Friday, May 11, 2012

SUKAR UNTUK PAKATAN PEMBANGKANG MENAWAN PUTRAJAYA - KAJIAN UNIVERSITI MALAYA

 
 
"Agak sukar bagi pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang memandangkan penerimaan baik pengundi terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri..."  - UMCEDEL

Pada hari ulang tahun ke 66 UMNO hari ini (11 Mei 2012), satu kaji selidik menyebut pakatan pembangkang akan mengekalkan sokongan di Kelantan, dengan 44 peratus daripada responden memihak kepada mereka berbanding dengan 27 peratus yang memilih Barisan Nasional (BN.

Di Kedah, pembangkng dijangka memperolehi sokongan majoriti daripada responden Cina dan Melayu, manakala BN jauh lebih popular di kalangan orang India.

Di Perak pula, pakatan pembangkang bakal berhadapan dengan 'pertempuran besar' untuk menawan semula negeri yang dimenangi mereka pada tahun 2008, yang mana BN kemudiannya berjaya mendapatkan semula pentabiran negeri itu pada tahun 2009.

Kajian itu mendapati seramai 67 peratus kaum India menyokong BN, sementara Melayu sebanyak 36 peratus dan kaum Cina sebanyak 35 peratus.

Manakala Pakatan Rakyat pula hanya mendapat 30 peratus sokongan daripada kaum Melayu dan Cina, dan kaum India hanya lima peratus.


Kajian itu turut mendapati majoriti masyarakat Cina dan India dijangka mengundi pakatan pembangkang di Selangor, manakala sokongan orang Melayu di negeri itu terbahagi sama rata di antara Pakatan dan BN.

Seramai 60 peratus responden di kalangan orang India dan 49 peratus responden Cina berkata mereka akan menyokong pakatan pembangkang di negeri berkenaan, berbanding hanya 20 peratus (India) dan 16 peratus (Cina) yang memihak BN.

Apapun, sejumlah 49 peratus rakyat Malaysia dijangka memilih untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berbanding 21 peratus yang memilih pakatan pembangkang,  menurut kajian sebuah universiti tempatan. 

Menurut kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) 30 peratus lagi rakyat Malaysia masih belum menetapkan sokongan dan merupakan pengundi atas pagar yang selalunya akan membuat keputusan pada saat akhir.

Kajian bertajuk 'Kecenderungan Politik Menjelang PRU ke 13' itu melibatkan 2,282 responden, dan dilakukan secara bersemuka dengan etnik Melayu, Cina, India dan lain-lain, yang dipilih secara rawak menurut kadar perpecahan kaum di negara ini.

Ia telah diadakan antara 31 Mac hingga 15 April lepas, dengan satu margin ralat kira-kira 2.1 peratus, menurut laman web http://umcedel.um.edu.my.

Menurut laporan kajian itu, yang menemuramah sebanyak 55 peratus responden lelaki dan selebihnya wanita, hasil kajian itu menunjukkan pakatan pembangkang masih perlu menempuh perjalanan yang 'sangat jauh' sebelum mereka dapat menawan Putrajaya seperti mana yang diidamkan.

Selain itu, kajian itu juga turut menunjukkan pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang dan pelbagai dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menarik sokongan yang cukup luas dengan dua pertiga daripada responden menyatakan sokongan terhadap pemerintah.

Dalam kajian itu, responden turut ditanya sama ada pelbagai program yang diperkenalkan oleh Najib akan menambahkan sokongan mereka terhadap BN atau sebaliknya, dan 68 peratus daripada responden menyatakan sokongan terhadap program Kedai Rakyat 1Malaysia, manakala 74 peratus lagi bersetuju dengan program Klinik 1Malaysia. 

Keputusan kajian tersebut turut menunjukan agak sukar bagi pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang memandangkan penerimaan baik pengundi terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu.

No comments:

Post a Comment