Monday, April 26, 2010

BARISAN NASIONAL MENANG TETAPI...


Apakah kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor semalam (24 April 2010) menjadi pembuka jalan untuk BN melonjak semula?

Kemenangan yang dilihat sebagai kebangkitan semula BN memerlukan penilaian mendalam mengenai kenapa rakyat menyokong BN dan menolak pembangkang selain apakah janji-janji pilihan raya kecil seperti itu memang ‘diperlukan’ oleh rakyat tempatan?

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim walaupun akur dengan kekalahannya pada pilihan raya kecil Parlimen P 094 Hulu Selangor semalam tetapi tetap bersikap sour grape.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan berasa puas hati sekiranya rakyat merasakan mereka tidak tertipu dengan keputusan semalam.

“Apa yang kita hadapi ialah satu sistem politik yang teruk dan pemimpin yang tidak hormat pada undang-undang, Saya berjanji saya akan sama-sama dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti,”” katanya ketika berucap dihadapan 300 penyokong PKR di Stadium Kuala Kubu Baru.

Beliau mendakwa pilihan raya kecil kali ini adalah yang paling buruk dan penuh dengan penipuan dalam sejarah pilihan raya kecil berlangsung.

Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula, beliau menyifatkan kemenangan Kamalanathan padapilihan raya itu itu sebagai satu peralihan besar sokongan rakyat kepada BN. Lebih menggembirakan BN ialah kemenangan itu membawa erti yang amat besar kerana bertanding di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

Kemenangan Kamalanathan yang banyak disifatkan sebagai calon UMNO bukan MIC membawa erti yang amat besar kerana peralihan sokongan pada BN yang menghampiri 2,000 undi.

Namun ada sesuatu yang perlu dihalusi dengan mendalam, iaitu walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina didapati tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil itu tetapi juga semasa pilihan raya umum 2008.

Hakikat yang perlu dihalusi secara mendalam ialah:

1. MCA memerlukan anjakan paradigma bagi mendekati masyarakat Cina yang dilihat tidak begitu memberi perhatian kepada soal kehendak dan keperluan asas. Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengakui anjakan paradigma ini mesti datang dari pemimpin MCA sendiri. Persoalannya ialah apakah MCA Hulu Selangor mempunyai masalah dalamannya sendiri sehingga sokongan masyarakat Cina semakin berkurangan?;

2. Gerakan pula mengakui walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan. Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah; dan,

3. MIC pula mengatakan partinya perlu menggandakan usaha untuk menarik kembali sokongan pengundi India.

Apa yang penting sekarang ialah sama ada MCA mahupun Gerakan, kedua-duanya perlu melihat kembali peranan mereka apakah kedua-duanya benar-benar berfungsi atau sebaliknya.
Bagi Perdana Menteri, "Kita akan buat analisa tentangkeputusan ini, saya tak mahu buat kesimpulan terlalu cepat sebab kitakena kaji perkara ini dengan mendalam. Walaupun kita kalah di kawasan pengundi Cina, tapi berdasarkan kepada keputusan, ini adalah permulaan yang baik," katanya.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BN yang diketuai Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kerja keras selama ini.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata apabila ia mula berkempen di Hulu Selangor, tahap sokongan hanya sekitar 12 hingga 15 peratus. Selepas perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25 peratus.

Apakah maknanya itu? Tidakkah itu menggambarkan betapa kepimpinan kedua-dua parti komponen BN itu pada peringkat yang lemah dan benar-benar memerlukan anjakan paradigma?

Sementara bagi MIC pula, Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata parti itu mendapat sedikit kejayaan dalam memenangi pengundi India. Dalam pilihan raya ini ia mendapat kira-kira 65 peratus sokongan tetapi tidak sebanyak 80 peratus sebelum 2008.

Soal penting kini ialah MIC juga perlu perlu melakukan bedah sasat dan terus berusaha mendapat sokongan pengundi India menerusi pelbagai strategi.

Dengan kemenangan ini usaha untuk BN merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang perlu dilipatgandakan.

Dengan MCA dan Gerakan berusaha memperbaiki imej dan melipatgandakan usaha melalui anjakan paradigmanya, sudah pasti kemenangan semalam akan mencorakkan perhubungan lebih erat melalui 1 Malaysia.

Apapun, BN juga perlu menyelami kenapa seramai 23,272 pengundi menentang BN. Apakah mereka taksub dengan pembangkang, terpedaya atau memang ‘berkarat pembangkang’.
Jika demikian, pendekatan baru untuk menambat hati pengundi perlu dicari dan usaha untuk menyinarkan semula BN perlu dilakukan segera.

Soal penting juga ialah semua janji BN pada pengundi Hulu Selangor hendaklah dipenuhi dan tugas Datuk Noh Omar yang diamanahkan bagi menjamin perlaksanaan semua projek yang dijanjikan bukan mudah.

Melegakan apabila Kamalanathan berikrar akan memastikan segala janji yang dibuat sepanjang kempen berlangsung dilaksanakan secepat mungkin. ''Saya akan melawat semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor secepat mungkin untuk mengucapkan terima kasih, sama ada mereka mengundi beliau atau tidak, ia tidak menjadi persoalan kerana bagi beliau semua pengundi adalah sama.

Satu perkara yang juga menarik pada pilihan raya kecil ini, buat sekian lama dalam kempen beberapa siri pilihan raya kecil, Hulu Selangor menggembalikan kerjasama pemimpin utama negara untuk berada di atas satu pentas bagi memberi penjelasan kepada rakyat.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mereka hadir pada majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Bukit Beruntung sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen itu.

Kehadiran lebih 5,000 orang yang memenuhi jalan raya menuju ke Pangsapuri Anggerik, Taman Bunga Raya, di Bukit Beruntung yang menjadi lokasi ceramah menyebabkan kesesakan teruk sepanjang tiga kilometer.

Seharusnya kesepakatan antara kepimpinan terkini dengan yang lalu dipereratkan lagi demi menjamin BN benar-benar menggambarkan parti perpaduan.

Perpaduan sebenar tidak wujud dan menyerlah sekiranya jika dalam parti komponen sendiri, khususnya apabila pemimpin UMNO, MCA dan MIC bercakaran sesama sendiri.

BN perlu menjamin agar ikatan yang erat antara pemimpin bukan sahaja berlaku di kalangan pemimpin parti yang ada sekarang.

Kehadiran Dr Mahathir kali ini penuh bermakna kerana dia bukan sahaja menyokong BN tetapi juga menyokong kepimpinan Najib yang dilihat mampu pergi lebih jauh pada pilihan raya umum ke 13 akan datang.

ANWAR GAGAL KERANA ASYIK GUNA TAKTIK ‘PINTU BELAKANG’

Mingguan Malaysia 25 April 2010

MINGGUAN: Kedudukan PKR dilihat semakin goyah sekarang kerana semakin ramai ahli parti yang bertindak keluar akibat hilang kepercayaan kepada pemimpin. Kenapa perkara ini berlaku?

CHANDRA: Saya tidak hairan dengan apa yang berlaku. Saya antara pemimpin awal yang keluar kerana selepas dua setengah tahun saya sudah nampak perwatakan sebenar parti itu.

Saya sudah nampak personaliti sebenar parti yang hanya menumpu kepada individu iaitu pemimpin utamanya atau disebut sebagai party of personage. Politik yang diamalkan adalah sekitar individu yang diperjuangkan sahaja.

Tetapi sebagai sebuah parti yang berbilang kaum yang sebahagian besar adalah orang Melayu dan turut disertai kaum-kaum lain saya berpendapat parti sebegitu ada peranannya kerana ia sebuah parti berbilang kaum yang berakar umbi dari sejarah negara.

PKR dari segi sejarah ia memenuhi ciri ini kerana sebahagian besar kepimpinannya terdiri dari orang Melayu dan disertai kaum-kaum lain.

Tetapi kerana parti yang pada awalnya mempunyai potensi ini hanya menumpu kepada individu dalam perjuangannya dan tidak cuba mewujudkan perjuangan dan wadah yang mewakili aspirasi sebahagian masyarakat negara ini yang tidak begitu gemar dengan politik perkauman tetapi akhirnya ia gagal memainkan peranan ini. Ini kerana PKR hanya menumpu pada politik seorang individu.

Sebahagian besar ahli-ahlinya sedar dan kerana itulah mereka bertindak keluar dari parti. Ini berhubung kait dengan corak politik Datuk Seri Anwar dan sebahagian besar pemimpin-pemimpin PKR yang mahu menumpukan kepada perjuangan individu.

Selain itu masalah besar yang dihadapi oleh PKR ialah corak kepimpinan di mana Anwar hanya dikelilingi oleh puak-puak tertentu dan beliau bukan seorang pemimpin yang boleh memberi peranan kepada semua pemimpin dalam barisan kepimpinannya.

Cara beliau menguruskan partinya hanya dikelilingi individu tertentu. Ini mengakibatkan pemimpin lain merasa renggang dan terpecah seperti mana yang diluahkan oleh pemimpin-pemimpin yang bertindak meninggalkan parti. Kalau dilihat pada perubahan yang mahu dilakukan adalah besar seperti mahu mengubah negara dan sebagainya tetapi hakikatnya ia hanya tertumpu kepada individu dan ia akhirnya merosakkan parti.
Bagaimana untuk menjelaskan kepada mereka tentang hal sebenar bahawa PKR ini adalah parti untuk seorang individu?

CHANDRA: Perkara ini memang benar bahawa sebahagian dari ahli-ahli PKR adalah taksub kepada Anwar dan mereka tidak mahu menilai beliau sebagai seorang pemimpin. Jika mereka mampu menilai mereka akan tahu di mana kekuatan dan kelemahan beliau.

Namun mereka tidak mahu menilai dengan mendalam kerana mereka menganggap Anwar sebagai seorang "dewa" yang menjadi objek pujaan mereka dan ini yang menjadi masalah.

Sebenarnya saya telah membangkitkan tentang hal ini pada tahun 1999 dalam mesyuarat parti dalam satu seminar untuk Angkatan Muda dalam PKR di Janda Baik.

Saya telah membangkitkan tentang sikap taksub ini namun saya dikritik hebat oleh beberapa pemimpin-pemimpin sampai mereka membuat beberapa laman sesawang yang mahu saya berundur kerana tidak setia kepada pemimpin dan sebagainya. Namun sebenarnya saya tidak mengkritik mana-mana pihak dan hanya mahu mereka menilai perkara taksub ini secara terbuka.

Dan saya juga merujuk kepada semua parti bukan hanya PKR kerana kita perlu bersikap terbuka terhadap pemimpin. Maka pada awal lagi saya sudah dapat tahu terdapat penyakit taksub ini dan tidak berjaya mengubah persepsi ini.

Kami cuba mengubah persepsi ini tetapi gagal kerana PKR ini adalah sebuah parti muncul kerana seorang individu.

Ini sangat berbeza dengan parti-parti lain yang wujud bukan kerana individu. Contohnya UMNO wujud kerana ancaman Malayan Union dan ketika itu ia adalah satu ancaman yang begitu serius kerana ia mengancam realiti masyarakat ketika itu bagi membolehkan hasrat British tercapai. Begitu juga dengan kewujudan Pas apabila ia tertubuh apabila segelintir pemimpinnya keluar dari UMNO kerana isu agama bukan kerana individu.

Begitu juga parti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain dan semua parti itu ada sejarah kenapa ia ditubuhkan bukan kerana individu tertentu. Ini berbeza dengan PKR yang wujud kerana individu dan pemimpinnya pula terus berjuang untuk survival dan nasib dirinya. Dan sehingga kini masih belum jelas apa sebenarnya perjuangan yang cuba dilakukan.

Jika dilihat ketika Anwar di dalam penjara tumpuan utama parti adalah bagaimana mahu membebaskan beliau dan selepas beliau keluar tumpuan parti berubah kepada bagaimana mahu memastikan beliau dapat menjadi perdana menteri.

Apa yang penting cita-cita peribadinya itu yang paling penting dan mendahului dari semua aspek dalam parti. Jika kita lihat dari sejarah politik negara, belum pernah ada sebuah parti politik yang menghadapi masalah keruntuhan dan kelumpuhan yang mendadak.

Ini berlaku apabila ahli-ahli parti sama ada pemimpin dan akar umbi keluar parti dalam jumlah yang ramai ini merupakan sesuatu yang serius jika kita lihat dari sejarah dan ia tidak pernah berlaku seteruk ini.

Bagaimana dengan hubungan antara parti dalam Pakatan Pembangkang kerana yang lebih dominan sekarang adalah DAP berbanding Pas dan PKR?

CHANDRA: Bagi saya ketiga-tiga ini apa yang menyatukan mereka adalah apa yang dipanggil sebagai politics of protest atau politik bantahan. Ini yang menyatukan mereka kerana mereka mempunyai matlamat yang besar dan mereka akan membantah apa yang dilakukan oleh BN.

Mereka akan sama-sama membantah dalam setiap isu, akan mengkritik semua yang dilakukan sebagai salah. Itu yang dilakukan mereka dan mereka bersatu dalam hal ini. Tetapi sekiranya mereka berkuasa di peringkat pusat di mana mereka akan menentukan dasar-dasar dan arah tuju negara dan masyarakat maka akan timbul masalah bagaimana mereka akan memerintah. Ini menimbulkan tanda tanya besar.

Jika berdasarkan politik bantahan memang mereka hebat tetapi hala perjuangan adalah jauh berbeza. DAP adalah sebuah parti yang sangat sekular manakala Pas masih kental dengan perjuangan Islam. Manakala PKR masih lagi kabur dalam hala tuju perjuangannya. Maka tiga-tiga parti ini sangat berbeza dari segi ideologinya dan jika berjaya memerintah akan timbul masalah lain nanti.

Walaupun terdapat seorang pemimpin yang diterima oleh ketiga-tiga parti ini namun ia tidak bermakna semua ini dapat menyelesaikan perbezaan fundamental antara parti-parti ini.

Bagaimana semua ini boleh diselesaikan jika tidak berlaku perubahan dari segi ideologi antara parti yang terlibat. Semua pihak harus berubah namun apakah ia mampu dilakukan dan permasalahan ini tidak akan dapat diselesaikan oleh seorang individu.

Adakah permasalahan ideologi ini dapat diselesaikan dengan menjaja beberapa prinsip umum saja?

CHANDRA: Semua permasalahan rakyat tidak boleh ditukar hanya dengan mengubah beberapa prinsip-prinsip umum.

Contohnya kita perlu membanteras rasuah atau mahu meningkatkan taraf hidup rakyat, itu adalah prinsip umum dan semua pihak bersetuju tentang perkara dan mahu melakukannya. Apa yang mahu kita lihat dan ia penting adalah dari sudut konkrit dan perlaksanaan.

Apakah dasar-dasar yang akan dilaksanakan nanti itu yang penting. Kita mempunyai banyak lagi masalah yang perlu diselesaikan seperti isu hubungan antara kaum, soal agama, soal bahasa, ekonomi dan sebagainya dan semua ini perlu diselesaikan melalui cara permuafakatan antara semua kaum dan agama.

Ini yang harus kita selesaikan dan ia perlu diberi perhatian utama. Namun jika Pakatan Pembangkang gagal melakukan muafakat yang jelas antara mereka maka timbul persoalan bagaimana semua isu yang dikatakan tadi mampu diselesaikan.

Jika kita lihat dalam hubungan Pas dan DAP mereka berharap kepada PKR untuk menjadi orang tengah bagi menjalin permuafakatan. Tetapi jika PKR sendiri sebagai orang tengah itu pun semakin teruk akibat berhadapan dengan masalah keruntuhan kerana ramai yang hilang kepercayaan pada parti maka bagaimana Pas dan DAP boleh bergantung harap kepada PKR untuk membantu menjalin hubungan antara mereka.

Sekarang ini jelas faktor yang membantu mereka adalah PKR tetapi parti itu sendiri pula hanya tertumpu kepada seorang individu. Maka gabungan yang wujud sekarang bagi saya langsung tidak kukuh.

Kenapa Anwar begitu rakus sekali mahu menjadi perdana menteri?

CHANDRA: Dari sudut Pakatan Pembangkang DAP pasti tidak setuju jika pemimpin Pas dilantik menjadi perdana menteri begitu juga sebaliknya. Tetapi bagi pihak Anwar, beliau menganggap dirinya adalah pemimpin yang paling layak menjadi perdana menteri.

Mungkin beliau menggangap kapasitinya paling sesuai kerana pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri satu masa dahulu malah hampir-hampir menjadi perdana menteri. Beliau begitu ghairah mahu menjadi perdana menteri kerana itulah personaliti beliau.Jika kita kaji dari sudut psikologi di mana ada setengah orang begitu tinggi sekali nafsu politiknya serta sanggup melakukan apa saja bagi mencapai hasratnya.
Jika kita lihat pada peristiwa 16 September itu adalah satu bukti keghairahannya untuk menjadi perdana menteri. Ia sebenarnya dari satu segi adalah satu ulangan dari apa yang berlaku ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Kerana tidak sabar beliau mahu menggulingkan Tun Dr. Mahathir melalui kawan-kawannya dengan pelbagai perancangan ketika di dalam UMNO dan juga semasa negara berhadapan dengan krisis kewangan pada 1997.

Namun usahanya itu gagal dan dia kecundang akibat tidak mahu bersabar. Begitu juga dalam peristiwa 16 September, walaupun berjaya mendapat banyak kerusi dalam pilihan raya tetapi kerana sekali lagi tidak sabar mahu menduduki jawatan perdana menteri maka beliau rancang apa yang dipanggil politik pintu belakang. Ini menunjukkan keghairahannya untuk menjadi perdana menteri tetapi sekali lagi gagal.

Sekali lagi menunjukkan soal cita-cita dan keghairahannya untuk berkuasa demi soal peribadinya beliau sanggup melakukan apa sahaja. Bagi saya beliau memang seorang yang tidak akan mengalah dan akan melakukan apa saja untuk kepentingannya peribadinya

EMPAT FAKTOR KEMENANGAN DI HULU SELANGOR

Oleh ZULKIFLEE BAKAR (Utusan Malaysia)

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) menawan kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam Pilihan Raya Kecil kawasan itu semalam telah memberikan isyarat yang jelas bahawa rakyat meyakini gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' serta program transformasi kerajaan.

Dalam masa yang sama, rakyat menolak politik adu domba pembangkang yang terus menjadikan fitnah, tohmahan dan dakyah sebagai senjata politik. Pilihanrraya Kecil itu menyaksikan pertembungan antara calon BN, P. Kamalanathan dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

Faktor utama kejayaan BN ialah hasrat pengundi-pengundi Parlimen Hulu Selangor untuk memberi peluang kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan transformasi negara dan percaya gagasan 1Malaysia mampu membela nasib mereka.

Kesungguhan Perdana Menteri yang turun padang sebanyak tiga kali termasuk pada Sabtu lalu untuk melakukan walkabout sehari suntuk telah memberikan keyakinan kepada pengundi-pengundi bahawa beliau benar-benar ikhlas untuk membantu mereka.

Selain itu, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Hulu Selangor pada Rabu lalu, Najib telah melafazkan jaminan yang selama ini ditunggu-tunggu oleh pengundi-pengundi apabila menyatakan bahawa kerajaan BN akan menunaikan semua janji yang dibuat sepanjang kempen berlangsung.

Untuk membuktikan keseriusan itu, Najib melantik Datuk Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor untuk memastikan semua janji dilaksanakan sebaik sahaja parti itu mencapai kemenangan.

Harapan Najib untuk melihat BN kembali menguasai kerusi Hulu Selangor menjadi semakin mudah berikutan kegigihan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang boleh dikatakan 'berkampung' di Hulu Selangor sejak hari pertama kempen lagi.

Beliau berjaya mengatur strategi bagi menggerakkan keseluruhan jentera BN supaya menggempur seluruh Hulu Selangor ketika jentera parti pembangkang masih bergelut dengan masalah dalaman.

Muhyiddin sepanjang kempen terus menanam keyakinan kepada pengundi-pengundi agar memberikan peluang kepada BN untuk membela nasib mereka. Setiap ceruk dan rantau, siang dan malam, Timbalan Perdana Menteri tanpa mengenal penat dan lelah terus berkempen bagi memastikan kemenangan parti.

Impian Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk mencapai kemenangan menjadi agak mudah apabila calon BN, P.Kamalanathan ternyata mempunyai aura tersendiri.

Walaupun tidak begitu dikenali, namun dengan kegigihan beliau turut ke padang bertemu pengundi sebaik sahaja penamaan calon selesai membuahkan hasil.

Pengundi-pengundi menyambut kehadiran beliau dengan tangan terbuka. Kata-kata 'keramat' beliau, ''berilah saya peluang dan saya akan bekerja siang dan malam, senja dan subuh' telah menarik perhatian mereka untuk mengundinya.

Walaupun beberapa serangan peribadi yang tidak munasabah dilakukan ke atas beliau oleh pembangkang, namun Kamalanathan tidak tergugat, beliau berjaya menemui hampir 60,000 pengundi dalam tempoh lapan hari kempen berjalan.

Melalui jaminan Najib, diiringi dengan kegigihan Muhyiddin dan dibantu oleh 'aura' Kamalanathan, ia membangkitkan semangat jentera-jentera BN untuk bekerja siang dan malam.

Berbanding dengan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, jentera BN di Hulu Selangor yang diketuai oleh Noh ternyata bekerja bersungguh-sungguh sehinggakan di seluruh kawasan Parlimen itu bendera parti tersebut berkibar-kibar di mana-mana sahaja.

Malahan mereka juga mengadakan kempen rumah ke rumah sehingga ia memberikan kesan kepada pengundi-pengundi untuk menyebelahi BN.

Kini BN kembali menegakkan panji-panji di Hulu Selangor manakala bagi parti pembangkang pula, sudah pasti selepas ini pelbagai tuduhan akan dilemparkan berikutan kejayaan BN. Apa pun rakyat sudah membuat keputusan, maka hormatilah.