetapi proses ke arah menjadikan agama berkenaan sebagai agama rasmi akan membabitkan kejadian-kejadian yang tidak diingini dan mungkin akan menyebabkan ketegangan kaum dan agama.
Pertama, isu agama sekali lagi menjadi perbincangan terbuka yang akan menyebabkan berlakunya syak wasangka pada ketika beberapa isu lain seperti isu bukan Islam memasuki masjid sewenang-wenangnya, bukan sahaja mentafsir al-Quran dan Hadis serta isu Kitab Injil dalam bahasa Melayu belum dapat dibereskan.
Kedua, jika benar ada pemimpin DAP melakukan perkara seperti ini, bukan sahaja agama Islam tergugat kedudukannya tetapi ‘pelindungnya’ iaitu Yang DiPertuan Agong dan sultan Melayu juga tergugat.
Ini bahaya. Bendunglah sebelum meledak!
Dua laman blog semalam, iaitu 'bigdog' di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com. memperkatakan perkara ini dan dilaporkan pula Utusan Malaysia hari ini.
Menurut laporan berkenaan satu majlis pertemuan paderi-paderi diadakan di Pulau Pinang dan berikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua blog berkenaan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, pada majlis makan malam sempena pertemuan , seramai 35 orang paderi dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mahu Perdana Menteri juga dalam kalangan penganut agama itu.
Laporan blog 'bigdog' mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti.
"Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi," dakwa blog berkenaan.
Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti.
"Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya," dakwa blog itu.
Utusan Malaysia hari ini memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.
Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu.
Jeff yang ditanya mengenai ikrar itu mendakwa, ketika majlis berlangsung, beliau sibuk 'melayan' iPad selain menjamu selera walaupun turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang didakwa terlibat dalam satu pertemuan antara paderi-paderi dari seluruh negara di sebuah hotel di Jalan Macalister, Khamis lepas.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Wira Perkasa Daerah Timur Laut, Mohd Rizuad Mohd Azudin di Balai Polis Jalan Patani, di sini pada kira-kira pukul 1.20 tengah hari.
"Isu ini akan merosakkan perpaduan kaum yang telah terjalin lebih 50 tahun,” kata Mohd Rizuad selepas membuat laporan polis berkenaan.
Penulis berpendapat, elok sekali jika polis dapat menyiasat dakwaan blog berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana juga pihak yang cuba mencetuskan isu perkauman di negara ini.
Jangan jadikannya API DALAM SEKAM. Amat Berbahaya!