Tuesday, December 13, 2011

NAJIB DITUDUH BERBOHONG, WUJUD KONSPIRASI DALAM KES LIWAT ANWAR

Persoalan soal sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat Mohd. Saiful Bukhari atau Saiful membontot Anwar tidak penting.

Juga tidak penting ialah apakah Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab atas tuduhan liwat semasa dikenakan ke atas Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang kita mahu tahu ialah apakah Anwar melakukan perbuatan liwat atau sama-sama ‘berliwat’ dengan sesiapa sahaja, termasuk Saiful. Itu sahaja!

Ini yang penting kerana soal konspirasi dan sebagainya itu adalah perkara lain yang hanya penting kepada peguambela Anwar.

Yang mahu dibuktikan peguambela Anwar ialah wujudnya konspirasi yang menyebabkan wujudnya tuduhan bahawa Anwar melakukan perbuatan liwat dengan Saiful.

Jika berjaya buktikan adanya konspirasi berkenaan, harapan Anwar untuk terlepas cerah dan Saiful akan terkapai-kapai dan mungkin berdepan saman malu selepas ini.

Anwar menghadapi pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap bekas pembantunya Saiful, 26, di Desa Damansara Condominium di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar telah berulang kali menuduh Najib terlibat dalam kes liwat kedua dihadapi beliau, malah telah menyifatkannya sebagai satu konspirasi bagi memusnahkan kerjaya politik.

Peguambela Anwar berkata kredibiliti Saiful terus terhakis kerana dia lambat membuat laporan yang hanya dilakukan dua hari selepas dakwaan insiden itu berlaku dan tidak ada penjelasan yang boleh diterima atas kelewatan itu.

Apapun, kita mahu mendengar apa kata pihak pendakwaan yang akan mengemukakan hujahan balas di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah petang ini.

Hujahan balas itu akan diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Semalam dua peguambela Anwar yang berhujah di akhir kes pembelaan ke atasnya dengan peguam utama, Karpal Singh mahukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan keputusan kes liwat membabitkan Anwar .

Karpal Singh berkata ia jelas daripada keterangan Saiful telah berbohong walaupun mahkamah mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai pada penutup kes pendakwaan.

Karpal mahu Saiful dipanggil semula dan memanggil Timbalan Pendakwa raya Farah Azlina Latif, anggota pasukan pendakwaan, yang didakwa ada hubungan sulit dengan Saiful, sebagai saksi, untuk menafikan dakwaan itu dengan bersumpah.

Bagi Karpal, mahkamah seolah-olah melepaskan kewajipannya sekiranya tidak memanggil mereka berdua sebagai saksi apatah lagi Peguam Negara menjelaskan bahawa tiada asas kepada dakwaan hubungan itu pada 11 November lalu, iaitu selepas pihak pembelaan menutup kes pada 18 Oktober lepas.

Karpal berkata, Farah Azlina (kini telah dikeluarkan daripada pasukan pendakwaan) sebelum dakwaan hubungan itu timbul, merupakan anggota pasukan pendakwaan dan terdedah kepada kertas siasatan sekali gus memberi peluang kepada Saiful untuk mengakses kertas siasatan serta menyesuaikan keterangannya di mahkamah.

Perkara lain yang ditimbulkan Karpal ialah:

1. Keterangan Mohd. Saiful Bukhari yang mendakwa Anwar meliwatnya dengan rakus dan laju telah berjaya dipatahkan oleh keterangan saksi pembelaan iaitu pakar bedah ortopedik, Dr. Thomas Hoogland. Hoogland dalam keterangannya menyatakan bahawa adalah sangat mustahil Anwar melakukan aksi seksual seperti yang digambarkan oleh pengadu ekoran daripada masalah tulang belakang tertuduh yang boleh menyebabkan kesakitan.

2. Anwar yang pernah dirawat oleh Hoogland selepas dibebaskan dari penjara pada 2004, menghidap stenosis dan artritis, selain faktor usia menyebabkan tidak mungkin tertuduh boleh melakukan aksi seksual sebegitu.

3. Persoalkan kredibiliti dengan menyatakan, keterangan mangsa sebagai saksi utama pendakwaan berjaya dipatahkan oleh saksi-saksi pembelaan selain tindakan mangsa sendiri sebelum dan selepas kejadian tersebut.

Terdahulu, di awal hujahannya, Karpal menggesa mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa telah mengeluarkan kata-kata yang menjurus kepada tindakan menghina mahkamah.

Ia berikutan, dakwanya, kritikan Perdana Menteri di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini terhadap tindakan Anwar yang memberi keterangan bela diri di kandang pesalah tanpa mengangkat sumpah, merupakan campur tangan dalam perbicaraan yang masih belum selesai.

Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair dalam hujahannya telah menimbulkan kembali isu konspirasi yang didakwa bertujuan menghapuskan segala peluang anak guamnya itu untuk menjadi Perdana Menteri.

Peguam itu turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengetepikan sapina yang dikeluarkan ke atas mereka.

Ujarnya, kedua-dua mereka perlu menggunakan peluang sebagai saksi untuk menjelaskan keadaan sebenar mengenai kedatangan Mohd. Saiful Bukhari ke rumah kediaman pasangan itu.

Peguam itu berkata, pertemuan antara Saiful dan Najib di kediaman rasminya pada Jun 2008 juga menimbulkan keraguan mengenai usaha jahat dalam kes semasa ini.

Justeru menurut Sankara, perdana menteri memberi jawapan-jawapan yang bercanggah kepada media apabila ditanya mengenai perkara berkenaan - pertama mengatakan Saiful bertemu dengan beliau mengenai biasiswa dan kemudian datang untuk mengadu mengenai salah laku Anwar.

“Mengapa tidak Najib datang dengan bersih apabila kali pertama ditanya mengenai perkara ini?

“Apa yang perlu disembunyikan? Mengapa beliau perlu berbohong?” kata Sankara.

Sebelum prosiding berakhir, peguam Ramkarpal Singh pula menyatakan tindakan ahli-ahli kimia tempatan, Dr. Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon tidak melaporkan mengenai kehadiran profil asid deoksiribonukleik (DNA) pihak ketiga menjadikan keterangan mereka lebih berbentuk pandangan dan bukan fakta.

Pada prosiding sebelum ini, barisan pembelaan menegaskan mengenai kewujudan profil pihak ketiga selain Lelaki Y berikutan penemuan allele 18 dalam bacaan analisis pakar-pakar terbabit.