Polis bertindaklah segera!
Kita amat yakin polis kita mampu mengenalpasti suspek yang cuba menganggu ceramah dan merosakkan kenderaan pembangkang.
Kalau terkena kepada pamerintah mungkin akan ada tuduhan ini sandiwara atau sengaja dibuat-buat!
Kita tidak mahu kerana hal-hal seperti ini akan menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) disalahkan. Yang bersalah dakwa sahaja. Jangan kita dia dari mana, UMNO atau komponen BN.
Apa yang cuba digambarkan pembangkang sekarang ialah kerja merosakkan kenderaan serta mengugut itu dilakukan oleh penyokong kerajaan. Banteras mereka itu dan jangan jadikan ‘politik samseng’ bermaharajalela di negara ini. Malaysiakini menyiarkan beberapa insiden berikut yang jika tidak disiasat dan didakwa ‘penjahat-penjahat’ ini nama kerajaan dan polis akan tercemar.
Ini adalah apa yang dilaporkan Malaysiakini dan penyampai sumber ialah Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution:
1. Kereta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan kemek dan rosak akibat terkena balingan batu dan didakwa ditendang sekumpulan lelaki yang dipercayai sebagai penyokong Umno semasa ceramahnya di kawasan Parlimen Sembrong, Johor malam semalam;
2. Ceramah Anwar pada jam 11.30 malam itu juga diganggu. Mereka juga didakwa membaling mercun di atas kepala anggota polis;
3. Penyokong Pakatan juga dilempar dengan mercun, telur dan botol. Selain itu, mereka juga dilontarkan dengan kata-kata kesat.
Kesimpulan Saifuddin - "samseng yang dibayar" itu berusia kira-kira 15-18 tahun dan mereka kemudiannya dikenal pasti oleh penduduk tempatan sebagai "orang Umno".
Selain itu, menurut laporan Malaysiakini itu, ceramah-ceramah pembangkang dan juga pro-Pakatan seringkali diganggu dan ia dipercayai sebahagian daripada taktik menakut-nakutkan masyarakat terutama dalam usaha menguasai sokongan orang Melayu.
a. Pada 21 Januari lalu, perhimpunan NGO Asalkan Bukan Umno (ABU) di Jalan Kebun, Klang terpaksa dibatalkan apabila sekumpulan belia bermotosikal menyerbu majlis itu sehingga menyebabkan seorang peserta cedera.
b. Pada 11 Februari lalu pula, seramai 15 aktivis pelajar terpaksa diiringi polis bagi meninggalkan Kampung Idaman, juga di Klang apabila sekali lagi kumpulan remaja bermotosikal menggangu majlis mereka yang mahu menuntut kebebasan akademik. (Selain dewan tempat ceramah diselerakkan dan kerusi dipecahkan, kumpulan samseng itu juga membaling batu dan merosakkan sebuah kereta.)
c. Ceramah Anwar di Felda Tun Ghafar di Alor Gajah, Melaka, pada petang 13 Februari lalu pula dicemari oleh kekecohan di antara penyokong PKR dan BN. (penyokong BN dikatakan tiba-tiba muncul dengan kira-kira 20 hingga 30 motosikal serta puluhan lagi kereta bagi mengganggu ceramah tersebut). Sejurus sebelum ceramah bermula, sekumpulan penyokong Umno didakwa telah menampar seorang lelaki ahli PKR yang cuba meletakkan bendera parti sebagai persiapan ceramah.
Kita menunggu pengumuman polis pada kadar segera mengenai gangguan-gangguan ini kerana setakat ini hanya kekecohan serta harta benda yang rosak.
Bagaimana jika ada perbalahan besar atau ada ahli politik yang terbunuh?
Jangan ambil perkara ini remeh kerana kematian bukan sahaja kemungkinan berlaku kerana dibunuh oleh pihak lawan.
Bagaimana kalau pembunuhan dilakukan dengan sengaja iaitu mengorbankan seseorang untuk menjamin kemenangan ramai? Atau juga kematian boleh diakibatkan oleh kesilapan ahli politik berkenaan yang menjanjikan berbagai tetapi akhirnya gagal ditunaikan dan ‘penaja’ naik geram dan membunuhnya?
Memang ini belum berlaku di Malaysia tetapi siapa boleh kata ia tidak akan berlaku?
Politik bukan sekadar pilihan raya tetapi politik juga membabitkan perkara-perkara yang seribu kemungkinan dan di luar jangka.
Dengan kata lain politik juga adalah sesuatu tindakan atau keputusan yang dibuat di luar kotak pemikiran rakyat kebanyakan tetapi mampu dilakukan oleh segelintir pemimpin yang tamakkan kuasa.
Jangan sampai keadaan sudah tersepit dengan UMNO dan kerajaan disalahkan, baru polis mahu bertindak!
Cegahlah sebelum keadaan menjadi lebih buruk!