Friday, May 6, 2016

ISU ROYALTI - ADENAN TUNDUK KEPADA ‘TEAM NAJIB & NAJIB WAY’?


Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sebelum ini menegaskan, Sarawak memerlukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan rundingan mengenai royalti minyak dengan Putrajaya.

Menurutnya,  hanya pentadbiran BN di Sarawak yang boleh membawa perkara itu dalam rundingan dengan kerajaan Persekutuan kerana 'kami daripada kelab yang sama'.

Tuntutan ini dilihat sengaja ditimbulkan oleh Adenan pada ketika Putrajaya memerlukan kemenangan BN di Sarawak sebagai sokongan moral untuknya sementara menunggu Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Ketika ini, Sarawak menerima lima peratus royalti daripada hasil minyak negeri itu daripada pusat.

"Semua orang mahu royalti minyak dinaikkan, termasuklah pembangkang. Soalnya bukan siapa yang mahu, tetapi siapa yang dapat menunaikan perkara ini. Kalau DAP yang minta, suara mereka tidak akan diendahkan kerana kerajaan pusat adalah kerajaan BN.

"Saya telah membangkitkan perkara ini dengan PM (Perdana Menteri) dan beliau berkata 'kenapa kita tidak bincang mengenainya. Kita memang ke arah itu'," kata Adenan dalam program Bual Bicara SarawakBernama TV baru-baru ini.

Bukan Adenan sahaja yang menyebut mengenai isu ini tetapi seramai 40 calon PKR yang bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11, turut sepakat membuat tuntutan mengenai kepada Perdana Menteri.

Calon-calon PKR berkata, tuntutan berkenaan dibuat bagi pihak rakyat Sarawak yang akan mengundi esok.

Tuntutan itu berbunyi: “Hak 20 peratus royalti minyak untuk Sarawak - Kami mahukan 'keadilan petroleum' untuk Sarawak. Kami menuntut kerajaan persekutuan untuk merealisasikan 20 peratus royalti minyak untuk Sarawak, oleh kerana rakyat Sarawak telah lama diperdaya berhubung minyak dan gas yang disedut dari negeri kami.”

Parti Amanah Negara (AMANAH) pula dalam satu daripada tujuh tuntutannya menyokong sekiranya kerajaan memberi 20 peratus royalti minyak kepada rakyat Sarawak.

Bagaimanapun, kelmarin (4 Mei), Perdana Menteri menegaskan,  kejatuhan harga minyak dunia menjadikan pemberian royalti minyak kepada negeri Sarawak tidak sesuai dipertimbangkan buat masa sekarang.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan pusat telah membuktikan komitmen kepada Sarawak dengan memberikan Lebuh Raya Pan Boneo serta meluluskan RM3.5 bilion bagi pembangunan sepanjang lawatannya ke negeri itu.

“Royalti tidak sesuai untuk diberikan pertimbangkan sebab keadaan hasil negara begitu kritikal dan kehilangan RM40 bilion sebab kejatuhan minyak. Namun kita akan cuba untuk menampung keperluan pembangunan Sarawak dan dapatkan peruntukkan di luar bajet banyak diluluskan untuk Sarawak, “ tegas Najib.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang diadakan di ibu negeri Sarawak itu kelmarin.


Berikutan kenyataan itu, pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang hairan mengapa Perdana Menteri menolak permintaan Sarawak untuk mendapatkan royalti minyak 20 peratus kurang tiga hari menjelang hari pengundian.

Beliau berkata ini tidak lain daripada "tamparan terbuka di muka" Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Berikutan kenyataan Najib itu,   Semalam Lim berkata, DAP kini meragui sama ada pasukan Adenan atau pasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bertanding dalam pilihan raya tersebut.

"Kenapa Najib tidak dapat menunggu sehingga selepas keputusan pilihan raya pada 7 Mei ini untuk menyampaikan berita buruk itu kepada rakyat Sarawak?" soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ini mungkin kerana isu-isu di negeri itu tidak diputuskan oleh "Team Adenan dan Adenan Way" tetapi oleh "Team Najib dan Najib Way".

Lim juga menafikan alasan yang diberikan berhubung penolakan itu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai "terlalu mengampu dan satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat Sarawak".

Zahid mempertahankan keputusan Najib untuk menolak permintaan royalti minyak selepas mesyuarat kabinet di Kuching semalam, apabila perdana menteri berkata ia bukan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan perkara berkenaan.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dukacita dengan tindakan Putrajaya menangguhkan usaha menaikkan peratus royalti minyak untuk Sarawak.

“Pada fikiran saya, perkembangan ini telah mengecewakan semua rakyat Sarawak yang tahu mengenainya. Ini menunjukkan kerajaan tidak mahu akur dengan tuntutan rakyat Sarawak,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas berceramah di Pekan Bau, semalam.

Adenan semalam dilihaat terpaaksa tunduk dan mengulangi pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa sekarang bukan masa sesuai membincangkan isu kenaikan royalti minyak untuk negeri itu. Ia kerana, kata Adenan, dunia sedang menghadapi masalah kejatuhan harga minyak.

Malah, Adenan mengatakan veteran DAP Lim Kit Siang telah memetik kenyataannya berhubung royalti minyak secara salah.

"Kit Siang misquote (salah petik) mengenai isu royalti minyak. Saya ada duduk di sebelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan itu semalam. Beliau (Najib) berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai royalti minyak kerana harga minyak telah runtuh.

Tetapi, jika harga telah stabil nanti kita boleh mula berunding dan kita tak harap Kit Siang sebut perkara itu,” katanya kepada pemberita di Wisma Bapa, Kuching.

Apapun, ternyata hasrat Adenan untuk tujuan ini terbantut untuk sementara.

Sementara Putrajaya pula mungkin melihat isu ini akan memberikan kesan kepada negeri-negeri lain untuk menuntut kuota royalti yang sama jika dilaksanakan?

Isu royalty minyak ini senstif, apa lagi pembangkang di Terengganu, Sabah dan Kelantan turut menimbulkan perkara ini.

Juga ada logiknya jika Putrajaya mahu menangguh atau memutuskan untuk mengekalkan jumlah royalti berkenaan untuk sementara kerana peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan Pusat untuk Sarawak pada PRN ini  sudah melebihi jumlah yang sepatutnya dibayar melalui royalti.

Cumanya yang berbeza ialah, perruntukan diluluskan melalui PRN bagi sebahagiannya ‘ditentukan oleh Putrajaya’ sementara melalui royalty, kerajaan negeri Sarawak mungkin lebih bebas untuk berbelanja ‘untuk apa’.