Showing posts with label PRU13. Show all posts
Showing posts with label PRU13. Show all posts

Saturday, November 24, 2012

PRU13 - BN DAPAT 120 KERUSI MAMPU BENTUK KERAJAAN, MAJORITI MAKIN TIPIS

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak Pakatan Rakyat, pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim... mengatakan mereka akan menang banyak kerusi di Johor, dan itu pun jumlah kerusi berkemungkinan diperoleh mereka hanya 109... ini belum cukup untuk memerintah... untuk majoriti mudah pun, kita memerlukan 112 kerusi. Jadi, apa pun BN akan kekal berusaha meskipun majoriti mereka menurun.”
- Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin

Kemenangan Barisan Nasional (BN)pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan semakin mengecil hanya kepada 120 kerusi Parlimen berbanding 140 kerusi pada 2008?

BN yang kehilangan majoriti dua pertiga empat tahun lalu dijangka memperoleh dalam lingkungan 120 kerusi jika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diadakan hari ini, manakala 24 kerusi masih dalam keadaan 'kelabu'”, kata Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.


Wartawan Sinar Harian, G Manimaran yang menemui Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara menulis yang disiarkan hari ini melalui Sinar Harian Online, mengakui bahawa walaupun keputusan kali ini akan memperlihatkan majoriti mengecil tetapi kemenangan masih akan memihak kepada BN. “... mereka akan dapat minimum 120 kerusi.

Laporan itu menyebut, sekarang 140 kerusi, 24 kerusi kelabu, baki 70 kerusi Pakatan Rakyat... (pada keseluruhan) majoriti tipis,” katanya dalam satu temu bual menjelang Perhimpunan Agung Umno 2012, di pejabatnya di Bandar Baru Bangi.

Empat tahun lalu, BN memperoleh 140 kerusi, manakala pembangkang 84. Ia pencapaian terburuk dalam sejarah BN. Berdasarkan statistik semasa, BN memiliki 137 kerusi, manakala PKR (23), DAP (29), Pas (22) dan Parti Sosialis Malaysia (satu), Bebas (lapan) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (satu).

Satu kerusi kosong. Shamsul berkata, situasi prestasi ini bersandarkan pada hasil kajian pihaknya, September lalu dan kajian baru akan dikendalikan bulan depan dengan mengambil kira perkembangan sepanjang Oktober dan November.

Antara perkembangan penting sepanjang dua bulan lalu ialah insentif dan imbuhan yang diumumkan menerusi Bajet 2013. Antara lain, Bajet 2013 menyediakan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 dan pembayaran bonus satu setengah bulan kepada kakitangan awam. Bajet 2013 telah diluluskan Parlimen, semalam dan pelaksanaan kandungan dijangka akan dilakukan mulai akhir bulan depan iaitu pembayaran bonus sektor awam.

Bagaimanapun Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia ini berkata, kajian pihaknya menunjukkan BN masih boleh membentuk semula Kerajaan Pusat dengan majoriti tipis.

“Ini kerana berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak Pakatan Rakyat, pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim... mengatakan mereka akan menang banyak kerusi di Johor, dan itu pun jumlah kerusi berkemungkinan diperoleh mereka hanya 109.

“Jumlah 109 ini berdasarkan data mereka, ini belum cukup untuk memerintah... untuk majoriti mudah pun, kita memerlukan 112 kerusi. Jadi, apa pun BN akan kekal berusaha meskipun majoriti mereka menurun,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul tidak menolak kemungkinan kerusi yang bakal diperoleh BN akan naik tetapi tidak akan menurun daripada 120 kerusi yang diramalkan sekarang.

“Kemungkinan jumlah kerusi yang akan dimenangi BN naik itu ada... berdasarkan pada apa yang berlaku Oktober dan November,” katanya. PR yang dianggotai Pas, PKR dan DAP yakin akan memperoleh kerusi Parlimen tambahan dengan memperkukuhkan kedudukan di Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak yang menawarkan 56 kerusi Parlimen dilihat sebagai ‘simpanan tetap’ BN.

Minggu lalu, Pas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak takut untuk memanggil PRU13. Spekulasi sebelum ini menyebut Najib akan memanggil PRU13 pada bulan Jun lalu, sebelum Ramadan. Bagaimanapun, spekulasi itu meleset dan spekulasi seterusnya meramalkan September dan ia meleset lagi. Mengambil kira kedudukan semasa, Shamsul tidak menolak kemungkinan Najib akan membubarkan Parlimen pada Februari, manakala pilihan raya akan berlangsung awal Mac.

Dalam satu temu bual Ogos lalu, beliau berkata, Najib seharusnya menggunakan tempoh mandat semasa sepenuhnya dan hanya memanggil PRU13 tahun depan. Mengulas mengenai Perhimpunan Agung Umno 2012, katanya, pertemuan tahunan kali ini sangat penting untuk Najib, bukannya untuk Umno.

“Ia sangat penting untuk Najib sebab populariti Najib ini 70 peratus, Anwar 43 peratus sahaja lebih kurang, dia kelihatan lebih munasabah dari hari ke hari, persepsi orang ialah apa yang beliau tak buat, semua dia bagi,” katanya.

Justeru menurut beliau, Najib yang juga Presiden Umno akan membawa partinya ke depan untuk menghadapi PRU13. Perhimpunan Agung Tahunan 2012 akan berlangsung dari 27 November hingga 1 Disember ini

Sumber - Sinar Harian Online

Friday, May 11, 2012

SUKAR UNTUK PAKATAN PEMBANGKANG MENAWAN PUTRAJAYA - KAJIAN UNIVERSITI MALAYA

 
 
"Agak sukar bagi pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang memandangkan penerimaan baik pengundi terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri..."  - UMCEDEL

Pada hari ulang tahun ke 66 UMNO hari ini (11 Mei 2012), satu kaji selidik menyebut pakatan pembangkang akan mengekalkan sokongan di Kelantan, dengan 44 peratus daripada responden memihak kepada mereka berbanding dengan 27 peratus yang memilih Barisan Nasional (BN.

Di Kedah, pembangkng dijangka memperolehi sokongan majoriti daripada responden Cina dan Melayu, manakala BN jauh lebih popular di kalangan orang India.

Di Perak pula, pakatan pembangkang bakal berhadapan dengan 'pertempuran besar' untuk menawan semula negeri yang dimenangi mereka pada tahun 2008, yang mana BN kemudiannya berjaya mendapatkan semula pentabiran negeri itu pada tahun 2009.

Kajian itu mendapati seramai 67 peratus kaum India menyokong BN, sementara Melayu sebanyak 36 peratus dan kaum Cina sebanyak 35 peratus.

Manakala Pakatan Rakyat pula hanya mendapat 30 peratus sokongan daripada kaum Melayu dan Cina, dan kaum India hanya lima peratus.


Kajian itu turut mendapati majoriti masyarakat Cina dan India dijangka mengundi pakatan pembangkang di Selangor, manakala sokongan orang Melayu di negeri itu terbahagi sama rata di antara Pakatan dan BN.

Seramai 60 peratus responden di kalangan orang India dan 49 peratus responden Cina berkata mereka akan menyokong pakatan pembangkang di negeri berkenaan, berbanding hanya 20 peratus (India) dan 16 peratus (Cina) yang memihak BN.

Apapun, sejumlah 49 peratus rakyat Malaysia dijangka memilih untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berbanding 21 peratus yang memilih pakatan pembangkang,  menurut kajian sebuah universiti tempatan. 

Menurut kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) 30 peratus lagi rakyat Malaysia masih belum menetapkan sokongan dan merupakan pengundi atas pagar yang selalunya akan membuat keputusan pada saat akhir.

Kajian bertajuk 'Kecenderungan Politik Menjelang PRU ke 13' itu melibatkan 2,282 responden, dan dilakukan secara bersemuka dengan etnik Melayu, Cina, India dan lain-lain, yang dipilih secara rawak menurut kadar perpecahan kaum di negara ini.

Ia telah diadakan antara 31 Mac hingga 15 April lepas, dengan satu margin ralat kira-kira 2.1 peratus, menurut laman web http://umcedel.um.edu.my.

Menurut laporan kajian itu, yang menemuramah sebanyak 55 peratus responden lelaki dan selebihnya wanita, hasil kajian itu menunjukkan pakatan pembangkang masih perlu menempuh perjalanan yang 'sangat jauh' sebelum mereka dapat menawan Putrajaya seperti mana yang diidamkan.

Selain itu, kajian itu juga turut menunjukkan pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang dan pelbagai dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menarik sokongan yang cukup luas dengan dua pertiga daripada responden menyatakan sokongan terhadap pemerintah.

Dalam kajian itu, responden turut ditanya sama ada pelbagai program yang diperkenalkan oleh Najib akan menambahkan sokongan mereka terhadap BN atau sebaliknya, dan 68 peratus daripada responden menyatakan sokongan terhadap program Kedai Rakyat 1Malaysia, manakala 74 peratus lagi bersetuju dengan program Klinik 1Malaysia. 

Keputusan kajian tersebut turut menunjukan agak sukar bagi pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang memandangkan penerimaan baik pengundi terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu.

Monday, April 16, 2012

PRU13 - DR M KATA 'KINI MASA SESUAI' NAMUN BERSEDIAKAH UMNO, BN?

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) wajar diadakan dalam masa terdekat.

Sebelum ini nada bekas Presiden UMNO itu lain tetapi kini katanya, sokongan rakyat terhadap kerajaan sekarang berada pada tahap yang baik.

Bagi beliau, PRU13 wajar segera diadakan pada ketika rakyat beri sokongan yang baik. Inilah masanya pilihan raya!

Namun, apakah Barisan Nasional (BN) bersiap sedia?

Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pihaknya akan mula menghantar surat kepada pemimpin parti komponennya hari ini meminta supaya mereka menghantar senarai nama calon untuk bertanding pada PRU13.

Apakah ini menunjukkan BN belum pasti dengan calon-calonnya?

Pada hakikatnya, saringan peringkat pertama telah selesai dan senarainya akan dihantar kepada presiden parti tidak lama lagi dan BN akan mewujudkan jawatankuasa sendiri bagi menyaring lagi semua nama calon yang diterimanya, termasuk senarai calon dari parti-parti komponen lain, bagi memilih calon yang paling sesuai untuk bertanding.

Arahan supaya dihantar senarai calon itu diarahkan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mereka diberi masa dua minggu untuk mengemukakan senarai calon masing-masing.

Selain itu jelas daripada kenyataan Tengku Adnan bahawa ada parti komponen yang tidak mahu lagi bertanding di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini, sebaliknya menyarankan kawasan tersebut lebih sesuai ditandingi parti komponen lain membuktikan pembahagian kerusi juga belum selesai.

Apakah ia mampu dilakukan dalam masa terdekat?

Di pihak pembangkan, pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara umumnya hampir selesai kecuali di beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang.

Di Terengganu pula, pertelingkahan pemimpin PKR dan PAS semakin memuncak dan dijangka 'perang dingin mengenai kerusi'akan berterusan!

Maknanya di pihak pembangkang pun belum selesai jugalah tu!!!

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata pembahagian kerusi di kebanyakan negeri sudah hampir selesai, cuma ada satu dua kerusi saja lagi yang masih belum muktamad seperti di Perak ada dua dan Pulau Pinang, satu yang masih perlu dibincangkan.

"Kedah umpamanya daripada 40 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), mungkin ada satu dua lagi yang belum selesai.

Ini bermakna kemajuannya sangat baik dan membanggakan," katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera pilihan raya PKR Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Banyak pihak meramalkan pilihan raya akan diadakan Jun tetapi tidak kurang juga yang berpendapat adalah baik selepas Bajet 2013 dibentangkan di Dewan Rakyat.
 
Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April tahun depan.

Sunday, April 15, 2012

BENARKAH POLITIK DINASTI SEMAKIN KETARA DI MALAYSIA?


Oleh A KADIR JASIN
Tajuk Asal - 'Politik dinasti semakin ketara'

Pada 1980-an, saya mengunjungi ibu pejabat Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun di Tokyo yang ketika itu memerintah Jepun.

Dalam kunjungan itu, saya menemui Tsutomu Hata yang ditugaskan mereformasi LDP atau Jiminto dalam bahasa Jepun. Hata memberitahu saya yang LDP semakin feudalistik, mata duitan dan dalam genggaman kalangan perniagaan.

Beliau ditugaskan mereformasi LPD supaya lebih serasi dengan perubahan yang sedang berlaku di Jepun. Usaha Hata itu digagalkan oleh “warlords” LPD dan apabila beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau mampu bertahan selama sembilan minggu sahaja.

Pada 2009, LDP kalah pilihan raya umum selepas memerintah selama 54 tahun.

Di negara kita pun ciri-ciri yang sama semakin ketara. Parti-parti politik menjadi semakin feudalistik, amalan nepostisme berleluasa dan dinasti politik semakin mencengkam.

Saya tidak mahu mengatakan sama ada aliran ini baik atau buruk. Saya serahkan kepada pembaca dan pembahas menentukannya.

Maka atas dasar itulah, pada 16 Januari 2011 saya menyiarkan rencana bertajuk “Perdana Menteri Wanita: Kenapa Isteri PM Tak Boleh?” dalam blog ini yang antara lain merujuk kepada kemungkinan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bertanding pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri.

Saya berkata: “Kenapa tidak?

Bukankah sudah wujud gandingan suami-isteri dalam landskap politik Malaysia, iaitu Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail? Malahan, gandingan bapa-emak dan anak pun sudah ada – Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah.

"Selain itu, wujud dinasti politik lain seperti gandingan Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng, Karpal Singh dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo. Malah Mohd Najib, Anwar, Hishammuddin Hussein, Mukhriz Mahathir dan ramai lagi adalah pewaris dinasti politik.”

Saya juga menyebut banyak contoh lain di mana isteri atau anak pemimpin negara seperti Evita Peron, Khalida Zia, Benazir Bhutto, Corazon Aquino, Megawati Sukarno Putri dan ramai lagi berganding bahu atau mengambil alih panji-panji suami atau bapa mereka sebagai pemimpin negara.

Rosmah Calon "Winnable" 

Memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, mungkin baik kalau kita timbangkan semula kemungkinan Rosmah “memformalisekan” kedudukannya sebagai seorang yang berpengaruh dalam pentadbiran negara dengan bertanding pilihan raya.

Apa salahnya beliau bertanding sebagai salah seorang calon “winnable” Barisan Nasional dalam PRU nanti kerana politik dinasti dan keluarga bukan asing bagi Malaysia.

Wan Azizah bertukar kerusi dengan Anwar dan anak mereka, Nurul Izzah, juga Ahli Parlimen. Betty Chew, isteri Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, adalah Adun DAP bagi kerusi Kota Laksamana, Melaka.

Jadi apa salahnya pasangan wakil rakyat Mohd Najib-Rosmah?

Lagipun, cakap-cakap rasmi, separuh rasmi dan kedai kopi memberikan kredit yang tinggi kepada Datin Paduka Seri Rosmah bukan sahaja kerana kepintaran dan pendidikan beliau yang tinggi, tetapi juga kerana kreativiti, ketegasan dan keberanian.

Kalau tidak pintar masakan beliau diterima masuk ke sekolah elit Tunku Kursiah, mendapat ijazah sarjana muda Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya dan sarjana Sosiologi dan Pertanian dari Louisiana State University, Amerika Syarikat.

Pengalaman kerja beliau juga luas – pernah menjadi eksekutif di Bank Pertanian (sekarang Bank Agro) dan sebagai pengurus pembangunan perniagaan syarikat hartanah Island and Peninsular Bhd.

Mungkin beliau boleh mengepalai senarai calon “winnable” Barisan Nasional yang Mohd Najib uar-uarkan itu.

Kalau tidak di Negeri Sembilan, negeri kelahirannya, Rosmah boleh bertanding di kerusi selamat Putrajaya bagi menggantikan Teuku (Tengku Aceh) Adnan Mansor.

Apabila beliau dipilih sebagai wakil rakyat, maka adillah dan patutlah bagi sesiapa pun untuk memuji dan menyanjung atau mengkritik dan mengutuk beliau. Dan layaklah beliau menerima peruntukan rasmi untuk projek-projek beliau. Wallahualam.

Dipetik dari blog The Scribe A Kadir Jasin

Monday, March 19, 2012

TRANSFORMASI NAJIB, KEGAGALAN PEMBANGKANG, KELEBIHAN BUAT BN

 “Pembangkang memang celaru, tengok banyak janji tak tunai, rakyat kena tipu, jangan kena tipu lagi, sekali cukup. Ini semangat yang saya lihat insya-Allah gelombang ini akan bawa kemenangan kepada BN nanti…asalkan BN menang, negara berjaya, rakyat Malaysia makmur dan negara maju jadi kenyataan, transformasi dapat dilaksanakan, baru dapat buat transformasi besar,"Mohd Najib Razak

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan keyakinannya dengan keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk merampas negeri-negeri yang ketika ini dikuasai pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi.

Najib membuat kenyataan itu berdasarkan kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan yang semakin bertambah baik. Rakyat juga dikatakan menerima dasar kerajaan ketika ini yang memberi tumpuan kepada usaha mentransformasikan negara.


Persoalannya apakah Najib berupaya mengulangi kecemerlangan BN pada 1995 dan 2004?

Apakah pengundi Melayu kekal mengundi Barisan Nasional (BN)? Apakah pengundi baru seramai kira-kira dua juta akan memberi kelebihan kepada BN?

Juga apakah pihak berkecuali akan menghukum pembangkang kerana gagal menunaikan janji-janjinya pada pilihan raya umum ke 12 lalu?

Sesetengah pihak membuat andaian bahawa apabila Barisan Nasional (BN) hilang lebih satu per tiga kerusi kawasan Parlimen pada PRU 2008, ia mungkin hilang kawalan ke atas kerajaan persekutuan pada pilihan raya kali ini.

Namun apabila berlaku pertukaran kepimpinan dan pelbagai program diperkenalkan di bawah gagasan 1Malaysia dan Program Transformasi Negara oleh kerajaan BN, kebanyakan penganalisis politik yakin peluang BN kekal menerajui kerajaan persekutuan adalah tinggi, malah akan menang lebih banyak kerusi kali ini.

Apapapun, ia bergantung kepada siapa kita bercakap. Kalau kita bercakap kepada penyokong kedua-dua pihak, sudah tentu masing-masing akan bercakap bagi pihak masing-masing. "Namun apa yang perlu diambil kira ialah pihak yang berkecuali dan undi mereka yang penting," kata seorang penganalisis politik dari Pulau Pinang.

Pihak berkecuali ini termasuk kira-kira dua juta pengundi baru dan muda yang akan mengundi buat pertama kali yang sokongan mereka akan menjadi penentu siapa yang menerajui Putrajaya.

Strategis dan Anggota Parlimen DAP bagi kawasan Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata sama ada BN boleh mengekalkan kuasa kerajaan persekutuan bergantung kepada faktor "middle ground" kerana beliau percaya boleh berlaku 10 peratus peralihan undi sama ada kepada BN atau pakatan pembangkang. "Middle ground yang perlu diambil kira. Setiap pilihan raya berbeza melibatkan personaliti baru, sentimen yang berbeza dan perubahan tema. Keputusan pilihan raya lalu hanya boleh dijadikan rujukan," katanya.

Liew berkata peralihan undi 10 peratus adalah besar yang tidak selalu berlaku tetapi tidak mustahil. BN memperoleh 65 peratus undi pada PRU 1995, 57 peratus pada 1999, 64 peratus pada 2004 dan 51 peratus pada 2008 dan antara pilihan raya 1995 dan 1999, undinya menurun lapan peratus dan antara 2004 dan 2008, ia jatuh 13 peratus, katanya. "Pakatan pembangkang menang 83 dari 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya 2008. Dari 139 kerusi BN, 55 dari Sabah, Sarawak dan Labuan sementara di Semenanjung, ia memiliki 85 kerusi berbanding pakatan pembangkang sebanyak 81," katanya dan menambah 51 peratus undi pakatan pembangkang diperoleh di Semenanjung. Pada pilihan raya lepas, 54 dari 83 kerusi pakatan pembangkang diperoleh dengan majoriti kurang dari 10 peratus atau kerusi marginal.

Tetapi dalam pilihan raya akan datang, sekiranya terdapat 10 peratus peralihan undi yang memihak BN, pakatan pembangkang hanya akan tinggal 29 kerusi. Sebaliknya 56 dari 139 kerusi BN dimenangi dengan majoriti kurang daripada 10 peratus pada 2008, dan peralihan 10 peratus undi yang memihak pakatan pembangkang akan menjejaskan pemerintahan BN.

"Daripada 56 kerusi marginal BN, 14 ialah dari Sabah dan Sarawak sementara 11 lagi dari Semenanjung dengan kurang daripada 70 peratus adalah undi Melayu. Dari 54 kerusi marginal pakatan pembangkang, 34 adalah dari Semenanjung," katanya dan menambah kerusi marginal dari kedua-dua BN dan pakatan pembangkang berjumlah 110 kerusi, dengan 112 kerusi diperlukan untuk memenangi majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Namun BN tidak terlalu bimbang dengan lebihan yang kecil. Ia memenangi 66 hingga 90 peratus kerusi Parlimen sejak 1959 dengan hanya 49.3 peratus ke 65.2 peratus undi. BN tidak pernah menang lebih daripada dua per tiga (66.67 peratus) undi popular. 

Paling hampir ia menang lebih dua per tiga undi popular ialah pada 1995 (65.2 peratus) apabila ia menang 84.38 peratus kerusi Parlimen. Pilihan raya terbaik bagi BN ialah pada 2004 apabila ia menang 90 peratus kerusi tetapi dengan hanya 63.9 peratus undi, namun masih kurang daripada dua per tiga. Tahun 1995 merupakan tahun terbaik bagi BN dalam pungutan jumlah undi (65.2 peratus), tetapi ia hanya menang 84.38 peratus kerusi. Ini bermakna undi lebih tidak bermaksud memperoleh lebih banyak kerusi dan sebaliknya. Najib, yang juga Pengerusi UMNO Selangor, turut menyuarakan keyakinan bahawa negeri Selangor sendiri akan kembali ke pangkuan BN, selepas pembangkang gagal menunaikan banyak janji di negeri itu.

Amat jelas Najib bekerja keras dan mahu membuktikan sebagai ‘bos UMNO Selangor’ beliau tidak mahu ‘kecewa’ seperti Tun Dr Mahathir Mohamad di Kelantan. ( Dr Mahathir sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan gagal menawan Kelantan beberapa kali, termasuk pada 1995 walaupun BN menang cemerlang). Najib seboleh-bolehnya mahu memastikan kemenangan BN kerana menurutnya hanya kerajaan BN sahaja yang mampu membawa pembangunan dan pembaharuan berterusan mengikut kehendak dan aspirasi rakyat.

"Asalkan BN menang, negara berjaya, rakyat Malaysia makmur dan negara maju jadi kenyataan, transformasi dapat dilaksanakan, baru dapat buat transformasi besar," katanya di hadapan lebih 20,000 orang yang hadir pada perhimpunan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Putra Perdana Puchong, semalam.

Datuk Seri Najib Razak disambut meriah oleh orang ramai ketika menghadiri majlis sambutan 30 tahun Pusat Sri Murugan di Petaling Jaya, 18 Mac, 2012.
Ketua Publisiti BN Selangor, Datuk Yap Pian Hon berkata malah jika lebih ramai orang keluar mengundi pada pilihan raya kali ini dan pakatan pembangkang memperoleh lebih banyak undi, tiada jaminan ia boleh membentuk kerajaan persekutan. "Ia bergantung di mana anda mengundi. Jika anda mengundi di kawasan bandar yang majoritinya sudah tentu pengundi Cina, maka pembangkang mungkin mendapat banyak undi, tetapi tidak kerusi," katanya. 

Yap berkata pada PRU 2008, 82 kerusi Parlimen yang pakatan pembangkang menang terbahagi hampir sama antara pengundi Melayu dan bukan Melayu walaupun ia mendapat hampir 90 peratus undi kaum India, 70 peratus undi Cina dan 50 peratus undi Melayu. Namun, beliau berkata kini undi kaum India berpecah 50:50 antara B Ndan pakatan pembangkang sementara dijangkakan akan berlaku peningkatan kecil undi kaum Cina kepada pembangkang kepada 80 peratus daripada 70 peratus sebelum ini.

Sebarang pertambahan undi kaum Cina kepada pakatan pembangkang mungkin diimbangi dengan penurunan undi kaum India kepada pembangkang. "Faktor penentu masih undi kaum Melayu. Lebih 60 peratus pengundi di negara ini ialah pengundi Melayu. Sebarang pertambahan undi Melayu kepada BN boleh mengimbangi penurunan undi bukan Melayu.

Pada pilihan raya lalu, BN mendapat kira-kira 50 peratus undi Melayu," katanya.

Bagi membentuk kerajaan persekutuan, pakatan pembangkang perlu menang sekurang-kurangnya 94 daripada 165 kerusi di Semenanjung dan 18 daripada 57 kerusi di Sabah, Sarawak dan Labuan (31 di Sarawak, 25 di Sabah dan satu di Labuan) yang mungkin membawa kepada majoriti mudah 112 kerusi. "Bagi menambah kepada 94 kerusi, ia perlu menang semua kerusi yang ia menang sebelum ini, termasuk yang diduduki oleh pihak yang keluar parti.

Ini tidak termasuk menang tambahan 12 kerusi di Semenanjung dan 18 lagi di Sabah dan Sarawak," katanya dan menambah beliau tidak melihat kemampuan pakatan pembangkang membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.

Pakatan pembangkang menang 83 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu tetapi kini tinggal 76 ekoran tindakan wakil rakyatnya keluar parti. Perdana Menteri berkata beliau serta barisan kepimpinan BN berkerja keras siang dan malam untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat di seluruh negara sekali gus memastikan kemenangan BN. 

"BN cukup yakin. Pembangkang memang celaru, tengok banyak janji tak tunai, rakyat kena tipu, jangan kena tipu lagi, sekali cukup. Ini semangat yang saya lihat insya-Allah gelombang ini akan bawa kemenangan kepada BN nanti," katanya.

Pemerhati politik bersetuju peluang pakatan pembangkang menang sekurang-kurangnya 18 kerusi di Sabah dan Sarawak masih samar-samar ekoran dibelenggu masalah seperti jentera pilihan raya, logistik, pemimpin tempatan dan sokongan pengundi luar bandar.

Pengundi di Sabah dan Sarawak turut menyokong parti tempatan seperti parti komponen BN berbanding pakatan pembangkang yang merupakan parti Semenanjung.

Penganalisis politik Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berpendapat jumlah kerusi yang paling banyak yang boleh pakatan pembangkang menang di Sarawak ialah antara tujuh hingga 10 kerusi. Kerusi-kerusi itu termasuk empat kawasan kelabu Parlimen yang diperuntukkan kepada SPDP (Mas Gading, Seratok, Baram dan Bintulu) dan kemungkinan mengekalkan Bandar Kuching dan Sibu serta menang di Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri.

Di Sabah, pakatan pembangkang diramalkan boleh menawan hanya lima kerusi Parlimen terutama yang majoriti pengundi Cina seperti Kudat, Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan. "Sokongan menyeluruh kepada BN di Sabah dan Sarawak ialah 55 peratus, pakatan pembangkang 30 peratus dengan undi terapung kira-kira 15 peratus," tambahnya.

Amat jelas ketika ini, BN masih menguasai keadaan. Banyak pihak dalam pembangkang walaupun begitu positif untuk menang merasakan dalam tempoh tiga tahun lalu melalui kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak agak sukar untuk mengubah kedudukan BN.

Benar seperti kata Liew bahawa pada PRU ke-13, apa saja boleh berlaku tetapi ia tidak semestinya akan memberikan kelebihan kepada pembangkang semata-mata. Selain bergantung kepada magis berkempen yang boleh menyeimbangi keadaan, keadaan beberapa hari sebelum hari mengundi akan turut mempengaruhi sokongan rakyat. DAP sendii tidak pasti boleh menawan Pulau Pinang pada PRU 2008 sehinggalah beberapa hari sebelum hari mengundi.

Begitu juga di Perak dan Kedah pada pilihan raya umum 2008 lalu, tidak siapa dapat bayangkan kedua-dua negeri itu boleh jatuh ke tangan pembangkang.

Kelantan pula hampir tewas pada 2008 dan apakah kali ini akan beulang?

Selangor yang menghadapi pelbagai desakan rakyat dan serangan BN yang begitu bertubi-tubi juga tidak mustahil kembali kepada BN.

Biarpun pembangkang begitu yakin ‘anak muda’ akan berpihak kepada mereka namun pihak yang berkecuali akan melihat untng rugi dalam memilih parti yang akan memerintah.

Malah dengan dua juta pengundi baru dan muda yang akan mengundi buat kali pertama, pastinya sokongan mereka akan disandarkan kepada parti mana yang boleh membela mereka.

Malah Liew sendiri menegaskan, faktor "middle ground" yang akan menentukan 10 peratus peralihan undi sama ada kepada BN atau pakatan pembangkang tetap penting. Dengan BN meletakkan harapan kepada transformasi dan calon boleh menang, faktor personaliti baru, sentimen yang berbeza dan perubahan tema seperti yang melanda Selangor dan Kelantan, segala-galanya akan memberikan kelebihan kepada BN.

Sumber - Bernama

Saturday, March 17, 2012

NAJIB ADAKAN PILIHAN RAYA UMUM KE 13 3 ATAU 10 JUN?


Ada pihak mengatakan kedudukan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang melonjak akhir-akhir ini menjadi faktor pilihan raya mungkin diadakan pertengahan tahun ini.

Menurut Sinar Harian yang memetik Bloomberg semalam, Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei atau Jun ini. Mandat semasa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) hanya akan berakhir pada April 2013.

Dengan memetik empat sumber yang tidak mahu namanya didedahkan, Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual bercakap di hadapan sekitar 4,000 orang kakitangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, khususnya dari Jabatan Penerangan, yang akan membantu menyelia perjalanan pilihan raya yang akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah satu tarikh yang disyorkan ialah 3 Jun, demikian menurut tiga pegawai dipetik laporan portal Bloomberg.

Pertanyaan ialah apakah Era Najib mampu mengatasi Era di bawah kepimpinan Tun Mahathir Mohamad apabila kelima-lima pilihan raya yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu meraikan kelebihan majoriti dua pertiga.

Kenapa pencapaian demikian?

Menurut bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, faktornya ialah beliau memastikan masalah yang diperhatikan oleh rakyat dapat diselesaikan dan membolehkan mereka rasa selesa (feel good) sebelum plihan raya.

Nasihat Daim: “Kamu seharusnya memahami perasaan rakyat, golongan muda, penduduk Bandar, orang Melayu yang mendiami di rumah pangsa, orang Cina dan India, permintaan mereka adalah sama…akan tetapi, penduduk kampung adalah berbeza...Kerana itulah Najib turun padang, melawat mereka, berbual-bual dengan mereka, memahami keperluan mereka."

"Kesemua petanda menuju ke arah pilihan raya pada akhir Mei atau awal Jun ini," kata Ong Kian Ming, penganalisis politik dari UCSI. "Ia adalah masa yang sesuai bagi Najib," katanya.

Daim turut meramalkan PRU 13 diadakah pada tahun ini. Sekiranya PRU semakin lama ditangguhkan, Barisan Nasianol (BN) bakal mewujudkan kesilapan yang lain, sementara Pakatan Rakyat (Pakatan) bakal menghadapi pertikaian dalaman yang semakin banyak sesama komponen parti.

Dalam PRU yang akan datang ini, tanpa mengira BN atau Pakatan, masing-masing tidak mempunyai masa yang cukup, kata Daim.

Tetapi untuk kali pertama, BN yang diketuai oleh Najib, masih mempunyai kelebihan mengekalkan dominasinya. Namun wawasan BN mengambil alih majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen sukar dicapai.

Menurut Daim, Perdana Menteri tidak mungkin membubarkan parlimen pada bulan Mac atau April. PRU13 dijangka diadakan pada hari cuti sekolah sekiranya cuti sekolah kali ini terlepas, kemungkinan pada cuti sekolah yang akan datang (26 Mei – 10 Jun).

Walaupun Daim berkata BN mempunyai kelebihan dalam PRU ini, namun mereka tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan kali ini. Kemenangan dalam PRU ini bergantung kepada pihak yang mana kesilapannya adalah kurang.

Seperti juga Daim, Kian Ming juga berkata, "jika beliau menunggu lebih lama, skandal-skandal lain akan muncul."

Sehubungan itu katanya, jika keadaan sedemikian wujud, ia sudah pasti akan menjejaskan segala 'suasana mesra' BN yang wujud sekarang, yang antara lain disumbangkan oleh pengagihan bantuan dijanjikan dalam Bajet 2012.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online awal minggu ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada pandangan beliau tempoh yang sesuai yang ada sebelum sesi Parlimen Julai ini ialah dua minggu pertama Mei dan dua minggu kedua Jun.
 

Penemuan kajian Merdeka Center yang dikeluarkan minggu lalu menyebut populariti Najib telah mengalami peningkatan semula berbanding kedudukan Ogos lalu.

Kajian terbaru firma itu menunjukkan kadar populariti beliau meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus Ogos lalu, selepas ia mengalami penurunan jika dibandingkan dengan kedudukan tahun 2010.

Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik.

Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.

Populariti 69 peratus kali ini sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.

Namun itu bukan segala-galanya.

Persoalan yang sering ditanya apakah pembaharuan dan transformsi yang diperkenalkan Najib sudah membuahkan hasil?

Juga apakah dasar mesra rakyat seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia, bonus dan penambahbaikan skim perkhidmatan kepada penjawat awam diterima baik oleh rakyat?

Juga apakah BN sudah pasti mempunyai calon yang boleh memenangkan mereka dalam pilihan raya umum kali ini?

Di sebalik itu apakah tawaran pembangkang tidak mampu ‘menggoda’ rakyat?

Dan apakah rakyat percaya bahawa Ketua Pembangkang memang kaki ‘liwat’ serta menjadi tali barut Barat?

Juga apakah UMNO khususnya mampu meyakinkan rakyat bahawa perpindahan perjuangan PAS dari menegakkan ‘Negara Islam’ kepada ‘Negara Kebajikan’ dan berbaik-baik dengan parti pembangkang seperti PKR dan DAP tidak merugikan umat Islam di negara ini?

Thursday, December 1, 2011

‘IBU SEGALA PILIHAN RAYA UMUM’ DALAM MASA TERDEKAT…

Hari ini, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)akan diadakan dalam masa terdekat.

Najib, yang juga Presiden Umno dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 di Kuala Lumpur pagi ini mengingatkan semua anggota parti supaya "merapatkan saf, menyalakan jamung dan menggigit sekuatnya perjuangan dengan geraham kita" bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dengan laungan Hidup Umno yang disambut gemuruh 2,711 perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Najib menegaskan: "Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang Umno, kita turun ke medan bakti.”

Pada amanatnya kepada perwakilan pada Selasa lepas mahu pimpinan parti di peringkat bahagian dan akar umbi bekerja secara luar biasa bagi menghadapi PRU-13 akan datang.

Najib juga berpesan supaya para wakil bahagian parti jangan mengambil mudah PRU-13 kerana cabarannya pasti luar biasa dan yang paling getir bakal dihadapi oleh parti politik terbesar negara itu.

Malam kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO membuktikan kata-kata mereka untuk berjuang mempertahankan parti dengan memastikan kemenangan dalam PRU 13.

Sambil mengingatkan yang ‘ibu’ segala pilihan raya itu akan menentukan jatuh bangun umat Melayu, Timbalan Presiden UMNO memperturunkan peringatan khusus kepada ketiga-tiga sayap agar menggerakkan seluruh kekuatan untuk menghadapi situasi kritikal tersebut.

Dalam ucapannya ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan pergerakan tersebut yang bernada semboyan perang, beliau turut meniupkan semangat juang srikandi, panglima perang dan permata UMNO itu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai benteng parti.

“Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabotaj. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan `mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti,” tegasnya.

Sebagai sebuah organisasi, Muhyiddin mengakui UMNO ada kekurangan, namun parti itu sentiasa melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadaikan prinsip perjuangan.

Justeru, beliau berharap ketiga-tiga sayap itu tidak membiarkan parti bersendirian dalam meneruskan perjuangan yang juga jihad untuk agama, bangsa dan negara.

Untuk menjamin kekuatan parti, tegasnya, mereka perlu bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) serta pada masa sama, mengetepikan perbezaan dan persengketaan sesama sendiri.

“Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7,470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita,” katanya.

Beliau mahu Pemuda, Wanita dan Puteri memberi tumpuan kepada masalah rakyat dan melunaskan tanggungjawab moral sebagai pejuang UMNO dengan membantu mereka.
“Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita. Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan,” tegas Muhyiddin.