Monday, October 8, 2012

PERDAMAIAN MILF, MANILA - SUMBANGAN BESAR MALAYSIA KEPADA UMAT ISLAM



Selepas sekian lama Malaysia tidak menempa nama di arena antarabangsa melalui inisiatif diplomatiknya, kejayaan memujuk kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk berdamai adalah sumbangan terhadap keamanan dunia

 Kejayaan ini bukan kecil. Ia sumbangan terhadap kestabilan politik dunia selain untuk kepentingan umat Islam di Filipina dan sekitarnya.

Penyelesaian muktamad tersebut dapat membantu memberi keamanan di kepulauan yang diduduki penduduk beragama Islam di Mindanao, yang merupakan tapak kepada pemberontak dan pernah membawa kepada pertempuran dengan kuasa-kuasa kerajaan dan membunuh beribu-ribu rakyat pada empat dekad lalu.


Perjanjian damai ini juga penting kepada Malaysia, yang menawarkan bantuan bagi menyelesaikan konflik ini dengan menganjurkan perbincangan tersebut.

Presiden Benigno Aquino dijangka akan mengumumkan perkembangan ini kepada media di Manila dalam masa terdekat. Benigno sudah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan usaha Kerajaan Malaysia.

Duta Filipina di Malaysia J. Eduardo Malaya menganggap perjanjian ini sebagai harapan baru untuk warga Filipina - umat Islam, Lumads, Kristian dan semua yang lain.

"Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, fasilitator Tengku Ghafar dan lain-lain di Filipina dan masyarakat antarabangsa yang berusaha dengan sabar bersama Presiden Aquino dan panel kerusi Leonen dalam usaha yang agak panjang bagi mendapatkan keamanan," kata Eduardo.

Kejayaan inisiatif diplomatik oleh Malaysia ini digambarkan sebagai peristiwa bersejarah dengan menjalin "Perjanjian Rangka Kerja di Bangsamoro", yang dijangka akan dimeterai pada 15 Oktober ini.

 Ia tercapai selepas pusingan ke-32 perbincangan penerokaan antara panel berunding daripada kedua-dua pihak di sini dari 2 hingga 7 Oktober .

Satu kenyataan bersama dikeluarkan selepas tamat perbincangan di Kuala Lumpur berkata perjanjian rangka kerja itu berkhidmat sebagai seni bina yang menyeluruh bagi proses damai Mindanao dan menyediakan asas bagi keamanan yang adil dan berkekalan di Mindanao.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedua-dua pihak telah menunjukkan hasrat untuk menamatkan dekad keganasan, dan memuji usaha mereka untuk menandatangani perjanjian damai.

"Saya juga memberi pujian khas untuk Presiden (Benigno) Aquino atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada keamanan di Filipina.

"Saya amat gembira bahawa melalui perjanjian bersejarah ini, hak, maruah dan kemakmuran masa depan rakyat Bangsamoro akan dilindungi, manakala pada masa yang sama, kedaulatan dan perlembagaan di Filipina akan dikekalkan," katanya dalam satu kenyataan.

Najib berkata beliau berbesar hati bahawa Malaysia berjaya memudahkan rundingan sejak tahun 2001, dan membawa Pasukan Pemantauan Antarabangsa dari tahun 2004.

"Dalam menghormati janji yang dibuat kepada Yang Dipertua, saya tidak sabar-sabar untuk ke Manila menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut," katanya.

Wakil kerajaan Filipina Marvic Leonen berkata suruhanjaya peralihan akan dibentuk untuk menggubal undang-undang Bangsamoro.

Kenyataan bersama pada perjanjian damai, yang disaksikan oleh fasilitator Malaysia Tengku Datuk Ab Ghafar Tengku Mohamed, telah ditandatangani oleh pihak kerajaan Filipina Leonen dan ketua perunding MILF Mohagher Iqbal.

Di Sepang, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mahu mengambil kredit untuk perjanjian damai tersebut. "Saya amat gembira Malaysia, kerajaan Filipina dan mereka yang terlibat telah bersetuju untuk penyelesaian ini," katanya selepas majlis penyampaian hadian Hijau Proton Cabaran Mobiliti 2012 semalam.