“Annuar Musa tidak penting dan relevan lagi. Selepas dua kali tertumus di dalam kubu sendiri, hayat politiknya sudah tidak ada lagi. Nyawa politik kini sudah berada dijanggutnya.
Awang Adek, tidak usah cerita, kekalahan di dua kerusi (Parlimen Bachok dan Dun Perupok) baru-baru ini menyebabkan beliau tidak layak bukan saja jadi Pengerusi (UMNO Kelantan)n untuk dilantik sebagai Penghulu Kampung Perupok pun belum tahu layak...”
Demikian kata-kata MSO dalam bloknya melalui rencana bertajuk “Macam mana peralihan kuasa di Kelantan?” yang disiarkan melalui blognya http://msomelayu.blogspot.com pada 9 April 2008.
Begitu rendah sekali kedudukan politik Datuk Dr Awang Adek Hussin yang kini Ketua UMNO Bachok digambarkan MSO dan kebetulan bertanding mempertahankan kedudukan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Mac ini.
Sekali baca atau pandang, benar juga kata MSO ini. Kalau dilihat dalam konteks politik pilihan raya, memanglah Awang Adek tersungkur kerana orang lain kalah sekali dalam sehari tetapi seperti kata Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (Adun Ketereh yang juga Ketua Penerangan UMNO Kelantan): “Awe Adek kalah dua kali dalam sehari”.
Alwi merujuk kepada kekalahan Awang Adek di Parlimen Bachok dan DUN Perupok serentak pada pilihan raya umum lalu.
Tetapi bagi saya itu kalah pilihan raya bukan kalah politik!
Anak nelayan yang mendapat pendidikan hingga ke luar negara ini sebenarnya banyak berjasa kepada orang Bachok sejak beliau menaburkan bakti kira-kira tujuh tahun lalu.
Datuk Mustapa Mohamed yang juga orang Bachok, apa jasanya di situ? Tidak ada yang terserlah tetapi kalau di Jeli, “ya”.
Awang Adek yang dikenali di Bachok sebagai “Datuk Awe” sebenarnya tidak kisah dia ditolak dalam pilihan raya umum lalu setelah menilai kembali apa sumbangannya kepada orang Bachok.
Dia tetap mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri secara sederhana di rumahnya sambil melayan tetamu dengan cara yang simple sebagai anak jati Bachok.
Yang datang bukan orang Umno sahaja tetapi orang Pas yang mengenali dan menyanyangi beliau. Namun politik pilihan raya berlainan dengan sayangnya sesetengah orang Pas di Bachok.
Apabila dijamin syurga, terpaksa menyayangi Tok Guru lebih daripada segala-galanya dan kerajaan Pas yang satu-satunya perlu dikekalkan, orang Bachok melupakan sekejab Datuk Awe.
Malah, mereka yakin, walaupun kalah Datuk Awe akan terus berbakti.
Kata mereka, sebelum jadi wakil rakyat mulai 2004 pun Datuk Awe memang banyak jasanya.
Satu daripada yang sangat penting ialah ‘bawa letrik’ menerangi Bachok yang sebelum itu malap dan sepi sahaja!
Ada banyak lagi jasanya selain menerangi Bachok dengan lampu jalan. Ini termasuk sama-sama terbabit mengusahakan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) - (kampus induk); Kolej Profesional MARA; Hospital Daerah Bachok & Kolej Jururawat; projek Kuala Kemasin; jalan Pantai Melawi; menaik taraf Pantai Irama; menambah perumahan rakyat; mengadakan tuisyen Bahasa Inggeris untuk pelajar di Bachok serta mengusahakan kemudahan asas untuk rakyat (jambatan, jalan kampung, baiki rumah, perpustakaan desa, membantu warga emas, ibu tunggal dan OKU).
Bagi Datuk Awe biarlah dan tidak mengapa rakyat mahu melupakan jasanya dengan memilih wakil rakyat baru iaitu Nasharuddin Mat Isa,, Timbalan Presiden Pas juga pernah kalah di Terengganu pada pilihan raya umum 2004.
Persoalannya, mudahkah orang berjumpa dengan Ustaz Nasha dan apa pula khidmat rakyat yang beliau diberikan?
Apakah setiap hujung minggu dia berada di kawasannya atau sibuk menyertai kepimpinan Pas Pusat menjalankan aktiviti parti ke seluruh negara?
Apakah rakyat Bachok akan boleh terus menerima dan menelan kata-kata “Undi orang Pas tak boleh dapat apa (bantuan) tak apa asal boleh masuk syurga!”.
Datuk Awe redha dan dia tidak lupa tugasnya sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
Khidmat dan jasanya tetap diperlukan, lebih-lebih lagi beliau sudah diuar-uarkan menjadi Menteri Besar menggantikan ‘Tok Guru” kalau menang pilihan raya umum lalu.
Dengan kata lain, Datuk Awe tidak boleh menolak harapan tinggi rakyat Kelantan kepadanya.
Dia berada pada tahap yang sama dari segi jawatan. Yang membezakan ialah Datuk Awe kalah!
Kalah di Kelantan bukan besar perbezaan undinya.
Malah, Datuk Awe tetap ingat dalam kepalanya bahawa lingkupnya UMNO dan BN dalam pilihan raya lalu bukan semata-mata kerana rakyat mahu memilih Pas atau menolak batang tubuhnya.
Ada banyak sebab lain yang sudah banyak diperkatakan. Perbuatan sabotaj oleh pihak-pihak yang dengki beliau ditonjolkan sebagai calon Menteri Besar juga perlu diambil kira.
Sebut sabotaj ini sudah pastilah daripada UMNO. Pemimpin atau ahli?
Ahli hanya ikut jika pemimpin suruh atau member isyarat kepada mereka!
Jadi pada saya bukanlah ‘buruk sangat batang tubuh Datuk Awe” seperti digambarkan MSO.
Bagi saya Datuk Awe sebagai seorang yang bijak pandai dan ada gaya dan daya kepimpinan yang beliau perlu teruskan agenda politiknya.
Peralihan kuasa di peringkat pusat mungkin akan menguntungkan beliau dan dengan sumbangan dan baktinya sejauh ini, beliau jelas berpeluang lebih besar berbanding dengan beberapa tokoh UMNO Kelantan ketika ini.
Ada di kalangan mereka yang sudah menurun tetapi Datuk Awe berada pada tahap yang bersedia untuk melonjak bersama-sama pemimpin muda lain seperti Datuk Fatmi Salleh dan Datuk Alwi.
Jalan terbuka luas untuk Datuk Awe dan faktor-faktor penentu pilihan raya akan datang boleh mula diperhitungkan olehnya mulai sekarang.
Usahanya mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi adalah sebagai salah satu senjata tetapi jika pemimpin pusat melonjakkan beliau ke tahap yang terbaik, Datuk Awe akan boleh megepakkan sayapnya, apa lagi dia boleh melakukannya.
Dia tiada masalah dengan istana Kelantan dan pemimpin di Kuala Lumpur juga tidak gusar kerana Datuk Awe tidak banyak kerenah!