Saturday, February 26, 2011

KEYAKINAN BN & HARAPAN PAS DI KERDAU, MERLIMAU

Permulaan yang baik dan harmoni antara penyokong UMNO/Barisan Nasional dan PAS/pembangkang pada dua tempat penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) di Merlimau dan Kerdau pagi ini, diharapkan suasana berterusan hingga hari membuang undi.

Harakahdaily Online turut memaklumkan bahawa sepanjang perarakan dan menunggu masa pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada kedua-dua PRK itu, ia berlangsung dalam suasana harmoni.

PRK di kedua-dua Dewan Undangan Negeri Kerdau dan Merlimau yang akan berlangsung 6 Mac menyaksikan pertembungan antara calon PAS dan UMNO sahaja.

Di Kerdau, pertembungan dua penjuru adalah antara calon PAS, Hassanuddin Salim dengan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pengawaii Pengurus bagi PRK Kedau, Datuk Tarif Abd Rahman mengumumkan perkara itu jam 11.30 pagi ini dan hanya menerima satu bantahan daripada calon-calon yang bertanding sepanjang tempoh bantah dari jam 10 hingga 11 pagi ini.

Di JASIN pula, pegawai pengurus pilihan raya Roslan Eusoff mengumumkan pihaknya menerima tiga bantahan tetapi kedua-dua pencalonan diterima. Pertandingan dua penjuru adalah antara calon BN, Roslan Ahmad dengan calon PAS, Yuhaizad Abdullah pada PRK Merlimau.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menganggap DUN Merlimau adalah kubu BN selain calon BN adalah yang satu-satunya bukan seperti pembangkang.

Menurut beliau yag juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata DAP dan PKR jelas mahukan kerusi ini dan apabila PAS mengumumkan ia meletakkan calon, DAP bagaikan memboilot penamaan calon hari ini.

Di Kerdau, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK berkenaan, tiada isu besar yang boleh dicanangkan oleh pembangkang.

"Yang ada hanyalah isu setempat berkaitan tanah dan isu untuk mempertingkat kemudahan jalan raya dan bekalan air, yang semuanya akan diselesaikan secepat mungkin" katanya.

Adnan berkata BN akan mengambil pendekatan bersemuka dan menemui pengundi bagi mengetahui dan menyelesaikan masalah mereka.

Kerusi Kerdau dahulunya dikenali sebagai Sanggang dan terletak dalam kawasan Parlimen Mentakab. Selepas persempadanan semula pada 2004, Kerdau diletakkan dalam kawasan Parlimen Kuala Krau.

Berdasarkan calon BN yang disifatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang "bukan sahaja boleh menang tapi cemerlang itu", Syed Ibrahim, dilihat tidak akan menerima "serangan peribadi" daripada parti lawan.

Syed Ibrahim sering mengadakan ceramah agama di masjid-masjid di Kerdau sekaligus memperlihatkan beliau seorang yang berkualiti sebagai pemimpin akar umbi.

Naib Ketua Umno Cawangan Kerdau, Abdul Rahman Abdul Rashid, juga menegaskan tiada isu besar di Kerdau kerana kerajaan Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di situ sejak dahulu lagi.

Beliau berkata semua kampung tradisonal termasuk kawasan Felda mempunyai rangkaian jalan bertar, balai raya, dewan, masjid dan surau.

Malah, sebuah perkampungan Orang Asli disitu juga telah dibekalkan dengan kemudahan elektrik dan air paip 24 jam.

Mengenai pemilihan Syed Ibrahim, Abdul Rahman berkata ia adalah pilihan tepat kerana Syed Ibrahim mampu menjadi wakil rakyat yang baik untuk membantu penduduk di situ.

Seperti biasa, PAS tetap menaruh harapan untuk melakukan 'kejutan' dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac depan. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tidak mustahil calon PAS menang kerana generasi muda, termasuk di Felda semakin bermaklumat dan sedar.

PAS mempertaruhkan harapannya kepada Hassanuddin yang juga calon parati itu dalam pilihan raya umum 2008, tetapi tewas kepada calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim. Hassanuddin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi.

Abdul Hadi sudah memberi jaminan bahawa PAS tidak menyerang peribadi calon bn BN dan isu ijazah calon BN didakwa mungkin ditimbulkan Umno sendiri.

Naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata walaupun peluang mereka masih 50-50, PAS akan mampu membuat kejutan. Beliau mendakwa, BN sudah masuk perangkap PAS apabila menyangka beliau akan bertanding dalam pilihan raya Kerdau kali ini.

Tuan Ibrahim yang juga pengarah pilihan raya PAS berkata parti itu memilih Hassanuddin kerana beliau merupakan anak tempatan dan berjaya menurunkan majoriti BN sebelum ini.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang menjangkakan tidak mustahil tsunami politik akan berlaku lagi di Kerdau dan dalam pilihan raya kali ini semua undi adalah penting, tidak kira daripada bangsa apa pun.

Di Merlimau, timbalan presiden PAS, Nasharuddin Md Isa berkata kempen parti itu akan merupakan gabungan isu tempatan, nasional dan antarabangsa. Beliau menganggapnya peluang untuk jentara Pakatan Rakyat dan PAS mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, yang berada di Merlimau sejak semalam, berpendapat bahawa situasi di Merlimau adalah lebih positif daripada DUN Tenang di mana PAS tewas dalam pilihan raya kecil di situ.

"Saya berada di kawasan pedalaman Melayu malam tadi dan soalan yang mereka tanya kepada saya adalah mengenai isu pusat, jadi itu baik untuk Pakatan," tambahnya.

Walaupun apa pun harapan PAS atau jangkaan tsunami politik oleh DAP, satu hakikat yang ntidak boleh diketepikan begitu sahaja ialah BN dan UMNO sudah menabur banyak bakti di dua DUN berkenaan.

Malah, akan banyak lagi kemudahan akan dibawa sekiranya rakyat memilih kembali BN untuk meneruskan agenda pembangunan politik dan ekonomi di dua kawasan berkenaan.