Saturday, October 10, 2015

1MDB - PENDEDAHAN BNM BUKA SENARIO BARU KEPADA SIASATAN, PENDAKWAAN….


Selepas jawapan 1MalaysiaDevelopment Bhd (1MDB) dan susulan jaminan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin, dalam isu hutang firma pelaburan kerajaan itu, isu 1MDB diharapkan reda.
Namun ia semakin bertambah kusut apabila kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan terhadap 1MDB mendapati, firma pelaburan negara itu membuat pendedahan tidak tepat atau tidak lengkap bagi mendapatkan kebenaran membuat pelaburan luar negara.
Atas dasar itu, bank pusat itu membuat keputusan membatalkan 3 kebenaran yang diberikan kepada 1MDB untuk pelaburan berjumlah AS$1.83 bilion (RM7.53 bilion).
BNM turut mencadangkan peguam negara memulakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB kerana pelanggaran di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.
BNM menjelaskan, ia mencadangkan prosiding jenayah kepada Pejabat Peguam Negara atas alasan "...pendedahan tidak tepat atau tidak lengkap maklumat penting..." dan bukan kerana pengubahan wang atau dakwaan perbuatan jenayah sebagaimana ditonjolkan media dan ahli politik pembangkang tertentu.
1MDB berkata ia menghormatisepenuhnya hak BNM untuk membatalkan kebenarannya yang terdahulu dan mengeluarkan apa-apa arahan yang difikirkan patut di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Keputusan ini diambil walaupun Pejabat Peguam Negara mengesahkan tiada kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai 1MDB.

"1MDB bersedia bekerjasama dengan BNM, bagi menangani kebimbangan mereka dan mencari penyelesaian yang berdaya maju kepada perkara yang tertangguh ini," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut 1MDB, sejak siasatan BNM dimulakan pada Jun 2015, pengurusan dan lembaga pengarahnya memberi kerjasama yang menyebabkan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Selain menyerahkan jawapan bertulis dan berkongsi dokumen, anggota lembaga pengarah 1MDB, kakitangan semasa dan bekas kakitangan ditemu bual BNM, dengan kenyataan saksi direkod secara terperinci.
Pendedahan BNM itu  jelas bertentangan dengan pengumuman peguam negara Khamis lalu iaitu tiada pendakwaan akan dijalankan walaupun bank pusat meminta dikaji semula keputusan yang tiada tindakan lanjut diperlukan ke atas 1MDB berhubung pendedahan palsu itu.
Jabatan Peguam Negara berkata, pegawai 1MDB disiasat di bawah akta tersebut, kerana secara sedar dan melulu membuat kenyataan palsu.
Bank Negara menyerahkan kertas siasatan (IP) kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 Ogos.
Ia dikembalikan pada 11 September kepada bank pusat itu, yang menjawab kepada jabatan tersebut pada 1 Oktober, meminta satu kajian semula.
Namun, peguam negara berkata, ia memutuskan untuk mengekalkan pendirian sebelum ini, atas alasan tiada bukti baharu.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, peguam negara mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa kesalahan jenayah.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menyifatkan Jabatan Peguam Negara tidak telus dalam “membersihkan” 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membuat pendedahan palsu.


Beliau turut mempersoalkan apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut terbabit dalam keputusan itu.

Menulis dalam blognya www.chedet.cc petang semalam,  bekas perdana menteri itu berkata, peguam negara kini bertindak "melampaui" peranan seorang hakim dengan menganggap cadangan BNM melaksanakan pendakwaan terhadap 1MDB sebagai tidak perlu.

"Ia akan kelihatan seperti peguam negara sudah membuat penghakiman, menolak kes itu sebagai tidak mempunyai merit untuk perbicaraan di mahkamah undang-undang. Dan apabila rayuan dibuat, rayuan itu ditolak beliau atas alasan yang tidak jelas. Terdapat kekurangan ketelusan di sini," tulis Dr Mahathir,
Bagi Tun Dr Mahathir:"Dalam kes seperti ini rakyat ingin tahu sama ada perdana menteri terlibat atau tidak. Dengan menolak kes ini, syak wasangka akan kekal dalam minda rakyat. Malah orang berfikir keputusan peguam negara mungkin bukan dibuat peguam negara.”
Juga yang menarik berkaitan isu ini, dua peguam turut memberikan pendapat.  Peguam Amer Hamzah Arshad berkata walaupun kenyataan BNM juga mengakui kuasa tersebut, namun kesimpulan yang kukuh dapat dibuat iaitu bank pusat mempunyai bahan mencukupi untuk membuka semula kes itu.
Peguam New Sin Yew pula berkata, sudah tiba masanya negara mempunyai pendakwa raya yang bebas, berasingan daripada peguam negara yang turut berperanan menjadi ketua penasihat undang-undang kerajaan.
Majlis Peguam dan pihak berkepentingan selama ini mendesak perkara ini kerana pelantikan itu dibuat oleh Agong atas nasihat perdana menteri.
NewSin Yew berkata hanya pendakwa raya yang dilihat tidak berat sebelah dan bebas akan memperolehi keyakinan orang ramai.
Beliau juga berkata semua agensi penguatkuasa seperti BNM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu diberi kuasa pendakwaan dan bebas daripada pendakwa raya.
"Amalan ini akan menggalakkan 'check and balance' (semak dan seimbang) terhadap satu sama lain," katanya.
Persoalanya, apakah  Rakyat boleh cabar keengganan peguam negara dakwa 1MDB?
Menurut Peguam Amer, sesiapa sahaja, termasuk BNM boleh mencabar keputusan peguam negara bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan, walaupun bank pusat itu mahu kes tersebut dikaji semula.
Menurutnya, meskipun ia tidak pernah berlaku di Malaysia, namun pernah terjadi di negara Komenwel yang lain.
"Jika seseorang merasakan wujud niat jahat dalam keengganan peguam negara untuk mendakwa, seseorang itu boleh pergi ke mahkamah untuk mendapat remedi," kata peguam jenayah itu.

Amer menemui kes di mana peguam negara, yang juga pendakwa raya akhirnya merangka pertuduhan terhadap tertuduh selepas agensi penyiasatan merayu semakan semula.