Wednesday, March 23, 2011

ANWAR - PENAFIAN, LAPORAN POLIS & KONSPIRASI MENJATUHKANNYA...

Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tidak sewajarnya dituduh melulu. Integriti polis perlu dipertahankan. Apakah Menteri berkenaan dan Ketua Polis Negara sanggup membiarkan integriti dan reputasi mereka diperlekeh sedemikian rupa?


Wartawan dan jurugambar menyerbu Anwar Ibrahim selepas selesai membuatlaporan polis berkenaan kes video seks di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Kelmarin menafikan dan semalam membuat laporan polis!

Itulah tindakan ‘pantas’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rakaman video aksi seks seorang lelaki ‘buncit’.

Namun jika dibaca laporan kenyataan Anwar selepas membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur pagi semalam, ada beberapa perkara yang menarik untuk direnungi bersama.

Pertama, Anwar membuat laporan polis mendakwan dirinya ‘dibabitkan’ dalam video adegan seks dengan pelacur di sebuah hotel;

Kedua, Anwar mendakwa polis turut bersekongkol dalam konspirasi video lucah itu;

Ketiga, Anwar mengatakan video adegan seks adalah serangan mengaibkan, melampau dan bermotifkan politik keatas perwatakan serta reputasi beliau serta keluarga;

Keempat, tindakan Datuk T berkonspirasi untuk menjatuhkan beliau sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat;

Kelima, ia juga adalah satu percubaan untuk memaksa beliau keluar daripada politik nasional; dan,

Akhir sekali, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menuding jari kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sebagai dalang kepada pendedahan berkenaan.


Baca betul-betul dan renungi kenyataan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berusia 64 tahun dan Wan Azizah.

Anwar mendakwa beliau yang ditemani isterinya serta empat pengawal peribadi pada pukul 10.40 pagi, membuat laporan polis itu supaya pihak berkuasa dapat melakukan siasatan bagi membela dirinya.

Turut menemani Anwar dan Azizah ketika membuat laporan ialah Peguam, N. Surendran, Latheefa Koya dan R. Sivarasa.

Menjawab kepada apa yang diperkatakan Anwar, mungkin perkara berikut boleh dibaca dan dilihat semula.

Sebelum itu, apakah Anwar dan Wan Azizah sudah melihat video berkenaan? Kalau beliau melihatnya, jika bukan dirinya, kenapa beliau seperti resah, panik dan meracau?

Malah tanpa merujuk kepada Anwar dan Wan Azizah, Datuk T berkata kelmarin, beliau akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang tersebut dan isterinya dalam tempoh seminggu jika pasangan berkenaan tidak melepaskan jawatan sebagai pemimpin politik.

Mana ada nama Anwar dan Wan Azizah disebut?

Selain itu, ada beberapa persoalan lain untuk Anwar dan Wan Azizah:

Pertama, tiada siapa mengatakan dan sahih, Anwar adalah lelaki yang melakukan adegan seks di dalam klip video itu? Mungkin ada beberapa orang bekas kenalan Anwar seperti Datuk Zaid Ibrahim membuat dakwaan seperti itu. Tetapi kan Anwar sendiri kelmarin mengatakan beliau bukan ‘lelaki buncit’ yang dalam video berkenaan.

Kedua, mendakwa polis bersekongkol adalah perbuatan double standard Anwar apabila beliau mahukan siasatan dilakukan. Siapa yang akan menyiasat? Bukankah polis? Anwar jelas klu-klek di sini kerana dia mengharapkan orang yang dituduhnya bersekongkol untuk menyiasat kesnya;

Ketiga, video seks adalah pendedahan sahaja – belum pasti siapa lelaki yang melanggan pelacur dan tidak ada kena mengena dengan perbuatan untuk mengaibkan, melampau dan bermotifkan politik. Jika Anwar tidak melakukannya, kenapa pula mesti perwatakan serta reputasi beliau serta keluarga terjejas?

Keempat, dakwaan dan kata-kata berulang kali oleh Anwar bahawa ada percubaan untuk memaksa beliau keluar daripada politik nasional, bukan dalam kes ini sahaja. Ia pernah disuarakan Anwar sebelum ini. Bermakna bahawa Anwar semakin bimbang beliau akan ‘terpelanting’ daripada politik nasional dan menjadi Perdana Menteri. Jika tiada apa dilakukannya, kenapa takut? Malah beliau akan lebih mendapat sokongan jika benar beliau tidak ‘melanggan pelacur’ seperti dalam video berkenaan;

Kelima, bukan mudah untuk berkonspirasi menjatuhkan beliau sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat. Dengan tayangan video aksi seks jika tidak kena pada batang tubuhnya, Anwar tidak boleh diapa-apakan, termasuk kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang. Kenapa Anwar begitu sekali bimbang?

Dan dakwaan Dr. Wan Azizah bahawa Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sebagai dalang kepada pendedahan berkenaan amat serius.
Kita mahu melihat apa tindakan Menteri dan Ketua Polis Negara akibat kenyataan Wan Azizah ini.

Pada ketika polis sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Anwar berkenaan klip video aksi seks mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah, Wan Azizah juga perlu disiasat kerana tuduhan berat itu.

Menteri dan Ketua Polis Negara tidak sewajarnya dituduh melulu dan kenyataan Anwar yang mengatakan pihak tertentu berkonspirasi juga perlu disiasat.

Integriti polis perlu dipertahankan, Membiarkan tuduhan melulu akan merosakkan reputasi polis.

Apakah Menteri berkenaan dan Ketua Polis Negara sanggup membiarkan integriti dan reputasi mereka diperlekeh sedemikian rupa?

INTEGRITI ANWAR - ZAID MINTA PAS, DAP TINGGALKAN PAKATAN PEMBANGKANG

Semalam, seorang bekas pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat masih belum terlewat bagi parti pembangkang terutama PAS untuk mengkaji semula hubungan pakatan dengan PKR yang kini berdepan dengan isu video lucah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Zaid Ibrahim berkata, sewajarnya hubungan itu perlu dikaji semula kerana sudah terlalu banyak isu integriti membabitkan Ketua Umum PKR itu dipertikaikan termasuk isu video lucah itu.

"Sepatutnya PAS kaji lama dah (hubungan dengan PKR). Ini membabitkan soal integriti dan kewibawaan pemimpin yang bukan sahaja kepada parti pembangkang tetapi juga kepada pemimpin BN.

"Banyak masa negara kini bertumpu kepada soal integriti Anwar. Patut fikir hal rakyat dan satu penyelesaian perlu dikaji dan diambil," katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di Kora Baharu, semalam.

Bernama yang memetik Zaid yang juga Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) itu memberikan keterangan kepada polis bersabit laporan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Sabtu lalu, Zaid membuat laporan polis terhadap Karpal kerana mendakwa pemimpin itu telah mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan terhadapnya bersabit isu asid deoksiribonukleik (DNA) membabitkan Anwar.

Mengulas lanjut, Zaid berkata Anwar perlu berundur daripada jawatannya jika benar terbabit dalam video tersebut.

"Saya belum lihat video berkenaan dan kalau sudah lihat nanti boleh saya beri komen dan kalau benar terbabit kenalah berundur," katanya.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa hairan pemimpin PKR itu termasuk pemimpin parti itu yang lain memberikan pelbagai alasan menafikan terbabit tuduhan tersebut tanpa melihat terlebih dahulu video berkenaan.

"Saya hairan juga bagi pelbagai komen dan apakah mereka sudah lihat video itu," soal Zaid.

Bagaimanapun Zaid meminta pemimpin PKR tidak menyalahkan pihak lain yang kononnya terbabit dalam konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

INJIL BAHASA MELAYU - KERAJAAN BERLEMBUT DENGAN HANYA COP 'UNTUK KRISTIAN'

Hanya cap “Untuk Kristian” (For Christianity) yang perlu diletakkan pada Kitab Injil Berbahasa Melayu berbanding tag dan nombor siri sebelum ini.

Alkitab hanya akan dicap dengan tulisan “Untuk Kristian” menggunakan warna yang jelas berhuruf Arial saiz 16 dan tiada perkataan lain atau nombor siri akan dicap ada kitab Injil.

Selain itu, bagi memastikan tiada masalah pelaksanaan oleh kakitangan agensi-agensi awam, kerajaan akan memastikan satu garis panduan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dikeluarkan mengenainya.

Sah sudah, walau ada kritikan atau pandangan bahawa kitab Injil Bahasa Melayu mungkin akan ‘menyesatkan’ sesetengah anak muda Islam tetapi itulah keputusan dan dasar kerajaan mengenai perkara itu setakat ini.

Kita menunggu pandangan mereka yang mahir mengenai Islam terhadap keputusan ini kerana amat jelas Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din sudah ‘kalah’ dalam perjuangannya mengenai perkara ini.

Sebelum ini, Harun Din pernah mengemukakan soalan apa kesannya apabila pengedaran Kitab Bible berbahasa Melayu ini? Adakah kita hendak lihat anak muda Islam membeli Kitab tersebut lalu terpesong agama mereka?

Harun Din sebelum ini turut menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya bahawa ianya tidak releven dan sewajarnya PAS yang ‘bagaikan bersetuju’ dengan penyebaran bebas Kitab Injil Bahasa Melayu itu tidak bertindak melulu dalam mengejar karier politik tanpa memikirkan soal kedaulatan Islam pada masa hadapan.

Apa pun bagi kerajaan, cara ini dianggap terbaik untuk mengelakkan kontroversi berterusan mengenai dua syarat pelepasan kesemua 35,100 naskhah Alkitab yang ditahan Kementerian Dalam Negeri.

Daripada 35,100 naskhah yang ditahan itu, 30,000 tersadai di Pelabuhan Kuching manakala bakinya di Pelabuhan Klang.

Pengumuman mengenai keputusan mewajibkan cap itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dalam kenyataan dikeluarkan petang semalam.

Menurut laporan Bernama: “Kerajaan ingin menekankan bahawa sejak 15 Mac lalu, ia telah memberi arahan untuk melepaskan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Klang dan Kuching. Bagaimanapun, sehingga hari ini kumpulan Kristian yang mengimport kitab Injil belum mengambilnya kerana mereka tidak mahu menerima tag dan nombor siri pada kitab Injil.”

Idris berkata, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein mengatakan bahawa tindakan mengenakan cap dan nombor siri adalah protokol standard, sebagai contoh naskhah al-Quran yang diimport ke negara ini juga diperiksa sebagai naskhah sahih dan dikenakan cap dengan nombor siri sebelum boleh dilepaskan.

Katanya, naskhah al-Quran yang tidak dibenarkan ditahan dan dimusnahkan.
“Tindakan mengenakan cap dan nombor siri pada kitab Injil Bahasa Malaysia tidak harus dianggap sebagai menghina kitab suci,” katanya lagi.

Banyak pihak melihat keputusan menerima desakan agar tidak mengenakan sebarang syarat - jika tidak enggan menerima buku suci penganut Kristian dalam Bahasa Malaysia itu – sebagai cara terakhir mengatasi isu berkenaan.

Menariknya, langkah itu diumumkan sehari selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri ke-10. Tarikh pilihan raya akan diumumkan hari ini.

Minggu lalu, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menegaskan pihaknya tidak akan mengambil Alkitab atas alasan kedua-dua syarat tersebut menghina agama mereka.

Sebaliknya, CFM menggesa Putrajaya dengan segera menggugurkan dua syarat dikenakan Kementerian Dalam Negeri yang membolehkan Alkitab, yang ditahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching, dilepaskan.

CFM sebelum ini mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengambil keputusan untuk mengecap naskhah Alkitab di Pelabuhan Klang dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja”, yang menurut Hishammuddin dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP), tanpa sebarang niat untuk mencacatkan kitab suci kristian itu.

Yang pasti, satu jawatankuasa Kabinet khas berhubung isu semasa ini, yang terdiri daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi perpaduan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bagi hal ehwal agama) dan Idris sendiri serta Peguam Negara telah mengadakan pertemuan Khamis lalu untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Pertemuan susulan turut diadakan antara beliau dan Peguam Negara dengan wakil-wakil dari CFM, Majlis Gereja Malaysia dan beberapa kumpulan Kristian dengan penasihat perundangan mereka.

“Pada pertemuan ini, saya dan Peguam Negara membentangkan bagi pihak kerajaan apa yang kami percaya sebagai penyelesaian yang dapat diadakan melibatkan semua pihak. Untuk menunjukkan komitmen kerajaan menyelesaikan isu ini dengan baik, kerajaan telah menerima satu tawaran daripada penderma-penderma Kristian yang bersedia untuk membayar kos bagi kesemua kitab Injil, yang telah pun dicap dan diberikan nombor siri.

“Kitab-kitab Injil ini boleh dilepaskan di negeri masing-masing semasa, sama ada dengan cap dan nombor siri, atau diletakkan pelekat tertera perkataan ‘Untuk Kristian’ bagi menutup cap dan nombor siri yang sudah dikeluarkan sebelum ini,” kata Idris sambil menambah, pilihan terletak pada pengimportnya.

Sekiranya mereka tidak mahu menerima bekalan sedia ada itu, penderma-penderma terbabit akan membayar kos penuh untuk mendapatkan naskhah Alkitab baru yang tertera perkataan “Untuk Kristian”, yang dicetak di lokasi ia diterbitkan atau dicap oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching.

Idris menambah, kumpulan masyarakat Kristian memohon diberikan masa untuk membincangkan penyelesaian dan akan dimaklumkan kepada kerajaan dalam waktu terdekat.

Apa yang pasti, Perdana Menteri dan jawatankuasa khas Kabinet dalam usaha menyelesaikan masalah itu memberi amanah kepada Peguam Negara dan Idris untuk menyampaikan penyelesaian yang disyorkan oleh kerajaan kepada kumpulan Kristian.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu menerangkan, kerajaan mahu isu tersebut diselesaikan secepat mungkin tanpa memihak mana-mana pihak selari dengan semangat 1 Malaysia.