Thursday, January 29, 2009

TAJOL ROSLI KLU-KLEK?

Aikk…akhbar silap lagi, terutamanya Berita Harian.

Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali naïf letak jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak.
Menurut laporan Utusan Malaysia Online petang ini, Tajol Rosli Ghazali hari ini menafikan laporan akhbar yang mengatakan beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.

Menurut bekas Menteri Besar Perak itu, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.
Jadi siapa yang klu-klek, Tajol Rosli atau Berita Harian?

“Kenyataan itu telah diambil daripada pihak lain bukan daripada saya. Laporan itu tidak beretika,” dakwa Tajol Rosli.

Berita Harian melaporkan dari Parit, Perak semalam bahawa Tajol Rosli memang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak kerana rasa bertanggungjawab terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ketika ini," katanya pada majlis perjumpaan bersama Pemimpin Umno Bahagian Parit dan ketua cawangan dalam bahagian itu di Bangunan Umno Parit di lewat petang kelmarin.

Tajol Rosli menyifatkan tindakan Nasaruddin sebagai tanda undi tidak percaya terhadap kepemimpinannya. Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, kejadian itu memalukan Umno Perak terutama selepas Barisan Nasional (BN) kalah di negeri ini dalam pilihan raya umum lalu.

Untuk mencari kebenaran, kita kena tanya Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, Timbalannya Yusuf Nordin, Naib ketua bahagian yang juga Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria, Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, Datuk Ramly Zahari dan Setiausaha Kerja Umno Negeri Datuk Hasbullah Osman yang turut hadir sama ada beliau benar-benar buat kenyataan sedemikian.

Tajol Rosli berkata, surat peletakan jawatannya itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada jam 4.30 petang, Isnin lalu.
Dan pastinya malam ini, wartawan boleh tanya Najib sama ada benar atau sebaliknya berita itu.
Jika benar Tajol Rosli berkata sedemikian, Berita Harian memang tidak beretika tetapi jika sebaliknya, Tajol Rosli pun memang tidak beretika.

Harap janganlah ada saman menyaman kerana banyak sangat pun kes saman-menyaman tidak baik untuk dunia persuratkhabaran negara ini.

UMNO PERLU DIJENAMAKAN SEMULA

Bukan nak mengajar tetapi bertindak cepatlah jika mahu selamatkan UMNO.
Jangan biarkan rakyat, termasuk penyokong UMNO sendiri meluat dengan sesetengah pemimpin UMNO.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini dikatakan akan membincangkan mengenai beberapa perkara termasuk perkembangan terkini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim keluar daripada Barisan Nasional (BN) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Perkara penting sewajarnya diperkatakan ialah mencari jalan supaya UMNO menjadi produk yang boleh ‘dijual semula’ khususnya kepada orang Melayu.

Kedudukan hari ini ternyata UMNO mengalami krisis identiti dan UMNO tidak lagi menjadi produk utama tetapi sampingan.

Jangan biarkan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi produk utama pilihan orang Melayu.

Datuk Seri Mohd Najib Razak wajar mengemukakan pelan bertindak menyelamatkan UMNO.
Najib kena mengubah cara bertindak dan pelan tindakan perlulah yang sesuai dengan kehendak orang ramai, bukan segelintir pemimpin UMNO yang mahu menyelamatkan kedudukan dan kuasa mereka.

Yang sudah melepasi tempoh guna, buang saja. Tanpa melakukan ini, UMNO akan terus parah. Kekalahan UMNO banyak risikonya. Orang Melayu akan turut tenggelam kerana PAS dan Keadilan bukan memperjuangkan kepentingan Melayu.

Biarkan orang PAS bercakap Islam tidak mengiktiraf Melayu walaupun hakikatnya ketika ini majoriti orang Melayu beragama Islam. Biarlah pemimpin PAS mahu berfalsafah sebanyak mana kerana akhirnya Islam dapat ditegakkan di bumi Malaysia bukan jasa PAS tetapi UMNO.

Hanya melalui UMNO, sebuah kerajaan yang stabil dapat diwujudkan bersama-sama dengan komponen utamanya, MCA, Gerakan, MIC serta parti-parti di Sarawak dan Sabah.
Tanyalah calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimana mahu merawat UMNO.

Beliau begitu banyak memberikan idea untuk menggembalikan maruah UMNO. Muhyiddin pula jangan hanya membuat cadangan kononnya UMNO kena itu dan ini hanya kerana bertanding Timbalan Presiden UMNO.

Apa perubahan yang beliau mahukan sebagai calon Timbalan Presiden? Muhyiddin tidak sepatutnya sekadar mengkritik dan mahu menunjukkan beliau pemimpin yang wajar disegani.
UMNO sekarang bukan lagi ‘zaman khayalan’. Calon UMNO perlu diterima rakyat bukan memaksa rakyat menerima mereka.

MT hari ini juga perlu melihat dan mencari ubat mengatasi masalah politik wang. Bukan sekadar merawat tetapi mencegah.

MT wajar bicang isu politik wang yang melibatkan beberapa pemimpin Umno yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saya berulang kali menegaskan maslah politik wang perlu diatasi melalui pencegahan bukan secara hukuman.

Malu melihat guru, pegawai kerajaan dan individu tertentu digari hanya kerana rasuah RM200 hingga RM500. Kalau kena gari rasuah RM5 juta atau RM50 juta berpadanan.

Apa pandangan rakyat jika rasuah berleluasa dengan jumlah kecil seperti yang disiasat SPRM sekarang?

UMNO politik murahan. Boleh beli pemimpin dengan hanya RM100 atau RM200 sahaja?
Apa maruah UMNO?

Sebab itu perlu ada cara pencegahan mengatasi masalah ini supaya Jawatankuasa Disiplin hanya membicarakan kes-kes yang terpilih sahaja bukan kes yang bertimbun-timbun.

Kerana banyak sangat kes, maka aka nada cadangan ‘nakal’ umpamanya membubarkan sayap seperti Puteri dan Putera.

Masalah di depan bukan kerana ahli kedua-dua sayap ini budak-budak tetapi kerana UMNO tidak mencegah rasuah, budak-budak ini mahu melonjak menggunakan wang. Masuk UMNO mesti jadi kaya kalau mahu kuasa.

Apakah ini matlamat menubuhkan kedua sayap berkenaan? Bukan dan tidak sama sekali.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semalam, mesyuarat bulanan MT Umno itu akan membincangkan mengenai pelbagai isu mengenai keadaan politik semasa.

Bagaimanapun beliau menafikan mesyuarat tersebut khusus bagi membincangkan mengenai tindakan Nasaruddin menyertai parti pembangkang pada Ahad lalu.

"MT adakan mesyuarat bulanan seperti biasa, bukan ada sebab-sebab tertentu atau kerana perkara-perkara tertentu.

"Tak ada apa yang boleh dibuat dengan ADUN Bota itu, mesyuarat ini bukan khusus bincangkan mengenai beliau," katanya.

Tidak apalah, kes Nasarudin akan menjadi rujukan dan begitu juga kes rasuah dan sebagainya.
Ini mendewasakan UMNO. Namun jika kita berbangga dengan dewasanya UMNO, jangan jadikan UMNO sebagai ‘kelas dewasa’. UMNO bukan lagi tempat mengajak A, B, C dalam politik.
Tanggungjawab UMNO kini besar dan bermaruah.

UMNO – berkuasa dan memerintah dengan cemerlang, bukan parti yang terus menerus menghadapi masalah ahli yang korup, pentingkan diri dan menjadi kaya melalui parti.
Jadikan UMNO yang berjasa kepada semua rakyat Malaysia – dulu, kini dan selamanya!