Saturday, July 11, 2009

APA NAK JADI1: 2B (BENGANG & BINGUNG)

"Saya terkilan kerana di Terengganu bukan saja Kompleks Akuatik menghadapi masalah tetapi bulan lalu, (sebahagian) bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh" kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Sekali lagi membabitkan pengawasan projek yang lemah? Siapa yang bertanggungjawab? Bukankah JKR?

JKR Terengganu dilaporkan bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, dan pastinya banyaki persoalan bermain di kepala walaupun ketika ini tiada pihak boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah atau sebaliknya.
Yang pasti sudah ada jaminan daripada JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.

Jika JKR Terengganu ternyata melakukan kecuaian, di mana mahu diletakkan muka Pengarahnya?

Atau apakah orang lain turut terlibat dalam masalah ini?

Pertanyaanya, siapa kontraktornya, individu mana di belakangnya, siapa meluluskannya dan individu mana yang mnengawasinya?

Bagaimana pula kata rakyat Terengganu?

Rakyat Terengganu pasti mulai tertanya-tanya dan jelak dengan projek yang sebelum ini dibanggakan sebagai ‘Impian Menjadi Kenyataan’.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pun akan turut mengulas kalau beliau ada di Kuala Terengganu.

Saya mengulas isu ini pada 7 Jun 2009 dengan mengatakan apabila Ahmad Said bersuara mengenai Pusat Akuatik ini mesti ada sebabnya.

Ini kerana kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila pusat itu menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Laporan Utusan Malaysia (5 Jun 2009) dan sebuah portal berita seminggu sebelum itu mengatakan air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Menurut sebuah blog, satu sumber yang dipercayai memberitahu bahawa struktur bumbung Kompleks Akuatik Negeri di Batu Buruk, Kuala Terengganu mungkin akan menerima nasib yang sama jika tidak diperiksa dan diselenggara dengan baik mulai sekarang.

Siapa tidak bengang dan bingung (2B) apabila kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)yang dibina mengikut konsep reka dan bina itu siap pada Mei 2008 untuk digunakan pada Sukan Malaysia ke-12 yang dihoskan Terengganu pada Jun tahun lalu, kini bocor.

Berikutan itu, Kementerian Kerjaraya mengarahkan Pusat Akuatik MBKT bernilai RM18 juta yang baru setahun disiapkan ditutup sementara mulai semalam .

Ini kerana kualiti kemudahan dan tahap keselamatan yang menyebabkannya tidak sesuai digunakan orang ramai.

Shaziman berkata, pasukan penyiasat Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati banyak kelemahan dan kesilapan teknikal dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan yang tidak mencapai mutu ditetapkan sehingga berlaku kebocoran dan kerosakan peralatan.

"Kami sudah memeriksa persekitaran termasuk di bahagian bawah tanah dan mendapati banyak kebocoran. Kita dapat lihat soket elektrik yang terdedah kepada kebocoran air dan ini semua tidak selamat digunakan," katanya selepas meluangkan lebih sejam mengetuai pasukan penyiasat JKR melawat kompleks itu di Kuala Terengganu kelmarin.

Pengawasan dan pemantauan pembinaan kompleks itu dilaksanakan JKR Terengganu. Sekali lagi timbul persoalan sama ada “JKR vs JKR” seperti dalam isu Stadium Sultan Mizan.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.

Menurut laporan Berita Harian, Shaziman berkata, kerosakan kompleks itu mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengawasan projek yang lemah kerana perlu disiapkan segera, tetapi itu tidak patut menjadi sebab membolehkannya disiapkan tanpa ikut spesifikasi.

"Projek ini dalam tempoh jaminan dan kita mengarahkan kontraktor melakukan kerja pembaikan sebaik mungkin," katanya sambil menambah laporan penyiasatan lengkap kompleks itu diserahkan kepadanya oleh JKR Pusat 10 hari lagi.

Dalam maklum balas segera, Judin berkata, JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.

Judin berkata, JKR Terengganu bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, bagaimanapun pihaknya masih belum boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah, sebaliknya JKR akan membuat penilaian secara menyeluruh.

"Ketika ini kami mempunyai beberapa pandangan tetapi ia masih belum boleh dijadikan kesimpulan terhadap apa yang berlaku kerana ia mestilah berasaskan kepada fakta dan laporan yang akan diterima nanti bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

KEGANASAN DI XINJIAN – APA SIKAP KITA?

Jaga perasaan? Takut sensitif?

Kenapa Kuala Lumpur atau pihak-pihak yang sering ‘berkokok’ mengenai Islam atau hak asasi manusia mengalih mula daripada kejadian yang berlaku di Xinjian?

Di sana, orang China bukan orang Cina. Yang berlaku di China bukan di negara orang Cina.

Laporan menyebut semalam (Jumaat) paling tidak lima masjid utama di Urumqi, ibu negeri Xinjian ditutup, tidak dibenarkan diadakan sembahyang Jumaat.

Keganasan itu menyebabkan Presiden China, Hu Jintao memendekkan lawatannya ke Itali untuk sidang kemuncak Kumpulan Lapan (G8). China dijemput sebagai kuasa ekonomi baru.

Dalam kes keganasan di Xinjian, kita tidak wajar berpihak. Yang penting desaklah supaya kerajaan China dapat mengawal keganasan.

Pertempuran etnik tidak menguntungkan sesiapa. Kaum Han atau kaum Uighur.

Dijangkakan beribu-ribu telah terbunuh walaupun laporan agensi akhbar rasmi Xinhua melaporkan mereka yang terbunuh sejak rusuhan berdarah itu berlaku Ahad lalu meningkat kepada 184 orang.

Antara mereka yang terbunuh adalah 137 etnik Han termasuk 111 lelaki dan 26 wanita dan 46 etnik Uighur.

Kerajaan China sebelum ini melaporkan seramai 156 terbunuh manakala 1,000 cedera dalam rusuhan berdarah di rantau bergolak Xinjiang Ahad lalu.

Ketua Komuniti Uighur yang dibuang negeri dari barat laut Xinjiang berkata, mungkin beribu-ribu orang telah terbunuh dalam rusuhan keganasan beberapa hari ini.

Ketua Kongres Uighur Dunia, Rebiya Kadeer yang berpangkalan di Washington itu berkata, adalah sukar untuk mengeluarkan jumlahnya secara komprehensif ekoran etnik Uighur telah lama ditindas.

“Menurut laporan yang belum disahkan, angka kematian kini mencecah lebih daripada 1,000 orang dan ada yang melaporkan sehingga 3,000 orang,” kata Rebiya pada sidang akhbar di US Capitol bersama dengan penyokongnya.
Menurut beliau, angka itu bukan sahaja dari ibu kota Urumqi, Xinjiang, tetapi juga dari seluruh rantau tersebut.

Kerajaan Turki semalam meminta China jangan mengamalkan penghapusan kaum. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutuk apa yang digelarnya `penghapusan kaum’ di Xinjian.

Kerajaan China dan meminta supaya kerajaan China campur tangan bagi mengalang lebih banyak korban berlaku.

”Apa yang berlaku di China adalah penghapusan kaum. Tiada perkataan lain yang boleh digunakan untuk menggambarkan keganasan yang berlaku di Xinjiang ketika ini.

“Dengan hubungan baik antara Turki-China, kami meminta supaya pentadbiran negara itu meningkatkan kesungguhan mereka menyelesaikan masalah tersebut, ”kata Erdogan di televisyen NTV selepas kembali dari sidang kemuncak Kumpulan Lapan (G8) di Itali.

NASARUDDIN PENYELAMAT PAS DI MANEK URAI?

Mulanya PAS ingat boleh menang mudah pada pilihan raya kecil Manek Urai apabila menganggap calonnya, Mohd Fauzi Abdullah boleh dianggap galang ganti kepada Pak Su Wil.

Namun ternyata apabila Fauzi sukar menandingi calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, PAS makin menggelabah.

Apabila melihat sukar untuk ‘makan UMNO/Barisan Nasional’ kali ini, mereka melakukan pelbagai taktik, termasuk cuba mengaitkan calon BN, Tuan Fauzi Tuan Mat dengan rasuah.

Kemudian ‘spin’ pula kononnya berlaku perpecahan kepimpinan UMNO di Manek Urai.

Tidak berjaya dengan taktik itu PAS sengaja menuduh BN membazir wang semasa kempen pilihan raya kecil ini bagi menutup kelemahan sendiri.

Hakikatnya wang dibelanjakan oleh BN bertujuan membantu penduduk di kawasan itu yang diabaikan oleh PAS sejak 20 tahun lalu.

Gagal dengan usaha itu, mereka mengatakan wujud salahguna kuasa tetapi apabila PAS Kelantan turut menawarkan ‘rasuah’ untuk rakyat umpamanya projek Armalah (sedekah atau sumbangan ikhlas), mereka terperangkap.

PAS ada sahaja majlis, termasuk di PASti Manek Urai Baru dengan memberi RM150 kepada tiap-tiap pengundi yang hadir dan mereka gunakan nama anak yatim. Wang tersebut diisi di dalam sampul surat.

Akhirnya, untuk menunjukkan mereka bertaut kembali, kini PAS Kelantan terpaksa memanggil Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, 'turun padang' dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Betul kata Khairy Jamaluddin bahawa PAS begitu terdesak di Manek Urai sehingga perlu memanggil Nasharuddin turun berkempen.

Pemuda Umno menyifatkan keputusan PAS Kelantan membenarkan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, 'turun padang' dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, selepas pertengahan kempen adalah tindakan yang terdesak.

Khairy berkata beliau percaya tindakan itu terpaksa dilakukan selepas pemimpin PAS Kelantan menyedari sebahagian penyokong mereka di Manek Urai tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk segelintir pemimpin dalam parti berkenaan yang meminggirkan Timbalan Presiden PAS.

"Pengundi Manek Urai patut tahu perpecahan ini ketara, mereka memang tak suka dan sebab itu nak tolak calon PAS kali ini bagi menunjukkan protes mereka terhadap apa yang sedang berlaku dalam PAS.

"Saya dengar Ustaz Nasha nak datang Sabtu ini (hari ini), tetapi pokoknya dia dilarang dari awal dan bila jadi isu dan (pemimpin PAS Kelantan) tahu sebahagian besar penyokong mereka di Manek Urai marah sebab masalah yang dicetuskan puak Erdorgan, barulah Tok Guru Nik Aziz (Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pujuk beliau datang," katanya selepas ceramah Pemuda Umno di Peria.

Kebimbangan akan kalah menyebabkan Nik Aziz sendiri turut panggil Timbalan Presiden PAS berkenaan.

Semalam, Nik Abdul Aziz dilaporkan mempelawa Nasharuddin untuk turut sama berkempen pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai dan mengakui pada peringkat awal beliau tidak mahu timbalan presiden PAS itu datang berkempen atas alasan strategi politik.


Nasharuddin yang sebelum ini menjadi sasaran kemarahan Nik Abdul Aziz berikutan isu
kerajaan perpaduan, juga tidak kelihatan ketika hari penamaan calon bagi mengiringi calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah.

Nasharuddin yang sebelum ini menjalani pembedahan kecil dijangka turun padang hari ini.

Khairy berkata, larangan terhadap Nasharuddin untuk turun berkempen di Manek Urai terbukti berikutan tiada poster yang memaparkan gambar pemimpin nombor dua PAS itu bersama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.