Friday, September 16, 2016

SELEPAS SERPIHAN MH370 DIKENAL PASTI, SIASATAN KINI BAGAIMANA INSIDEN BERLAKU...


"Pemeriksaan lanjutan ke atas serpihan akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada maklumat lanjut lain selain mengkaji bagaimana insiden itu berlaku."

Akhirnya misi pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang membuahkan hasil.

Malaysia semalam  mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di pulau Pemba, perairan Tanzania, Jun lalu,  adalah milik syarikat penerbangan negara.

Ia disahkan oleh pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Sudah pasti penemuan ini melegakan banyak pihak selepas banyak masa, tenaga dan perbelanjaan dikeluarkan bagi tujuan berkenaan.

Kos misi mencari dan siasatan ke atas pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu dikatakan menjadi misi paling mahal dalam sejarah penerbangan.

Menurut angka yang dianggarkan oleh Fairfax Media, selepas empat minggu sahaja, ia sudahpun melepasi kos misi mencari pesawat Air France AF447 yang sebelum ini memegang rekod paling mahal dengan nilai perbelanjaan mencecah $50 juta (RM164 juta).

Kos perbelanjaan tinggi ini melibatkan kapal laut, satelit, kapal terbang dan kapal selam yang dihantar ke Laut China Selatan, Selat Melaka dan selepas itu hingga ke bahagian selatan Lautan Hindi.


Pencarian yang dipimpin Australia menggunakan peralatan tidak berawak di dasar laut dan perlengkapan sonar untuk memeriksa kawasan  seluas lebih 120,000 kilometer.

Pada peringkat awal, sebanyak 26 buah negara antaranya Singapura, Indonesia, Vietnam dan Amerika Syarikat mengerahkan aset ketenteraan mereka bagi membantu menjalankan operasi mencari pesawat jenis Boeing 777 itu ketika mula-mula berita kehila­ngannya tersebar luas.

Menurut jawapan bertulis di Parlimen, kerajaan membelanjakan sebanyak RM231,452,287 setakat Oktober 2015 dalam operasi pencarian pesawat MH370 itu.

Anggaran kos keseluruhan bagi misi pencarian itu mungkin didedahkan selepas ini selain jumlah pampasan kepada penunpang dan anggota kabin.

MAS  dan kerajaan juga kini boleh menarik nafas lega kerana pencarian yang sukar bermula ternyata berbaloi.

Penemuan ini pastinya turut menggembirakan sebahagian besar anggota keluarga mengatakan mereka tidak ingin pencarian dihentikan sampai pesawat ditemukan.

Setelah pengesahan ini diumumkan, langkah seterusnya ialah mengkaji bagaimana insiden itu berlaku.


Malaysia  berharap mendapat lebih maklumat berhubung serpihan berkenaan.

Serpihan kini  berada di Austra­lia dan kerajaan  akan bawa pulang tetapi ia akan mengambil masa kerana perlu dianalisis lebih mendalam di sana.

Misi mencari lebih dua tahun itu menghasilkan beberapa penemuan serpihan pesawat Boeing 777 yang hilang pada Mac 2014 ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal, tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur, menuju ke Beijing, China.

Antara yang dikenalpasti, termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.

Pengesahan itu berdasarkan pemeriksaan dan analisis menyeluruh, ATSB dengan persetujuan Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 mengenal pasti beberapa penemuan.

Pengesahan juga termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.

Beberapa serpihan pesawat yang dikaitkan dengan MH370 ditemui sejak tahun lalu, namun hanya bahagian flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis disahkan sebagai 100 milik pesawat malang itu.


Nombor siri dan tarikh pembuatan pada serpihan yang ditemui sepadan dengan MH370. Ia dihantar ke Australia untuk dianalisis oleh ATSB.

Pengeluar bahagian pesawat dari Itali turut mengesahkan semua nombor pada bahagian berkenaan mempunyai kaitan dengan nombor siri yang sama bagi flaperon yang dihantar kepada Boeing sebagai nombor jajaran 404.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata semalam tarikh yang dicap berkait dengan satu daripada bahagian menyatakan bahawa pengeluaran adalah pada 23 Januari 2002, yang mana konsisten dengan tarikh penghantaran bagi MH370 pada 31 Mei 2002.

Pengeluar turut  mengesahkan jajaran nombor pesawat 404 dihantar kepada Malaysia Airlines dan didaftarkan sebagai 9M-MRO (MH370).

Pakar merumuskan yang serpihan iaitu flaperon luar adalah berasal dari pesawat 9M-MRO, yang juga dikenali sebagai MH370," katanya.

"Sebagai tambahan kepada nombor bahagian Boeing, semua penanda identifikasi mempunyai nombor 'OL' kedua yang mana ia adalah pengenalpastian unik berkaitan pembinaan bahagian (pesawat)," katanya dalam satu kenyataan.

Penyiasat sebelum ini mengesahkan sekeping serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis pada Julai 2015 sebagai sebahagian daripada MH370.


Mereka juga sedang memeriksa beberapa serpihan lain yang ditemui di Mozambique, Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, sebuah wilayah di Mauritius.

Tiong Lai berkata, pemeriksaan lanjutan ke atas serpihan itu akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada apa yang berlaku kepada MH370.

"Pasukan penyiasat akan meneliti maklumat lanjut lain sekarang dan mengkaji bagaimana insiden itu berlaku," katanya.