Friday, November 24, 2017

UMNO vs PPBM - WAHAI NAJIB, BANDINGLAH ‘EPAL DENGAN EPAL’…


UMNO, khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak jangan buta sejarah apabila membandingkan UMNO dengan pembangkang yang menganggapnya berada dalam keadaan kucar-lanar atau berserabut.

Bagi Najib, UMNO kini semakin kukuh dan terus konsisten. Memang pun, parti dah berusia 70 tahun.

Bercakap pada satu majlis di Pekan kelmarin, Najib lupa bahawa pada awal penubuhannya, banyak rintangan di hadapi UMNO. Ini termasuk pemisahan antara sayap ulamanya yang membawa kepada pembentukan PAS.

Malah, Presiden UMNO (lama) yang ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946 Dato Onn Jaafar turut meletakkan jawatan dan menubuhkan parti baru, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Walaupun penubuhan UMNO mendapat sokongan istana namun itu tidak bermakna ia tidak menempuh gelora.

Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951 yang menolak usul beliau mengenai cadangan keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu".

Berikutan itu, Dato Onn kemudian menubuhkan IMP pada 26 Ogos, 1951

Selain itu, UMNO turut berdepan dengan krisis diakibatkan oleh  Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan yang dikatakan  diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini.
 
Bukan sedikit pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa akan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja loteri yang dianggap perjudian.

Akibatya wujud  penubuhan PAS selepas berlangsungnya Muktamar Ulama Ke-3 di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth.

Ada mengatakan PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada 23 Ogos 1951 dan ada yang lain mengatakan PAS ditubuhkan pada 24 November 1951. Akhirnya tarikh rasmi penubuhan PAS bersetuju pada 24 November 1951.

Krisis selepas itu adalah perkara biasa tetapi yang nyata, UMNO tidak pernah lepas daripada cabaran dan ujian getir.

Kerana itu apalah pelik sangat jika PPBM turut menghadapi krisis dan ancaman dalaman?

Membandingkan UMNO yang kini dianggap begitu stabil dengan PPBM adalah tidak  adil.

PPBM baharu setahun jagung!

Malah, penubuhan cawangan PPBM berasaskan Pusat Daerah Mengundi juga banyak yang masih belum selesai.

Kegagalan menyelesaikan isu berkaitan struktur organisasi akar umbi khususnya di peringkat cawangan menjadi antara punca PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti.
Perkara itu diakui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang mengesahkan kegagalan menyelesaikan isu berkenaan turut meletakkan PPBM dalam situasi keliru untuk menentukan siapa yang layak menghadiri AGM terbabit.
Kerana itu kepastian diperlukan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) apakah PPBM tidak perlu pemilihan peringkat cawangan? Jika ia tidak perlu PPBM boleh teruskan AGM di peringkat bahagian dengan perwakilan ahli jawatankuasa bahagian sahaja.
Najib juga dengan bangganya berkata semangat perjuangan parti itu berbeza dengan situasi pembangkang.

“Biar pembangkang kucar-lanar, kita tetap utuh dan sentiasa berbudi. Bukan sahaja suka bantu rakyat tetapi sentiasa di sisi rakyat sama ada ketika mereka senang atau susah.

Sebagai Perdana Menteri, Najib bertuah kerana dapat memberikan apa sahaja kepada pemimpin UMNO di semua peringkat.

Namun di pihak parti PPBM yang kekurangan segala-galanya perlu bergerak dengan banyak halangan, namun keupayaannya untuk berkembang dengan begitu cepat memuaskan hati semu pihak, khususnya Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau menepuk dada bangga kerana wujudnya kekuatan parti itu, Najib lupa kepada sumbangan mereka yang pernah ada dalam parti itu, di mana setengahnya kini dalam PPBM tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Najib menerima UMNO dalam keadaan yang mantap dan stabil dan pastinya ini memberikan kelebihan kepadanya untuk turut memberi manfaat hingga dapat membantu mengukuhkan ekonomi negara.

Perbandingan tidak adil, tidak setaraf dan ‘permainan di padang yang berlainan’ antara sebuah parti yang sudah 70 tahun dengan parti setahun jagung adalah tindakan ‘masuk bakul angkat sendiri’.

Apa lagi, PPBM bukan sebuah partii yang mempunyai ramai pemimpin ternama seperti dalam Parti Semangat 46 yang ditubuhkan hasil perpecahan akibat pemilihan UMNO 1988.


Satu lagi, PPBM bukanlah parti yang diakibatkan keluarnya pemimpin UMNO secara enbloc seperti yang berlaku melalui penubuhan Semangat 46 atau Parti AMANAH daripada PAS
.
Dua pemimpin utama PPBM kini – Presiden dan Timbalannya - adalah mereka yang dipecat oleh kerajaan dan parti, namun pengikut PPBM tetap mendadak.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi 'tiang seri' kepada PPBM sebenarnya mengundurkan diripada UMNO lebih awal berbanding dua pemimpin UMNO yang dipect itu.

Najib jangan terlalu merasa terselamat dengan kedudukan UMNO hari ini. Hakikatnya wujud ‘bantahan secara senyap’ daripada rakyat dan mereka yang ada dalam UMNO sendiri.

Yang menunjuk-nunjuk memberi sokonan ialah mereka yang mendapat imbuhan secara langsung daripada Najib dalam apa juga bentuk, termasuk ‘dedak’.

Sudah pasti semakin ekat pilihan raaya ramai mahu menjadi juara pertahankan Najib.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang berada di peringkat cawangan UMNO? Apakah mereka selesa dengan kedudukan sekarang?

Jika selesa, kenapa ada cawangan yang tidak mampu mengadakan mesyuarat cawangan atau kalau ada laporan mesyuarat cawangan pun, apakah ia mesyuarat yang benar-benar sah?

Jika UMNO yang berusia 70 tahun tetap berdepan berbagai masalah, apakan pula bagi PPBM yang baru setahun ditubuhkan, semestinya tidak boleh terlepas daaripada berdepan dengan berbagai isu dalam konteks strukturnya.

Bandinglah epal dengan epal, bukan durian Musang King dengan ‘Timun Cina’ (tembikai) wahai Najib!