Monday, August 24, 2009

NASI SUDAH MENJADI BUBUR...

“Rohaizat adalah kawan saya, saya tahu hati budinya dan dia anak jati Permatang Pasir. Dia sendiri sudah lama menabur bakti di sana. Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan baik kepada masyarakat setempat.

“Saya tampil tempoh hari kerana berasa marah dan kecewa apabila saya dijadikan kambing hitam dalam kes membabitkan koperasi itu (KPGNPP).

Oleh itu, kenyataan terbuka dibuat semata-mata untuk mempertahankan diri saya dan menjelaskan apa yang sudah berlaku.”
"Saya tidak berniat untuk menganiaya atau menyokong sesiapa. Apa yang terjadi harus dijadikan teladan, bukan hukuman. Secara tidak langsung, saya merasa dibabitkan sama dalam usaha memburuk-burukkan Rohaizat.

"Tetapi apabila Rohaizat dikeji sedemikian rupa, saya merasa bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan saya selanjutnya dan juga menyampaikan apa yang saya rasa.”


Ini antara pernyataan bekas rakan kongsi firma guaman Rohaizat Othman, Yusri Isahak semalam di Kuala Lumpur.

Kenyataan itu dibuat berikutan dakwaan yang mengatakan Rohaizat terlibat dalam penyelewengan melibatkan transaksi jual beli tanah yang diuruskan oleh Yusri bagi pihak Koperasi Pekebun-pekebun Getah Pulau Pinang.

"Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan kepada masyarakat setempat," katanya.

Yusri boleh berasa sedih terhadap serangan peribadi ke atas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir itu.

Yusri juga boleh berasa simpati dengan keadaan ditanggung Rohaizat ketika ini dan memang benar kini Yusri ‘terpalit’ dalam usaha memburuk-burukkan Rohaizat.

Walaupun Yusri mengaku tidak boleh berdiam diri apabila melihat kenyataannya tempoh hari digunakan tanpa henti terhadap rakannya itu yang disifatkannya sebagai manusia dikenali secara peribadi adalah seorang yang baik hati, namun, bagi saya segala-galanya sudah terlambat.

Pertamanya, kenapa pentas pembangkang dijadikan medan untuk ‘menjelaskan’ dan kedua, kenapa kenyataan pertahankan diri dibiarkan ‘melalut’ hingga boleh menjejaskan imej calon Barisan Nasional berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan Yusri mengadakan sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Yayasan Aman, Penanti, mengenai isu berkenaan yang mana Yusri menyifatkannya dibuat sebagai untuk membersihkan nama baik beliau dan keluarga.

Dalam pada itu, laporan sebelum ini juga pernah melaporkan Yusri tanpa menafikan tuduhan penyelewengan yang berlaku, tidak mahu dipersalahkan secara perseorangan.

Berikutan kenyataan Yusri mengenai kes pembelian hartanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) 20 Ogos lalu, imej Rohaizat sukar dipulihkan kerana jelas berikutan kenyataan itu, pelbagai tohmahan dilontarkan yang menyimpang daripada tujuan asal beliau membuat kenyataan akhbar berkenaan.

Malang sekali, Yusri tanpa sedar atau tidak, melalui kenyataannya itu, ia digunakan untuk menghentam dan memburuk-burukkan Rohaizat habis-habisan.

Yusri boleh mendabik dada mengatakan “sebanyak mana wang dan harta dunia sekali pun tidak akan dapat membeli saya untuk menggadai bangsa, agama dan negara saya...akan timbul tuduhan bahawa saya mendapat ganjaran dan habuan untuk tampil membuat kedua-dua kenyataan akhbar ini (semalam dan tempoh hari)” tetapi ketika ini ia tidak ada apa-apa makna lagi untuk Rohaizat dan BN.

Yusri sendiri ketika ditanya sama ada Rohaizat bersalah atau pun hanya menjadi mangsa keadaan, katanya, beliau bukan dalam kedudukan untuk menyatakan perkara itu, sebaliknya pihak yang lebih tepat adalah mahkamah dan Majlis Peguam.

Kurang 24 jam hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, calon Barisan Nasional (BN) semalam, Rohaizat yakin peratusan pengundi yang menyokongnya akan terus meningkat.

"Majoriti pengundi berjanji untuk menyokong saya, malah mereka bersimpati dengan saya kerana taktik kotor pihak lawan yang menggunakan isu peribadi sehingga menjejaskan maruah keluarga saya," katanya.

Rohaizat, 38, yang juga Setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, berdepan Mohd Salleh Man, 52, daripada Pas, pada pilihan raya kecil itu hari ini.