Tuesday, February 11, 2014

TAIB MAHMUD BUKAN MAHU ‘MENONGKAT LANGIT, SEDIAKAN PENGGANTI YANG SETANDING…


Tidak benar tuduhan dan cercaan pihak tertentu bahawa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu ‘menongkat langit’.

Kata-kata bahawa beliau akan terus kekal di jawatan itu kononnya untuk mengaut kekayaan tidak ada kena mengena dengan kesediaannya menjawat jawatan itu selama 33 tahun hingga ke hari ini.

Sebaliknya Taib mendedahkan di Kuching semalam bahawa beliau hampir bersara sedekad yang lalu.

"Saya mahu memberitahu anda sesuatu, yang menjadi rahsia di kalangan sejumlah kecil di PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu)," kata Taib.

Beliau memberitahu kepada ratusan hadirin pada perhimpunan Tahun Baharu Cina oleh Dewan Perniagaan dan Industri Cina di Kuching semalam bahawa Sembilan atau 10 tahun lalu, Kerajaan Sarawak mengusahakan dasar yang dikenali sebagai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak(Score). Selepas fakta dasar itu dikumpulkan, saya fikir ia adalah masa untuk saya bersara namun teman-teman beliau di PBB berkata tidak.

“Kita hanya boleh buktikannya bila ia (Score) berjaya. Kamu perlu membentangkannya dahulu dan buktikan ia dapat dilaksanakan, katanya bahawa sejak itu batu penjuru telah berubah menjadi empangan Bakun.

"Sekarang Score begitu jauh melangkaui jangkaan kita... Malam ini, saya berharap untuk memberitahu anda mengenainya, bahawa sembilan atau 10 tahun lalu saya kurang yakin mengenai pengganti saya.

"Hari ini, saya begitu pasti mereka boleh melakukan tugas itu. Sudah cukup kerja sepasukan. Orang yang sama telah melalui banyak pengalaman… saya beritahu anda, tiba masanya untuk saya bersara,” katanya.


Taib adalah pelajar cemerlang apabila pada tahun 1958, kejayaan dalam peperiksaan Senior Cambridge membolehkan Taib layak mendapat biasiswa Shell untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide di Australia Selatan.

Beliau berjaya mendapat ijazah pertama dalam bidang undang-undang pada tahun 1960. Apabila kembali ke Sarawak, beliau bekerja dalam Crown Council dari 1962 sehingga 1963. Beliau mengambil bahagian dalam Majlis perundangan negeri Sarawak pada 22 Julai 1963. Ini bermakna beliau turut terlibat dengan pembentukan Malaysia pada September 1963.

Beliau dilantik menjadi Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri dari tahun 1963 hingga 1966 dan Menteri Pembangunan dan Perhutanan pada 1967. Beliau mewakili Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA), salah satu parti komponen Perikatan Sarawak dalam pilihanraya Malaysia 1969.

Semasa pilihan raya Parlimen Sarawak pada 1970, Taib telah dipilih sebagai ahli parlimen Malaysia bagi kerusi Kota Samarahan. Taib pernah dilantik sebagai Timbalaan Menteri Persekutuan bagi Perdagangan dan Industri dari 1968 hingga 1970. Beliau kemudiannya dilantik ke pelbagai portfolio termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan Menteri Sumber Semula Jadi (1972-1974).

Pada tahun 1973, Taib menjadi timbalan presiden untuk PBB yang baru ditubuhkan sebelum dilantik sebagai Parti Presiden. Disebutkan juga bahawa Abdul Rahman Ya'kub adalah mentor politik untuk Taib Mahmud selama 20 tahun.

Selepas memenangi pilihanraya kecil Sebandi (sekarang Asajaya) pada tahun 1981, beliau telah dilantik sebagai Menteri Tanah dan Lombong Sarawak sebelum mengambil tempat bapa saudaranya, sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau mempertahankan kerusi Sebandi sehingga 1987 sebelum dipilih sebagai ADUN di kawasan Asajaya. Dalam pilihan raya Sarawak 2001, beliau bertanding di kawasan Balingian sehinggalah pilihan raya negeri yang lalu. Taib kini amat yakin penggantinya dapat menjadikan Sarawak sebagai satu kejayaan.

Malah semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut ditanya pandangannya jika pengunduran Taib akan memberi kesan kepada PBB, Dr Mahathir berkata sedikit sebanyak ia akan memberi kesan. Namun menurutnya beliau yakin dengan perpaduan mantap yang dimiliki, parti itu akan terus cemerlang.

"Saya fikir PBB masih kuat. Kita seharusnya ambil kira soal parti juga, tidak kira siapa pemimpinnya. Parti ini (PBB) banyak berjasa kepada Sarawak, banyak pembangunan yang dilakukan oleh pemerintahan parti ini di bawah Abdul Taib Mahmud, saya yakin penggantinya juga akan dapat berbuat demikian nanti," katannya.

Dr Mahathir turut memuji khidmat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib yang dianggap amat baik sehingga membolehkan negeri itu kekal memiliki pemerintah yang disokong kuat oleh rakyat. Ini terbukti apabila parti pimpinan Taib berjaya memenangi banyak pilihan raya sebelum ini, katanya.

Dr Mahathir Mohamad dengan Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 18 Oktober 1996.
Di bawah teraju Taib, PBB yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak dilihat memiliki perpaduan yang cukup mantap, kemas, kuat dan banyak menyumbang jasa kepada Sarawak menerusi projek pembangunan yang dibawanya.

"Saya harap siapa jua yang ganti (Taib) nanti akan dapat sokongan yang sama dan tidak ada permusuhan antara bakal pengganti," katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Namun menurut bekas perdana menteri, apabila usia semakin lanjut, seseorang pemimpin itu juga perlu sanggup berundur untuk memberi peluang kepada orang lain.

Taib, 78, yang merupakan Presiden PBB dan pengerusi BN Sarawak, mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBB tiga hari lepas. Namun, semasa mesyuarat parti komponen BN negeri semalam, beliau tidak menyatakan tarikh untuk berbuat demikian.

Semalam, Taib menjelaskan beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Sabtu ini untuk menyampaikan hasratnya meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau perlu mengikut protokol untuk meneruskan perancangannya melepaskan jawatan itu yang telah dipegangnya selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981.

Ketika ditanya semalam sama ada beliau akan meletak jawatan pada akhir bulan ini, Taib secara berseloroh menjawab: "Yeah...saya fikir begitu...supaya saya dapat gaji penuh (saya) bagi Februari."

Laporan Utusan Malaysia menyebut, Barisan Nasional (BN) Sarawak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, berikutan keputusan Taib melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

Ini kerana Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu perlu melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian sebagai syarat sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin  yang akan berakhir tempoh perkhidmatan pada 28 Februari ini.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata, dalam mesyuarat bersama pemimpin parti-parti komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak semalam, Taib sekali lagi memaklumkan hasrat akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

"Persoalan sama ada akan berlaku PRK DUN Balingian selepas peletakan jawatan beliau pada hujung bulan ini bagaimanapun terserah kepada SPR kerana kami perlu memenuhi syarat suruhanjaya itu," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mesyuarat khas Ketua Menteri Bersama Pemimpin Parti Komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di Kuching, semalam.

Menurutnya, dalam mesyuarat tersebut, Taib turut memberi nasihat agar parti komponen BN di negeri ini bersatu padu, bersiap sedia dan bekerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Kesebelas (PRN-11) pada 2016 nanti.

Beliau berkata, nasihat diberikan itu akan dijadikan platform untuk BN terus bergerak maju. Yang pasti semua parti komponen juga sebulat suara memberi mandat kepada Taib untuk memilih calon pengganti dan berjanji memberi sokongan kepada pemimpin yang dipilih itu.

"Kami percaya dan yakin siapa sahaja dipilih beliau akan berupaya bekerja dengan baik. Kami juga diberi keyakinan oleh Ketua Menteri bahawa pintu sentiasa terbuka untuk berjumpa beliau bagi mendapatkan nasihat mentadbir, melindungi negeri dan menjaga hak serta perlembagaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Stephen berkata, parti komponen bersetuju untuk mengekalkan hubungan baik antara kaum dan memelihara hak kaum bumiputera di Sarawak termasuk tidak membenarkan UMNO masuk ke negeri ini.

"Kita ada perjanjian sebelum menyertai Malaysia dan kita kekalkan perjanjian itu. UMNO tidak perlu masuk (Sarawak). Apa yang penting ialah semua kaum bumiputera hidup harmoni di Sarawak. Keadaan di sini berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Jadi, kita kena pelihara itu (keharmonian) agar perpaduan dapat dikekalkan di negeri ini yang mempunyai lebih 43 etnik," katanya.

Beliau berkata, tiada siapa dapat memahami keadaan di negeri ini kecuali rakyat Sarawak sendiri sebab itu adalah tidak sesuai bagi orang bukan Sarawak dipilih memimpin negeri ini.

Yang pasti, semua parti komponen BN Sarawak tetap memiliki 100 peratus kesetiaan kepada Malaysia. Mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk negara ini tetapi pada masa sama memastikan Sarawak selamat dan hak rakyatnya terpelihara seperti yang dilakukan Taib Selama ini.