"Saya ingin mengingatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, sekiranya beliau ingin mengemukakan usul dan jika usul itu memenuhi peraturan mesyuarat 26 dan 27, walaupun ia diterima, hanya akan dibentang pada persidangan akan datang."
- Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Menteri
Besar Selangor Mohamed Azmin Ali kata ada cara atau strategi.
Ketua
Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula kata, tidak kira Speaker terima atau tidak, pembangkang
nekad kemuka usul ‘Undi
Tak Percaya Kepada Perdana Menteri’ di Dewan Rakyat.
Isu usul
tidak percaya terhadap Perdana Menteri terus menjadi antara topik utama
persidangan Dewan rakyat kali ini dengan yang terkini kenyataan oleh dua
pemimpin pembangkang seperti di atas.
Pembangkang
tahu dan sedar bahawa satu jumlah yang
selesa diperlukan jika usul itu berjaya dibentangkan dan mereka sedang berusaha
ke arah itu.
Menurut DR Wan Azizah, Pakatan Harapan
nekad untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri walaupun
hasrat untuk ia dibentangkan pada persidangan kali ini adalah tipis.
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah beliau bersama
dua pemimpin lain mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri
Pandikar Amin Mulia.
"Saya bersama dengan beberapa
rakan pemimpin telah bertemu dengan Tan Sri Pandikar sebentar tadi. Ia satu
pertemuan yang baik, berlaku dalam suasana kekeluargaan.
"Isu undi tidak percaya ini telah
dibincangkan. Saya akan masukkan usul ini dalam masa terdekat dan sesuai...
media akan dimaklumkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.
Turut sama
pada sidang media itu adalah ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul dan Naib
Presiden parti Tian Chua yang menyertai dalam pertemuan kira-kira 45 minit
dengan Speaker.
Katanya,
usul yang belum dihantar itu belum ditolak, justeru beliau tidak mahu berfikir
tentang kemungkinan itu.
Bagi Azmin
pula, oleh kerana ini soal strategi, mereka harus atur dan susun dengan baik
tapi ia akan memenuhi dan mematuhi peraturan Dewan.
"Kita sedar kita perlukan satu
jumlah yang selesa untuk menjayakan usul ini dan kita sedang berusaha ke
arahnya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas berakhirnya
persidangan semalam.
Azmin berkata, setakat ini
perbincangan dengan parti-parti pembangkang telah diadakan, termasuklah dengan
PAS dan ia mendapat maklum balas positif.
"Alhamdulillah atas dasar bersama
kita telah bersetuju untuk kemukan satu usul tak percaya kepada perdana
menteri tapi waktu dan ketikanya kita akan bincang lebih lanjutlah,"
katanya.
Apapun,
nampak gayanya kita semua kena tunggulah hasrat mereka itu. Ini kerana menurut SpeakerDewan Rakyat, penyerahan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang
baharu tidak akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Menurut Tan
Sri Pandikar, tindakan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah (PKR- Permatang Pauh)
untuk mengemukakan usul itu perlu dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat yang
memerlukan ia dilakukan 14 hari sebelum sidang Parlimen bermula.
"Saya ingin mengingatkan Ahli
Parlimen Permatang Pauh, sekiranya beliau ingin mengemukakan usul itu dan jika
usul itu memenuhi peraturan mesyuarat 26 dan 27, walaupun ia diterima, hanya
akan dibentang pada persidangan akan datang, bukan pada persidangan kali
ini," katanya.
Persidangan kali ini bermula pada 19
Oktober dan akan berakhir 3 Disember ini manakala tarikh persidangan pada awal
tahun hadapan akan ditentukan kemudian.
Apa yang nyata, di kalangan
pembangkang pun sudah lintang pukang mengenai strategi undi tidak percaya
menjatuhkan Perdana Menteri.
Setiausaha
Agung DAP Lim Guan Eng berkeras mahu anggota parlimen PKR Hee Loy Sian menarik
balik usulnya mengenai perkara itu kerana ia harus dibentangkan ketua
pembangkang.
Lim
berkata, usul itu tidak harus dikemuka oleh anggota parlimen biasa kerana ia
perkara penting dan “bukan main guli”.
"Jika kamu mahu merendahkan kepentingan usul itu dengan
main guli, silakan,’ katanya sambil menambah bahawa DAP tidak akan menjadi
sebahagian daripada langkah berkenaan.
Hee
bagaimanapun berkata "Lim Guan Eng bukan bos saya."
Anggota
parlimen PKR Batu Tian Chua turut menolak saranan Lim supaya usul tersebut
ditarik balik.
"Tidak ada perkara seperti itu - kecuali jika kita tidak
mahu perdana menteri meletak jawatan," kata Chua.
Beliau berkata setiap ahli Parlimen mempunyai hak untuk
membentangkan apa juga usul.
Dr Wan
Azizah berkata Pakatan Harapan bersetuju agar Hee menarik balik usul undi tidak
percaya terhadap Perdana Menteri sebelum ini.
Katanya, satu usul baharu mengenainya
akan dikemukakan oleh beliau.
Azmin
ketika ditanya mengenai kemungkinan pembangkang telah mendapat sokongan
daripada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional, beliau berkata: "Adalah…ini
strategi."
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap
ahli Parlimen perlu mempunyai keberanian untuk menyokong usul tersebut jika
mereka percaya ia akan memberi manfaat kepada negara.
"Ia bergantung, mereka harus buat
keputusan. Jika mereka percaya negara perlu mengembalikan keyakinan pelabur
kepada kerajaan dan Parlimen, mereka perlu mempunyai keberanian untuk sokong.
"Kami (pembangkang) perlu
tunjukkan kepada rakyat bahawa kami sangat komited, negara sekarang berdepan
krisis besar, krisis kepimpinan dan ini dibenarkan dalam Perlembagaan dan di
Parlimen," katanya.
Menurut laporan media sosial, dalam PKR
terdapat dua kumpulan dalam mendekati
usul ini.
Kumpulan pertama mahukan Perdana Menteri perlu
disingkirkan serta-merta, manakala satu kumpulan lain mahu beliau menghabiskan
tempoh perkhidmatannya.
Kumpulan pertama percaya,
lebih lama Najib menjadi perdana menteri, lebih hancur Malaysia.
Kumpulan kedua pula percaya, lebih baik Najib
kekal sehingga PRU14 kerana ia akan memudahkan pembangkang menawan Putrajaya.
.
Perpecahan di kalangan PKR ini terjadi
walaupun ahli Parlimen pembangkang secara terbuka menyeru pemecatan Perdana
Menteri melalui Parlimen sepanjang tiga bulan lalu.
Laporan menyebut perpecahan ini juga mengenai sama ada PKR
harus bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan pengkritik
paling lantang Najib, atau tidak.
“Dr Mahathir adalah paling lantang menggesa
ahli Parlimen agar menjatuhkan Najib melalui undi tak percaya, ada pemimpin PKR
yang berpendapat usaha ini tidak seharusnya disokong,” kata sumber itu.
“Sementara satu kumpulan lagi berpendapat,
kerjasama dengan Dr Mahathir adalah terbaik pada waktu ini agar Najib dapat
disingkirkan segera.”
Jadi, benarlah seperti kata Setiausaha Agung
PKR Rafizi Ramli berkata pada Jumaat lalu adalah sukar untuk undi tidak percaya
dilaksanakan terhadap Perdana Menteri.
Naib Presiden PKR N Surendran berkata selain
ahli Parlimen pembangkang iaitu DAP, PKR, PAS dan Parti Amanah Nasional
(Amanah), ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan turut menyokong undi tidak
percaya terhadap Perdana Menteri.
Namun begitu, nyata sekali pembangkang sendiri
tidak dapat menentukan usul berkenaan akan berjaya atau tidak.
Kini tidak timbul soal keberanian Speaker
Dewan Rakyat jika pembangkang sendiri tidak bersatu.
Walaupun berdasarkan Peraturan 26 Peraturan
Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat, di mana Speaker ada kuasa percepatkan usul
dibahaskan dan kalau mengikut Peraturan 18(1) usul itu boleh dibenarkan untuk
dibahaskan tetapi sekiranya pembangkang sendiri berkecamuk sesame sendiri, usul
itu akan tergantung begitu sahaja.
Yang nyata, kini jelas Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Razak selamat.
Boleh
tidur lena dan pasang strategi hingga sidang Parlimen akan datang.
Itupun kalau
pembangkang masih berminat untuk mengemukakan usul tidak percaya.
Jika
tidak, tunggu sahaja hingga pilihan raya umum akan datang.
Minta
rakyat tentukan. Mudah sahaja.
No comments:
Post a Comment