Wednesday, August 5, 2009

KHALED BELA RONNIE LIU, ZULKIFLI ANGGAPNYA LIABILITI

Ronnie Liu mempunyai kes pertuduhan jenayah di mahkamah kerana didakwa menghalang penjawat awam dalam satu operasi cegah maksiat di sebuah hotel di Subang Jaya pada tahun 2007.

Terang dan nyata. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak boleh berdalih lagi.

Jelas kemarahan rakyat dan pemimpin pakatan pembangkang kepada Ronnie semakin jelas.
Ronnie didesak meletakkan jawatan atau digugurkan sebagai Exco kerana isu arak di Selangor.

Baru-baru ini Wee Choo Keong (Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju) mendedahkan bagaimana terdapat ahli Exco yang dikaitkan dengan kumpulan samseng hingga ada yang mendakwa pejabat Exco tersebut turut dijadikan tempat pertemuan dengan kumpulan-kumpulan samseng tertentu.

Akibat kenyataan itu, Ronnie Liu telah membidas Wee walaupun Wee langsung tidak menyebut nama beliau atau mana-mana ahli Exco.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin hari ini mendesak agar Ronnie Liu dari DAP meletakkan jawatan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Ia ekoran desakan pelbagai pihak termasuk yang terbaru komponen Pakatan Rakyat PAS semalam.

Zulkifli berkata, sekiranya Ronnie Liu enggan meletakkan jawatan beliau mahu Khalid Ibrahim mengambil langkah segera menggugurkannya daripada barisan Exco Kerajaan Selangor sebelum rakyat mengambil tindakan menggugurkan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Wakil rakyat PKR itu menyifatkan Ronnie Liu sebagai "satu liabiliti" kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"Melihat kepada keadaan ini, saya mengambil pendirian bersetuju dengan desakan Datuk Dr Hasan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor) supaya Ronnie Liu segera meletakkan jawatan.

"Kehadiran beliau kini adalah satu liabiliti kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor," kata beliau dalam blognya.

Semalam, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri menukar Exco Kerajaan Tempatan sekarang iaitu Ronnie Liu ekoran campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di negeri itu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.

"PAS Selangor menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula atau ditukar berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.
"PAS rasakan bahawa pemegang yang sekarang ini ada sedikit masalah, insiden terdahulu timbul sedikit permasalahan," kata Dr. Hasan lagi.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor berkata, beliau belum memaklumkan pendirian PAS itu kepada Menteri Besar dan Ronnie Liu sendiri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengadakan mesyuarat mingguan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hasan, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri supaya serius membanteras penjualan arak di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri supaya kontroversi berkaitan isu arak tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam.

Minggu lalu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini.

Kata beliau, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham.

Perkara itu juga telah dikecam oleh Umno Selangor.

Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.

Bagi memastikan enakmen berhubung arak tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, PAS Selangor juga akan mengeluarkan satu deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Draf berkenaan bukan satu undang-undang baru, sebaliknya hanya sebagai peraturan yang boleh digunakan oleh kesemua 12 PBT yang ada di Selangor.

"Sekarang ini hanya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang boleh ambil tindakan, jadi sekarang ini kita nak bagi kuasa itu kepada penguatkuasa PBT juga," katanya.

Dalam tulisannya, Zulkifli menambah, belum pun reda isu Azmin Ali, Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa yang mendesak supaya barisan Exco Kerajaan Selangor dirombak, kini meletus pula isu baru.

"Desakan Azmin dipercayai kerana terdapat persepsi di kalangan masyarakat umum khususnya di kalangan ahli perniagaan di Selangor bahawa kalau mahu mendapat sesuatu perkara bergerak di Selangor, "jumpalah dua tiga Exco ni, sure lulus punya!!

"Hari ini (semalam) Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga ADUN Gombak Setia dalam kenyataannya secara terbuka mendesak supaya Ronnie Liu digugurkan daripada barisan Exco kerana banyak tindakan beliau menimbulkan masalah kepada masyarakat umum," katanya.

Beliau menambah, Hasan secara khusus merujuk kepada tindakan Ronnie Liu yang sering campur tangan dalam urusan pihak berkuasa tempatan. "Kenyataan terbuka Hasan Ali itu berpunca daripada tindakan Ronnie mengarahkan penguatkuasa MBSA dan Majlis Perbandaran Subang Jaya memulangkan minuman keras yang telah dirampas daripada peniaga-peniaga yang melanggar peraturan.

SEZ-ECER – TAHNIAH NAJIB

Sayang sekali. Kerana dibelenggu pelbagai isu yang diakibatkan oleh sikap pembangkang yang sengaja membuat kacau, usaha murni Perdana Menteri sering tenggelam.

Malah kadangkalanya tersasar daripada perhatian rakyat akhir-akhir ini apalagi akhbar utama yang diharapkan menonjolkan usaha sedemikian turut tenggelam sama dengan isu-isu lain yang sewajarnya diketepikan sementara.

Apabila akhbar utama kadangkala tersasar – sama ada gagal mengetengahkan pengumuman yang memberikan keuntungan besar kepada rakyat atau demi keuntungan kepada syarikat akhbar itu sendiri dari segi jualan – usaha murni Datuk Seri Mohd Najib Razak bagaikan sesuatu yang biasa bukan yang utama.

Beginilah keadaannya apabila negara dalam keadaan tidak stabil selain editor yang


mementingkan berita yang sensasi.

Datuk Seri Mohd Najib Razak sedang berusaha bersungguh-sungguh memperkenalkan dasar dan program baru tetapi pembangkang pula timbulkan pelbagai isu untuk menutup atau memperlekehkan Najib.

Perdana Menteri seolah-olah mahu dilihat sebagai yang tidak berupaya dan lemah.

Tahniah untuk Najib kerana beliau bukan sahaja menyambung dan memperkukuhkan dasar ECER yang dilancarkan Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi memperteguhkannya melalui Zon Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZ-ECER) semalam (4 Ogos 2009)
SEZ-ECER bukan merupakan satu projek yang hanya memberi tumpuan kepada pelabur semata-mata malah lebih mengutamakan kepentingan rakyat.

“Peranan pelabur penting kerana tanpa pelaburan tidak mungkin kita dapat menjana kekayaan malah penduduk di sini juga tidak mendapat pekerjaan,’’ katanya.

Najib berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan mewujudkan SEZ di beberapa koridor pembangunan wilayah lain di negara ini.

Hadir pada majlis pelancaran , Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
Jelas apa juga usaha dilakukan pembangkang untuk mengalih perhatian, ternyata Najib tidak terperangkap.

Cumanya muka depan dua akhbar utama – Berita Harian dan New Straits Times hanya memaparkan gambar Najib dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kelihatan mesra – kecuali Utusan Malaysia dan The Star – menggambarkan betapa kesan perhimpunan bantah ISA dan isu kematian Teoh tetap mendapat tempat di muka hadapan.

Bagi saya, usaha memperkenalkan SEZ-ECER ini amat penting untuk negeri-negeri –Pahang dan Terenganu - yang berpaksikan Melayu dan jika usaha ini berjaya menarik pelaburan RM90 bilion dan menyediakan 220,000 peluang pekerjaan menjelang 2020, ia sesuatu yang amat menguntungkan rakyat di kedua-dua negeri.

Lagi pun seperti kata Perdana Menteri ia yang merupakan zon ekonomi khas pertama di Malaysia meliputi Kerteh, Terengganu hingga ke Tanjung Agas di sini turut menyumbang sebanyak 80 peratus hasil keluaran ekonomi di kawasan ECER.

Oleh kerana ia meliputi 51 peratus kawasan Semenanjung dan sangat luas, ia mampu menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi terbesar di negara ini.

Sayang sekali, pemikiran pengarang di dua akhbar berkenaan yang mungkin dibelenggu dengan ‘kebimbangan yang melampau’ atau ‘mahu jual akhbar’, dasar atau pengumuman penting Perdana Menteri hanya dimuatkan di muka 2 kedua-dua akhbar berkenaan.

SEZ mempunyai impak ekonomi amat besar, termasuk keupayaan menyumbang masing-masing 50 dan 80 peratus kepada peluang pekerjaan dan hasil keluaran ekonomi untuk keseluruhan ECER walaupun saiznya hanya enam peratus daripada keseluruhan keluasan wilayah ekonomi itu.

Katanya, empat zon bebas diwujudkan di SEZ untuk menggalakkan dan menumpukan rantaian antara kelompok industri, iaitu kelompok Pembuatan Bernilai Tinggi, Industri Asas Tani; Gas dan Petrokimia; Pelancongan/Hartanah; Ilmu/Pendidikan dan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) serta Logistik.

Dan bagi merangsang pertumbuhan SEZ-ECER, Insentif Galakan Istimewa akan diberi kepada para pelabur asing dan domestik yang berkelayakan.

“Beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal yang baru akan disediakan agar ia mampu menarik pelaburan dan membolehkan ia terus berdaya saing dan berpotensi,” jelasnya.

Najib berkata, serentak itu Pelabuhan Kuantan akan dinaik taraf supaya mampu mengendalikan lebih 30 juta metrik tan muatan kargo setahun menjelang tahun 2020 berbanding 16.8 juta metrik tan pada masa ini.

Untuk merangsang pertumbuhan pesat SEZ, Najib berkata, kerajaan akan menyediakan insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menarik pelaburan dan terus berdaya saing. “Pembinaan dermaga-dermaga tambahan dan pemecah ombak dijangka mampu mencapai peranannya sebagai sebuah pelabuhan utama di Pantai Timur serta sebagai pintu masuk perdagangan bagi pasaran Asia Pasifik,” katanya.

Najib berkata, projek Agropolitan ECER yang dilancar adalah sebuah pembangunan bersepadu yang bermatlamat utama membasmi kemiskinan tegar pada akhir 2010, melalui penyertaan golongan miskin dalam sektor perladangan dan bukan perladangan.

Antara 2007 hingga sekarang, sejumlah RM24 bilion nilai pelaburan asing dan tempatan diperoleh daripada pelabur swasta untuk projek di ECER dalam kelompok pelancongan, pembuatan, petrokimia dan pertanian.

Perdana Menteri memberi jaminan pembangunan ECER akan terus mendapat komitmen kerajaan hingga ke Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sehingga 2020 melalui 189 projek bernilai RM112 bilion yang dilaksanakan secara berperingkat.

SPRM SIASAT SKANDAL KEMENTERIAN PELANCONGAN

Masih ingat bagaimana Dewan Rakyat kecoh dakwaan skandal tiga kementerian pada 17 Jun 2009 lalu?

Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2008 di Dewan Rakyat pada hari berkenaan kecoh apabila Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) mendakwa wujud skandal besar-besaran membabitkan tiga kementerian.

Wee mendakwa beliau mempunyai salinan dokumen dan resit rasmi sebagai bukti bahawa Kementerian Pelancongan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyerahkan kontrak kepada beberapa syarikat yang dikuasai oleh seorang warganegara Taiwan.

‘‘Saya amat bimbang kerana rakyat Taiwan terbabit telah membawa keluar semua wang yang telah dibayar kementerian berkenaan ke Hong Kong tanpa membayar cukai kepada kerajaan.

‘‘Kita hairan kenapa syarikat ini diberikan pelbagai dana untuk menjalankan penyelidikan sedangkan ia sepatutnya hanya disalurkan kepada syarikat yang dikuasai warganegara tempatan,” kata Wee ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat pada hari berkenaan.

Tuduhan beliau itu menyebabkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen bangun mencelah bagi melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana Choo Keong sering menoleh ke arahnya dengan pandangan menyindir.

Teguran itu menyebabkan Wee meneruskan perbahasannya dengan menyebut ‘kementerian tidak payah sebut nama’ bagi merujuk kepada Kementerian Pelancongan.

Ini menyebabkan Yen Yen sekali lagi bangun dan menempelak beliau: ‘‘Sebut sahaja nama Kementerian Pelancongan, kita tak takut.”

Wee yang meneruskan perbahasan selepas itu memberitahu beliau telah menyerahkan dokumen dan resit rasmi berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

Mungkin, hasil daripada pendedahan ini SPRM bertindak.

Difahamkan SPRM sedang menyiasat beberapa pegawai yang ada kaitan dengan syarikat asing yang tidak berpengalaman mendapat projek dengan kementerian itu bernilai RM10 juta.

Ikuti laporan dalam The Star Online seperti berikut:

Tourism Ministry officials probed over RM10mil deal

By LOURDES CHARLES (Wednesday August 5, 2009)

KUALA LUMPUR: The Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) is investigating several officials from the Tourism Ministry following allegations of irregularities.

It is learnt that the MACC was investigating the awarding of a contract to a foreign company that did not have the expertise to run a project that is said to be worth more than RM10mil.

Sources said the MACC had so far hauled up several people, including witnesses and those involved, including the contractor to assist in their investigations.

MACC officers would also be sent overseas to collect documents and files pertaining to the awarding of the contract, allegedly made via direct negotiations.

“MACC is also expected to question an agency under the ministry, alleged to be involved in several irregularities involving the award of contracts for construction projects.

“However, it is too early for the MACC to say anything to avoid jeopardising its investigations,’’ the source said.

Wangsa Maju MP Wee Choo Keong had in June raised in the Dewan Rakyat several issues concerning the Tourism Ministry. He had alleged that the ministry was involved in irregularities, especially in the awarding of contracts to a company that had no expertise in the field.

NAK SAMAN, SAMAN LAH...TIDAK GENTAR PUN

Inilah anak jantan, namanya. "Saya tidak akan minta maaf... tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bukan sekadar tidak mahu menarik balik tetapi Muhyiddin juga tidak melayan ugutan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi Muhyiddin, melabel Anwar sebagai pengkhianat bukan untuk gimik politik atau mencari populariti.

Timbalan Perdana Menteri, menegaskan beliau telah menerima notis daripada peguam yang mewakili Anwar, menyatakan Ketua Pembangkang itu mahu menyaman beliau bagi memfitnah tetapi sama sekali tidak akan memohon maaf.

"Ya, saya sudah menerima surat peguam itu. Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan yang sesuai. Saya tidak akan minta maaf kerana saya tidak berbohong semasa membuat kenyataan itu," kata Muhyiddin.

Gara-gara perhimpunan bantah ISA di ibu negara Sabtu lalu, Muhyiddin telah melabelkan Anwar sebagai pengkhianat.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno memberitahu, perhimpunan anjuran pembangkang bagi membantah ISA itu bertujuan untuk memprovokasi polis supaya menggunakan ISA yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan.

Anwar sudah menegaskan mahu Muhyiddin memohon maaf secara terbuka dan jika gagal berbuat demikian, beliau akan menyaman Timbalan Perdana Menteri bagi memfitnah.

Jelas bahawa ancaman Ketua Pembangkang itu sedikit pun tidak menakutkan Muhyiddin.

Pemimpin Umum PKR itu berang dengan laporan muka depan Utusan 3 Mei lalu yang memetik Muhyiddin menuduh Anwar pengkhianat' kepada perjuangan Melayu dan menuduhnya memutarbelit fakta mengenai usaha martabatkan Melayu.

Muhyiddin membuat kenyataan tersebut ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Sri Gading di Johor semalam.

Pada 2 Ogos lalu, Anwar dianggap msebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu.

Anwar juga dikatakan sebagai pemimpin lidah bercabang kerana sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan orang Melayu.

ARAK – RONNIE ANGGAP DIA DISABOTAJ

Masih tidak nak mengaku. Ronnie Liu mempertahankan tindakannya.

Beliau menyangkal dakwaan PAS Selangor bahawa beliau mencampuri urusan dalam satu operasi membanteras aktiviti penjualan arak di Bandar Sunway baru-baru ini.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, itu sebaliknya menyifatkan isu arak di negeri itu sengaja ditimbulkan bagi mensabotaj kredibiliti beliau dan menghina integritinya dalam menjalankan tugas pengurusan kerajaan tempatan.

"Saya tak tahu mengenai perkara ini, ia tidak seperti itu," katanya semalam.
Beliau berkata demikian dalam reaksi segera berhubung desakan PAS Selangor supaya kedudukannya sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan ditukar dan digantikan.

Ronnie kini semakin kalut bukan sahaja dikaitan dengan beberapa kes lain dan dalam isu arak ini beliau berdepan dengan parti dalam pakatan pembangkang Selangor.

PAS Selangor mendakwa gesaan mereka itu berikutan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini yang menimbulkan masalah.

Khamis lalu, Ronnie Liu juga mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8 di sini setelah merampasnya dalam satu operasi yang dijalankan ke atas kedai itu sehari sebelumnya.

Ronnie Liu berkata, sebagai seorang exco beliau mempunyai hak untuk mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Tidak ada PBT yang lebih besar kedudukannya daripada seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri," katanya.

PAS Selangor semalam mencadangkan agar Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.
Jelas PAS Selangor tidak boleh bersabar.

Menurut ParpuKari, berita mutakhir Utusan-online menyiarkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali yang mendesak kerajaan negeri itu menyerahkan portfolio kerajaan tempatan yang disandang Exconya, Ronnie Liu kepada Exco lain atau oleh Menteri Besar sendiri dengan kadar segera.

Alasan yang diberikan Hassan ialah kerana Ronnie Liu telah beberapa kali mencampuri urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak sepatutnya.

Bagaikan orang yang baru keluar dari tempat pertapaannya, Hassan yang terkenal sebagai seorang pakar motivasi, meledakkan bom dalam kepimpinan Pakatan Pembangkang Selangor yang terlalu banyak didedahkan kisah-kisah salahguna kuasa oleh para Exconya dari DAP kebelakangan ini.

Barangkali, Hassan dah tak boleh tahan dengan apa yang berlaku. Walaupun beliau sebelum ini kelihatan seperti mahu melarikan diri daripada memberikan sebarang komen mengenai salahlaku dan kegawatan pimpinan kerajaan Selangor, kini kesabarannya telah tidak terbendong lagi.

Kedudukan Hassan sebagai Exco Selangor yang bertanggungjawab dengan portfolio agama tercabar dengan tindakan Ronnie yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan Shah Alam memulangkan kembali beer yang diramPAS dari sebuah kedai serbanika, membuatkan beliau terpaksa bersuara.

Lebih meresahkan lagi apabila Kepala Gangster Selangor itu mengeluarkan kenyataan bahawa beer bukanlah minuman keras.

Kenyataan itu memang mencemaskan sesiapa sahaja yang duduk di kerusi Hassan. Kedudukan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan menjadi wakil rakyat pun atas tiket Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menjenamakan Islam sebagai perjuangan parti itu, benar-benar mencabar kradebilitinya sebagai pemimpin Melayu/Islam di negeri berkenaan.

Soalnya, apabila beliau dengan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian membayangkan bahawa beliau tidak lagi sealiran dengan Menteri Besar, Khalid Ibrahim dari PKR. Sedangkan MB Selangor itu baru-baru ini ada membuat kenyataan bahawa beliau sedang mengkaji tingkah laku Exconya yang bernama Ronnie Liu itu. Sedang siasat dan minta penjelasan.

Dari segi politik, kenyataan Hassan itu sealiran dengan gesaan Azmin Ali, ADUN Bukit Antarabangsa yang semasa persidangan DUN Selangor baru lalu menggesa MB Selangor itu menukar beberapa portfolio Exco Selangor yang pada pendapatnya tidak sesuai dan tidak berkualiti.

Panaskah kerusi MB yang diduduki oleh Khalid Ibrahim sekarang? Apakah urustadbir kerajaan dan politik Khalid di Selangor yang mula disedari ramai sama seperti Mohd Nizar Jamaluddin di Perak dahulu itu akan menerima nasib serupa?

Apapun kedudukannya, permasalahan di negeri Selangor yang kelihatan bertimpa-timpa sekarang, bergantung kepada penerimaan dan tindakan rakyat negeri itu sendiri. Merekalah yang memilih wakil rakyat untuk negeri Selangor pada PRU 8 Mac 2008.

Sama ada kenyataan terbaru Hassan ini akan membawa sebarang kesan atau tidak, bergantung kepada sejauh mana mantap dan kukuhnnya sokongan DAP kepada Khalid Ibrahim. Kerana DAP, Khalid membelakangkan rakan-rakan sepemimpinan yang seagama dan sebangsa dengannya.

INKUES & DAKWAAN TERHADAP SPRM

Prosiding inkues Setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang tertangguh minggu lepas akan bersambung semula esok.

Perkembangan terbaru ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikaitkan dengan insiden kematian melibatkan mendiang Setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di koridor luar tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

SPRM menafikan dakwaan artikel dan klip video yang disiarkan dalam sebuah laman web seolah-olah mendakwa SPRM telah bertindak kejam dan tidak mematuhi standard penyiasatan sehingga menyebabkan kematian Teoh.

Laman itu menunjukkan seorang lelaki dipukul teruk oleh sekumpulan lelaki dalam satu proses yang didakwa sebagai soal siasat.

SPRM telah membuat laporan polis berhubung penyiaran dan penyebaran artikel dan video klip tersebut bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

SPRM dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, perbuatan menyiarkan artikel dan klip video itu merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang disengajakan oleh penulis blog terbabit bagi menggambarkan suruhanjaya itu sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang kejam dan tidak boleh dipercayai.

Ia juga bertujuan untuk menimbulkan kebencian masyarakat ke atas SPRM dan meraih simpati orang ramai demi kepentingan agenda pihakpihak tertentu.

Apapun, beberapa saksi yang telah disepina sebelum ini dijangka akan hadir untuk memberikan keterangan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Antara saksi yang dijangka akan dipanggil esok ialah pengawal keselamatan yang menemui mayat mendiang Beng Hock dan ahli patologi, sementara pakar forensik dan lebih 20 anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula dijangka akan mula memberikan keterangan mereka pada Jumaat atau Isnin depan.

Seramai 77 saksi telah disepina untuk memberikan keterangan dalam prosiding itu yang ditetapkan pendengarannya selama 15 hari.

Rabu lalu, prosiding inkues terpaksa ditangguhkan setelah mahkamah membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo, mewakili keluarga Beng Hock untuk meneliti semua dokumen berkaitan yang baru diperolehi pihak mereka pagi itu.

Prosiding inkues tersebut dikendalikan peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik bagi pihak kerajaan dan dibantu Timbalan Pendakwaraya Idham Abdul Ghani.

Peguam Malik Imtiaz Salwar pula diberikan kebenaran untuk bertindak sebagai peguam pemerhati kerajaan Selangor.

Sementara itu peguam yang mewakili keluarga mendiang sudah bersedia untuk meneruskan prosiding.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, pihaknya telah meneliti semua dokumen termasuk laporan DNA, bedah siasat dan forensik Teoh, gambar-gambar tempat kejadian dan gambar rakaman kamera video litar tertutup (CCTV) yang dibekalkan pihak pendakwaan minggu lalu dan akan meneruskan prosiding inkues tersebut esok.

"Kita telah meneliti dokumen-dokumen itu dan mendapatkan pandangan pakar. Kita akan meneruskan prosiding inkues itu esok.

"Tiada permohonan lain lagi yang akan dikemukakan esok," kata beliau.
Bagaimanapun, Gobind berkata, pihaknya masih menunggu salinan kenyataan saksi-saksi dan laporan akhir DNA daripada pihak pendakwaan.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret menangguhkan inkues atas permintaan peguam keluarga Teoh dan peguam kepada kerajaan negeri Selangor kerana pihak mereka memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen yang dibekalkan oleh pihak pendakwaan pada hari tersebut.