Tuesday, August 2, 2016

MEMALUKAN...KONSPIRASI 3 TOKOH BERTUKAR MENJADI 'CERITA DONGENG'....


Bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dituduh berkonspirasi terhadap Perdana Menteri dan kerajaan.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat, tanpa kebenaran.

Ketiga-tiga mereka juga memalsukan maklumat untuk mencapai agenda mereka.

Itu perkara yang menjadi bahan pertuduhan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mendakwa wujudnya konspirasi peringkat tinggi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Ada mengatakan apa yang dilakukan ini sebagai 'SERANGAN BIJAK'.


Hari ini, polis dengan mudahnya menutup kes berkenaan.

Ia kini setaraf hikayat dongeng untuk menidurkan anak-anak kecil tetapi yang ini tidak sesuai untuk diceritakan takut nanti kanak-kanak akan terpengaruh dan terikut-ikut dengan perangai buruk orang melakar cerita ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan hari ini polis tidak akan menyiasat laporan yang dikemukan oleh Khairul Azwan itu.

Tak faham, rasa pelik serta kelakar.

Alasan polis ialah laporan itu berdasarkan "andaian" dan oleh itu tidak mewajarkan siasatan lanjut. Maknanya Najib Ketua Pemuda UMNO ini jenis ‘berkhayal’ dan bercakap tidak berpijak di alam nyata?

Layakkah beliau memimpin Pemuda UMNO yang kelak akan menggantikan kepimpinan yang sedia ada jika jenis yang hanya mengutip maklumat melalui ‘hearsay’?
  
Patutlah Pemuda UMNO kini jenis ‘merapu’ dan tidak berpijak di alam nyata kerana ketua mereka pun jenis ‘merapu’ dan ikut sedap mulut dan perasaan.

Malah ahli Pemuda UMNO yang memilih Kharul Azwan pun sama tarafnya. Memalukan.

Menurut Khalid, pihaknya sudah merakam ucapannya, dan polis dapati Khairul membuat laporan itu berdasarkan andaian. Dia tidak dapat kemukakan apa-apa bukti untuk menyokong apa yang didakwanya dalam laporannya.


Tetapi perlu ingat, walaupun tidak dapat mengemukakan bukti tetapi laporanitu menjejaskan nama tiga tokoh dihormati masyarakat. Lebih buruk ia tuduhan kononnya wujud konspirasi...

Apakah Pemuda UMNO boleh dengan mudah menganggap tindakan ini sebagai hanya bergurau atau bermain-main sahaja dengan ketiga-tiga tokoh berkenaan?

Dengan kenyataan Khalid mengatakan PDRM tidak berhajat untuk meneruskan siasatan, selain telah memberhentikan siasatan, Khairul Azwan boleh terlepas begitu sahaja?

Khairul kini tidak akan disiasat kerana membuat laporan palsu.

Kenyataan Khalid hari ini ternyata bagaikan  memperlekeh dan memperkecilkan pemimpin dan Pemuda UMNO apabila mengatakan :“Tidak, dia mungkin baca laporan dari akhbar, dan dia mendengar cerita, dia ada sebab untuk buat laporan polis. Tetapi apabila kita temubual dia, kita mendapati apa juga yang dituduhnya itu cuma berdasarkan cakap dengar dan juga apa yang dia baca, jadi andaian kita tak boleh teruskan.

Beginikah sikap pemimpin golongan muda dalam UMNO, hanya mengutip maklumat secara begitu mudah dengan petik dari akhbar, duduk kedai mamak atau di lobi-lobi hotel untuk berborak, kemudian jadikannya  sebagai bahan untuk menghantam orang lain?

Dan orang lain itu bukan calang-calang - tokoh bank pusat, tokoh peguam dan juga tokoh yang bertanggungjawab mencegah rasuah negara

Dengan memberikan nasihat kepada pemimpin Pemuda UMNO supaya tidak mengulangi perkara sama pada masa depan jika tidak mempunyai fakta atau bukti,  bukan penyelesaian.

Khalid boleh mengatakan polis tidak akan memanggil ketiga-tiga ‘Tan Sri” berkenaan untuk dirakamkan kenyataan mereka kerana hanya membuang masa memanggil mereka apabila tidak ada asas untuk berbuat demikian, namun bagaimana jika ada yang bertindak sebaliknya?

Bagaimana jika ada pihak membuat laporan Khairul Azwan sengaja mahu memalukan ketiga-tiga tokoh berkenaan?

Ingat, ketiga-tiga tokoh berkenaan sudah menyerahkan kes dakwaan ‘bodoh’ Kairul Azwan ini kepada peguam mereka.


Polis boleh ‘bersihkan’ Khairul Azwan tetapi bagaimana ketiga-tiga tokoh itu mahu membersihkan nama mereka?

Cukup dengan kenyataan Khalid?

Atau kes ini ditutup supaya ia tidak berlanjutan agar ketiga-tiga tokoh itu tidak ditanya ‘perkara sebenar’ jika didakwa di mahkamah?

Bagi saya, apa yang dikatakan oleh Datuk A Kadir Jasin melalui blognya TheScribe A Kadir Jasin bahawa “laporan polis ke atas Abdul Gani, Zeti dan Abu Kassim adalah kes ujian (test case) dan pendahulu kerana peranan mereka dalam siasatan ke atas SRC International Sdn Berhad, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib dan skandal 1MDB,” sangat relevan.

Kerana itu dengan kes ini tidak berlanjutan, perkara seperti di atas itu dapat dielakkan untuk diperkatakan di khalayak. Selamatlah mereka yang mungkin terpalit jika dibicarakan.

Cumanya seperti kata wartawan veteran itu, Pemuda (UMNO) mempunyai kepentingan (stake) yang tinggi dalam penjajaran (alignment) di kalangan pemimpin tertinggi UMNO yang melibatkan Pemuda sebagai pelakon utama. Kalau UMNO selamat, Pemuda akan menjadi pewarisnya tetapi kalau UMNO musnah kerana Najib, Pemuda terpaksa membangsat mencari perlindungan.

Namun dengan kedudukan pemimpin Pemuda UMNO seperti Khairul Azwan ini ‘berotak udang dan bagi tujuan publisiti murahan’ (istilah dalam blog A Kafir Jasin), jika terus bersikap sedemikian memang tidak layak untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

Patutlah Presiden UMNO dan Ketua Pemuda UMNO menjauhkan diri dengan mengatakan dawaan Khairul Azwan itu ‘tindakan peribadi’, bukan pendirian mereka.

Kesian dengan ‘Azwan Bro’ yang mungkin bertindak untuk menjadi ‘hero tetapi menjadi zero’.

Malah lebih memalukan, Ketua Polis Negara meletakkannya sebagai pemimpin yang membuat dakwaan terhadap tiga tokoh negara hanya berdasarkan ‘hearsay’, pembacaan daripada akhbar (media arus perdana?)  dan mendengar cerita (tong-tong  sampah UMNO yang bersepah di tepi-tepi jalan?).


Nasiblah... Pemuda UMNO hari ini bertuankan pemimpin yang hampeh dan memalukan pergerakan itu sendiri. Beliau juga turut memalitkan UMNO dengan bukti-bukti daripada  ‘khayalan dan laporan kantoi’. 

Yang nyata, apa yang dikatakan sebagai SERANGAN BIJAK kini menjadi SERANGAN????

Saya yakin and pasti tahu jawapannya....