Wednesday, August 26, 2009

SAH TEOH & TAN BERGADUH DI TANDAS SPRM AWAL PAGI

Tidak syak lagi, laporan sebelum ini menyebut bahawa ada pertengkaran atau gaduh antara Teoh Beng Hock dan Tan Boon Wah benar belaka.

Ia bukan suatu rekaan dan spekulasi.

Bagi yang sudah membaca blog ini dan beberapa blog yang mengetengahkan kejadian ini, ia bukan lagi mengejutkan walaupun prosiding inkues kematian Teoh hari ini dikatakan dikejutkan dengan kenyataan bahawa tercetusnya pergaduhan antara mendiang dan Tan di tandas pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Pegawai penyiasat SPRM, Mohd Anuar Ismail berkata beliau mendapat maklumat bahawa pergaduhan tersebut berlaku kira-kira pukul 2 pagi pada 16 Julai lalu.

"Selepas kematian mendiang saya dimaklumkan oleh seorang pegawai SPRM yang bernama Bulkani (Paharuddin) bahawa terdapat pergaduhan antara Tan Boon Wah dan si mati dalam pukul 2 lebih dalam tandas SPRM Selangor," katanya.

Mohd Anuar berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-16 buat kali keempat di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Keterangan itu dibuat bagi menjawab soalan peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa sama ada beliau mendengar sebarang berita selepas mengetahui mengenai kematian Teoh.

Boon Wah merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Hmm…tahniah untuk blog anti-Anwar - ntanwar dan theunspinners - menyebut bahawa kunci jawapan adalah di tangan Tan yang mendedahkan perkara ini seperti yang saya petik pada posting Jumaat 21 Ogos lalu dengan tajuk ‘TEOH, TAN BERTENGKAR SEBELUM TEOH MATI?’

Hasil pendedahan itu, bermakna wujud satu bukti baru mengenai kematian Teoh. Dikatakan, hanya Tan sahaja yang tahu perkara ini.

Yang pasti, sekurang-kurangnya dua blog memaparkan misteri baru ini iaitu wujudnya satu pertengkaran di antara Tan dan mendiang di tandas, tingkat 14, Pejabat SPRM, Plaza Masalam, selepas jam 3.45 pagi, kira-kira empat hingga lima jam sebelum mendiang ditemui mati.

Tan turut berada di pejabat SPRM pada hari tersebut sebagai saksi bagi kes siasatan suruhanjaya berkenaan.

Mohd Anuar juga dalam keterangannya hari ini menjelaskan kepada mahkamah bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenyataan peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang berkali-kali menyatakan mendiang mati dalam tangan beliau sebagai pegawai penyiasat.

"Saya tidak bersetuju dengan kenyataan peguam itu (Gobind) kerana saksi (Teoh) telah dilepaskan pada pukul lebih kurang 3.30 hingga 3.45 pagi dan dia dibenarkan untuk pulang.

"Walau bagaimanapun beliau minta untuk kebenaran untuk berehat... pendapat saya beliau akan pulang selepas itu," katanya.

Mohd Anuar juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai sebab untuk menyebabkan kematian Teoh.

Dilaporkan oleh blog The Unspinners, selepas, mendiang Teoh, tamat sesi soal siasatnya, pada jam 3.45 pagi, 16 Julai, dia telah pergi ke tandas. Tan yang sudah lama menunggu mendiang, turut sama mengekorinya ke tandas pejabat SPRM (Tingkat 14, Plaza Masalam).

Di dalam tandas itu, Tan telah menanyakan kepada mendiang apakah soalan-soalan yang diajukan oleh pegawai SPRM kepadanya. Mendiang menjawab secara jujur soalan-soalan yang ditanya dan jawapan-jawapan yang telah diberikan olehnya. Mendengar jawapan itu, Tan tidak berpuas hati dan meninggikan suara serta mengancam mendiang kerana telah menjadi tali barut SPRM untuk menjatuhkan bos-bos mereka (dua exco DAP; Ronnie Liu & Ean Yong)

Makian dan ancaman Tan kepada mendiang telah disaksikan oleh seorang pegawai SPRM bernama Bulkini yang ketika itu juga berada di tandas.

Bulkini adalah Penolong Penguasa SPRM yang boleh berbahasa Cina kerana sebelum ini telah berkhidmat khusus untuk komuniti Cina selama 14 tahun (dahulunya dikenali sebagai BPR).

Bulkini adalah pegawai penyiasat SPRM Putrajaya, dipinjamkan buat sementara ke pejabat SPRM Selangor untuk menyiasat kes penyelewengan dua exco DAP Selangor.

Pada 15 Julai 2009, Bulkini telah menjadi pegawai penyiasat kepada Tan dari jam 8.30 malam, 15 Julai hingga 1.30 pagi, 16 Julai. Selepas tamat sesi soal siasat Bulkini membenarkan Tan pulang ke rumahnya dan diminta hadir semula pada jam 11.00 pagi, 16 Julai untuk menyambung keterangan. Namun Tan enggan pulang sebaliknya mengambil keputusan untuk berada di pejabat SPRM.

Melihat keanehan Tan, menolak pelawaan untuk pulang, Bulkini mula mengsyaki sesuatu. Dalam hatinya, terbetik apakah yang ditunggu oleh saksi itu. Oleh itu Bulkini telah memantau pergerakan saksinya dari kejauhan.

Selepas mendiang Teoh tamat sesi soal siasatnya, jam 3.45 pagi (16 Julai), dia terus ke tandas dan pergerakannya turut diekori oleh Tan. Melihat kejadian aneh itu, Bulkini juga turut mengekori saksinya ke tandas untuk mengetahui apa yang mereka lakukan..

Pegawai SPRM telah menjadi saksi pertengkaran Tan dan mendiang di tandas. Pegawai itu juga telah mendengar satu persatu topik perbalahan mereka pada pagi itu.

Bermakna Tan bercakap bohong dan menyembunyikan fakta sebenar bahawa dia dan mendiang bertengkar di tandas.

Tan juga menyembunyikan fakta bahawa dia pernah memberi kata-kata ancaman kepada mendiang kerana mendiang telah terlepas cakap dan sanggup menjadi tali barut SPRM.

Ada satu lagi isu lain yang sedang berlegar, benarkah Tan Boon Hwa memarahi mendiang dan terlepas cakap mengatakan anak yang dikandung tunangnya bukan anak mendiang, tetapi anak orang lain?

BN AKAN HILANG PUTRAJAYA JIKA...

Kini persoalan bukan lagi 7-0 atau 8-0 tetapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu cepat memperbaiki imejnya jika Putrajaya mahu dikekalkan oleh BN pada pilihan raya umum akan datang.

Pertambahan pengundi untuk BN atau kekurangan undi untuk pembangkang tidak penting. Kalaupun pembangkang menang dengan lebih satu undi atau lebih satu kerusi seperti yang berlaku di Kelantan sebelum pilihan raya umum lalu, pembangkang tetap berkuasa.

Janganlah pemimpin BN dan UMNO masih dibuai mimpi bahawa mereka masih mendapat sokongan. Ya memang ada sokongan tetapi sokongan kepada pembangkang lebih besar.

Juga tidak ada gunannya mengatakan undi yang diperolehnya adalah konsisten dengan apa yang diterima pada Mac 2008 dan ia juga menunjukkan BN masih mempunyai sokongan padu. Pada Mac 2008, PAS memenangi kerusi Permatang Pasir buat kali ketiga berturut-turut dengan kelebihan 5,433 undi.

Pada pilihan raya umum Mac 2008 itu, kerusi itu dimenangi buat kali ketiga oleh Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang memperoleh 11,004 undi. Ketika itu peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 82.5 peratus. Kali ini peratusan keluar mengundi hanya 73.1 peratus.

Kemenangan calon Pas, Mohd. Salleh Man, 52, semalam bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi menunjukkan pembangkang kini sukar ditumbangkan. Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu memperolehi 9,618 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi.

Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir semalam. Jumlah pemilih adalah seramai 20,290 orang.

Yang pasti, setiap kali pilihan raya kecil, jentera kerajaan Pusat akan dikerahkan dengan tawaran-tawaran menarik yang kadangkalanya ‘menjemu dan meluat’ mendengarnya.
Persoalan kini, sekiranya pembangkang sukar ditumbangkan apakah kerusi BN yang ada sekarang boleh dipertahankan daripada ditumbangkan?

Selepas kalah demi kalah – dari Permatang Pauh, Kuala Terengganu yang dipimpin Datuk Seri Mohd Najib Razak dan diambil alih Tan Sri Muhyiddin seperti di Manek Urai dan terbaru di Permatang Pasir – BN kena merancang dan melihat apa sebenarnya kemahuan rakyat.

Memang benar kalau Salleh menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bermakna bagi PAS dan pakatan poembangkang kerana ternyata dalam keadaan berdepan dengan jentera besar BN, pembangkang yang kerdil tetap mencapai kemenangan.

Faktanya apa?

1. Apakah kepimpinan Najib belum boleh diterima rakyat? Apakah dengan kekalahan di Manek Urai dan Permatang Pasir membuktikan endorsement daripada rakyat untuk Najib belum ada?
Soalan mudah – beranikah Najib membubarkan Dewan Rakyat sekarang untuk meminta mandat baru daripada rakyat dalam kedudukan sebegini?

Jika belum bersedia, Najib dan pasukannya perlu mencari formula baru selain 1Malaysia sebagai penawar hati rakyat yang semakin keras membatu. Penawar ini penting kerana jika rakyat masih keliru atau kelabu dengan gagasan 1 Malaysia, penjelasan dan dasar-dasar jelas perlu diperkenalkan segera.

Persoalannya, apa untungnya rakyat melalui gagasan ini? Perpaduan? Tiada 1Malaysia pun rakyat sudah bersatu dengan meletakkan Rukun Negara sebagai asasnya. Orang Melayu terutamanya daripada UMNO tetap tertanya-tanya apa jaminan 1Malaysia untuk masa depannya? Yang jelas ialah bukan Melayu menggunakan 1Malaysia untuk ‘menuntut’ bermacam-macam dan orang Melayu semakin rasa terpinggir.

2. Calon BN sering ada masalah. Pada pilihan raya kecil, faktor calon menjadi perkara utama dan jika ada masalah – apa juga sama ada peribadi, penerimaan rakyat tempatan atau kepimpinan – akan menyukarkan jentera untuk berkempen.

Apabila calon dipertikaikan dalam apa juga aspek, akan menjadikan pengundi serba salah, apalagi apabila pembangkang menggunakan kelemahan itu untuk mempertikaikan kewibawaan calon. Sukarkah BN mencari calon yang benar-benar sesuai untuk diketengahkan? Apakah faktor kepemimpinan bahagian terus menerus menjadi penentu dalam memilih calon?

Rasanya dengan memilih pemimpin bahagian ada banyak masalah kerana mereka ini bertanding dan terpaksa melakukan pelbagai usaha untuk menang. Lebih memburukkan keadaan, jika ada salah laku ketika pemilihan, ini akan turut menyumbang kepada kritikan dan pemulauan.

Sudah sampai masanya calon dipilih kerana peribadinya baik dan bersih dan bahagian UMNO atau apa juga komponen parti BN hendaklah akur kepada faktor peribadi yang baik dan bersih.
3. Dengan pembangkang menjadikan ‘pembunuhan watak atau karakter’ sebagai strategi mereka dan dengan soal dalam kain pun akan didedahkan, calon UMNO dan BN hendaklah jangan meletakkan calon yang mudah dijadikan sasaran.

Dengan pembangkang kini menyerang peribadi atau sengaja mencipta dan memperbesarkan soal peribadi, UMNO dan BN tidak boleh lagi cuba melindungi atau pejam sebelah mata dengan memilih juga calon yang diketahui ada masalah peribadi.

Dalam pilihan raya terbaru ini jelas isu peribadi sukar untuk dipertahankan dan sehingga sekarang isu sama ada calon BN berkahwin dua atau seorang tetap diperkatakan. Dan pembangkang memainkan isu calon BN ‘kononnya’ mengabaikan isteri keduanya!

4. Penawaran projek atau pembangunan sekadar jalan, jambatan, bantuan dan sebagainya bukan lagi menjadi ‘umpan’ yang mudah dimakan oleh pengundi. Benar pengundi mahukan pembangunan tetapi lihat sahaja di beberapa kawasan, Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang yang ‘goyang kaki’ pun boleh menang. Kenapa?

Pembangkang melalui PAS, DAP dan PKR mampu menggambarkan pemimpin mereka lebih baik dalam konteks peribadi – bersih, beriman, mesra rakyat, anak tempatan dan banyaklah lagi faktor lain mengikut kesesuaian kawasan – yang UMNO dan BN perlu benar-benar teliti untuk menjamin calon yang diketengahkan benar-benar diterima rakyat setempat.

5. Akhirnya UMNO dan BN hendaklah diperbetulkan arah perjuangannya – bukan untuk kepentingan mereka yang memimpin tetapi rakyat jelata yang masih dahagakan pembelaan daripada pelbagai segi – khususnya keperluan sebagai manusia – bukan sekadar keperluan asas dan pembangunan semata-mata.

Mungkin pendapat saya ini ‘kurang tepat’ bagi sesetengah pemimpin UMNO dan BN yang masih khayal kerana mereka dibuai pendokong yang terus menerus mengatakan ‘ ok bos, semuanya baik bos’.

Hendak tahu bagaimana sukar untuk bangkit apabila sudah kalah, tanyalah mereka yang sudah kalah dan asyik kalah pada setiap pilihan raya.

KENAPA MAIN POLITIK FITNAH...

"Ingatlah setiap jari yang kita tuding kepada orang, tiga jari lagi menuding kepada kita," kata Zulkifli Noordin dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com/ semalam.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, semalam meminta ahli-ahli Pakatan Rakyat supaya menghentikan fitnah ke atas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin dan menjadi ADUN Bebas.

Beliau berkata, Radzhi meletak jawatan dalam Pakatan kerana masalah-masalah polisi dan prinsip dan bukannya berkaitan dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Menurut Zulkifli, segelintir ahli-ahli PKR menuduh Radzhi meletak jawatan kerana pelbagai sebab termasuk beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masalah disiplin dan ada yang menuduh beliau menerima rasuah sebanyak RM4 juta daripada Umno.

Alhamdullilah, ada juga orang PKR yang tidak mahu menjadikan politik menyerang peribadi sebagai cara mendapatkan sokongan dan kuasa.

Saya terkejut membaca blog http://pkrpasdap.blogspot.com yang menyebut bahawa Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya memberitahu Radzhi keluar dari PKR lebih baik kerana dia tidak membawa apa-apa faedah kepada Pakatan mahupun BN.

Menurut blog berkenaan, Koya berkata, calon ini memang bermasalah dan wajar dibersihkan dari PKR. Begitu hinanya pada pandangan PKR sekiranya ada calon lompat parti kerana tidak puas hati. Cakap pasal tidak puas hati, kata Koya, Radzhi dikatakan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM). Radhzi juga dikatakan mengalami masalah rumahtangga serius.

Blog berkenaan bertanya: “Yang lucunya, kenapa hal rumahtangga Radhzi menjadi isu. Kalau masalah rumahtangga menyebabkan calon itu perlu letak jawatan... ramai dan berlambak ADUN dan YB Parlimen dari PKR yang ada masalah rumahtangga.”

Koya menurut blog berkenaan, berkata Radzhi ketika memegang jawatan Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia menyalahgunakan kuasa. Dia mengumpul kekayaan atas jawatan itu. Koya berhujah, Radzhi suka memiliki kilang, kedai dan harta semasa memegang jawatan berkenaan. Dia bukan seorang YB yang mementingkan tanggungjawab untuk rakyat sebaliknya menggunakan pengaruhnya untuk memperolehi kekayaan.

Koya menjelaskan, PKR gembira dengan tindakan bekas Adun mereka itu dari terus menjadi duri dalam dagung dan memburukkan imej parti dengan sikap dan rekod yang dimilikinya.”
Sebaliknya Zulkifli berkata “sebagai sebagai pejuang hak asasi manusia, sepatutnya kita (Pakatan) menjadi orang pertama menmghormati keputusan beliau kerana itu adalah hak asasi beliau untuk memilih dan menentukan parti mana yang beliau mahu sertai," katanya.

Menurut Zulkifli pula, Radzhi sangat komited dan berdedikasi semasa menjalankan tugasnya sebagai Exco Pelancongan dan Sumber Manusia dan hanya Sultan Kedah mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada beliau perlu kekal sebagai Exco.

Dalam blognya, Zulkifli turut memberitahu mengenai usaha-usaha yang dilakukan Radzhi untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi "syariah compliance" dan "halal tourism" untuk menarik lebih pelancong dari Asia Barat.

Zulkifli memuji Radzhi dengan berkata: "Beliau sangat menaruh minat dengan konsep "halal hotel" yang dilaksanakan oleh pengurusan Hotel De Palma, Ampang Selangor yang katanya memenuhi cita-cita beliau untuk melaksanakan "halal tourism" di Kedah. Beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan dengan pihak pengurusan hotel De Palma untuk mempelajari konsep "syariah compliance hotel" ini.”.

Selain itu Radzhi adalah antara orang yang paling sedih tentang perkara berhubung isu kaum Melayu di Malaysia yang tidak bersatu sejak pilihan raya umum 2008, Zulkifli berkata,
"Beliau sangat teringin melihat pemimpin-pemimpin Melayu Islam daripada PAS, PKR dan UMNO duduk semeja untuk mencari kata sepakat demi ukhwah Islamiyyah dan maruah agama yang makin tercabar," katanya.

Zulkifli mengakui Radzhi turut berhadapan dengan masalah kewangan untuk memantau dan menguruskan DUN Lunas. Katanya, ADUN daripada Pakatan terutamanya di Kedah tidak menerima sebarang bantuan kewangan atau dana.

"Kami bergantung sepenuhnya kepada elaun dan pendapatan sebagai ADUN dan MP. Ini ditambah pulak dengan masalah dalaman, jentera dan cabang PKR di Padang Serai yang tak habis-habis dilanda masalah dalaman termasuk ketiadaan kerjasama daripada beberapa orang pimpinan tempatan," katanya.

Zulkifli turut mempersoalkan mengapa ahli-ahli Pakatan mendesak Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN sedangkan semasa ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, dan kemudian kembali semula menyertai Umno, PKR tidak memaksa beliau meletak jawatan.

"Melainkan kita ini pengamal fahaman 'double-standard', saya berpendapat pendirian kita mesti istiqamah dan konsisten," tegas Zulkifli.