Tuesday, April 3, 2012

GEGAK GUMPITA - 'UMNO AKAN TUMBANG DI TEMPAT KELAHIRNNYA, BATU PAHAT'...

Ada kalangan pemimpin PAS begitu angkuh mengatakan kehadiran Naib Presidennya Salahuddin Ayub akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sangat membimbangkan pemimpin UMNO Negeri khususnya Ahli Parlimen Batu Pahat.

Malah Pesiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang begitu pasti Barisan Nasional dan juga Umno akan tumbang di kawasan kelahiran mereka di Batu Pahat.

Saya pasti pihak Barisan Nasional (BN) sudah mula takut dengan bayang-bayang mereka sendiri kerana mereka sebelum ini sering kali mengatakan Johor kubu kuat mereka kerana di negeri ini lahirnya Umno yang menjadi teras kepada BN,” tegas Hadi.

Benarkah kehadiran Salahuddin itu untuk menguatkan Johor yang selama ini kubu UMNO atau mengeluarkan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu kerana gagal memenuhi tanggungjawabnya kepada pengundi?

Kubang Kerian bukan sukar untuk dijaga kerana ia bagaikan kerusi Shah Alam Selangor apabila segala-galanya sudah ada di situ. Kubang Kerian yang berhampiran dengan Kota Baru mempunyai banyak kemudahan asas dan pejabat serta institusi penting ada di situ, termasuk kampus perubatan Universiti Sains Malaysia dan Hospital Kubang Kerian.

Perkara asas ialah kenapa Salahuddin keluar dari Kelantan. Kenapa dia tidak mempertahankan kerusi di Kelantan?

 Kehadiran Salahuddin ke Johor ditabuh dengan gendang yang gegak gumpita seolah-olah PAS akan menakluki Johor pada pilihan raya akan datang.

Namun di sebalik keriuhan itu, Hadi sendiri mengesahkan Pas masih belum lagi memutuskan kerusi yang akan ditandingi Salahuddin, dan ianya akan ditentukan dalam masa terdekat ini.

Dikatakan bahawa barisan kepimpinan pakatan pembangkang telah mengadakan satu perbincangan serius dengan Salahuddin untuk bertanding di negerinya – Johor – namun halangan besar kepada Pas ialah KEKURANGAN CALON BERWIBAWA UNTUK MENANG dan MENGISI JAWATAN MENTERI BESAR.


Hadi jelas tidak mahu terikat dengan cadangan itu apabila mengatakan terpulang kepada Johor untuk memikirkan kawasan dan yang muktamad nanti pihak kami akan tentukan apabila tiba hari penamaan calon kelak. Apakah Hadi tidak mahu tanggung beban atau tanggungjawab akan dipersalahkan jika Salahuddin kalah dan PAS gagal tawan Johor? 

Dilaporkan hasrat Salahuddin untuk bertanding kerusi Parlimen membabit beberapa kawasan khususnya di Batu Pahat, Pontian, Pulai atau Tanjong Piai. Malah, Salahuddin juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen secara serentak.

Hadi berkata, secara umumnya, sebanyak 80 sehingga 90 peratus proses pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Rakyat (PR) di Johor sudah selesai dan akan diumumkan apabila tiba masanya. Sokongan terhadap Pas semakin positif di Johor terutamanya dalam kalangan pengundi muda di pedalaman dan kaum bukan Melayu.

Namun hakikatnya UMNO Johor tidak pun bimbang kehadiran Salahuddin yang dijangka akan terlepas jawatannya dalam parti sekiranya beliau kalah dalam pilihan raya nanti.

Semalam Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim menyatakan sedia berhadapan dengan Naib Presiden Pas itu dan beliau sama sekali tidak gentar untuk berhadapan dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Sejauh ini kerusi Parlimen Muar untuk pembangkang adalah dikatakan dikhususkan untuk PKR. Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, tiada halangan untuk Salahuddin bertanding di mana-mana, asalkan beliau mahu berkhidmat untuk rakyat bukannya mahu mendapatkan kuasa.