Monday, May 15, 2017

PENYOKONG PAS-UMNO AKAN JADI ‘KALDAI POLITIK’ KEPADA HADI, NAJIB?


"Kita amalkan tahaluf sejak PAS ditubuhkan, kita menghadapi liku-liku yang mencabar. Alhamdulillah PAS menunjukkan kita parti yang berdisiplin dalam bertahaluf. PAS tidak khianati kawan, PAS beradab dalam tahaluf kerana tahaluf fahaman dalam titik persefahaman."

Demikian kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Selangor pada 6 Jun 2015, seklain menyelar pihak yang cemburu akan hubungan PAS dan UMNO.

Menurutnya, hubungan yang terjalin adalah berlandaskan syariat bagi tujuan merealisasikan hukum Hudud.

Tanpa menamakan siapa, beliau mengatakan ada orang cemburu buta, macam kisah suami isteri,  isteri yang tidak benar suaminya ke pasar sehingga tidak boleh bercakap dengan perempuan lain.
Dan selepas hampir dua tahun, tahaluf PAS-UMNO dikatakan semakin hampir menjadi kenyataan.

Ia memang baik dalam konteks mengurangkan ketegangan antara orang Melayu Islam, walaupun tidak jelas sama ada dilakukan berlandaskan syariat bagi tujuan merealisasikan hukum Hudud

Semalam, keyakinan PAS mengenai tahluf dengan UMNO ini cuba dibuktikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad yang mengatakan PAS akan bertanding di sembilan kerusi parlimen itu di Wilayah Persekutuan.

Nampaknya PAS begitu yakin bahawa Barisan Nasional (BN)/UMNO di Wilayah Persekutuan akan membantu mereka jika yahaluf siyasi itu menjadi kenyataan, selain ia selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulama bahawa tahaluf siyasi dengan PKR sudah terbatal.

Mohamad Nor mengatakan sokongan yang diterima oleh PAS kini semakin meningkat terutamanya di kalangan orang Melayu Islam, di selain terus mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

Malah, PAS mengatakan dengan penuh keyakinan peluang untuk mereka menang di Segambut – kawasan bukan majoriti Melayu – berdasarkan pengundi Islam, selain undi orang Cina dan India, kerana tidak semua mereka mengundi DAP.

 

Persoalannya, dengan bantahan bukan Islam kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 atau Akta 355 di Dewan Rakyat.yang bukan sahaja daripada penyokong DAP tetapi juga MCA, Gerakan dan MIC, apakah pengundi bukan Islam sudah jelas mengenai mengapa pindaan itu perlu diakukan.

Persoalannya, berjayakan tarbiyah PAS kepada bukan Islam sehingga kini mengenai pindaan Akta 355  ini?

Penulis tidak yakin bahawa penjelasan PAS mampu memahamkan bukan Islam kerana orang Islam sendiri banyak yang menentang apa yang cuba dilakukan oleh PAS dalam pindaan itu.

Malag suara-suara terus kedengaran, bukan sahaja bukan Islam dalam DAP atau beberapa parti bukan Islam di Sarawak dan Sabah menentangnya tetapi bukan Islam dalam MCA, MIC dan Gerakan turut menolak apa yang dikemukakan oleh PAS.

Jadi, dalam soal mentarbiyah penyokong PAS dan UMNO mengenai tahaluf pula, apakah penyokong UMNO dan PAS sudah memahami dan menerima pandangan Hadi dan pemimpin tertinggi PAS mengenai perkara ini?

Penulis Khuatir dan kefahaman mungkin hanya berlaku di kalangan pemimpin tetapi penerimaan penyokong masih kabur dan menjadi tanda tanya.

Selama bertahun-tahun permusuhan antara pemimpin dan penyokong kedua-dua parti ini seolah-oleh tidak mungkin dapat dilerai.

 

Tetapi jika Hadi dan Datuk Seri Najib Razak dapat melakukannya, ia merupakan ‘kejayaan politik peringkat atasan’ namun mungkin tidak membawa sebarang jaminan di peringkat bawahan.

Bagi kebayakan yang berusia 50-an hingga 70-an, kenangan masih kekal di minda mereka bagaimana PAS mengkafirkan UMNO dan banyak kesannya kepada orang UMNO selepas Hadi mengeluarkan amanatnya di Banggol Peradong.

Apakah orang UMNO boleh melupakan begitu sahaja tanpa Hadi menarik balik amanatnya?

Isu ‘anak haram’ hasil perkahwinan ‘tidak sah’ kerana dinikahkan imam bukan PAS khusunya iman UMNO, isu ‘suami isteri berzina’ kerana dinikahkan imam UMNO, makan daging ‘haram’ kerana ayam, lembu, kambing, kerbau disebelih oleh penyembelih UMNO semuanya masih segar difikiran mereka.

Juga bolehkah pemimpin UMNO melupakan kejadian imam yang dilantik kerajaan BN/UMNO tidak diiktiraf oleh penyokong PAS yang menyebabkan berlakunya kejadian solat dua imam yang masih ada di Terengganu sehingga kini?

Juga apakah penyokong BN/UMNO boleh menerima perbuatan membina surau bersaingan dan masjid yang dibina kerajaan bagaikan ‘gereja atau kuil sahaja di mata sesetengah penyokong fanatik PAS gara-gara Amanat Hadi?

Banyak lagi kesan Amanat Hadi yang masih berlegar di kepala orang UMNO, terutamanya di Terenganu dan Kelantan, atau mungkin juga Kedah.

Isu orang Islam yang meninggal menjadi ‘kafir’ dan tidak boleh disolatkan jenazah mereka juga masih melekat di fikiran penyokong UMNO di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Apakah orang UMNO boleh memaaf dan melupakan kejadian itu begitu sahaja?

Persoalannya apakaah dan bilakah Hadi akan menarik balik amanatnya itu dan bersediakan beliau melakukannya apabila tahaluf dengan UMNO hendak dikuasakan?

Perlu diulang sekali lagi bahawa Amanat Haji hasil suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh oleh Presiden PAS itu di Kampung Banggol, Peradong,  Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu.

Daripada bukti kertas putih mengenai Memali  bertarikh 26 Februari 1986,  Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi yang turut dikaitkan dengan peristiwa berdarah di Kedah itu.

Kenapa pemimpin UMNO tidak bertanya Hadi bila mahu ‘mensucikan kembali’ orang UMNO dan apakah kini orang UMNO sudah ‘dapat tiket atau pas untuk masuk terus ke syurga’?

Jika dahulu pemimpin UMNO mempertikaikan syurga milik PAS, apakah kini kerana akan adanya ‘tahaluf’, ‘syurga sudah dimiliki bersama’?

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata parti itu memang sentiasa bersikap terbuka dan sedia berbincang dengan mana-mana parti.

Ini disuarakan selepas kerjasama politik dengan PKR terkubur secara rasmi.

Namun  seperti yang selalu ditekankan pemimpin parti itu, Hashim menegaskan, setiap kerjasama yang ingin dijalankan mestilah "dipimpin oleh Islam".

Hashim dilaporkan berkata tindak-tanduk UMNO serta presidennya, yang meletakkan konsep Islam dalam pentadbiran memungkinkan perkara itu berlaku.

Sebelum ini, PAS turut mengatakan untuk sebarang tahaluf, Islam hendaklah diutamakan, namun persoalannya, dalam konteks kerjasama PAS-UMNO, siapakah pemimpin yang akan mengetuai kerjasama itu?

Apakah PAS sanggup menerima pakatan yang dipimpin UMNO atau ia adalah kepimpinan seimbang, maksudnya 50-50?

Maka timbullah persoalan lain, apakah PAS yang mengatakan untuk menyasarkan lebih 100 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 bertujuan untuk bergabung dengan UMNO atau berkerajaan sendiri.

Ketua penerangannya, Nasrudin Hassan, berkata semalam, daripada jumlah itu PAS menjangkakan 40 kerusi adalah yang "mudah menang" manakala selebihnya perlu diusahakan dengan lebih gigih.


Apakah keyakinan ini dibuat kerana adanya sokongan daripada UMNO atau kekuatan PAS secara bersendirian?

Lantas, jika PAS bertanding lebih 100 kerusi, yang selebihnya daripada 40 itu (kalaulah benar boleh mencapai jumlah itu), apakah peranan PAS hanya parti ‘kacau daun’ bertujuan mendapatkan beberapa kerusi Parlimen sambil membantu UMNO menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu-Islam?

Dan terang lagi bersuluhlah bahawa peranan PAS kini adalah sebagai ‘khadam BN/UMNO, bukannya untuk menjadi pemerintah dan berdiri sendiri.

Persoalannya, mahukah penyokong PAS menjadi ‘khadam UMNO dan penyokong UMNO pula menjadi khadam PAS di beberapa kerusi untuk menjamin kemenangan PAS?

Di sinilah akan wujud konflik pemikiran di kalangan penyokong kedua-dua parti berkenaan.

Apakah pemimpin bawahan dan penyokong kedua-dua [arti itu sanggup menjadi ‘kaldai politik’ bagi tujuan kepentingan Hadi dan Najib?

BN/UMNO dan PAS jangan mengambil mudah kedudukan ini kerana kelak, bagi penyokong PAS yang tidak bersetuju dengan cadangan tahaluf dengan UMNO akan mengundi parti Melayu-Islam lain.

Apakah sokongan akan pergi kepada parti `AMANAH? Mungkin tidak kerana AMANAH adalah sebahagian kemarahan penyokong PAS selain DAP dan UMNO.

Tidak ada piihan untuk mereka selain mengundi dan menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagaimana pula dengan penyokong UMNO yang tidak bersetuju dengan tahaluf dengan PAS? Ke mana sokongan mereka?

Ke PKR, DAP atau AMANAH?

Kemungkinan kepada AMANAH ada tetapi kemarahan mereka kepada PAS tetap membara dan ‘butir tahi’ PAS ini tidak mungkin dapat sokongan sepenuhnya.

Mereka akan melepaskan geram kepada UMNO melalui PPBM yang dirasakan lebih ‘mesra dan rapat’ dengan mereka.

Jangan pemimpin BN/UMNO dan PAS melihat perkara ini kecil. Mereka belum boleh bergembira dengan pertandingan tiga penjuru.

Juga jangan terlalu gembira bahawa tahaluf antara mereka akan membawa kemenangan mutlak dalam pilihan raya umum nanti.

Tahaluf antara dua parti itu akan membawa kpada suatu ciptaan dan keadaan  ‘harapan palsu’ yang akan merugikan UMNO dan PAS.

Dan pastinya pada kedudukan ini, jika UMNO mengambil jalan untuk tidak bertahaluf dengan PAS bimbang penyokong mereka akan merasa bahawa mereka dijadikan ‘kaldai politik’ oleh Najib, PAS yang bertanding sendirian akan masih terperangkap.

Benar sekali  jika bertandng bersendirian PAS akan lebih dihormati dan mungkin mendapat keputusan lebih baik berbanding bertahaluf dengan BN/UMNO.

Namun apa jaminan yang PAS boleh bertahan dengan asakan AMANAH dan pengundi bukan Melayu-Islam?

PAS kini tersepit dan begitulah juga UMNO.

Pada usianya memasuki 71 tahun, UMNO turut tersepit dengan asakan pembangkang, khususnya PPBM dan PKR.

Ia diakibatkan oleh  langkah sumbang dan pendirian tidak konsisten pemimpin mereka dalam isu rasuah, pembaziran, pemborosan dan paling menakutkan – kleptokrasi.

Malah dalam keadaan Najib dipalitkan dengan isu RM2.6 bilion dan RM42 melalui akaun bank peribadi Najib (belum lagi isu 1Malaysia Development Berhad) sementara  Hadi pula berdepan tuduhan sumbangan RM 90 juta daripada 1MDB, tahaluf PAS-UMNO berdepan dengan beberapa halangan sukar.

Apakah kedua-duanya berani menghadapi risiko untuk mempersetujui tahaluf berkenaan yang kini dilihat lebih mirip kepada kepentingan menjaga survival politik Najib-Hadi daripada perpaduan di kalangan orang Melayu Islam.