Ternyata Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pemimpin UMNO Kelantan tetap popular dan digeruni.
Beliau bukan sekadar diperkatakan sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, malah ada cadangan untuknya menjadi pengarah pilihan raya berkenaan.
Sehingga ini Tengku Razaleigh masih membisu terhadap cadangan itu.
"Kebisuannya' itu mengundang pelbagai spekulasi.Ada mengatakan beliau perlu berfikir panjang kerana sebelum ini beliau menyokong beberapa langkah kerajaan PAS Kelantan dan paling terbesar ialah tuntutan royaliti minyak oleh kerajaan Kelantan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pula tidak mahu terikat mengenai cadangan Pemuda UMNO Kelantan supaya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.
Najib menjawab selamba soalan wartawan: “Kita tak akan bercakap mengenai calon ketika ini... saya masih menunggu cadangan.”
Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah boleh dipertimbangkan sebagai calon BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon yang paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.
Bagaimanapun, kata beliau, soal sama ada Tengku Razaleigh yang telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Galas mahu bertanding atau mempunyai calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, ia terpulang kepada bekas Menteri Kewangan itu.
"Sebagaimana biasa kita beri lebih ruang pada Ku Li untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, ini kita akan berikan keutamaan," katanya semalam.
Muhyiddin berkata, terserah kepada UMNO bahagian Gua Musang yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah untuk menentukan calon terbaik mewakili BN.
Yang pasti Najib sendiri sudah memberi jaminan BN akan meletakkan calon terbaik untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan.
Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas kerana barah usus pada Ahad lalu.
Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi sekali gus membuatkan pemerhati politik menganggap BN mempunyai peluang baik untuk merampas kembali kerusi DUN itu.
Dan dalam keriuhan dan kegairahan UMNO memperkatakan mengenainya, anggota Parlimen Gua Musang itu hanya berdiam diri.
Sehingga ini beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung pelantikkannya sebagai pengarah pilihan raya UMNO/Barisan Nasional (BN) yang diberikan kepadanya bagi pilihan raya kecil Galas.
"Saya tidak menyatakan ya atau tidak. Saya akan menjelaskannya apabila saya kembali ke Malaysia," katanya dalam laman sosial, Twitter.
Tengku Razaleigh ketika ini berada di luar negara.
PAS melihat UMNO terpaksa melantik Tengku Razaleigh menjadi Pengarah Pilihanraya UMNO PRK Galas dan sesuatu yang luarbiasa kerana dalam pilihan raya kecil (PRK) sebelumnya, pengarahnya mestilah Timbalan Presiden UMNO ataupun Naib Presiden UMNO.
Menurut seorang pemimpinnya, terbukti UMNO takut kepada Tengku Razaleigh Hamzah kerana pengaruh beliau yang kuat di Gua Musang.
Jarang sekali perkara sebegini berlaku. Sepatutnya Ku Li boleh membaca strategi UMNO yang menggunakan pengaruhnya bila terdesak tetapi melihatnya macam sampah pada waktu yang lain terutama semasa pemilihan.
Adalah diharapkan Ku Li sedar dan tidak menjadikan ‘pujukan’ UMNO ini sebagai batu loncatan untuk menghentam PAS dan rakyat Kelantan dalam isu royalti. Kalau sebelum ini Ku Li lantang dan senada dengan PAS dalam isu royalti ini, maka diharapkan beliau tidak membuat pusingan ‘U’ 360 darjah semasa PRK Galas nanti.
Pengumuman untuk meletakkan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas biarpun dikatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, sebagai tidak memberi kelebihan kepada parti yang bertanding sama ada Barisan Nasional (BN) atau PAS, hakikatnya bagi pemimpin PAS Kelantan, ia sedikit gusar.
Ini kerana PAS Kelantan beberapa hari lalu mengakui "sedikit gusar" dalam usahanya mempertahankan kerusi DUN Galas berikutan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang itu.
Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Haron, berkata ini kerana ketokohan Tengku Razaleigh akan memberi impak yang besar dan boleh membawa kemenangan kepada BN.
"Trek rekod Ku Li adalah sangat baik dan tiada siapa yang boleh menafikan ketokohannya. Kita akui laluan kita di Galas menjadi lebih sukar kali ini apatah lagi kita hanya menang tipis pada pilihan raya umum lalu," katanya.
Di Kelantan, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Noor Zahidi Omar, berkata pelantikan Tengku Razaleigh sangat wajar dan beliau mampu mengembalikan kerusi Galas kepada BN. "Kami akan bekerja habis-habisan bagi membantu beliau," kata Noor Zahidi.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad pula, menyifatkan pelantikan itu sebagai sangat tepat dan diterima semua pihak termasuk parti komponen BN yang lain.
"Ia langkah sangat bijak dan Tengku Razaleigh seorang yang dihormati dan satu nama besar dalam politik dan sudah tentu ini memberi kelebihan kepada BN," katanya.