Wednesday, October 21, 2015

NAJIB, TIDURLAH DENGAN LENA…TAK AKAN ADA ‘USUL TIDAK PERCAYA’


"Saya ingin mengingatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, sekiranya beliau ingin mengemukakan usul dan jika usul itu memenuhi peraturan mesyuarat 26 dan 27, walaupun ia diterima, hanya akan dibentang pada persidangan akan datang."
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali kata ada cara atau strategi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula kata, tidak kira Speaker terima atau tidak, pembangkang nekad kemuka usul ‘Undi Tak Percaya Kepada Perdana Menteri’ di Dewan Rakyat.

Isu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri terus menjadi antara topik utama persidangan Dewan rakyat kali ini dengan yang terkini kenyataan oleh dua pemimpin pembangkang seperti di atas.

Pembangkang tahu dan sedar bahawa  satu jumlah yang selesa diperlukan jika usul itu berjaya dibentangkan dan mereka sedang berusaha ke arah itu.

Menurut DR Wan Azizah, Pakatan Harapan nekad untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri walaupun hasrat untuk ia dibentangkan pada persidangan kali ini adalah tipis.

Menurutnya,  keputusan itu dibuat setelah beliau bersama dua pemimpin lain mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Saya bersama dengan beberapa rakan pemimpin telah bertemu dengan Tan Sri Pandikar sebentar tadi. Ia satu pertemuan yang baik, berlaku dalam suasana kekeluargaan.

"Isu undi tidak percaya ini telah dibincangkan. Saya akan masukkan usul ini dalam masa terdekat dan sesuai... media akan dimaklumkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Turut sama pada sidang media itu adalah ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul dan Naib Presiden parti Tian Chua yang menyertai dalam pertemuan kira-kira 45 minit dengan Speaker.

Katanya, usul yang belum dihantar itu belum ditolak, justeru beliau tidak mahu berfikir tentang kemungkinan itu.

Bagi Azmin pula, oleh kerana ini soal strategi, mereka harus atur dan susun dengan baik tapi ia akan memenuhi dan mematuhi peraturan Dewan.

"Kita sedar kita perlukan satu jumlah yang selesa untuk menjayakan usul ini dan kita sedang berusaha ke arahnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas berakhirnya persidangan semalam.

Azmin berkata, setakat ini perbincangan dengan parti-parti pembangkang telah diadakan, termasuklah dengan PAS dan ia mendapat maklum balas positif.

"Alhamdulillah atas dasar bersama kita telah bersetuju untuk kemukan satu usul  tak percaya kepada perdana menteri tapi waktu dan ketikanya kita akan bincang lebih lanjutlah," katanya.


Apapun, nampak gayanya kita semua kena tunggulah hasrat mereka itu. Ini kerana menurut SpeakerDewan Rakyat, penyerahan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang baharu tidak akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menurut Tan Sri Pandikar, tindakan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah (PKR- Permatang Pauh) untuk mengemukakan usul itu perlu dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat yang memerlukan ia dilakukan 14 hari sebelum sidang Parlimen bermula.

"Saya ingin mengingatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, sekiranya beliau ingin mengemukakan usul itu dan jika usul itu memenuhi peraturan mesyuarat 26 dan 27, walaupun ia diterima, hanya akan dibentang pada persidangan akan datang, bukan pada persidangan kali ini," katanya.

Persidangan kali ini bermula pada 19 Oktober dan akan berakhir 3 Disember ini manakala tarikh persidangan pada awal tahun hadapan akan ditentukan kemudian.

Apa yang nyata, di kalangan pembangkang pun sudah lintang pukang mengenai strategi undi tidak percaya menjatuhkan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkeras mahu anggota parlimen PKR Hee Loy Sian menarik balik usulnya mengenai perkara itu kerana ia harus dibentangkan ketua pembangkang.

Lim berkata, usul itu tidak harus dikemuka oleh anggota parlimen biasa kerana ia perkara penting dan “bukan main guli”.

"Jika kamu mahu merendahkan kepentingan usul itu dengan main guli, silakan,’ katanya sambil menambah bahawa DAP tidak akan menjadi sebahagian daripada langkah berkenaan.

Hee bagaimanapun berkata "Lim Guan Eng bukan bos saya."

Anggota parlimen PKR Batu Tian Chua turut menolak saranan Lim supaya usul tersebut ditarik balik.

"Tidak ada perkara seperti itu - kecuali jika kita tidak mahu perdana menteri meletak jawatan," kata Chua.

Beliau berkata setiap ahli Parlimen mempunyai hak untuk membentangkan apa juga usul.

Dr Wan Azizah berkata Pakatan Harapan bersetuju agar Hee menarik balik usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya, satu usul baharu mengenainya akan dikemukakan oleh beliau.

Azmin ketika ditanya mengenai kemungkinan pembangkang telah mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional, beliau berkata: "Adalah…ini strategi."

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap ahli Parlimen perlu mempunyai keberanian untuk menyokong usul tersebut jika mereka percaya ia akan memberi manfaat kepada negara.

"Ia bergantung, mereka harus buat keputusan. Jika mereka percaya negara perlu mengembalikan keyakinan pelabur kepada kerajaan dan Parlimen, mereka perlu mempunyai keberanian untuk sokong.

"Kami (pembangkang) perlu tunjukkan kepada rakyat bahawa kami sangat komited, negara sekarang berdepan krisis besar, krisis kepimpinan dan ini dibenarkan dalam Perlembagaan dan di Parlimen," katanya.

Menurut laporan media sosial, dalam PKR terdapat dua kumpulan  dalam mendekati usul ini.
Kumpulan pertama mahukan Perdana Menteri perlu disingkirkan serta-merta, manakala satu kumpulan lain mahu beliau menghabiskan tempoh perkhidmatannya.

Kumpulan pertama percaya, lebih lama Najib menjadi perdana menteri, lebih hancur Malaysia.

Kumpulan kedua pula percaya, lebih baik Najib kekal sehingga PRU14 kerana ia akan memudahkan pembangkang menawan Putrajaya.
.
Perpecahan di kalangan PKR ini terjadi walaupun ahli Parlimen pembangkang secara terbuka menyeru pemecatan Perdana Menteri  melalui Parlimen sepanjang tiga  bulan lalu.

Laporan menyebut  perpecahan ini juga mengenai sama ada PKR harus bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pengkritik paling lantang Najib, atau tidak.

“Dr Mahathir adalah paling lantang menggesa ahli Parlimen agar menjatuhkan Najib melalui undi tak percaya, ada pemimpin PKR yang berpendapat usaha ini tidak seharusnya disokong,” kata sumber itu.

“Sementara satu kumpulan lagi berpendapat, kerjasama dengan Dr Mahathir adalah terbaik pada waktu ini agar Najib dapat disingkirkan segera.”

Jadi, benarlah seperti kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata pada Jumaat lalu adalah sukar untuk undi tidak percaya dilaksanakan terhadap Perdana Menteri.


Naib Presiden PKR N Surendran berkata selain ahli Parlimen pembangkang iaitu DAP, PKR, PAS dan Parti Amanah Nasional (Amanah), ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan turut menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Namun begitu, nyata sekali pembangkang sendiri tidak dapat menentukan usul berkenaan akan berjaya atau tidak.

Kini tidak timbul soal keberanian Speaker Dewan Rakyat jika pembangkang sendiri tidak bersatu.

Walaupun berdasarkan Peraturan 26 Peraturan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat, di mana Speaker ada kuasa percepatkan usul dibahaskan dan kalau mengikut Peraturan 18(1) usul itu boleh dibenarkan untuk dibahaskan tetapi sekiranya pembangkang sendiri berkecamuk sesame sendiri, usul itu akan tergantung begitu sahaja.

Yang nyata, kini jelas Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Razak selamat.

Boleh tidur lena dan pasang strategi hingga sidang Parlimen akan datang.

Itupun kalau pembangkang masih berminat untuk mengemukakan usul tidak percaya.

Jika tidak, tunggu sahaja hingga pilihan raya umum akan datang.

Minta rakyat tentukan. Mudah sahaja.