Wednesday, February 11, 2009

ABDUL AZIM SUDAH BERSEDIA

Azim sudah menyatakan kesediaaannya.

Namun belum pasti sama ada beliau akan dipilih atau sebaliknya.

Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bersedia menggalas cabaran sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang sekiranya mendapat kepercayaan pucuk pimpinan parti.

Menurut Abdul Azim, beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding sekali lagi bagi merebut kerusi tersebut, namun tidak menolak jika diberi tanggungjawab itu.

Beliau juga bertekad untuk melakukan yang terbaik sesuai dengan pengalaman yang dimiliki.
''Soal siapa yang akan menjadi calon perlu melalui proses rundingan dengan bahagian-bahagian UMNO bagi mengelak ada pihak berasa dipinggirkan atau perbuatan sabotaj,'' katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu, Abdul Azim tewas dengan majoriti 1,566 undi apabila mendapat 18,499 undi berbanding calon Pas, Roslan Shaharum yang mendapat 20,015 undi.

Selain kedua-dua calon itu, kerusi Parlimen Bukit Gantang turut ditandingi calon bebas, M. Morgan yang mendapat 872 undi.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kembali menjadi rebutan selepas Roslan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah selepas diserang sakit jantung semasa berbasikal pada 9 Februari lalu.

Berikutan kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang itu bermakna pilihan raya kecil akan dijalankan dalam tempoh 60 hari.

Bukit Gantang mempunyai 65 peratus pengundi Melayu dan 27 peratus pengundi Cina manakala selebihnya pengundi India.

Parlimen ini mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Changkat Jering, Trong dan Sepetang.

Sebuah blog, mysrimuara.blogspot.com mengatakan seseorang yang juga wajar ditonjol ialah Ketua Penyelidikan, Penerbitan dan Persidangan Kolej Islam Perak, Kamarulail Haji Sulaiman.
Jawatan yang beliau sandang sekarang ialah jawatan utama di Kisdar.

Beliau dikatakan mempunyai idealisme tinggi dan mendapat sokongan peringkat akar-umbi.
Menurut blok berkenaan: “Beliau yang suka merendah diri dan berhemah membuatkan beliau disukai lawan dan juga kawan. Di dalam pemilihan Umno bahagian baru-baru ini, beliau telah dipilih oleh ahli umno untuk menjawat jawatan Timbalan Ketua Bahagian Umno Bukit Gantang.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengingatkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) supaya bekerja bersungguh-sungguh dan membuat persediaan awal bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang ini.

Sambil mahu tiada pihak yang mengambil mudah cabaran pilihan raya kecil itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, hanya kerja keras dan persediaan rapi saja yang dapat menjamin kemenangan parti.

Abdullah berkata BN juga belum membuat keputusan sama ada mahu mengumumkan calonnya lebih awal pada pilihan raya kecil berkenaan seperti pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebelum ini.

"Saya perlu berbincang dulu dengan (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Najib Razak, pemimpin Umno yang lain serta Jawatankuasa Pengurusan sebelum menetapkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu.

"Apa-apa pendekatan yang hendak kita ambil dalam hal ini, tidak semestinya pendekatan (yang sama) dengan tiap-tiap pilihan raya kecil. Tentulah berlainan mengikut keadaan dan apa juga matlamat kita," katanya.

Abdullah juga menolak anggapan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang itu adalah sebagai 'pungutan suara' kepada kerajaan Perak yang baru ditubuhkan BN selepas Pakatan Rakyat kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Abdul Azim berkeyakinan, BN mempunyai harapan cerah untuk merampas semula kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil kali ini melihat kepada sentimen semasa yang mempengaruhi sokongan pengundi.

Berbeza dengan isu sewaktu tsunami politik pada PRU12 tahun lalu jelas beliau, pengundi Bukit Gantang hari ini semakin sedar dengan tindak-tanduk pembangkang lebih-lebih lagi dalam isu penderhakaan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah seperti yang berlaku ketika ini.

Soal penting kini ialah BN menentukan siapa calon paling layak dan diterima rakyat di Bukit Gantang dan belajarlah daripada dua pilihan raya kecil lalu.

Nama lain disebut-sebut selain Abdul Azim dan Kamarulail ialah Senator Tan Sri Jins Samsuddin, Datuk Mat Isa Ismail serta Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abd Fasal.
Ingatlah, calon turut menjadi penyebab penting menang pilihan raya kecil.

PEMBANGKANG ADA PERANGKAP

Seronok membaca sebuah tulisan dalam lawi-ayam.blogspot.com hari ini bertajuk “JANGAN TERPERANGKAP DENGAN JERANGKAP”

Penulis berkenaan mengingatkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO, khususnya Pemuda Umno agar berhati-hati dengan taktik pembangkang.

Baca apa yang ditulis melalui blog berkenaan:

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN JERANGKAP

Belum apa-apa, DAP dan PAS dah ada perbezaan pendapat! Tapi awas, ini mungkin sandiwara pembangkang sahaja. Pergerakan Pemuda UMNO seperti biasa ‘melompat awal’ untuk menunjukkan mereka mampu melakukan semuanya.

Jangan cepat membuat kenyataan itu boleh menang dan ini boleh menang. Sejarah dua pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan Pemuda UMNO tidak boleh menolak jika dikatakan antara punca kekalahan sama ada di Permatang Pauh mahupun Kuala Terengganu.Tolonglah Pemuda UMNO -jadilah dewasa sedikit - jangan terperangkap dengan jerangkap pembangkang.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini tidak bersetuju dengan cadangan DAP supaya bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang nanti.

Menteri Besar Kelantan itu berpendapat selagi Mohd Nizar masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak, adalah tidak sesuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkan bertanding untuk kerusi Parlimen itu. "Kalau tanya saya, saya tidak boleh terima seorang yang berjawatan MB (Menteri Besar) ambil (wakili kawasan) Parlimen...kecuali orang yang tidak berjawatan MB.

"Bagi saya tidak elok kalau MB Perak (Mohammad Nizar) turut bertanding di kawasan lain, sedangkan dia mempunyai kedudukan di kawasan lama. Ini seperti yang dilakukan bekas Presiden PAS dahulu, (Allahyarham) Datuk Asri Muda, yang bertanding di dua kerusi ketika memegang jawatan Menteri Besar Kelantan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bahru hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan PAS menimbang untuk meletakkan Mohd Nizar diletakkan sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang. Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.

"Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada Pas untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Nizar diarah meletak jawatan sebagai Menteri Besar minggu lalu oleh Sultan Azlan Shah berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan itu meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Nizar enggan meletak jawatan dan bertegas beliau masih Menteri Besar yang sah dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di sini. Kerusi Bukit Gantang kosong berikutan kematian Ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas hari ini akibat sakit jantung. Adalah terlalu awal untuk mendabik dada BN berupaya merampas kerusi Parlimen Bukit Gantang jika pilihan raya kecil diadakan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata politik Perak mula menampakkan angin perubahan berikutan penolakan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang gagal membela nasib mereka.
Ini berdasarkan keadaan politik semasa membabitkan Pakatan Rakyat di negeri itu. Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perubahan corak pemikiran rakyat Perak memberi gambaran awal terhadap keupayaan BN merampas kerusi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda Umno dan BN akan menggerakkan seluruh jentera bagi membantu kempen ke arah memastikan BN berjaya menawan kerusi berkenaan.
"Berdasarkan kematangan penduduk Perak berpolitik dengan menolak kerajaan Pakatan Rakyat, saya yakin BN mempunyai peluang cerah mendapatkan semula kerusi Parlimen Bukit Gantang,” kata Hishamuddin. Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Roslan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan menewaskan calon BN yang juga Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Zabidi dan calon Bebas, Mohganan P Manikam dengan majoriti 1,566 undi.

Allahyarham meraih 20,015 undi berbanding Azim (18,449) manakala Mohganan hilang wang pertaruhan apabila cuma mendapat 872 undi.