Beringatlah ketika ada kuasa.
Juga peringatkan mereka yang ada kuasa bahawa kuasa boleh ditarik begitu sahaja, walaupun mungkin sesebuah negeri itu mendakwa ia sebuah negara atau negeri Islam dan pemimpinnya adalah ulama.
Ingatlah Terengganu – bagaimana kerajaan PAS yang ditadbir oleh seorang ‘Tuan Guru’ yang dihormati dan mendakwa mereka adalah pemimpin Islam boleh kalah dan tidak kekal berkuasa – gara-gara rakyat hilang kepercayaan dan menolak kepimpinan ‘ulama’ di negeri berkenaan.
Apakah kes di Terengganu pada 2004 itu semata-mata kerana faktor UMNO berusaha kuat atau kesilapan-kesilapan yang dilakukan pemimpin PAS?
Bukankah ia juga sebagai suatu peringatan dan pengajaran bahawa jika rakyat diabaikan dan pemimpin ‘mabuk dengan harta’ bagaikan tamaknya askar Islam pada Perang Uhud - selain pemujaan keterlaluan terhadap seseorang insan kononnya kerana ‘keIslaman’nya boleh menyebabkan sesebuah kerajaan kehilangan kuasa?
Begitulah juga dalam konteks Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.
Siapa berani mendabik dada mengatakan BN mampu berkuasa selama-lamanya? Beranikah Datuk Seri Mohd Najib Razak atau Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan demikian?
Siapa menyangka Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disanjung pada 2004 tiba-tiba ‘dibenci’ banyak pihak hanya empat tahun selepas berkuasa?
Abdullah ketika dilantik Perdana Menteri tidak mempunyai reputasi buruk atau perkara yang boleh dipersoalkan membabitkan isu-isu seperti moral yang rendah, rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Tetapi apa terjadi selepas itu?
Walaupun kebanyakan apa yang diperkatakan terhadap Abdullahitu lebih kepada persepsi dan andaian tertentu, yang nyata Abdullah dilihat banyak berubah dan bukan ‘Pak Lah’ pada 2004 atau sebelumnya.
Banyak faktor yang menyebabkan rakyat mula melihat ada yang tidak kena kepada Abdullah.
Jadi apabila timbul isu peruntukan sebanyak RM65 juta untuk pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya, rakyat bawahan tertanya-tanya, apakah perlu dan memang wajarkah dilakukan pengubahsuaian?
Kalaupun benar-benar perlu dan akan dibelanjakan dalam tempoh dua tahun - apakah memerlukan sejumlah yang begitu besar?
Seingat penulis, Seri Perdana mula dibina pada 1997 dengan kos RM24.17 juta. Ia siap kira-kira dua tahun selepas itu.
Penulis pernah menjejak kaki beberapa kali di kediaman itu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri tetapi sudah lama tidak ke sana!
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pernah memberitahu Dewan Rakyat sekitar 2005, kos pengubahsuaian ‘ Seri Perdana’ di Putrajaya itu sekitar RM15.81 juta.
Kerja pengubahsuaian itu meliputi kerja membaik pulih dan menaik taraf sistem penyaman udara, pendawaian elektrik, lanskap serta pengubahsuaian dalaman termasuk ruang dapur dan bayaran juruperunding.
Jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) menjelaskan, kos penyelenggaraan bulanan yang melibatkan keseluruhan kompleks kediaman Perdana Menteri termasuk blok rumah persendirian beliau hanya berjumlah RM2.9 juta setahun iaitu dengan purata RM242,991.50 sebulan.
Ini bermakna jika dicampur antara kos pembinaan dan ubahsuai ia menjadi RM39.98 juta. Dan jika mahu diubah suai sebanyak RM65 juta bermakna ia akan menjadi RM104.06 juta.
Apa yang nyata kos pengubahsuaian terbaru ini jika dilaksanakan juga menjadi sekali ganda daripada kos asal dan pengubahsuaian pada 2005.
Persoalannya, apakah kos seperti ini berbaloi untuk diperuntukkan bagi kediaman seorang yang bernama Perdana Menteri?
Penulis menyatakan pendapat ini berasaskan cakap-cakap orang bawahan, bukan kerana pembangkang mulai membantah di Dewan Rakyat.
Yang nyata kepada pembangkang, isu ini menarik dan akan menjadi ‘bualan kempen pilihan raya ke 13’ nanti. Sementara kepada YB Barisan Nasional, mereka tutup mulut dan tahu-tahulah kenapa!
Tidak tahulah tukang spin BN nak cakap macam mana mengenai pengubahsuaian ini. Yang nyata jika kediaman itu sudah tidak sesuai untuk diduduki apakah ia wajar menjadi satu lagi galeri seperti bekas kediaman Tun Dr Mahathir itu?
Tidakkah baik jika kos RM65 juta itu untuk pembinaan kediaman baru bagi Perdana Menteri? Nanti akan timbul pula pertanyaan apakah setiap kali berubah Perdana Menteri maka perlu dibina kediaman baru?
Penulis bimbang jika tidak berhati-hati dalam banyak perkara, rakyat yang semakin terhimpit dengan kos kehidupan yang semakin meningkat dan kempen pembangkang yang semakin ligat, akan menyebabkan banyak perkara tidak berjawab.
Jika diteliti kepada kediaman Perdana Menteri, rakyat melihat sendiri bagaimana kediaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Allahyarham Tun Razak, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir.
Dr Mahathir tinggal di ‘kediaman barunya’ Sri Perdana di Jalan Terengganu off Jalan Damansara yang kini menjadi Galeri selama lebih 15 tahun bermula 1983 sehinggalah berpindah ke Putrajaya pada 1999. Itupun kerana pusat pentadbiran negara berpindah ke Putrajaya.
Dalam kedudukan di mana banyak isu yang belum terjawab termasuk perkara-perkara yang ditimbulkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2009 dan sebagainya, wajar sekali jika dipertimbangkan semula pengubahsuaian kediaman Perdana Menteri ini.
Dan jika pun ‘sangat perlu’ biarlah ia berpada-pada dan rakyat boleh menerimanya sesuai dengan kedudukan Perdana Menteri yang memerlukan ‘kediaman selesa’ bagi mentadbir negara!
Penulis berharap pandangan ini direnung sedalam-dalamnya dan jika pendapat ini silap, tegurlah penulis dan kemukakan rasionalnya.
Thursday, November 11, 2010
UPSR - TERENGGANU CATAT KEJAYAAN 10 TAHUN BERTURUT-TURUT?
Daripada teganuku
Terengganu dikatakan mengulangi kejayaan sejak sepuluh tahun lalu bagi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 akan diumumkan sebentar lagi (hari ini 11 November 2010).
Tahun ini, seramai 23,533 murid Tahun Enam menduduki UPSR di 371 pusat peperiksaan melibatkan 354 buah sekolah di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman sebelum ini berkata, beliau yakin sasaran Terengganu untuk mencapai 20 peratus A dalam semua mata pelajaran akan tercapai.
Ia berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan yang mencatatkan 29 peratus pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran, katanya.
Dengan Terengganu dikatakan terus menjadi juara tertinggi semua A bagi ujian berkenaan sekali lagi, apakah Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Said akan menitiskan air mata sekali lagi?
Tahun lalu ketika mengucapkan ‘selamat tinggal’ untuk menunaikan fardu haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Ahmad Said sebak kerana anaknya juga mencapai keputusan 5A dan ia dimaklumkan oleh seorang pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu.
Jika ini benar-benar berlaku sekali lagi hari ini, ternyata usaha kerajaan negeri Terengganu dan Jabatan Pelajaran Terengganu membuahkan hasil memberangsangkan.
Tahun lalu daripada 23,944 calon yang menduduki UPSR di 381 pusat peperiksaan, 3,664 mendapat semua A atau 15.3 peratus iaitu peningkatan satu peratus berbanding 2008.
Keputusan UPSR tahun lalu juga meningkat dalam pencapaian minimum C kepada 68.8 peratus.
Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran mengumumkan beberapa hari lalu bahawa calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi hari ini.
Selain itu satu majlis pengumuman analisis keputusan UPSR 2010 akan diadakan hari ini pada pukul 9 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.
Pada tahun ini, 494,493 calon telah menduduki UPSR di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, calon sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan adalah 486,321 orang atau 98.3 peratus manakala baki 8,172 (1.7 peratus) adalah calon sekolah swasta.
Subscribe to:
Posts (Atom)