Tuesday, January 26, 2010

NIK AZIZ BERBELIT-BELIT, MACAM….

Kata ‘Tok Guru’ semalam, Kerajaan PAS Kelantan sedia menerima wang ihsan yang diberikan dari hasil minyak walaupun tidak dalam bentuk royalti.

Eh terima pula….tetapi dengan syarat ia diuruskan sendiri tanpa melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Kononnya dengan meletakkan syarat sedemikian kerajaan Kelantan mahu buat macam PAS Terengganu pada 1999, selepas menang pilihan raya umum peringkat negeri dan PAS membentuk kerajaan, kerajaan pusat terus membayar royalti.

Tetapi apa jadi? Duit royalti tidak dapat dibelanjakan dengan baik dan wang banyak dibelanjakan untuk program parti, bukannya untuk rakyat.

Nasib baik rakyat sedar dan menolak PAS yang menyebabkan kerajaan PAS Terengganu kalah pada pilihan raya umum 2004.

Dalam soal wang ihsan ini, aneh sungguh dengan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini.

Sehari sebelum mengaku mahu menerimanya, beliau menolak pemberian wang ihsan itu dan bertegas untuk menuntut royalti minyak seperti mana yang diperjuangkan sekarang.

Bagi Nik Aziz, malu bagi Kelantan jika pemberian wang itu disebut dalam bentuk wang ihsan bukannya royalti, kerana ihsan bermakna kasihan belas dan dalam hal ini bukan Kerajaan Pusat yang patut mengasihan belas Kelantan, tetapi Kelantan yang patut beri ihsan kepada pusat kerana minyak itu didakwa hak milik Kelantan.

Dalam tempoh 24 jam, kenyataan Nik Aziz mengatakan ia terima pula wang ihsan tetapi bersyarat.

Siapa yang menasihati Nik Aziz ini? Pelik sungguh.

Bagaimana boleh kerajaan PAS Kelantan yang menolak cadangan supaya seorang wakil dilantik untuk menyertai jawatankuasa pembangunan wang ihsan yang ditubuhkan bagi menentukan kaedah penyaluran wang tersebut, tiba-tiba bersetuju menerima wang berkenaan tetapi bersyarat.

Malah Nik Aziz menegaskan kelmarin, kerajaan negeri sama sekali tidak akan melayan sebarang permintaan atau cadangan berhubung penyaluran wang ihsan tersebut.

''Kalau dijemput untuk runding terima wang ihsan, saya tak akan pergi, kerajaan negeri seratus-peratus akan tolak. Kalau nak bagi ihsan tak payah rundinglah, kerana dia paksa dan saya tidak akan terima, saya akan bagi tahu rakyat Kelantan, kerajaan pusat merampas, mencuri dan menyamun harta Kelantan, tolong doalah, supaya musnah pemimpin-pemimpin pusat yang mengada-adakannya," katanya kelmarin.

Dengan kata lain, Kerajaan Kelantan menolak sebarang pelawaan daripada Kerajaan Pusat untuk menganggotai jawatankuasa perundingan wang ihsan yang bakal dibentuk tidak lama lagi.

Nik Aziz berkata, beliau sendiri tidak akan memenuhi jemputan, malah tidak akan membenarkan mana-mana wakil daripada kerajaan negeri menduduki jawatankuasa itu.

"Kalau hendak beri wang ihsan, tak perlu berundinglah, saya tidak akan menerima wang ihsan itu. Saya tidak akan pergi sekiranya dijemput (menyertai jawatankuasa itu) dan menolak 100 peratus jemputan jawatankuasa perundingan itu,” katanya.

Kenyataan menolak wang ihsan itu sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin bahawa sebuah jawatankuasa yang turut disertai kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi menentukan jenis projek dan kaedah penyaluran wang ihsan.

Awang Adek dilaporkan berkata wang ihsan dijangka disalurkan kepada rakyat negeri ini pada Mac ini tetapi proses rundingan masih dijalankan pada masa sekarang.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu turut mempersoalkan cadangan Kerajaan Pusat yang mahu menyalurkan wang ihsan terus kepada rakyat dan bukannya kepada kerajaan di bawah pimpinannya.

''Beri (wang ihsan) kepada kerajaan Kelantan kerana rakyat Kelantan ini ada kerajaan, ada bendera, ada Dewan Undangan Negeri ada Menteri Besar, buat apa mereka ni semua. Ini mengarut kerana mereka terlampau bertuhankan duit, tidak ada duit macam tak hidup dia sedangkan duit ini kita cari daripada kekuasaan Allah, Allah buat getah, susu getah, kelapa sawit, biji sawit dan buat tanah untuk tanam kelapa sawit, hak Allah semua, kita hanya proses," katanya.

Semalam, Nik Aziz yang boleh menerima dalam bentuk apapun pemberian itu (termasuk wang ihsan) tetapi hendaklah diberi terus kepadanya.

Ini kerana katanya, Kelantan mempunyai kemampuan untuk mengurus dan mengendali sendiri wang itu tanpa melalui JPP yang merupakan agensi Kerajaan Pusat.

Bagi Nik Aziz: “….kita sedia menerima wang ihsan yang hendak diberikan oleh Kerajaan Pusat itu walaupun tidak atas nama royalti dengan syarat hendaklah diberi secara terus tanpa melalui JPP."

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta Kerajaan Kelantan mengetepikan sentimen politik demi kepentingan rakyat negeri itu dalam tuntutan royalti minyak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan Kelantan sepatutnya tidak terus berkonfrontasi politik dalam hal ini.