Monday, December 29, 2008

TAHNIAH HARUSSANI, PROF WAHBAH

Tahniah kepada Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan ilmuan Islam dari Syria, Prof Dr Wahbah al-Zuhaily kerana dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2008 sempena majlis sambutan Maal Hijrah 1430 hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Putrajaya pagi ini.

Baginda menegur sikap mereka tidak menghormati ulama, suka mengambil jalan mudah dengan mengenepikan ajaran agama, malas berfikir dan berusaha, bermusuhan sesama umat Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hukum halal dan haram.

Titah Baginda, sikap ini perlu ditinggalkan oleh semua umat Islam kerana unsur-unsur inilah yang telah menjadi kekangan bagi membangunkan ummah yang gemilang.

Sehubungan itu beliau menyeru umat Islam di negara ini supaya melakukan perubahan demi memartabatkan dan memperkasakan kedudukan Islam ke tahap lebih gemilang.

Baginda bertitah sehubungan itu umat Islam perlu memahami dan menzahirkan wawasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran dan Al-Hadis di mana Islam dan umatnya perlu memberi sinar "rahmatan lil a'lamin" (pembawa rahmat bagi seluruh alam).

Wawasan itu juga perlu dijadikan tunggak ke arah memupuk semangat perpaduan sesama Islam dan bukan Islam agar rangkaian kehidupan sosial yang mantap dapat diwujudkan , titah baginda pada majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H/2OO8M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir pada majlis sambutan Ma'al Hijrah yang bertema "Menjana Ummah Gemilang" ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Baginda bertitah sempena kedatangan tahun 1430H amat wajar bagi umat Islam di negara ini bermuhasabah, melihat perkembangan dan perubahan hidup yang telah dilalui sepanjang tempoh tersebut.

"Beta percaya, melalui muhasabah diri, kekuatan dan kelemahan yang ada boleh dinilai dengan sebaiknya dan akhirnya umat Islam mampu bergerak ke tahap yang lebih gemilang seperti yang diharapkan," titah baginda.

Bernama melaporkan, Baginda turut menyeru seluruh umat Islam supaya menyorot kembali kelemahan dan kesilapan diri yang telah dilakukan selama ini sebagai ikhtibar dalam mencorak masa depan yang bakal dihadapi dan juga menilai kembali segala kekuatan yang telah dikurniakan tuhan.

"Beta yakin tema yang sama dipilih bagi sambutan Ma'al Hijrah pada tahun ini mampu mendorong umat Islam untuk berfikir dan menyusun perjalanan masa depan yang lebih teratur sehinga berupaya meletakkan diri dalam persaingan global yang begitu mencabar pada hari ini," titah baginda.

Baginda menggesa seluruh umat Islam agar sama-sama berusaha dan mempertingkatkan lagi keupayaan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan penuh keikhlasan kerana untuk mencapai sebuah kegemilangan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata umat Islam perlu sentiasa mengutamakan dan memperkukuhkan perpaduan sesama sendiri yang amat penting untuk menjadi benteng yang mantap bagi umat Islam menghadapi tentangan terbuka daripada pihak-pihak yang makin berani mempertikai kewibawaan Islam.

"Tanpa perpaduan dan semangat ukhuwah yang kental, kukuh dan mantap di kalangan umat Islam sudah pasti kita akan mudah dipermainkan oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mengatur strategi bagi melemahkan kekuatan, kesatuan dan kehebatan umat Islam. Kita tidak boleh membiarkan fenomena ini berterusan," katanya.

Beliau berkata perbezaan pendapat yang berlaku kerana isu yang remeh perlu diketepikan dan perlu sentiasa bersatu atas isu pokok, antaranya mengenai isu survival umat Islam di masa hadapan.

"Sebab itulah tema Menjana Ummah Gemilang masih relevan untuk dijadikan asas bagi merangsang umat Islam untuk bekerja keras ke arah membangun agama, bangsa dan negara."

Katanya kerajaan amat peka dengan setiap perkembangan yang berlaku dalam masyarakat dan pelbagai isu semasa akan sentiasa dinilai dan diberikan pandangan sebagai panduan kepada umat Islam khususnya dalam mengawal akidah dan keimanan.

"Sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah atau keimanan akan dibanteras. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengadakan penyelidikan bagi mengkaji, menghalusi dan membuat cadangan bagi menjaga akidah umat," katanya.

No comments:

Post a Comment