Monday, December 29, 2008

TAHNIAH HARUSSANI, PROF WAHBAH

Tahniah kepada Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan ilmuan Islam dari Syria, Prof Dr Wahbah al-Zuhaily kerana dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2008 sempena majlis sambutan Maal Hijrah 1430 hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Putrajaya pagi ini.

Baginda menegur sikap mereka tidak menghormati ulama, suka mengambil jalan mudah dengan mengenepikan ajaran agama, malas berfikir dan berusaha, bermusuhan sesama umat Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hukum halal dan haram.

Titah Baginda, sikap ini perlu ditinggalkan oleh semua umat Islam kerana unsur-unsur inilah yang telah menjadi kekangan bagi membangunkan ummah yang gemilang.

Sehubungan itu beliau menyeru umat Islam di negara ini supaya melakukan perubahan demi memartabatkan dan memperkasakan kedudukan Islam ke tahap lebih gemilang.

Baginda bertitah sehubungan itu umat Islam perlu memahami dan menzahirkan wawasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran dan Al-Hadis di mana Islam dan umatnya perlu memberi sinar "rahmatan lil a'lamin" (pembawa rahmat bagi seluruh alam).

Wawasan itu juga perlu dijadikan tunggak ke arah memupuk semangat perpaduan sesama Islam dan bukan Islam agar rangkaian kehidupan sosial yang mantap dapat diwujudkan , titah baginda pada majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H/2OO8M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir pada majlis sambutan Ma'al Hijrah yang bertema "Menjana Ummah Gemilang" ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Baginda bertitah sempena kedatangan tahun 1430H amat wajar bagi umat Islam di negara ini bermuhasabah, melihat perkembangan dan perubahan hidup yang telah dilalui sepanjang tempoh tersebut.

"Beta percaya, melalui muhasabah diri, kekuatan dan kelemahan yang ada boleh dinilai dengan sebaiknya dan akhirnya umat Islam mampu bergerak ke tahap yang lebih gemilang seperti yang diharapkan," titah baginda.

Bernama melaporkan, Baginda turut menyeru seluruh umat Islam supaya menyorot kembali kelemahan dan kesilapan diri yang telah dilakukan selama ini sebagai ikhtibar dalam mencorak masa depan yang bakal dihadapi dan juga menilai kembali segala kekuatan yang telah dikurniakan tuhan.

"Beta yakin tema yang sama dipilih bagi sambutan Ma'al Hijrah pada tahun ini mampu mendorong umat Islam untuk berfikir dan menyusun perjalanan masa depan yang lebih teratur sehinga berupaya meletakkan diri dalam persaingan global yang begitu mencabar pada hari ini," titah baginda.

Baginda menggesa seluruh umat Islam agar sama-sama berusaha dan mempertingkatkan lagi keupayaan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan penuh keikhlasan kerana untuk mencapai sebuah kegemilangan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata umat Islam perlu sentiasa mengutamakan dan memperkukuhkan perpaduan sesama sendiri yang amat penting untuk menjadi benteng yang mantap bagi umat Islam menghadapi tentangan terbuka daripada pihak-pihak yang makin berani mempertikai kewibawaan Islam.

"Tanpa perpaduan dan semangat ukhuwah yang kental, kukuh dan mantap di kalangan umat Islam sudah pasti kita akan mudah dipermainkan oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mengatur strategi bagi melemahkan kekuatan, kesatuan dan kehebatan umat Islam. Kita tidak boleh membiarkan fenomena ini berterusan," katanya.

Beliau berkata perbezaan pendapat yang berlaku kerana isu yang remeh perlu diketepikan dan perlu sentiasa bersatu atas isu pokok, antaranya mengenai isu survival umat Islam di masa hadapan.

"Sebab itulah tema Menjana Ummah Gemilang masih relevan untuk dijadikan asas bagi merangsang umat Islam untuk bekerja keras ke arah membangun agama, bangsa dan negara."

Katanya kerajaan amat peka dengan setiap perkembangan yang berlaku dalam masyarakat dan pelbagai isu semasa akan sentiasa dinilai dan diberikan pandangan sebagai panduan kepada umat Islam khususnya dalam mengawal akidah dan keimanan.

"Sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah atau keimanan akan dibanteras. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengadakan penyelidikan bagi mengkaji, menghalusi dan membuat cadangan bagi menjaga akidah umat," katanya.

AYUH KUTUK KEGANASAN ISRAEL

Sedih dan pilu menyambut Awal Muharam tahun ini.

Butakah masyarakat antarabangsa? Peralihan kuasa George Bush kepada Barrack Hussein Obama digunakan oleh Israel untuk terus mengganas.

Apakah pertubuhan Islam antarabangsa seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak dapat membaca gerak-geri Israel mengenai kemungkinan serangan ini?

Kenapa ia tidak mendesak Washington dan sekutu Israel supaya mengelakkan kejadian ini daripada terjadi?

Saya menyokong penuh usaha Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang mengajak umat Islam bantah serangan kejam Israel ke atas rakyat Palestin!



Ayuh ke demonstrasi di kedutaan Amerika Syarikat pada Selasa, 30 Disember 2008, 11 pagi. Sebarkan!

Pada ketika kita mengingati betapa Rasulullah saw dan para sahabat bersusah-payah berkorban menyeberangi bahang padang pasir, meninggalkan Makkah menuju Madinah dan akhirnya menegakkan Daulah Islamiyah yang pertama, itu 1430 tahun yang lalu, rakan kita di Genting Gaza terkornan dan mengalami trauma serangan yang menyakitkan.

Sudah sah rejim Israel yang melancarkan serangan menurut tindakan balas umat Islam.
Pada ini kereta kebal tentera Israel dilapor memenuhi sempadan Gaza dengan pesawat pejuang berlegar-legar di kawasan sasaran Hamas yang padat penduduk, hari ini.

Berpuluh kereta kebal dan kereta perisai memenuhi kawasan strategik berhampiran sempadan selepas Israel memberi amaran akan melancarkan serangan darat besar-besaran selepas ini.

Hamas pula memberitahu akan bertindak balas untuk melancarkan serangan bom dan tembakan roket ke arah Israel berdekatan sebuah pelabuhan kedua terbesarnya iaitu Ashdod.

Serangan terbaru ke atas Genting Gaza awal pagi semalam dan mengorbankan sekurang-kurangnya enam lagi rakyat Palestin. Beratus-ratus lagi cedera selain memusnahkan harta benda.

Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara menjelang sambutan tahun baru Hijrah itu ke atas beberapa kedudukan Hamas di Genting Gaza, termasuk sasaran ke atas sebuah trak yang membawa bahan bakar yang sedang bergerak di luar Rafah dekat sempadan Mesir.

Stesen radio Hamas melaporkan enam orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan terbaru Israel di wilayah Hamas di utara Genting Gaza itu.

Serangan itu, merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas rejim zionis melancarkan serangan udara ke atas perkarangan ibu pejabat polis Hamas di Genting Gaza, semalam yang menyebabkan hampir 290 rakyat Palestin maut, manakala 700 lagi cedera.

Kepulan asap tebal kelihatan di bandar ini. Bunyi siren kedengaran sejurus selepas serangan itu memberi amaran kepada penduduk Palestin tentang serangan Israel.

Israel turut melancarkan serangan di kem pelarian Khan Younis dan Rafah di Selatan wilayah ini semalam menyebabkan 23 orang terbunuh dan 30 orang lagi cedera.

Ekoran keganasan terbaru itu Malaysia bersama negara-negara lain telah mengutuk kekejaman rejim Zionis itu sambil menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan sewajarnya berhubung keadaan tegang di Gaza.

Dalam serangan awal hari ini, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Shifa di bandar ini.
utusan.com.my melaporkan, bumi Gaza dihujani lebih 100 tan bom dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh pesawat pejuang Israel dalam serangan tersebut.

Jurucakap tentera Israel di Tel Aviv mengesahkan serangan tersebut.
Perdana Menteri Israel Ehud Olmert berkata, serangan kedua tentera Israel itu bertujuan mengekang tindakan Hamas melancarkan roket ke wilayah Israel.

“Serangan ini bagi mengembalikan ketenangan di selatan Israel, yang sering diancam serangan roket-roket pejuang Hamas.

Malaysia mengutuk keras serangan udara Israel terhadap kawasan Khan Younis, Palestin, di Selatan Gaza semalam (27 Dis) yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 225 rakyat Palestin terbunuh dan 400 lagi cedera.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata Malaysia berpendirian teguh bahawa seharusnya tidak ada alasan untuk membolehkan penggunaan kekerasan yang berlebihan di Gaza, dan menolak sepenuhnya tindakan 'menghukum' yang dikenakan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

"Serangan Israel di Gaza sama sekali membelakangkan undang-undang antarabangsa dan menyalahi Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Malaysia menganggap ia sebagai satu perbuatan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan," menurut kenyataan itu.

Menurutnya Malaysia menggesa semua pihak melakukan segala yang termampu bagi mengelak lebih ramai orang awam yang tidak berdosa terkorban, di samping mengelak daripada melakukan tindakan-tindakan yang akan memusnahkan prasarana serta harta benda awam, dan menjauhi sebarang tindakan yang hanya akan mengeruhkan keadaan.

"Tindakan ketenteraan dan keganasan hanya akan menambah rasa benci dan membantut usaha oleh semua pihak dan komuniti antarabangsa untuk membawa perdamaian serta harapan bagi penyelesaian secara aman kepada konflik di rantau itu," katanya.

Menurutnya komuniti antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu melakukan segala yang termampu bagi memastikan bahawa tindakan ketenteraan Israel itu tidak membawa kepada konflik yang lebih besar yang membabitkan lain-lain negara di rantau itu.

"Mereka perlu meningkatkan usaha untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera dalam usaha meredakan konflik dan menstabilkan keadaan, di samping menggerakkan langkah membina keyakinan di kalangan setiap pihak yang terlibat, dalam usaha menyambung kembali usaha membawa proses perdamaian.

"Malaysia percaya proses rundingan adalah satu-satunya cara bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan keamanan yang berpanjangan dapat diwujudkan di rantau itu," katanya.

Menurutnya Malaysia menggesa supaya diwujudkan penyelesaian yang menyeluruh, adil dan muktamad, dengan merealisasikan kewujudan dua negara, Israel dan Palestin, tinggal berjiran dalam suasana aman mengikut sempadan kawasan yang selamat dan diiktiraf, berdasarkan kepada usaha damai dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.

KUCAR KACIR PKR SELANGOR

Tidak boleh disorokkan lagi bahawa Pakatan Rakyat (PR) Selangor semakin dilanda krisis dan ia bukan sekadar rebut dalam secawan kopi.

Krisis semakin panas ketika Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Penasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang berada di luar negara sehingga 6 Januari depan.

Yang pasti dalam setiap krisis, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim terlibat dan menggambarkan betapa Khalid walaupun disegani sebagai tokoh korporat tetapi lemah mentadbir negeri.

Dan apa yang boleh dilakukan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali ialah mengadakan mesyuarat biro politik , lusa (Rabu) bagi membincangkan isu utama dan berkaitan dalam usaha "untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai".

Beliau sendiri semalam meminta supaya komponen PKR hendaklah duduk bersama dan berbincang bagi menyelesaikan perbezaan dan konflik secara dalaman.

Menurutnya, terdapat banyak saluran dan prosedur untuk berbuat demikian.
Perbezaan pendapat antara mereka semakin menyerlah Jumaat lepas selepas Anggota Parlimen Kapar (S Manikavasagam) mengumumkan bahawa beliau akan keluar daripada Pakatan Rakyat atas alasan tidak bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim dan cara Menteri Besar itu mentadbir negeri itu.

Dr Syed Husin semalam mahu pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR), gabungan pembangkang terdiri daripada PAS, DAP dan PKR, yang terbabit dalam perang mulut supaya berhenti dari menimbulkan perbezaan di antara mereka melalui media.

Kenyataannya berbunyi seperti berikut: “Saya ingin menggesa dan merayu kepada semua pemimpin Pakatan agar berhenti mengemukkan perbezaan serta pertentangan mereka melalui media, terutama yang dikuasai parti pemerintah BN. Ini termasuk MB Selangor serta MP Kapar dan juga Speaker Selangor serta MP Klang. Mereka harus duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian secara dalaman. Ada beberapa saluran dan prosedur bagi berbuat demikian.

Oleh kerana Presiden, Dr Wan Azizah Ismail dan Ketua Umum, Sdr Anwar Ibrahim berada di luar negara sehingga 6hb Januari, saya akan memanggil mesyuarat Biro Politik hari Rabu ini, untuk membincang semua perkara berkatan dan mencari penyelesaian.

Masalah ancaman MP Kapar hendak keluar dari PKR sudah terlalu dibesar-besarkan oleh sesetengah media yang dikuasai oleh part pemerintah. Mereka menyelewengkan sesetengah kenyataan pemimpin Pakatan untuk menunjukkan gabungan itu berpecah.

Memang jelas, tujuan mereka ialah untuk menarik perhatian awam dari kemelut dalam BN dan juga parti-parti komponen utamanya, terutama sekali menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu.”

Jumaat lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, beliau akan keluar daripada Pakatan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan Khalid dan cara Menteri Besar itu mentadbir negeri itu.

Khalid pula dilaporkan menjawab bahawa Manikavasagam bebas untuk meletak jawatan jika beliau mahu berbuat demikian dan beliau tidak berminat untuk berjumpa Anggota Parlimen itu atau untuk memintanya menimbang semula keputusannya. Menteri besar Selangor itu bagaimanapun hari ini menafikan berkata demikian.

Bagaimanapun, Santiago dilaporkan bingung selepas Teng menuduhnya bahawa beliau telah dibeli oleh BN dan bersikap seperti seorang pembangkang.
Tiada apa yang dapat dilakukan oleh Dr Syed Husin selain mendakwa bahawa isu berhubung ancaman Anggota Parlimen Kapar untuk meninggalkan PKR telah didedahkan seara berlebihan oleh media yang dikawal oleh BN.

Dr Syed Husin juga jelas cuba menutup kelemahan PKR apabila mengatakan niat mereka (BN) adalah untuk memesongkan perhatian orang ramai daripada beberapa krisis dalaman BN dan juga di antara parti komponen di dalam kerajaan sehingga kepada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Krisis menjadi semakin mengelirukan apabila akhbar the Star turut diseret dengan mengatakan laporan oleh akhbar itu silap.

Pejabat urusetia media Menteri Besar Selangor memandang berat tindakan the Star yang dituduh memutarbelit fakta dan berharap akhbar berkenaan lebih bertanggungjawab dan tepat dalam laporannya mengenai kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat.

Pejabat itu menafikan yang memetik Khalid sebagai berkata beliau tidak berminat untuk menemui Manikavasagam atau meminta beliau menimbangkan semula keputusannya untuk meninggal PKR.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan hari ini, urusetia tersebut menegaskan bahawa dalam sidang akhbar tersebut, Khalid tidak pernah pada bila-bila masa pun membuat kenyataan seumpama itu.

"Apabila menteri besar ditanya sama ada beliau bersedia untuk menemui ahli Parlimen Kapar itu, beliau menjawab, sebagai seorang ahli parlimen, ia adalah lebih baik bagi ahli Parlimen itu menemui pemimpin parti," kata kenyataan itu lagi.

Menurutnya, Khalid tidak pernah mengatakan bahawa Manikavasagam bebas untuk meletak jawatan, seperti dalam laporan akhbar tersebut.

"Dalam sidang akhbar tersebut, menteri besar, apabila ditanya, telah menegaskan bahawa ahli Parlimen Kapar itu bebas untuk membuat keputusannya dan bahawa beliau cukup matang untuk membut keputusan yang baik selaku wakil rakyat kepada lebih 100,000 pengundi dalam kawasan pilihanrayanya dan (selaku) seorang ahli PKR.

"Menteri besar juga berulangkali menegaskan bahawa forum terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut adalah biro politik parti berkenaan (PKR)," tambahnya.