Kita sewajarnya mengalu-alukan keputusan mahkamah yang memenjarakan bekas pegawai bank yang mendedahkan akaun seseorang. Kes ini perlu jadi pengajaran kerana ia mungkin berlaku kepada sesiapa dan kali ini kebetulan akuan seorang Timbalan Menteri.
Sama ada pendedahan itu untuk kepentingan politik, bisnes atau ‘suka-suka’ ia adalah perbuatan tidak amanah dan mengganggu hak peribadi seseorang.
Lebih membahayakan jika pendedahan itu dibuat kerana kepentingan-kepentingan tertentu, khususnya untuk keuntungan politik sesuatu pihak.
Menurut laporan semalam, seorang bekas eksekutif akaun Malayan Banking Berhad (Maybank) dihukum penjara selama dua hari dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah mendedahkan maklumat berhubung akaun-akaun milik Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Wee Ka Siong kepada seorang lelaki, tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S. M Komathy yang membuat penghakiman tersebut semalam, turut memerintahkan supaya tertuduh, K.Jeyamary, 34, dihukum penjara selama tiga bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Bagaimanapun, Komathy membenarkan permohonan peguam Jag Ramachandran supaya tertuduh dibenarkan untuk menjelaskan denda itu secara ansuran selama empat bulan.
Pada penghakimannya, Komathy berkata, beliau mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang merupakan individu pertama dihukum untuk kesalahan mendedahkan maklumat akaun bank.
"Mahkamah mempunyai tugas untuk menyampaikan mesej bahawa mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan serupa di masa depan," katanya.
Jeyamary yang menangis sepanjang prosiding berlangsung turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui perbuatannya mendedahkan akaun Wee kepada M. Ramesh, 38, merupakan satu kesalahan.
Tertuduh yang mula bekerja di Maybank pada 4 Februari 2002 dan telah dipecat pada 19 Mac 2010 didakwa melakukan perbuatan itu pada 10 Februari 2010 di Setapak Business Centre, Jalan Genting-Klang, Setapak, di Kuala Lumpur.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang telah dihubungi oleh Ramesh telah mencetak maklumat akaun Wee dan menyerahkannya kepada lelaki berkenaan di luar pejabatnya. Maklumat akaun tersebut kemudiannya telah tertera di sebuah laman blog, iaitu 'unmasking Wee Ka Siong'.
Terdahulu, Jag merayu agar mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepaskan dengan bon berkelakuan baik kerana tertuduh tidak pernah berniat untuk melakukan kesalahan tersebut.
"Tertuduh tidak mendapat sebarang faedah daripada perbuatan tersebut. Sebelum dipecat, tertuduh telah digantung tugas selama dua minggu dan alasan pemecatan dikatakan kerana majikan telah hilang kepercayaan terhadap tertuduh.
"Tertuduh juga bukan individu yang bertanggungjawab meletakkan maklumat akaun tersebut ke dalam laman blog. Orang yang melakukannya masih bebas dan tidak didakwa di mahkamah," katanya.
Jag juga menambah, tertuduh yang merupakan graduan sebuah institusi pengajian tinggi awam juga telah memohon maaf secara terbuka kepada Wee atas kesilapan yang tidak disengajakannya itu.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Mohd Syakirin Manpot membidas rayuan itu dengan mengatakan bahawa maklumat akaun itu tidak akan tersiar di blog jika tertuduh tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
"Tujuan peruntukan kerahsiaan perbankan adalah untuk mematuhi maklumat-maklumat akaun apatah lagi dalam kecanggihan teknologi yang boleh menyebabkan maklumat seperti itu dapat disebarkan dengan cepat," kata seorang lagi pegawai pendakwa, Alvin Ong.