Showing posts with label Anak Najib. Show all posts
Showing posts with label Anak Najib. Show all posts

Tuesday, December 13, 2011

NAJIB DITUDUH BERBOHONG, WUJUD KONSPIRASI DALAM KES LIWAT ANWAR

Persoalan soal sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat Mohd. Saiful Bukhari atau Saiful membontot Anwar tidak penting.

Juga tidak penting ialah apakah Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab atas tuduhan liwat semasa dikenakan ke atas Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang kita mahu tahu ialah apakah Anwar melakukan perbuatan liwat atau sama-sama ‘berliwat’ dengan sesiapa sahaja, termasuk Saiful. Itu sahaja!

Ini yang penting kerana soal konspirasi dan sebagainya itu adalah perkara lain yang hanya penting kepada peguambela Anwar.

Yang mahu dibuktikan peguambela Anwar ialah wujudnya konspirasi yang menyebabkan wujudnya tuduhan bahawa Anwar melakukan perbuatan liwat dengan Saiful.

Jika berjaya buktikan adanya konspirasi berkenaan, harapan Anwar untuk terlepas cerah dan Saiful akan terkapai-kapai dan mungkin berdepan saman malu selepas ini.

Anwar menghadapi pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap bekas pembantunya Saiful, 26, di Desa Damansara Condominium di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar telah berulang kali menuduh Najib terlibat dalam kes liwat kedua dihadapi beliau, malah telah menyifatkannya sebagai satu konspirasi bagi memusnahkan kerjaya politik.

Peguambela Anwar berkata kredibiliti Saiful terus terhakis kerana dia lambat membuat laporan yang hanya dilakukan dua hari selepas dakwaan insiden itu berlaku dan tidak ada penjelasan yang boleh diterima atas kelewatan itu.

Apapun, kita mahu mendengar apa kata pihak pendakwaan yang akan mengemukakan hujahan balas di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah petang ini.

Hujahan balas itu akan diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Semalam dua peguambela Anwar yang berhujah di akhir kes pembelaan ke atasnya dengan peguam utama, Karpal Singh mahukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan keputusan kes liwat membabitkan Anwar .

Karpal Singh berkata ia jelas daripada keterangan Saiful telah berbohong walaupun mahkamah mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai pada penutup kes pendakwaan.

Karpal mahu Saiful dipanggil semula dan memanggil Timbalan Pendakwa raya Farah Azlina Latif, anggota pasukan pendakwaan, yang didakwa ada hubungan sulit dengan Saiful, sebagai saksi, untuk menafikan dakwaan itu dengan bersumpah.

Bagi Karpal, mahkamah seolah-olah melepaskan kewajipannya sekiranya tidak memanggil mereka berdua sebagai saksi apatah lagi Peguam Negara menjelaskan bahawa tiada asas kepada dakwaan hubungan itu pada 11 November lalu, iaitu selepas pihak pembelaan menutup kes pada 18 Oktober lepas.

Karpal berkata, Farah Azlina (kini telah dikeluarkan daripada pasukan pendakwaan) sebelum dakwaan hubungan itu timbul, merupakan anggota pasukan pendakwaan dan terdedah kepada kertas siasatan sekali gus memberi peluang kepada Saiful untuk mengakses kertas siasatan serta menyesuaikan keterangannya di mahkamah.

Perkara lain yang ditimbulkan Karpal ialah:

1. Keterangan Mohd. Saiful Bukhari yang mendakwa Anwar meliwatnya dengan rakus dan laju telah berjaya dipatahkan oleh keterangan saksi pembelaan iaitu pakar bedah ortopedik, Dr. Thomas Hoogland. Hoogland dalam keterangannya menyatakan bahawa adalah sangat mustahil Anwar melakukan aksi seksual seperti yang digambarkan oleh pengadu ekoran daripada masalah tulang belakang tertuduh yang boleh menyebabkan kesakitan.

2. Anwar yang pernah dirawat oleh Hoogland selepas dibebaskan dari penjara pada 2004, menghidap stenosis dan artritis, selain faktor usia menyebabkan tidak mungkin tertuduh boleh melakukan aksi seksual sebegitu.

3. Persoalkan kredibiliti dengan menyatakan, keterangan mangsa sebagai saksi utama pendakwaan berjaya dipatahkan oleh saksi-saksi pembelaan selain tindakan mangsa sendiri sebelum dan selepas kejadian tersebut.

Terdahulu, di awal hujahannya, Karpal menggesa mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa telah mengeluarkan kata-kata yang menjurus kepada tindakan menghina mahkamah.

Ia berikutan, dakwanya, kritikan Perdana Menteri di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini terhadap tindakan Anwar yang memberi keterangan bela diri di kandang pesalah tanpa mengangkat sumpah, merupakan campur tangan dalam perbicaraan yang masih belum selesai.

Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair dalam hujahannya telah menimbulkan kembali isu konspirasi yang didakwa bertujuan menghapuskan segala peluang anak guamnya itu untuk menjadi Perdana Menteri.

Peguam itu turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengetepikan sapina yang dikeluarkan ke atas mereka.

Ujarnya, kedua-dua mereka perlu menggunakan peluang sebagai saksi untuk menjelaskan keadaan sebenar mengenai kedatangan Mohd. Saiful Bukhari ke rumah kediaman pasangan itu.

Peguam itu berkata, pertemuan antara Saiful dan Najib di kediaman rasminya pada Jun 2008 juga menimbulkan keraguan mengenai usaha jahat dalam kes semasa ini.

Justeru menurut Sankara, perdana menteri memberi jawapan-jawapan yang bercanggah kepada media apabila ditanya mengenai perkara berkenaan - pertama mengatakan Saiful bertemu dengan beliau mengenai biasiswa dan kemudian datang untuk mengadu mengenai salah laku Anwar.

“Mengapa tidak Najib datang dengan bersih apabila kali pertama ditanya mengenai perkara ini?

“Apa yang perlu disembunyikan? Mengapa beliau perlu berbohong?” kata Sankara.

Sebelum prosiding berakhir, peguam Ramkarpal Singh pula menyatakan tindakan ahli-ahli kimia tempatan, Dr. Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon tidak melaporkan mengenai kehadiran profil asid deoksiribonukleik (DNA) pihak ketiga menjadikan keterangan mereka lebih berbentuk pandangan dan bukan fakta.

Pada prosiding sebelum ini, barisan pembelaan menegaskan mengenai kewujudan profil pihak ketiga selain Lelaki Y berikutan penemuan allele 18 dalam bacaan analisis pakar-pakar terbabit.

Thursday, December 1, 2011

‘IBU SEGALA PILIHAN RAYA UMUM’ DALAM MASA TERDEKAT…

Hari ini, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)akan diadakan dalam masa terdekat.

Najib, yang juga Presiden Umno dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 di Kuala Lumpur pagi ini mengingatkan semua anggota parti supaya "merapatkan saf, menyalakan jamung dan menggigit sekuatnya perjuangan dengan geraham kita" bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dengan laungan Hidup Umno yang disambut gemuruh 2,711 perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Najib menegaskan: "Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang Umno, kita turun ke medan bakti.”

Pada amanatnya kepada perwakilan pada Selasa lepas mahu pimpinan parti di peringkat bahagian dan akar umbi bekerja secara luar biasa bagi menghadapi PRU-13 akan datang.

Najib juga berpesan supaya para wakil bahagian parti jangan mengambil mudah PRU-13 kerana cabarannya pasti luar biasa dan yang paling getir bakal dihadapi oleh parti politik terbesar negara itu.

Malam kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO membuktikan kata-kata mereka untuk berjuang mempertahankan parti dengan memastikan kemenangan dalam PRU 13.

Sambil mengingatkan yang ‘ibu’ segala pilihan raya itu akan menentukan jatuh bangun umat Melayu, Timbalan Presiden UMNO memperturunkan peringatan khusus kepada ketiga-tiga sayap agar menggerakkan seluruh kekuatan untuk menghadapi situasi kritikal tersebut.

Dalam ucapannya ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan pergerakan tersebut yang bernada semboyan perang, beliau turut meniupkan semangat juang srikandi, panglima perang dan permata UMNO itu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai benteng parti.

“Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabotaj. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan `mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti,” tegasnya.

Sebagai sebuah organisasi, Muhyiddin mengakui UMNO ada kekurangan, namun parti itu sentiasa melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadaikan prinsip perjuangan.

Justeru, beliau berharap ketiga-tiga sayap itu tidak membiarkan parti bersendirian dalam meneruskan perjuangan yang juga jihad untuk agama, bangsa dan negara.

Untuk menjamin kekuatan parti, tegasnya, mereka perlu bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) serta pada masa sama, mengetepikan perbezaan dan persengketaan sesama sendiri.

“Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7,470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita,” katanya.

Beliau mahu Pemuda, Wanita dan Puteri memberi tumpuan kepada masalah rakyat dan melunaskan tanggungjawab moral sebagai pejuang UMNO dengan membantu mereka.
“Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita. Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan,” tegas Muhyiddin.

Friday, November 4, 2011

"Anak Saya Tidak Berada di Australia, Rosmah Tidak Beli Barang Kemas..."

Akhirnya ‘tuan badan’ yang berada di Tanah Suci, iaitu Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak menjelaskan bahawa anak perempuannya bukan berada di Australia semasa beliau menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kini sedang mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci.

Seperti saya katakana sebelum ini, adalah baik ‘tuan badan’ yang menjawabnya. Dalam jawapannya beliau berkata orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan.

"Jangan percaya atau sebar pembohongan. Malah, anak perempuan saya tidak berada di Australia dan isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) tidak membeli apapun barang kemas," kata Najib dalam Twitter terbarunya.

Ulasan beliau adalah berikutan penerbitan satu artikel dalam sebuah akhbar Australia yang mendakwa anak perempuannya membelanjakan $60,000 di sebuah pusat beli belah di Perth, venue perhimpunan CHOGM.

Laporan itu juga menyebut mengenai "seorang wanita pertama diketahui telah membeli mutiara bernilai $150,000 WA (Barat Australia)".

Bagaimanapun, ia tidak menamakan individu yang menjadi tanda tanya.

Isu ini kelihatan selesai tetapi bagaimana dengan ‘fitnah’ yang disebarkan?

Apakah akan ada saman malu atau membiarkan sahaja pihak-pihak yang memulakan khabar angin itu bebas bagaikan ‘angin yang berlalu’?

Kes ini kes besar membabitkan maruah keluarganya.

Apakah Najib mampu menyerap ‘fitnah dan nista’ ini begitu sahaja?

Wednesday, November 2, 2011

ISU PERIBADI - BIAR 'TUAN BADAN' YANG MENJAWABNYA!

Akhir-akhir ini ramai blogger proUMNO dan prokerajaan seperti merajuk. Tidak tahu punca utama.

Namun yang saya dapat maklumat, mereka bagaikan tidak diendah. Faham-fahamlah!

Ada yang mengatakan UMNO atau pemimpin kerajaan kini begitu ‘selesa’ dengan kedudukan mereka seolah-olah tidak akan kalah.

Pilihan raya seperti permainan bolasepak. Apa sahaja akan berlaku dan masa-masa kecederaan amat penting untuk menjaga gawang daripada dibolosi.

Kebimbangan saya bukan kerana saya tidak diendahkan atau dipandang sebelh mata tetapi isu-isu yang dibangkitkan blogger propembangkang kadang kala sukar untuk ditepis.

Maklumat tidak ada dan kadangkala terlalu bersifat peribadi.

Contoh berikut ini hanya ‘tuan badan’ sahaja boleh menafikannya.

Baca dan teliti!

Anak gadis Najib belanja RM195,000 dari sumber sahih

Berita mengenai anak gadis Perdana Menteri yang berbelanja sebanyak RM195,000 di sebuah gedung membeli belah terkemuka di Australia, adalah daripada sumber yang sahih.
Keratan akhbar West Australian bertajuk “Delegates go shopping and sightseeing‘ itu diperoleh menerusi satu kiriman email oleh satu sumber yang dipercayai kepada Keadilan Daily.

Sumber itu memperoleh keratan berkenaan daripada seorang ahli politik Australia, yang enggan dinamakan atas sebab-sebab politik.

Bagaimanapun, laporan berita dari akhbar bercetak West Australian itu tidak disiarkan di dalam akhbar dalam talian mereka.
Ekoran itu, keratan berita itu kini turut tersebar di internet dan dimuatkan di blog dan dalam laman sosial seperti Facebook.

Nilai wang yang dibelanjakan anak gadis Najib bagaimanapun dianggarkan sebanyak RM195,000 mengikut kadar tukaran semasa dan bukan RM180,000 seperti dilaporkan pada awalnya.


Semalam, Keadilan Daily menyiarkan berita anak perempuan Datuk Seri Najib Razak membelanjakan kira-kira RM180,000 atau A$60000 untuk barangan jenama di David Jones- sebuah gedung terkemuka di negara itu.


Memetik keratan akhbar Australia itu, seorang wanita Pertama yang tidak dinamakan turut membelanjakan A$150,000 (RM487,000) bagi membeli mutiara.


Kesempatan membeli belah itu diambil ketika Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas ke Perth untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), minggu lalu.

Antara yang turut serta dalam delegasi berkenaan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim dan Presiden PPP, Datuk M Kayveas.


Ekoran daripada itu, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum ini dikatakan membeli cincin berlian berharga RM24 juta, terus menerima kritikan.


Dipetik dari tranungkite.net/v11/