Wednesday, August 26, 2009

KENAPA MAIN POLITIK FITNAH...

"Ingatlah setiap jari yang kita tuding kepada orang, tiga jari lagi menuding kepada kita," kata Zulkifli Noordin dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com/ semalam.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, semalam meminta ahli-ahli Pakatan Rakyat supaya menghentikan fitnah ke atas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin dan menjadi ADUN Bebas.

Beliau berkata, Radzhi meletak jawatan dalam Pakatan kerana masalah-masalah polisi dan prinsip dan bukannya berkaitan dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Menurut Zulkifli, segelintir ahli-ahli PKR menuduh Radzhi meletak jawatan kerana pelbagai sebab termasuk beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masalah disiplin dan ada yang menuduh beliau menerima rasuah sebanyak RM4 juta daripada Umno.

Alhamdullilah, ada juga orang PKR yang tidak mahu menjadikan politik menyerang peribadi sebagai cara mendapatkan sokongan dan kuasa.

Saya terkejut membaca blog http://pkrpasdap.blogspot.com yang menyebut bahawa Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya memberitahu Radzhi keluar dari PKR lebih baik kerana dia tidak membawa apa-apa faedah kepada Pakatan mahupun BN.

Menurut blog berkenaan, Koya berkata, calon ini memang bermasalah dan wajar dibersihkan dari PKR. Begitu hinanya pada pandangan PKR sekiranya ada calon lompat parti kerana tidak puas hati. Cakap pasal tidak puas hati, kata Koya, Radzhi dikatakan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM). Radhzi juga dikatakan mengalami masalah rumahtangga serius.

Blog berkenaan bertanya: “Yang lucunya, kenapa hal rumahtangga Radhzi menjadi isu. Kalau masalah rumahtangga menyebabkan calon itu perlu letak jawatan... ramai dan berlambak ADUN dan YB Parlimen dari PKR yang ada masalah rumahtangga.”

Koya menurut blog berkenaan, berkata Radzhi ketika memegang jawatan Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia menyalahgunakan kuasa. Dia mengumpul kekayaan atas jawatan itu. Koya berhujah, Radzhi suka memiliki kilang, kedai dan harta semasa memegang jawatan berkenaan. Dia bukan seorang YB yang mementingkan tanggungjawab untuk rakyat sebaliknya menggunakan pengaruhnya untuk memperolehi kekayaan.

Koya menjelaskan, PKR gembira dengan tindakan bekas Adun mereka itu dari terus menjadi duri dalam dagung dan memburukkan imej parti dengan sikap dan rekod yang dimilikinya.”
Sebaliknya Zulkifli berkata “sebagai sebagai pejuang hak asasi manusia, sepatutnya kita (Pakatan) menjadi orang pertama menmghormati keputusan beliau kerana itu adalah hak asasi beliau untuk memilih dan menentukan parti mana yang beliau mahu sertai," katanya.

Menurut Zulkifli pula, Radzhi sangat komited dan berdedikasi semasa menjalankan tugasnya sebagai Exco Pelancongan dan Sumber Manusia dan hanya Sultan Kedah mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada beliau perlu kekal sebagai Exco.

Dalam blognya, Zulkifli turut memberitahu mengenai usaha-usaha yang dilakukan Radzhi untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi "syariah compliance" dan "halal tourism" untuk menarik lebih pelancong dari Asia Barat.

Zulkifli memuji Radzhi dengan berkata: "Beliau sangat menaruh minat dengan konsep "halal hotel" yang dilaksanakan oleh pengurusan Hotel De Palma, Ampang Selangor yang katanya memenuhi cita-cita beliau untuk melaksanakan "halal tourism" di Kedah. Beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan dengan pihak pengurusan hotel De Palma untuk mempelajari konsep "syariah compliance hotel" ini.”.

Selain itu Radzhi adalah antara orang yang paling sedih tentang perkara berhubung isu kaum Melayu di Malaysia yang tidak bersatu sejak pilihan raya umum 2008, Zulkifli berkata,
"Beliau sangat teringin melihat pemimpin-pemimpin Melayu Islam daripada PAS, PKR dan UMNO duduk semeja untuk mencari kata sepakat demi ukhwah Islamiyyah dan maruah agama yang makin tercabar," katanya.

Zulkifli mengakui Radzhi turut berhadapan dengan masalah kewangan untuk memantau dan menguruskan DUN Lunas. Katanya, ADUN daripada Pakatan terutamanya di Kedah tidak menerima sebarang bantuan kewangan atau dana.

"Kami bergantung sepenuhnya kepada elaun dan pendapatan sebagai ADUN dan MP. Ini ditambah pulak dengan masalah dalaman, jentera dan cabang PKR di Padang Serai yang tak habis-habis dilanda masalah dalaman termasuk ketiadaan kerjasama daripada beberapa orang pimpinan tempatan," katanya.

Zulkifli turut mempersoalkan mengapa ahli-ahli Pakatan mendesak Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN sedangkan semasa ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, dan kemudian kembali semula menyertai Umno, PKR tidak memaksa beliau meletak jawatan.

"Melainkan kita ini pengamal fahaman 'double-standard', saya berpendapat pendirian kita mesti istiqamah dan konsisten," tegas Zulkifli.

2 comments:

  1. Ramai di antara calon parti pembangkang yang bertanding dalam PRU 12 sekadar 'tangkap muat' dan kemudian telah menang. Mereka sebenarnya tidak pun memahami konsep/dasar politik sebenar parti yang mereka wakili. Mereka bertanding dulu kerana 'disuruh'.
    Sekarang ramai di antara mereka yang mulai sedar bahawa mereka sebenarnya telah tertipu 'hidup-hidup' oleh DSAI. Mereka mulai melihat kerosakan demi kerosakan yang dibuat oleh parti pembangkang terhadap bangsa melayu dan agama Islam. Apabila mereka cuba telus untuk memperbetulkannya, mereka telah dihalang dan dicemuh. Itulah yang berlaku kepada Adun Lunas dan juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu.
    Baru mereka sedar 'wayang' yang dimainkan oleh DSAI untuk mencapai cita-citanya hendak menjadi PM itu.
    Nampaknya 'politik fitnah' ini telah banyak memenangkan kerusi DUN dan Parlimen kepada parti pembangkang! Apakah strategi yang sama perlu dibuat oleh BN kerana rakyat nampak meyukainya.

    ReplyDelete
  2. Menjelaskan mengenai perbuatan mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan,

    pertama ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.

    Kedua , orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat.

    Malah ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya kerana jika didiamkan tentulah ia bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah sehingga membahayakan masyarakat.

    ReplyDelete