Wednesday, April 27, 2016

SPEKULASI MENGENAI MB TERENGGANU BAHARU SEMAKIN HANGAT...

Datuk Mohd Jidin Shafie (paling kiri), Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Ahmad Razif pada mesyuarat EXCO hari ini Gambar Teganukita
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dijangka akan menghadap Sultan Terengganu dalam sehari dua ini sekembalinya dari Sarawak.

Sudah pasti apa yang akan dipersembahkan kepada Istana Terengganu ialah sesuatu yang boleh ‘menyelesakan’ pihak istana Terengganu.

Persoalan penting ialah ‘apakah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,  masih selesa dengan Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar’? Jika selsesa, tanpa sebarang gelaran pun Ahmad Razif boleh meneruskan tugasnya.

Tetapi jika Istana Terengganu tidak lagi selesa, bermakna ‘pertukaran Menteri Besar’ akan berlaku. Kemudian calon-calonnya boleh dipertimbangkan.

Datuk Rosi Mamat
Ahmad Razif  hari ini menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

“Terpulang kepada keputusan Perdana Menteri,” katanya ringkas ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman, hari ini.
.
ADUN Seberang Takir itu, enggan mengulas lanjut dan bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.

“Tunggulah keputusan lanjut daripada Perdana Menteri selepas beliau selesai mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Rasanya tidak akan ada kebenaran kepada teori seperti yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Batu Burok (ADUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bahawa kerana kedudukan ‘simple majority’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi, maka akan membawa kepada tiga pilihan, iaitu;

1. Menukar Menteri Besar;

2. Membentuk kerajaan perpaduan dengan parti pembangkang khususnya PAS; dan

3. Membubarkan DUN dan diadakan pilihanraya Negeri

Bagi saya jika Istana Terengganu ‘tidak selesa’, barulah pertukaran Menteri Besar akan berlaku.

Datuk Mohd Jidin Shafie
Yang dua lagi perkara ditimbulkan oleh Dr Syed Azman itu tidak akan menjadi kenyataan kerana PAS sudah menyatakan ia tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dan membentuk kerajaan campuran. Mahu menjilat balik ludahnya?

Malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan, PAS tidak akan masuk campur isu pertukaran menteri besar Terengganu yang hangat diperkatakan, susulan pelucutan darjah kebesaran.

“PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat tanpa mencampuri apa yang disifatkannya sebagai 'masalah rumah tangga UMNO',’ katanya.

Sementara pilihan raya negeri hanya membazir wang kerana tempoh dengan pilihan raya umum semakin hampir. Mungkin Syed Azman teringin pilihan ini tetapi kepimpinan PAS sudah menyatakan mereka ‘tidak mahu menangguk di air keruh’.

 Dalam isu Ahmad Razif ditarik pingatnya ini bukan ‘kemelut politik’. Saya bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk SeriAzalina Othman Said.

Juga soal politiking dalam UMNO Terengganu bukan baru. Sejak Datuk Seri Ahmad Said dilantik Menteri Besar lagi sudah ada suasana ‘bergelora’ kerana ada pemimpin yang ‘enggan menerima pelantikan oleh Sultan Terengganu’ itu.

Ahmad yang juga ADUN Kijal itu meletakkan jawatan bukan kerana krisisnya dengan istana seperti yang berlaku kepada Datuk Seri Idris Jusoh dan ketika ini Ahmad Razif.

Ahmad Said ‘habis kontrak’ dengan Perdana Menteri dan Putrajaya. Sultan Terengganu boleh bersetuju dengan permintaan Putrajaya menamakan pengganti Ahmad – dan ini  jauh berbeza dengan keadaan yang melanda Idris dan kali ini Ahmad Razif.

Walaupun ‘tidak berkenan dengan Idris’, malah ada perbuatan penyokongnya yang seperti ‘menderhaka’,  pingat tidak ditarik balik seperti yag berlaku dalam kes Ahmad Razif.

Walaupun Perdana Menteri belum menghadap dan kita masih tidak jelas pendirian istana dalam kes Ahamd Razif ini, spekulasi dan ramalan siapa Menteri Besar baru semakin hangat.

Malah beberapa nama sudah ‘diviralkan’. Untuk apa tidak diketahui tetapi ia sebenarnya boleh membawa kepada tohmahan dan salah tafsir.

Sebaik-baiknya tunggulah pengumuman – sama ada – perlu ditukar atau sebaliknya.


Akhbar  Sin Chew  Daily yang memetik sumber-sumber, berkata perubahan hampir pasti selepas Sultan Terengganu awal minggu ini melucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Razif.

Dilaporkan, Istana Terengganu cenderung kepada ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat untuk mengambil alih jawatan menteri besar.

Sementara pemimpin Umno bahagian pula lebih cenderung kepada ADUN Permaisuri yang juga Ketua Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie untuk menerajui kerajaan negeri.

Bukan itu sahaja, nama lain disebut ialah ADUN Hulu Besut yang juga Ketua UMNO Besut, Nawi Mohamad, ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar serta ADUN Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar.

Walaupun mengesahkan bahawa Razif masih belum secara rasmi dimaklumkan untuk berundur, laporan itu memetik sumber sebagai berkata kedudukan Razif itu sudah tidak lagi dapat dipertahankan.

Jika dilihat kepada aspek kepantingan parti, rasanya Ketua Bahagian sewajarnya diberikan keutamaan untuk menjadi Menteri Besar. Ada beberapa sebab:

1.   Mereka berpengalaman menggendalikan parti menempuhi pilihan raya umum yang bukan sahaja penting untuk negeri tetapi juga menjamin kemenangan kerusi Parlimen;

2.  Kita tidak mahu kes ‘peteh’ akibat pemilihan part, khususnya untuk menjadi Ketua Bahagian,  apabila seseorang calon BN ‘dikorbankan’ hanya kerana seseorang itu mahu menjadi Ketua Bahagian. Lebih mengecewakan yang kalah itu calon Parlimen;

3.  Dalam menggendali mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri, jika Menteri Besar adalah Ketua Bahagian, ini akan lebih dihormati. Terengganu tidak sewajarnya mempunyai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Barisan Nasional dari luar Terengganu; 

4.  Pengalaman sebagai Ketua UMNO akan membuka jalan yang mudah untuknya memahami, mentadbir dan menyelaras parti di peringkat negeri, selain berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin lain di peringkat nasional dan negeri lain; dan

5.  Ketua Bahagian yang berpengalaman dan mempunyai kenalan ramai di peringkat nasional akan memudahkannya menjalankan tugas, sama ada untuk parti atau pentadbiran.

Pelantikan juga hendaklah mengambil kira seseorang yang ada visi pembangunan negeri, selain menjamin keutuhan parti UMNO.

Slogan tidak penting tetapi sikap dan tindakan ‘cakna kepada rakyat’ di kalangan pemimpin UMNO dan BN paling utama.


Selain itu, menjamin kerusi negeri dan Parlimen bertambah pada keputusan PRU ke -14 nanti juga adalah tanggungjawab yang mesti dipikul sebaik-baiknya.


M’SIA MAMPU CAPAI STATUS NEGARA MAJU SEPENUHNYA MENJELANG 2020


Program Transformasi Nega­ra (NTP) yang dilaksanakan kerajaan sejak lima tahun la­lu melalui Program Transformasi Ke­rajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membuahkan kejayaan cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun berdepan dengan kemelut ekonomi global, GTP dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) hampir sempurna iaitu 99 peratus.

Hal yang sama jelas beliau, berlaku dalam ETP apabila Bidang Ekonomi Utama Negara mencapai 111 peratus KPI, manakala Inisiatif Keberhasilan Utama Negara pula mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya.

Membentangkan Laporan Tahunan NTP di Angkasapuri di Kuala Lumpur malam semalam, Perdana Menteri berkata pencapaian cemerlang itu bukan sekadar untuk menyedapkan halwa telinga tetapi boleh diukur menerusi lima petunjuk besar kejayaan NTP sehingga meletakkan ekonomi Malaysia pada trajektori yang tepat dan berdaya tahan.

1.    Dari sudut Kelua­ran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Meskipun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, Malaysia dengan perancangan rapi serta pemantauan berterusan mencatat pertumbuhan purata KDNK 5.6 peratus sejak 2010.  Dengan kadar purata 5.6 peratus ini, ekonomi Malaysia dalam keadaan sihat. Ertinya hasrat kita untuk menjadi negara maju bukan sekadar impian tetapi dengan momentum yang ada, insya-Allah akan menjadi kenyataan.

2.    Disiplin fiskal - dicapai hasil kebijaksanaan kerajaan mengendalikan hutang negara sehingga berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada serendah 3.2 peratus pada 2015. Hasil disiplin fiskal yang baik, kos pinjaman negara ada­lah rendah, sekali gus merangsang keyakinan pasaran terhadap kedudukan kredit Malaysia untuk terus berada pada tahap yang tinggi.

3.   Pendapatan Negara Kasar Perkapita, jumlah Pendapatan Negara Kasar Perkapita sekitar RM28,000 pada 2010 telah meningkat 30 peratus menjadi lebih RM35,000 pada tahun lalu,” katanya.

4.   Lebihan dagangan selama 220 bulan berturut-turut sejak November 1997, membuktikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun hanya sebuah negara kecil; dan

5.    Pengukuran hasil penarafan diterima Malaysia daripada badan serta agensi penarafan antarabangsa sejak 2010 yang menyaksikan ‘rating’ negara terus meningkat di mata dunia. Terbaharu, Malaysia satu-satunya negara pasaran baharu yang tersenarai dalam 10 terbaik bagi Pembangunan Pasaran Kewangan Global.

Tegas Najib yang juga Menteri Kewangan, kejayaan ini tidak boleh disangkal oleh sesiapa kerana telah dipersahih, diperaku dan diiktiraf oleh sekian banyak penaraf berwibawa.


Berikutan itu, Perdana Menteri menyuarakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu merealisasikan status negara maju sebenarnya menjelang 2020 menerusi ETP.

Namun, beliau mengakui bahawa ia merupakan tugas yang berat, yang memerlukan ketekunan dan sokongan tidak berbelah bahagi oleh sektor awam dan swasta, juga daripada rakyat.

Beliau juga mengingatkan bahawa sikap ambil mudah boleh menjejaskan matlamat 2020 berikutan persaingan sengit dalam menarik pelaburan, selain peraturan perdagangan baharu yang jelas menunjukkan bahawa hanya yang kuat akan berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi dunia yang sukar ini.

Meskipun GTP  menyumbang 'keputusan besar dan pantas' dalam penyampaian perkhidmatan awam sejak tiga tahun lepas, selain ETP yang mendorong penyertaan sektor swasta dalam ekonomi, banyak lagi cabaran yang perlu ditangani, kata Perdana Menteri.

"Kejayaan ini tidak bermakna kita boleh merasa selesa. Kita harus akur bahawa persaingan untuk meraih pelaburan terbaik dan keinginan untuk berjaya adalah matlamat setiap negara.

"Dengan peraturan yang senantiasa berubah dan perjanjian perdagangan baharu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), lima tahun yang akan datang ini merupakan satu cabaran yang amat besar.

"Namun Malaysia boleh menghadapi cabaran ini melalui usaha dan dedikasi yang sama yang telah membawa kejayaan kepada kita sepanjang enam tahun ini," kata Najib.

Perdana Menteri juga memuji usaha sektor awam dan swasta dan gabungan sokongan rakyat dalam merealisasikan matlamat NTP.

"Dengan memanfaatkan langkah-langkah terangkum dan mampan, program di bawah GTP kini berada dalam pelbagai peringkat kemajuan ke arah merealisasikan matlamat diperlukan untuk menuju ambang 2020.

Beliau berkata GTP telah menjadi pemangkin dalam memainkan peranan penting dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui GTP dan membentuk semula kerjasama sektor awam-swasta melalui ETP.

ETP, melalui Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), berjaya mewujudkan persekitaran perniagaan yang baik untuk pertumbuhan perniagaan.

Sektor awam, berganding bahu dengan penggiat sektor swasta terus menyelesaikan sasaran komitmen menerusi pemantauan rapat petunjuk prestasi utama dan pendekatan penyelesaian masalah," katanya.

Selain pertumbuhan 5.0 peratus tahun lepas, satu lagi pencapaian yang patut dipuji ialah kejayaan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang walaupun wujud keraguan, 'terbukti tepat pada masanya dalam mewujudkan penampan kewangan untuk negara ketika kejatuhan harga minyak yang menjejaskan tabungan negara, katanya merujuk harga minyak dunia yang merosot ke paras terendah dalam sejarah kepada US$30 setong beberapa bulan lepas.

Harga kini telah meningkat kepada US$45 dengan sentimen keyakinan yang semakin tinggi bahawa lebihan bekalan dunia mungkin berkurangan.

Najib berkata kerajaan juga peka terhadap kebajikan rakyat, terutama kos sara hidup yang meningkat, yang mejurus kepada pelaksanaan beberapa program bantuan kepada rakyat.

Ia termasuk bantuan tunai bersasaran menerusi BR1M (skim bantuan rakyat 1Malaysia), BB1M (Baucar buku 1Malaysia), serta BKAP1M untuk pelajar.

Sumber - Utusan & Bernama