Friday, January 17, 2014

PERDANA MENTERI JAWAB KRITIKAN KENYATAAN 'KANGKUNG'


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan 'kangkung' sebagai penjelasannya sebelum ini berhubung harga barang kerana ia sekadar contoh barangan yang digunakan ramai orang.

"Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung...(sebab itu) saya beri contoh yang semua orang makan. Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu sahaja makan.

"Tidak seharusnya contoh itu dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip 'supply and demand' (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga kawalan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu 'kangkung' yang ditimbulkan sesetengah pihak susulan penjelasannya sebelum ini berhubung harga barang sambil menambah bahawa perkara itu tidak patut dipermainkan.


Dalam pada itu, Najib telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya lebih tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati. Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan peniaga lebih beretika dalam menjalankan aktiviti perniagaan, sekali gus membantu rakyat.

"Saya dah arahkan kementerian untuk gunakan akta sedia ada yang mana kuasa dan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana peniaga yang umumkan bayaran atau caj yang terlalu tinggi, (semata-mata) untuk mendapat untung lebih.

"Ini satu cara bagaimana kita boleh bantu mengurangkan harga kepada pengguna dan rakyat, (akibat) peniaga tidak beretika yang cuba mencari kesempatan dalam masa sekarang," katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam Bersama Perdana Menteri anjuran Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di Kuala Lumpur, malam semalam.

Beliau turut menggesa pengguna supaya lebih proaktif dengan terus melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mengesan peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan.