Wednesday, May 21, 2014

AHMAD RAZIF ATAU AHMAD SHABERY TIDAK PENTING, YANG PENTING MENANG PRU-14

"Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini...yang mustahak semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui UMNO Terengganu."
- Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman

Apakah Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman malam kelmarin sudah beri bayangan bahawa beliau tidak akan dilantik sebagai Pengerusi UMNO Terengganu?

Beberapa kenyataan, termasuk oleh Menteri Besar Terengganu itu , kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat serta Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membayangkan banyak perkara mengenai mengenai perkara ini.

Menurut Bisik-Bisik Awang Selamat: Siapakah akan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berikutan peralihan teraju kepimpinan negeri itu? Memandangkan Ahmad Razif masih baharu menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said, adalah lebih sesuai jawatan tersebut disandang sementara oleh pemimpin UMNO lain bagi meredakan suhu politik yang masih tinggi. Awang melihat antara calon yang sesuai ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman. Walaupun bukan Ketua UMNO bahagian, beliau mempunyai kedudukan dalam Kabinet, berpengalaman luas dan disegani. Lebih daripada itu, Shabery boleh diterima oleh semua pihak yang berbeza haluan. Awang percaya beliau mampu membawa kestabilan politik kepada UMNO Terengganu. Meskipun kemelut peralihan Menteri Besar yang menggemparkan politik tanah air telah selesai, ia tidak boleh diambil ringan. Cabarannya, bersedialah menjangkakan apa lagi dugaan, juga kejutan selepas ini.

Jangan perkecilkan buah fikiran melalui kolumnya berkenaan kerana Awang Selamat jugalah yang membuka cerita akan pertukaran Menteri Besar Terengganu tempoh hari.

Sebaliknya Ahmad Shabery pula dalam kenyataannya pada 18 Mei 2014 berkata: “…perjalanan politik di sesebuah negeri akan tempang sekiranya jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri tidak dipegang oleh Menteri Besar. Menteri Besar tidak dapat menjalankan tugas dengan baik jika dia tidak mempunyai 'kuasa memerintah' dari segi mengarah, mengawal dan membangunkan visinya sekiranya tiada pegangan pada politik. Begitu juga yang pegang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, jika dia tiada kedudukan dalam kerajaan sedangkan kerajaan itu adalah Barisan Nasional, dia juga tidak dapat menjalankan tugas dengan baik." 

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan, menjadi kelaziman menteri besar juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Suatu perkara yang perlu juga diambil kira ialah Majlis Tertinggi UMNO sudah membuat keputusan supaya semua menteri besar dijemput untuk turut hadir dalam mesyuarat MT kerana mereka ada kuasa sebagai menteri besar dan pengerusi perhubungan negeri.

Ini amalan sudah berlaku sebelum ini. Jadi, apakah sekiranya tidak memegangpun jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Razif akan menghadiri mesyuarat MT?

Isu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri ini kini hangat diperkatakan khususnya di peringkat bahagian apabila ada bahagian dikatakan ‘enggan menerima Ahmad Razif’.

Sementara jika pelantikan dibuat terhadap Ahmad Shabery, ini bermakna sejarah berulang apabila Menteri Besar Terengganu terpaksa menjadi orang nombor dua di negeri sendiri.

Perkara ini pernah berlaku kepada Ahmad Said pada 24 April 2009 apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa beliau hanya menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO sahaja sedangkan selepas menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, beliau diumumkan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada 14 Jun 2008.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu mulai tarikh itu ialah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Langkah itu difahamkan akibat ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat aduan dinafikan peranan mereka dalam pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pengerusi Penyelaras DUN dan Unit Bestari.

Dengan tertubuhnya organisasi parti UMNO yang baru, Ahmad Said mudah untuk ‘diturunkan pangkat’ sebelum dilantik semula menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, pada 1 Januari 2011 sehingga Pilihan Raya Umum ke 13 dengan Idris sebagai timbalan.

Ahmad Said sekali lagi diumumkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO pada 22 Nov 2013 tetapi kali ini Timbalan Pengerusinya ialah Datuk Jailani Johari.

Sebelum itu pada 7 Mei 2013, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar meminta Ahmad Said melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kepada pemimpin baharu berikutan pencapaian buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di negeri itu.

Menurut Perkasa Terengganu, langkah tersebut perlu diambil memandangkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 itu berkemungkinan disebabkan rakyat menolak cara pentadbiran Ahmad Said. “Sebagai ketua yang bertanggungjawab, adalah lebih manis jika Ahmad melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri kepada orang baharu yang dirasakan sesuai.”

Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membuat keputusan bijak demi kelangsungan pemerintahan di negeri tersebut.

"Buat masa sekarang, Ahmad perlu menjalankan siasatan berhubung kemerosotan kerusi Parlimen dan DUN di negeri itu mencakupi beberapa aspek termasuk faktor peribadi calon yang ditonjolkan tidak sesuai dengan keadaan setempat," demikian ditegaskan oleh Perkasa Terengganu pada tarikh tersebut.

Mungkin selepas meneliti perkembangan politik sejak 2008 hinggalah ke detik beliau dilantik menjadi Menteri Besar, Ahmad Razif lebih selesa menyerahkan kedudukannya dalam Perhubungan UMNO Terengganu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Bagi Menteri Besar itu keputusan Najib wajar diterima dengan tangan terbuka kerana apa yang penting ialah kebersamaan dalam memperjuangkan parti.

Selain itu, Ahmad Razif turut menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

"Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini," katanya.

Yang mustahak bagi Ahmad Razif ialah, semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui UMNO Terengganu.

Benar seperti kata Razif, yang penting ialah perpaduan dalam parti.

Selain itu, dalam saat-saat begini yang perlu diberikan keutamaan ialah kedudukan Terengganu sekarang di mana Barisan Nasional menduduki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri sementara pembangkang 15.

Jelas sudah, yang penting difahami oleh seluruh ahli dan pemimpin UMNO Terengganu ialah perpaduan, persefahaman dan perjuangan yang seiring amat penting.

Pilihan raya umum ke 14 sedang menunggu dan UMNO perlu menjamin ia mengekalkan kuasa di negeri berkenaan dengan jumlah kerusi yang jauh lebih baik daripada keputusan PRU -13.

Jika menang dengan kedudukan yang serupa atau lebih teruk sekiranya kalah, perubahan kepimpinan UMNO negeri yang dibuat baru-baru ini ternyata silap.

Kali ini bolehlah diletakkan segala kesalahan bukan sahaja di bahu Pengerusi Perhubungan UMNO  tetapi juga Najib sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang melantik Razif!