Tuesday, February 14, 2012

IKTIRAF NEGARA YAHUDI - NIK AZIZ CABAR ANWAR SAMAN WSJ

"Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka Pas menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis...Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal.” - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Kini bukan bekas ‘anak buah’ Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang cabar beliau supaya menyaman akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Malah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat petang semalam turut mencabar berbuat demikian jika laporan WSJ itu tidak benar.

Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan ‘haram’ mengiktiraf negara Israel.

Kini rakyat Islam dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dunia di negara ini perlu sedar dan menolak Anwar yang ternyata menyokong perjuangan Yahudi yang menindas dan ‘menutup masa depan rakyat Palestin’.

Mahu kata apa lagi Anwar dan konco-konconya kerana jika pemimpin UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membidas Anwar mengenai perkara ini, ada pihak mengatakan ia bersifat politik.

Tetapi apabila Mursyidul Am Pas sendiri mencabar Anwar, ini juga tindakan politik?

Hakikatnya, Nik Aziz dan Abdul Hadi memang bertelagah pendapat dengan Anwar yang membayangkan bahawa PAS kini semakin ‘sedar’ bahawa Anwar sebenarnya bukan pemimpin untuk orang Islam di negara ini.

Jika kelmarin PAS bertelagah dengan DAP mengenai Hari Kekasih, semalam PAS bertelagah dengan Ketua Ketua Umum Pakatan Rakyat mengenai isu Palestin pula.

Bagaimana boleh dua penyokong tegar Anwar yang berjuang ke Putrajaya boleh mengkritik Anwar mengenai kenyataannya berkaitan dengan Israel yang disiarkan dalam akhbar WSJ bulan lalu?

Abdul Hadi beralas dan berlapit mengkritik Anwar tetapi Nik Aziz semalam lebih keras apabila menggesa pemimpin PKR itu agar menarik balik kenyataannya.

Sabtu lalu, Presiden Pas, itu menegaskan pendiriannya menolak formula penyelesaian dua negara bagi mengatasi konflik Asia Barat membabitkan Israel dan Palestin sambil menyifatkan adalah "haram menerima kewujudan negara haram."

Sehubungan itu kata Abdul Hadi, bagi pihaknya hanya ada satu negara Palestin bagi penduduknya yang berhak manakala Israel tidak wujud sama sekali.

Kedua-dua pemimpin Pas ini melahirkan pendirian ini ketika kenyataan Anwar mengenai Israel, dalam satu temu bual bersama WSJ baru-baru ini, menjadi isu kontroversi.

Nik Aziz pula petang semalam menegaskan :"Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal.”

Dalam satu kenyataannya, Nik Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.

Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, Pas mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Kata beliau, negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia.

Oleh itu katanya, wajib bagi umat Islam, bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya.

"Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka Pas menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

"Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Pandangan Anwar itu berhadapan dengan kritikan dan kecaman pemimpin-pemimpin BN dan sebahagian pertubuhan bukan kerajaan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, pihak berkenaan perlu menyedari bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja.

Jadi faham-fahamlah orang PAS sendiri kenapa Anwar perlu ditolak dan tidak layak langsung menjadi Perdana Menteri.

Sekiranya disokong juga bermakna orang PAS menolak pendirian Nik Aziz dan Abdul Hadi yang memang jelas menolak Anwar dalam isu yang membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini.