Wednesday, April 27, 2016

M’SIA MAMPU CAPAI STATUS NEGARA MAJU SEPENUHNYA MENJELANG 2020


Program Transformasi Nega­ra (NTP) yang dilaksanakan kerajaan sejak lima tahun la­lu melalui Program Transformasi Ke­rajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membuahkan kejayaan cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun berdepan dengan kemelut ekonomi global, GTP dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) hampir sempurna iaitu 99 peratus.

Hal yang sama jelas beliau, berlaku dalam ETP apabila Bidang Ekonomi Utama Negara mencapai 111 peratus KPI, manakala Inisiatif Keberhasilan Utama Negara pula mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya.

Membentangkan Laporan Tahunan NTP di Angkasapuri di Kuala Lumpur malam semalam, Perdana Menteri berkata pencapaian cemerlang itu bukan sekadar untuk menyedapkan halwa telinga tetapi boleh diukur menerusi lima petunjuk besar kejayaan NTP sehingga meletakkan ekonomi Malaysia pada trajektori yang tepat dan berdaya tahan.

1.    Dari sudut Kelua­ran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Meskipun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, Malaysia dengan perancangan rapi serta pemantauan berterusan mencatat pertumbuhan purata KDNK 5.6 peratus sejak 2010.  Dengan kadar purata 5.6 peratus ini, ekonomi Malaysia dalam keadaan sihat. Ertinya hasrat kita untuk menjadi negara maju bukan sekadar impian tetapi dengan momentum yang ada, insya-Allah akan menjadi kenyataan.

2.    Disiplin fiskal - dicapai hasil kebijaksanaan kerajaan mengendalikan hutang negara sehingga berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada serendah 3.2 peratus pada 2015. Hasil disiplin fiskal yang baik, kos pinjaman negara ada­lah rendah, sekali gus merangsang keyakinan pasaran terhadap kedudukan kredit Malaysia untuk terus berada pada tahap yang tinggi.

3.   Pendapatan Negara Kasar Perkapita, jumlah Pendapatan Negara Kasar Perkapita sekitar RM28,000 pada 2010 telah meningkat 30 peratus menjadi lebih RM35,000 pada tahun lalu,” katanya.

4.   Lebihan dagangan selama 220 bulan berturut-turut sejak November 1997, membuktikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun hanya sebuah negara kecil; dan

5.    Pengukuran hasil penarafan diterima Malaysia daripada badan serta agensi penarafan antarabangsa sejak 2010 yang menyaksikan ‘rating’ negara terus meningkat di mata dunia. Terbaharu, Malaysia satu-satunya negara pasaran baharu yang tersenarai dalam 10 terbaik bagi Pembangunan Pasaran Kewangan Global.

Tegas Najib yang juga Menteri Kewangan, kejayaan ini tidak boleh disangkal oleh sesiapa kerana telah dipersahih, diperaku dan diiktiraf oleh sekian banyak penaraf berwibawa.


Berikutan itu, Perdana Menteri menyuarakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu merealisasikan status negara maju sebenarnya menjelang 2020 menerusi ETP.

Namun, beliau mengakui bahawa ia merupakan tugas yang berat, yang memerlukan ketekunan dan sokongan tidak berbelah bahagi oleh sektor awam dan swasta, juga daripada rakyat.

Beliau juga mengingatkan bahawa sikap ambil mudah boleh menjejaskan matlamat 2020 berikutan persaingan sengit dalam menarik pelaburan, selain peraturan perdagangan baharu yang jelas menunjukkan bahawa hanya yang kuat akan berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi dunia yang sukar ini.

Meskipun GTP  menyumbang 'keputusan besar dan pantas' dalam penyampaian perkhidmatan awam sejak tiga tahun lepas, selain ETP yang mendorong penyertaan sektor swasta dalam ekonomi, banyak lagi cabaran yang perlu ditangani, kata Perdana Menteri.

"Kejayaan ini tidak bermakna kita boleh merasa selesa. Kita harus akur bahawa persaingan untuk meraih pelaburan terbaik dan keinginan untuk berjaya adalah matlamat setiap negara.

"Dengan peraturan yang senantiasa berubah dan perjanjian perdagangan baharu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), lima tahun yang akan datang ini merupakan satu cabaran yang amat besar.

"Namun Malaysia boleh menghadapi cabaran ini melalui usaha dan dedikasi yang sama yang telah membawa kejayaan kepada kita sepanjang enam tahun ini," kata Najib.

Perdana Menteri juga memuji usaha sektor awam dan swasta dan gabungan sokongan rakyat dalam merealisasikan matlamat NTP.

"Dengan memanfaatkan langkah-langkah terangkum dan mampan, program di bawah GTP kini berada dalam pelbagai peringkat kemajuan ke arah merealisasikan matlamat diperlukan untuk menuju ambang 2020.

Beliau berkata GTP telah menjadi pemangkin dalam memainkan peranan penting dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui GTP dan membentuk semula kerjasama sektor awam-swasta melalui ETP.

ETP, melalui Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), berjaya mewujudkan persekitaran perniagaan yang baik untuk pertumbuhan perniagaan.

Sektor awam, berganding bahu dengan penggiat sektor swasta terus menyelesaikan sasaran komitmen menerusi pemantauan rapat petunjuk prestasi utama dan pendekatan penyelesaian masalah," katanya.

Selain pertumbuhan 5.0 peratus tahun lepas, satu lagi pencapaian yang patut dipuji ialah kejayaan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang walaupun wujud keraguan, 'terbukti tepat pada masanya dalam mewujudkan penampan kewangan untuk negara ketika kejatuhan harga minyak yang menjejaskan tabungan negara, katanya merujuk harga minyak dunia yang merosot ke paras terendah dalam sejarah kepada US$30 setong beberapa bulan lepas.

Harga kini telah meningkat kepada US$45 dengan sentimen keyakinan yang semakin tinggi bahawa lebihan bekalan dunia mungkin berkurangan.

Najib berkata kerajaan juga peka terhadap kebajikan rakyat, terutama kos sara hidup yang meningkat, yang mejurus kepada pelaksanaan beberapa program bantuan kepada rakyat.

Ia termasuk bantuan tunai bersasaran menerusi BR1M (skim bantuan rakyat 1Malaysia), BB1M (Baucar buku 1Malaysia), serta BKAP1M untuk pelajar.

Sumber - Utusan & Bernama


No comments:

Post a Comment