Saturday, July 9, 2016

DEMI GELARAN ‘TUN’ – APAKAH DR M, DR SITI HASMAH AKAN ‘SUJUD DI KAKI NAJIB’?


“Apabila didakwa di mahkamah,  Dr Mahathir akan kehilangan gelaran dan menjadi ‘orang biasa’...status VVIP akan semuanya hilang dan tidak mampu lagi menggunakan kekuatannya. Dr Mahathir bukan lagi menjadi ‘Maha-Mahathir’ tetapi hanya ‘Encik Mahathir’.”

"Mahathir and family are currently in Phuket, Thailand, to discuss their next move. They know it is game over for them and Najib is going to remain Prime Minister. But they still need to figure out how to save Mahathir’s Tun-ship, which he will lose once he is charged for a crime. " - Raja Petra Kamarudin (7 Julai 2016)

Benarkah Tun Dr Mahathir Mohamad lebih sayangkan pingat atau gelaran ‘Tun’ daripada membela nasib rakyat?

Apakah Dr Mahathir sanggup mencium kaki Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak demi mengekalkan gelaran berkenaan?

Apakah gelaran 'Tun' itu segala-galanya untuk Dr Mahathir?

Apakah Najib yang menganugerahkan gelaran berkenaan? Atau apakah yang menganugerahkan gelaran itu akan menurut kata Najib untuk ‘menyentapnya’ daripada Dr Mahathir?

Sampai begitu sekali usaha ‘menjatuhkan maruah’ bekas Perdana Menteri itu mahu dilakukan sesetengah pihak dalam UMNO dan kerajaan? Tidak cukupkah dengan apa yang sudah berlaku di Petronas, Proton dan Yayasan Kepimpinan Perdana? Apakah semuanya akibat dendam yang membara?

Jika benar yakin kuat dengan kedudukan dan kekuatan yang ada,  kenapa sampai pingat atau gelaran untuk bekas seorang Perdana Menteri pun diambil kira?

Penting sangatkah gelaran Tun itu?


Apakah jika Dr Mahathir tiada lagi gelaran Tun, beliau bukan bekas seorang Perdana Menteri yang memerintah negara selama 22 tahun dan membangunkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara industri?

Menurut Raja Petra Kamarudin melalui blognya MAHATHIR, A DEFLATED BALL, TRYING TO SAVE HIS TUN-SHIP’,  kedudukan Dr Mahathir kini bagaikan ‘di lembah hina’ berbanding setahun lalu,  apabila bekas Perdana Menteri itu mendapat sanjungan dan ‘meraikan kemenangan’ di atas ‘kejatuhan Perdana Menteri’.

Kini terpaksa pula berkumpul anak-beranak di ‘persidangan Phuket’ semalam untuk merangka bagaimana membantu Dr Mahathir merangkak keluar daripada lubang yang beliau gali sendiri, sebelum tertimbus untuk selama-lamanya.

Dr Mahathir dikatakan kini – akhirnya – menerima kenyataan bahawa beliau kalah dalam perlawanan dengan Najib dalam usahanya menjatuhkan beliau daripada jawatan Perdana Menteri.

Raja Petra mengatakan Dr Mahathir trerpaksa menelan hakikat bahawa Kempen Anti-Najib (ANC) yang sepatutnya berjaya menurunkan Najib pada Julai 2015, sudah tidak berjaya dan ‘it is game over, real and truly over’.

Berdasarkan faktor bahawa Dr Mahathir akan didakwa bukan lagi ‘kemungkinan bila didakwa tetapi bila akan didakwa’ kerana beberapa pertuduhan – persoalan kini bukan lagi sama ada Najib mampu bertahan sehingga 2018 atau berjaya dijatuhkan sebelum waktu itu – tetapi persoalan penting ialah apa akan jadi kepada Dr Mahathir.

Bagi Raja Petra, penyokong atau keluarga Dr Mahathir kini perlu membincangkan bukan sama ada Najib mampu bertahan atau tidak tetapi sama ada Dr Mahathir dapat bertahan atau sebaliknya.

Katanya, mulanya mereka memikirkan Dr Mahathir jika didapati bersalah akan dihantar di penjara. Kini mereka sedar bahawa memenjarakan Dr Mahathir bukan keutamaan bagi Najib (Raja Petra tahu rancangan Najib – dari sumber mana?).

Dr Mahathir tidak takut dipenjarakan. Malah, menurut Raja Petra, jika Dr Mahathir dipenjara dan ditakdir meninggal dalam penjara, beliau akan  disanjung sebagai pejuang seperti Mahatma Gandhi. Ini akan mengukuhkan perjuangan ANC.

Raja Petra kata Najib tidak bodoh (Raja Petra tahu Najib cerdik, siapa beritahu beliau?)  untuk menjadikannya seorang ;pejuang’ dan mati dalam penjara.

Sebaliknya apa yang perlu dilakukan oleh Najib ialah ‘mengenakan Dr Mahathir dengan paling sengsara’ iaitu menarik balik pingat atau gelaran ‘Tun’. (All Najib needs to do is to hit Mahathir where it hurts most, and that would be to take away his Tun-ship).

Ini kerana bagi Dr Mahathir, gelaran itu lebih penting dari wang – apabila anda mempunyai RM1 bilion, apa lagi yang dibimbangkan – namanya, status, kedudukan dan lain-lain adalah penting. Jadi gelaran ‘Tun’ itu segala-galanya bagi ‘orang tua itu’.

Dan apabila didakwa Dr Mahathir akan kehilangan gelaran dan menjadi ‘orang biasa’. Dengan itu status VVIP skan semuanya hilang dan tidak mampu lagi menggunakan kekuatannya seolah-olah ‘sultan yang ke-10’. Dr Mahathir bukan lagi menjadi ‘ Maha-Mahathir’ tetapi hanya ‘Encik Mahathir’.

Jadi itulah antara perkara penting dalam ‘persidangan Phuket’ semalam.

Ia untuk menyelamatkan gelaran ‘Tun’ Dr Mahathir dan bagaimana menyelamatkannya.

Apakah Tun Siti Hasmah Mohd Ali akan meminta pertemuan dengan Najib dan melutut agar Perdana Menteri tidak menarik balik gelaran itu?

Persoalannya, jika benarpun, apakah Dr Mahathir akan bersetuju? Juga apakah Dr Hasmah akan melakukan ‘tindakan bodoh’ itu demi  hanya kerana gelaran atau pingat ‘Tun’?


Apakah gelaran Tun itu segala-galanya untuk Dr Mahathir?

Apakah beliau sanggup membelakangkan atau menggadaikan perjuangannya menegakkan ‘keadilan’ sama ada melalui Deklarasi Rakyat atau ANC hanya kerana mempertahankan gelaran Tun?

Hakikatnya, ketika menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir tidak pernah melarang wartawan tidak menyebut ‘Datuk Seri’ ketika bertanyakan soalan atau berbual dengannya. Ramai yang memanggil beliau ‘Dr’ sahaja. Dr Mahathir tak kisah pun.

Tanyalah wartawan veteran yang masih hidup jika tidak percaya.

Hakikatnya, kalaupun benar gelaran Tun ditarik atau digugurkan, Dr Mahathir masih ada ‘Dr’ di hadapan namanya, bukan seperti yang dikatakan oleh Raja Petra, hanya ‘Encik Mahathir’.

'Dr' yang ada di pangkal namanya itu bukan ‘Dr yang dibeli’  atau ‘Dr terbang’.
Tetapi ia adalah pengiktirafan dan kelulusan ijazah kedoktoran daripada Universiti Malaya (Singapura).

Ia tidak sama dengan gelaran Dr seperti  dipakai oleh sesetengah orang yang tidak diketahui sama ada ‘habis belajar’ atau tidak di universiti luar negara atau  pulang tanpa segulung ijazah pun.

Namun mereka tetap menggunakan gelaran ‘Dr’ atau seolah-olah lulusan graduan universiti luar negara.

Kita yakin Dr Mahathir atau Dr Siti Hasmah tidak pernah bimbang pun gelaran ‘Tun’ akan ditarik balik atau sebaliknya.


Mereka yang memiliki kebimbangan ialah kumpulan yang sedang berusaha menyekat atau memberhentikan Dr Mahathir daripada terus mengkritik Perdana Menteri.

Mungkin mereka inilah yang mencipta cerita dan Raja Petra menyempurnakan skripnya.
Mereka mempunyai sebab tersendiri kenapa perlu menyerang Dr Mahathir.

Memang membimbangkan mereka jika berlaku apa-apa kepada Perdana Menteri kerana , merekalah yang  akan menanggung akibat dan bahananya.

Rakyat biasa kini dan akan datang sedang memerhatikan permainan politik ini.

Jika berlaku serangan berlebih-lebihan terhadap bekas Perdana Menteri itu, mereka pun akan tertanya diri sendiri, untuk apa sebenarnya serangan itu dihalakan.


Biarpun menjadi majoriti senyap ketika ini, di hati kecil dan sanubari rakyat akan tetap ada pertanyaan – “apakah Dr Mahathir yang sudah menabur bakti begitu banyak, sanggup menggadaikan perjuangannya hanya demi sebuah gelaran dunia bernama ‘Tun’?”