Showing posts with label MAS. Show all posts
Showing posts with label MAS. Show all posts

Friday, September 16, 2016

SELEPAS SERPIHAN MH370 DIKENAL PASTI, SIASATAN KINI BAGAIMANA INSIDEN BERLAKU...


"Pemeriksaan lanjutan ke atas serpihan akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada maklumat lanjut lain selain mengkaji bagaimana insiden itu berlaku."

Akhirnya misi pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang membuahkan hasil.

Malaysia semalam  mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di pulau Pemba, perairan Tanzania, Jun lalu,  adalah milik syarikat penerbangan negara.

Ia disahkan oleh pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Sudah pasti penemuan ini melegakan banyak pihak selepas banyak masa, tenaga dan perbelanjaan dikeluarkan bagi tujuan berkenaan.

Kos misi mencari dan siasatan ke atas pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu dikatakan menjadi misi paling mahal dalam sejarah penerbangan.

Menurut angka yang dianggarkan oleh Fairfax Media, selepas empat minggu sahaja, ia sudahpun melepasi kos misi mencari pesawat Air France AF447 yang sebelum ini memegang rekod paling mahal dengan nilai perbelanjaan mencecah $50 juta (RM164 juta).

Kos perbelanjaan tinggi ini melibatkan kapal laut, satelit, kapal terbang dan kapal selam yang dihantar ke Laut China Selatan, Selat Melaka dan selepas itu hingga ke bahagian selatan Lautan Hindi.


Pencarian yang dipimpin Australia menggunakan peralatan tidak berawak di dasar laut dan perlengkapan sonar untuk memeriksa kawasan  seluas lebih 120,000 kilometer.

Pada peringkat awal, sebanyak 26 buah negara antaranya Singapura, Indonesia, Vietnam dan Amerika Syarikat mengerahkan aset ketenteraan mereka bagi membantu menjalankan operasi mencari pesawat jenis Boeing 777 itu ketika mula-mula berita kehila­ngannya tersebar luas.

Menurut jawapan bertulis di Parlimen, kerajaan membelanjakan sebanyak RM231,452,287 setakat Oktober 2015 dalam operasi pencarian pesawat MH370 itu.

Anggaran kos keseluruhan bagi misi pencarian itu mungkin didedahkan selepas ini selain jumlah pampasan kepada penunpang dan anggota kabin.

MAS  dan kerajaan juga kini boleh menarik nafas lega kerana pencarian yang sukar bermula ternyata berbaloi.

Penemuan ini pastinya turut menggembirakan sebahagian besar anggota keluarga mengatakan mereka tidak ingin pencarian dihentikan sampai pesawat ditemukan.

Setelah pengesahan ini diumumkan, langkah seterusnya ialah mengkaji bagaimana insiden itu berlaku.


Malaysia  berharap mendapat lebih maklumat berhubung serpihan berkenaan.

Serpihan kini  berada di Austra­lia dan kerajaan  akan bawa pulang tetapi ia akan mengambil masa kerana perlu dianalisis lebih mendalam di sana.

Misi mencari lebih dua tahun itu menghasilkan beberapa penemuan serpihan pesawat Boeing 777 yang hilang pada Mac 2014 ketika membawa 239 penumpang dan anak kapal, tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur, menuju ke Beijing, China.

Antara yang dikenalpasti, termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.

Pengesahan itu berdasarkan pemeriksaan dan analisis menyeluruh, ATSB dengan persetujuan Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 mengenal pasti beberapa penemuan.

Pengesahan juga termasuk beberapa nombor bahagian serta rupa bentuk fizikal, dimensi dan pembinaan disahkan serpihan seksyen dalam pesawat bagi flaperon Boeing 777.

Beberapa serpihan pesawat yang dikaitkan dengan MH370 ditemui sejak tahun lalu, namun hanya bahagian flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis disahkan sebagai 100 milik pesawat malang itu.


Nombor siri dan tarikh pembuatan pada serpihan yang ditemui sepadan dengan MH370. Ia dihantar ke Australia untuk dianalisis oleh ATSB.

Pengeluar bahagian pesawat dari Itali turut mengesahkan semua nombor pada bahagian berkenaan mempunyai kaitan dengan nombor siri yang sama bagi flaperon yang dihantar kepada Boeing sebagai nombor jajaran 404.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata semalam tarikh yang dicap berkait dengan satu daripada bahagian menyatakan bahawa pengeluaran adalah pada 23 Januari 2002, yang mana konsisten dengan tarikh penghantaran bagi MH370 pada 31 Mei 2002.

Pengeluar turut  mengesahkan jajaran nombor pesawat 404 dihantar kepada Malaysia Airlines dan didaftarkan sebagai 9M-MRO (MH370).

Pakar merumuskan yang serpihan iaitu flaperon luar adalah berasal dari pesawat 9M-MRO, yang juga dikenali sebagai MH370," katanya.

"Sebagai tambahan kepada nombor bahagian Boeing, semua penanda identifikasi mempunyai nombor 'OL' kedua yang mana ia adalah pengenalpastian unik berkaitan pembinaan bahagian (pesawat)," katanya dalam satu kenyataan.

Penyiasat sebelum ini mengesahkan sekeping serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, Perancis pada Julai 2015 sebagai sebahagian daripada MH370.


Mereka juga sedang memeriksa beberapa serpihan lain yang ditemui di Mozambique, Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, sebuah wilayah di Mauritius.

Tiong Lai berkata, pemeriksaan lanjutan ke atas serpihan itu akan diteruskan supaya bukti lanjutan diperoleh yang mungkin memberi petunjuk baharu kepada apa yang berlaku kepada MH370.

"Pasukan penyiasat akan meneliti maklumat lanjut lain sekarang dan mengkaji bagaimana insiden itu berlaku," katanya.

Wednesday, July 27, 2016

APABILA MUKA KITA TIDAK MALU DAN SETEBAL TAMBAK JOHOR...


"Kerana 1MDB nama negara lain rosak....pusat kewangan Singapura yang selama ini bersih dan dipercayai oleh dunia kini dikantoikan dengan kejadian penipuan, kecurian dan pengubahan wang haram oleh orang kita, rakyat kita."

Tidak payah Amerika Syarikat atau Switzerlandlah....

Jiran sebelah Tambak Johor mengutuk kita secara langsung pun kita masih boleh buat ‘muka sadin’.

Kita tidak tahu apa persepsi rakyat negara itu terhadap rakyat kita kini. Apa lagi  yang setiap hari berulang-alik menyeberangi Tambak Johor ke negara jiran untuk mencari ‘sesuap nasi’.

Harap-harap mereka tidak mengecop semua orang Malaysia sebagai ‘penipu, penyeleweng atau kaki curi duit’. Namun kalau yang rasa nak berbangga pun boleh juga. Ini  sebab songlap dan curi bukan sedikit, berbilion dolar.
  
Skandal terbesar dunia sejauh ini...

Tak tahulah apa lagi ‘bala’ yang akan datang terhadap negara dan rakyat Malaysia. Selain Singapura, kini ada enam atau tujuh negara yang sedang membuat penyiasatan berkaitan 1MDB.

Ramai daripada kita menjawab dan kononnya mencabar bagai ‘hero Tamil’ dengan Amerika Syarikat tetapi Singapura yang turut mengutuk kita, tidak siapa pun yang ambil peduli.

Memang kita muka tembok, lebih tebal daripada Tambak Johor!!!!

Apa kata Singapura?

Ravi Menon...Pengarah Urusan MAS
“Tidak dapat dinafikan (disembunyikan)  lagi bahawa Singapura merasai bala terhadap reputasinya sebagai pusat kewangan yang bersih dan dipercayai, akibat pelanggaran terhadap undang-undang anti- pengubahan wang haram negara itu  dalam hubungannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sudah tentu pendedahan terbaru ini memberi kesan terhadap reputasi kami sebagai sebuah pusat kewangan yang bersih dan diyakini,” kata Pengarah Urusan Lembaga Kewangan Singapura (MAS) Ravi Menon kelmarin.

Katanya, pengawal selia antarabangsa tidak tahu aliran wang melibatkan 1MDB adalah tidak sah, dan berkata ia mula disedari pada 2014, empat tahun selepas transaksi paling awal.

Apa maknanya tu?

Maknanya kerana 1MDB, nama negara lain rosak.

Nama pusat kewangan Singapura yang selama ini bersih dan dipercayai oleh dunia kini dikantoikan dengan kejadian penipuan, kecurian dan pengubahan wang haram oleh orang kita, rakyat kita.

Kenyataan Menon bukan sekadar dilaporkan oleh Straits Times Singapura sahaja tetapi dipetik oleh media antarabangsa. Mana nak letakkan muka kita?

Nak tahu? Baca di sini (Financial Times), (Reuters), (New York Times) dan banyak lagi.

Tak faham lagi?

Menon berkata kelmarin, kesannya industri kewangan di negara itu terpaksa berbuat sesuatu dan mana-mana institusi kewangan  akan berdepan dengan tindakan atau keputusan lebih keras terhadap sebarang kelalaian, di mana tuntutan ialah, dalam  menjalankan pemeriksaan, keutamaan ialah mengelakkan instrusif (Kamus Cambridge – “being involved in a situation where you are not wanted or do not belong”) dan bertindak tegas terhadap institusi yang degil.

MAS, yang berperanan mengawal selia sektor kewangan Singapura dan berfungsi sebagai bank pusat negara itu, memberi amaran akan mengetatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap institusi yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Sebelum ini, kesalahan kewangan dirahsiakan, tetapi kini MAS mahu mengumumkan identiti pesalah terutama yang berkait pengubahan wang dan keganasan.

“Kami mengambil jalan lain kerana bagi saya, menamakan dan memalukan mereka lebih berkesan daripada denda.”

MAS baru-baru ini mendedahkan merampas aset sejumlah AS$180 dalam sisatan terhadap 1MDB.

Separuh daripadanya dikaitkan dengan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho, yang dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia susulan langkah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mahu menyita wang yang didakwa dilarikan daripada 1MDB berjumlah AS$1 bilion.

Mei lalu, Singapura menutup cawangan BSI Bank selepas salah laku berkait 1MDB.

Tidakkah kesemua tindakan oleh pihak bekuasa Singapura itu gara-gara hubungkait dengan 1MDB? Bolehkah kita katakannya bukan dan walaupun banya pihak cuba menafikanlah!

Rakyat seluruhnya mendapat malu dengan kenyataan seperti ini yang secara tidak langsung memperli kita yang mengakibatkan imej dan reputasi negara Singapura terjejas di mana dunia.

Industri kewangan Singapura bukan calang-calang dan selama ini dihormati oleh dunia, namun kerana ada ‘tiga atau empat dalang’, ia menjadi tercemar dan apakah Malaysia tidak merasa apa-apa dengan kedudukan terkini?

Tidak tahulah kalau ada pemimpin atau rakyat kita yang masih tidak terasa dengan komen sedemikian. Tetapi bagi yang sensitif dan bermaruah, kita patut malu dengan kenyataan MAS itu.

Atau apakah kita masih merasakan kita masih di pihak yang ‘benar dan tiada kaitan langsung’?

!MDB tidak melakukan sebarang kesalahan membabitkan salah laku atau sedikit pun merasa tidak terpalit? Sebaliknya semuanya dilakukan oleh tiga serangkai itu? Atau IPIC dan Petro Saudi yang patut dipersalahkan?

Boleh kita cuci tangan begitu sahaja?

Menon yang membuat kenyataan keras pada sidang media sempena laporan tahunan MAS itu berkata siasatan yang sedang berlangsung ke atas institusi kewangan yang berkaitan (saya ulangi BERKAITAN, maknanya ada hubunganlah tu, sila faham jangan buat bodoh) dengan 1MDB menuntut peringatan bahawa sektor kewangan tempatan negara itu tetap terdedah dengan bahaya risiko pengubahan wang dan pembiayaan ‘haram’.

Minggu lalu,  MAS memberi peringatan kepada tiga bank di negara itu iaitu  UBS Bank, DBS Bank  juga Standard Chartered Bank kerana kelalaian dalam kawalan serta kelemahan dalam proses menerima pelanggan dan mengawal selia transaksi dakam beberapa kes tertentu.


"MAS kecewa dengan kelalaian dalam bidang kawalan berkaitan AML/CFT (anti-pengubahan wang haram/banteras pembiayaan untuk keganasan( disamping melanggar ketetapan atau peraturan AML/CFT  yang kita kesan dalam institusi kewangan di negara ini, “ tegas Menon pada Isnin.

Berikutan itu Singapura bersedia untuk mengumumkan nama dan memalukan mana-mana bank yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang, selepas skandal melibatkan syarikat milik kerajaan Malaysia 1MDB yang menjejaskan imej negara itu sebagai sebuah pusat kewangan.

Dengan tegas Menon berkata,  ia tidak akan sekali-kali dipaksa bertanggungjawab  melibatkan pengubahan wang seperti yang dibongkar dalam siasatan sepanjang 15 bulan ke atas akaun berkait 1MDB.


MAS memulakan siasatan pada 2015, kata Menon, yang enggan memberi butir lanjut dengan alasan siasatan masih diteruskan.

Thursday, May 3, 2012

PEMBATALAN PERTUKARAN SAHAM MAS-AIR ASIA UNTUK KEPENTINGAN POLITIK ATAU TUJUAN PERNIAGAAN?


"Satu perkara yang pasti ialah perjanjian pertukaran saham itu melegakan majoriti daripada 26,000 tenaga kerja MAS. Menurut laporan, kerajaan menimbang secara serius mengenai pertukaran saham itu kerana kritikan berterusan pekerja MAS, dengan ramai daripada mereka tidak rela AirAsia menguasai pegangan besar dalam MAS...Mereka membantah dan menentang secara senyap dan khabarnya akan diterjemahkan melalui undi pada pilihan raya umum ke 13 nanti."
 
Langkah berani dilakukan oleh kerajaan lewat petang semalam (2 Mei 2012), apabila Khazanah Nasional Bhd dalam satu kenyataan mengumumkan pembatalan perjanjian pertukaran saham antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd.

Pengumuman ini sangat 'melegakan banyak pihak' kerana pembatalan pertukaran saham akan menyaksikan Khazanah memindahkan 10 peratus atau 277,650,600 saham biasa AirAsia kembali kepada Tune Air, yang akan memindahkan pula 20.5 peratus atau 685,142,000 saham biasa dalam MAS kembali kepada Khazanah.

Transaksi ini akan dijalankan berasaskan kepada nisbah pertukaran 2.05 berasaskan harga pada masa pertukaran itu diumumkan pada Ogos 2011. MAS ketika itu RM1.60 sesaham dan AirAsia pada RM3.95. Tiada wang tunai bertukar tangan, kata cabang pelaburan kerajaan itu.

Satu perkara yang pasti ialah perjanjian pertukaran saham itu melegakan majoriti daripada 26,000 tenaga kerja MAS. Menurut laporan, kerajaan menimbang secara serius mengenai pertukaran saham itu kerana kritikan berterusan pekerja MAS, dengan ramai daripada mereka tidak rela AirAsia menguasai pegangan besar dalam MAS.

Malah bisik-bisik sebelum ini, pekerja MAS yang kebanyakannya tinggal sekitar ibu kota, Shah Alam, Petaling Jaya, Subang dan Sepang tidak menyokong usaha ini.

Mereka membantah dan menentang secara senyap dan khabarnya akan diterjemahkan melalui undi pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

PERSOALANNYA APAKAH DENGAN PEMBATALAN BALIK PERTUKARAN SAHAM INI MENJAMIN PEKERJA MAS YANG DIKATAKAN RAMAI MENYOKONG PEMBANGKANG AKAN MENGUNDI MENYOKONG BARISAN NASIONAL?

Dan jika sebelum ini keputusan dibuat atas dasar perniagaan apakah wajar pembatalan pertukaran saham ini dilakukan kerana sebab-sebab politik?

Tujuan sebenar inisiatif yang dimulakan sembilan bulan lepas adalah antara pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan MAS, yang prestasi kewangannya merosot sejak dua tahun lepas.

Walaupun tanpa pertukaran saham, kerjasama itu masih boleh berjalan disebabkan oleh sinergi yang besar yang diperoleh apabila kedua-dua syarikat penerbangan bekerjasama.

Saham MAS dan AirAsia, dihentikan dagangan semalam semantara menunggu pengumuman pada harga terakhir mereka yang diniagakan masing-masing pada RM1.22 dan RM3.33. Apabila perjanjian itu diumumkan pada 9 Ogos, AirAsia didagangkan pada RM3.95 sesaham manakala MAS pada RM1.60.

Menurut Khazanah Nasional : “Selepas lapan bulan membuat penilaian, pemegang saham bersilang menjejaskan usaha pengurusan untuk memulihkan MAS. Pemegangan saham bersilang itu berniat baik untuk menjajarkan kepentingan ekonomi pemegang saham utama MAS (Khazanah) dan AirAsia (Tune Air)," kata cabang pelaburan kerajaan itu dalam satu kenyataan.

Setelah gagal mendapat sokongan pemegang kepentingan untuk meneruskan usaha sama itu, Khazanah berkata pihak terbabit bersetuju untuk menukar semula pemegang saham bersilang dan kembali kepada struktur asal pemegangan saham utama kedua-dua syarikat.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun (kanan) meletak jawatan sebagai anggota lembaga pengarah MAS manakala Datuk Mohamed Azman Yahya meletak jawatan sebagai anggota lembaga pengarah AirAsia.

Pada Ogos 2011, Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF) diwujudkan bagi membolehkan MAS, AirAsia dan AirAsia X meneroka peluang bekerjasama dalam pelbagai bidang, bagi memanfaatkan kecekapan teras masing-masing dan mengoptimumkan kecekapan.

Sebagai sebahagian daripada CCF itu, Khazanah dan Tune Air menjalin perjanjian pertukaran saham bagi menjajarkan kepentingan pemegang saham utama MAS dan AirAsia, yang sekaligus akan mengukuhkan potensi kerjasama berkenaan.

Di sebalik keputusan berani dan terbuka ini, apakah yang akan berlaku selanjutkan kesan pembatalan cadangan pertukaran saham antara syarikat penerbangan perkhidmatan premium negara dan syarikat penerbangan tambang rendah itu?

Yang pasti kebimbangan pekerja yang tidak puas hati kini dapat dilegakan malah mungkin akan menghapuskan perasaan bahawa MAS akan "diikat" selain memberi manfaat kepada pihak lain.

Kini, selepas tali yang mengikat mereka dalam usaha sama yang tidak dapat diterima itu, MAS perlu bekerja keras untuk membantu memulihkan semula syarikat penerbangan negara itu.

Dan, mereka wajar mendengar arahan lantang Pengarah Urusan Kumpulan Ahmad Jauhari Yahya: "Ia mengenai kelangsungan hidup dan memenangi semula hati pelanggan." Mereka perlu membantu beliau menangani kerugian yang dialami Malaysia Airlines dan menjadikan syarikat penerbangan itu sebagai pilihan utama pengguna.

Bagi AirAsia, ia perlu kekal kompetitif dan menyaingi banyak syarikat penerbangan tambang rendah lain. Jika ia dapat mengekalkan tambang rendah, tahap perkhidmatan tinggi namun menguntungkan, ia patut terus menjadi model ikutan syarikat penerbangan tambang rendah lain.

Walaupun cadangan pertukaran saham itu tinggal sejarah, kedua-dua syarikat penerbangan nasional itu masih boleh bekerjasama. Mereka tidak perlu menenggelamkan perniagaan satu sama lain memandangkan mereka dalam segmen perniagaan yang berbeza-- satu perkhidmatan premium dan satu lagi kos rendah.

Mereka boleh bekerjasama dalam pelbagai cara seperti pemerolehan bersama komponen dan alat ganti pesawat untuk penjimatan. AirAsia juga boleh membaik pulih pesawat di kemudahan penyelenggaran, pembaikan dan baik MAS bagi menjimatkan pengeluaran tukaran asing.

Berdasarkan pengalaman lalu, banyak bidang yang mereka boleh menjalin usah sama tanpa perlu memiliki saham satu sama lain atau mempunyai wakil dalam lembaga pengarah.

Pendek kata, kedua-dua MAS dan AirAsia patut tahu dan patut buat apa yang mereka boleh lakukan yang terbaik -- memenuhi pesawat masing-masing dengan pelanggan yang berpuas hati. Mereka perlu tunjukkan "Malaysia Boleh".

 Pengarah Tune Air Kamarudin berkata sejak CCF dilancarkan, terdapat kemajuan yang baik dalam memperkukuh usaha sama terbabit.

 "Walaupun pertukaran saham itu dibatalkan, usaha sama sejak lapan bulan lepas telah merapatkan MAS dan AirAsia. Sepuluh tahun tanpa usaha sama dan persaingan tidak perlu antara kami, sudah berakhir dan kami kini dapat memberi tumpuan terhadap pasaran dan teras kecekapan kami." katanya dalam kenyataan berasingan.

Susulan pengembalian semua perjanjian pertukaran saham itu, AirAsia, AirAsia X Sdn Bhd dan MAS, menjalin Perjanjian Usaha Sama Tambahan (SA) semalam untuk meneroka bidang kepentingan bersama bagi merealisasikan kecekapan dan penjimatan.

SA akan memberi tumpuan kepada bidang khusus dan pada masa yang sama terus mematuhi semua undang-undang antikepercayaan berkaitan, kata AirAsia dalam kenyataan lain.

Pemeteraian SA ini juga merupakan sebahagian dariapda persediaan oleh tiga syarikat penerbangan terbesar Malaysia untuk memenuhi cabaran Langit Terbuka Asean yang berkuat kuasa pada 2015.

Untuk maklumat lanjut, baca di sini, di sini & di sini.

(Sumber – Bernama)

Friday, March 9, 2012

MAS - DARI 'TRADISIONAL KLASIK' KEPADA 'PREMIUM KONTEMPORARI'

MAS A380 terbang KL-London mulai 1 Julai PESAWAT A380 akan menjadi model terbaharu dan utama MAS bagi menawarkan tahap perkhidmatan yang lebih tinggi bagi penerbangan jarak jauh.

Walau apa juga usaha dilakukan oleh syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) termasuk menukar warna tradisinya termasuk lambang wau merah biru,  kita berharap ia akan kembali teguh dan tidak menjadi syarikat yang berpanjangan 'sakit'

Dilaporkan MAS sedang melakukan pelaburan untuk teknologi, gaya futuristik dan reka bentuk inovatif serta keselesaan kabin pada pesawatnya merupakan inisiatif syarikat penerbangan itu unuk memastikan pelanggan sentiasa mengalami pengalaman yang amat selesa di samping menggunakan kemudahan yang baharu.

Identiti baru ini akan memberi anjakan kepada MAS daripada gaya 'tradisional klasik' sebelum ini kepada 'premium kontemporari' dalam usaha untuk meletakkan MAS sebagai syarikat penerbangan premium pilihan.

Isu kerugian oleh MAS yang diperkatakan banyak pihak, termasuk pembangkang yang  mempersoalkan  pengurusan sedikit sebanyak turut mempersalahkan kerajaan dan dikaitkan dalam sebarang masalah yang dihadapi oleh syarikat GLC itu.

Mungkin ada baiknya jika MAS mengambil perhatian terhadap saranan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa MAS supaya mengkaji langkah-langkah pengurangan kos dan struktur pengurusan AirAsia bagi membolehkannya kembali mencatat keuntungan.

Kini merupakan peluang terbaik untuk mengkaji dan melihat mengapa syarikat penerbangan nasional itu terjerumus ke dalam krisis fiskal sedangkan syarikat penerbangan tambang rendah itu dapat membuat keuntungan.

MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.52 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011, terbesar dalam sejarah korporatnya, berdasarkan hasil sebanyak RM13.9 bilion.

Sementara  AirAsia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM564.1 juta daripada hasil berjumlah RM4.47 bilion.

"Memandangkan kedua-dua syarikat penerbangan ini beroperasi dari negara yang sama, tidak ada sebab bagi MAS gagal. Mereka perlu bekerjasama dengan AirAsia...AirAsia meraih keuntungan yang banyak. Mereka membuat keuntungan walaupun tambang mereka sangat rendah. Jadi ada sesuatu yang MAS boleh pelajari daripada AirAsia dari segi pengurusan, mengurangkan kos dan oleh itu, mendapat keuntungan," kata beliau.

Dan dengan engan ramalan bahawa MAS merekodkan kerugian bersih RM1.28 bilion pada suku keempat tahun lepas, memperoleh pendapatan sederhana pada tahun kewangan 2013, semua pihak perlu bekerja keras.

MIDF Research berkata masalah yang dihadapi oleh MAS ialah berikutan peruntukan rugi akibat susut nilai dalam penyerahan semula pesawat serta stok usang. MAS mampu memperbaik keadaan jika ia melakukan pengurangan laluan yang tidak menguntungkan serta usaha sama dengan AirAsia menerusi rasionalisasi laluan. Dengan kata lain, "MAS perlu bekerja keras untuk kembali mencatat untung," kata firma itu.
Pada masa yang sama, MAS tetap akan berdepan dengan tambahan kos bahan api yang tinggi serta perjalanan udara yang lemah tu untuk merekodkan keuntungan.

 Sebuah lagi firma penyelidik, HwangDBS Vickers Research turut menjangkakan 2012 merupakan tahun yang mencabar untuk MAS memandangkan kumpulan itu terus menghadapi kos bahan api jet yang tinggi.

Walaupun MAS telah melaksanakan sebahagian daripada pelan perniagaannya, namun memerlukan lebih banyak masa untuk memulihkan operasinya. Firma itu juga bimbang mengenai baki tunai MAS yang rendah, sebanyak RM1.1 bilion, sehingga akhir 2011, berbanding RM2.2 bilion pada akhir 2010.

Gearan (nisbah hutang pada ekuiti) mungkin melepasi paras 4.4 kali semasa memandangkan MAS terus berusaha mencari pembiayaan untuk perbelanjaan modal yang besar sebanyak RM6 bilion bagi tahun 2012 dan RM3.5 bilion pada 2013 untuk menerima pesawat baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya  berkata mulai 1 Julai MAS bakal memulakan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Kuala Lumpur ke London menggunakan pesawat baharu, Airbus A380-800.

Pesasawat kedua A380 pula akan diperkenalkan pada laluan yang sama menjelang akhir Ogos ini dengan beroperasi dua kali sehari. Pesawat ketiga akan digunakan bagi laluan Kuala Lumpur ke Sydney.

Ahmad Jauhari mempunyai tugas berat dan amanah yang diserahkan kepada beliau diharapkan mampu mengeluarkan MAS daripada kemelut kerugian berpanjangan dan kembali bersaing sebagai syaraikat yang disegani daripada segi keuntungan dan perkhidmatan yang ditawarkan olehnya.