Friday, May 22, 2009

UMNO TIDAK BERTANDING DI MANEK URAI?

Cabaran pertama untuk Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang baru, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau wajar mencadangkan kepada Barisan Nasional (BN) Pusat sama ada bertanding atau tidak di DUN Manek Urai, Kelantan.
Jika berasakan kepada sebab-sebab utama Barisan Nasional (BN) menarik diri daripada bertanding di Penanti – perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta faktor penjimatan wang rakyat, seharusnya UMNO tidak perlu masuk gelanggang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai.
DUN Manek Urai jatuh kepada PAS pada pilihan raya umum 2008 selepas berada di tangan BN apabila UMNO memenanginya pada pilihanraya umum 2004, yang ketika itu Mustapa juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai akan diadakan dalam tempoh 60 hari lagi berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh tadi.

Namun jika berasaskan kepada kedudukan status quo DUN Kelantan ketika ini, UMNO sewajarnya beri menang percuma sahaja kepada PAS, kecuali seperti di Penanti ada calon bebas mahu bertanding.

Yang pasti, PAS sudahpun menyuarakan pandangan mereka bahawa Umno agar tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, alasan ini digunakan Umno ketika tidak bertanding di Penanti. Pilihanraya kecil DUN tersebut bermula esok hingga 31 Mei.

"Kalau BN menang (di Manek Urai), ia tidak mengubah majoriti kerana kita (PAS) ada majoriti dua pertiga yang besar (di Kelantan)," katanya pagi ini .

PAS sudah menyatakan bahawa ia akan meletakkan calonnya bagi mempertahankan Manek Urai. Bagaimanapun, tambahnya, terlalu awal untuk menyatakan calon PAS di kerusi tersebut.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan akan mencadangkan kepada pemimpin UMNO dan BN bertanding pada.lihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob hari ini.

Ahmad, bekas anak didik Mustapa, akan mencadangkan demikian kerana kerusi DUN berkenaan kosong atas faktor kematian dan bukan atas alasan yang direka.

"Walaupun itu kawasan PAS, saya secara peribadi akan cadangkan supaya BN bertanding, tetapi kata putus adalah di tangan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.