Wednesday, October 12, 2016

BERAPA BANYAK LAGI FIRMA JURUAUDIT 1MDB TERPAKSA ‘MANDI AIR BUNGA’?


"Juruaudit terbarunya, Deloitte  juga terpaksa menarik diri...audit tidak dapat diselesaikan kerana dokumen yang diperlukan telah dirampas oleh polis dalam satu serbuan pada Julai tahun lalu."

Kalau dulu-dulu kes seperti ini ‘kena mandi bunga’. Ini kerana ia bagaikan terkena ‘sumpahan’.

Apa tidaknya, selepas satu, satu pula diganti. Tidak berkesudahan. Malah kini dengan yang ketiga juga sudah tidak menjadi. Perlu digantikan dengan yang keempat.

Banyak alasan diberikan oleh pemiliknya tetapi yang nyata, syarikat ini bagaikan sudah tidak ‘seelok’ seperti yang cuba dipertahankan oleh pemiliknya dan sukar dijangka apa lagi ‘bala’ yang akan mendatang.

Itulah yang terjadi kepada syarikat pelaburan strategik negara – 1Malaysia Development Bank (1MDB) – apabila dimaklumkan bahawa juruauditnya, Deloitte kini terpaksa menarik diri.

Ini baharu dalam konteks pengauditan syarikat yang kini berdepan dengan siasatan di 10 negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan di negara sendiri.

Alasan diberikan oleh Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy semalam ialah firma audit Deloitte kini menarik diri kerana gagal menyiapkan laporan audit akaun firma pelaburan negara bagi tahun kewangan 2015.

Banyak pihak melalui media sosial bertanyakan ditahap mana audit 1MDB sedang dijalankan kerana ingin mengetahui kedudukan syarikat yang dikatakan bermasalah itu.


Akhir September lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berkata juruaudit baru untuk 1MDB akan diumumkan tidak lama lagi. Beliau enggan mengulas mengenai soalan lain berkaitan 1MDB.

"Saya tidak mahu respon kepada itu, terima kasih," katanya ketika ditanya mengenai 1MDB pada sidang media di satu majlis di Kuala Lumpur. Irwan Serigar mengetuai lembaga pengarah baru 1MDB.

Semalam, ditanya oleh pelajar pada sesi town hall di Universiti Malaya di Kuala Lumpur -  mengapa juruaudit 1MDB seringkali diubah - beliau menjelaskan bahawa apabila syarikat asal 1MDB iaitu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) ditubuhkan, Ernst dan Young (EY) dilantik sebagai juruaudit pertama.

Bagaimanapun,  apabila TIA diambil alih oleh kerajaan persekutuan dan menjadi 1MDB pada Julai 2009, juruauditnya diubah kerana pemilikan syarikat juga telah berubah.

Selepas itu KMPG dilantik menggantikan EY, tetapi EY pula menandatangani sebarang laporan tahunan 1MDB

Mengulas lanjut,  Arul Kanda terpaksa memberitahu pelajar malam tadi bahawa juruaudit terbarunya juga terpaksa menarik diri.

Arul Kanda memberitahu sesi itu audit tidak dapat diselesaikan kerana dokumen yang diperlukan telah dirampas oleh polis dalam satu serbuan pada Julai tahun lalu.

Polis pula dijadikan alasan? Apakah 1MDB tidak mempunyai salinan dokumen atau dokumen lain untuk sokongan?

Hakikatnya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  terpaksa mengunakan juruaudit Delloite selepas The Big Three ‘gagal untuk melaksanakan kerja mereka’.

Sesi town hall di Universiti Malaya di Kuala Lumpur malam semalam.
 Apakah benar mereka gagal atau kerana sebab-sebab tertentu?

Sebuah blog, pada 30 Julai lalu mengulas mengenai firma juruaudit 1MDB ini mengemukakan pertanyaan, “ Audit 1MDB - Juruaudit Antarabangsa Bermasalah Atau 1MDB Sorok 'Punca'?”

Walau apa alasan Arul Kanda, hakikatnya, Deloitte sebelum ini pernah menyatakan hasratnya menarik diri daripada menjalankan kerja sedemikian. Kenapa menyatakan demikian?

Ini terutamanya, selepas Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat  pada 20 Julai lalu mengemukakan dua saman sivil untuk menyita pelbagai aset dan harta tanah bernilai lebih AS$1 bilion.

DOJ mendakwa wang diperoleh aset dan harta itu adalah melalui wang (1MDB) yang diselewengkan.

Ada laporan  mengatakan Deloitte gagal menemui beberapa urus niaga dan tawaran yang dijalankan dan tidak dapat membuat audit yang ‘sebenarnya’.

Ini termasuk AS$ 3.5 bilion bayaran 1MDB kepada penipuan Aabar Investment PJS Limited, selain AS$ 1.56 bilion pelaburan 1MDB Global Investment Limited dalam beberapa dana pelaburan dianggap ‘kabur’.

Malah, kenyataan Deloitte yang merujuk kepada apa yang disebut melalui kenyataan yang  dibuat oleh DOJ itu. mengatakan:

"The complaint contains information, which, if known at the time of the 2013 and 2014 audits of 1MDB, would have impacted the financial statements and affected the audit reports and, accordingly, those audit reports issued by Deloitte Malaysia dated March 28, 2014 and Nov 5, 2014 respectively in connection with the 2013 and 2014 financial statements of 1MDB should no longer be relied upon." (Deloitte, 27 July, 2016)

Dengan notis Deloitte untuk menarik diri, bagi melepaskan tanggungjawabnya sebagai juruaudit dana kerajaan Malaysia itu, menjadikannya firma audit ketiga yang menamatkan khidmat dengan 1MDB sejak penubuhannya pada 2009.

Ada laporan menyebut, 1MDB turut berminat untuk melantik firma audit keempat terbesar PwC untuk menjadi juruaudit 1MDB?

Setakat ini firma itu mengunci mulut sama ada ia sudah memulakan kerja untuk 1MDB atau berminat mengambil peranan sebagai juruaudit.

Laporan-laporan mengenai juruaudit 1MDB sebelum ini mengatakan:
  
1.  The Wall Street Journal melaporkan firma Ernst &Young (EY) ditamatkan pada 2010. Ia dilakukan oleh pemegang saham dan Lembaga Pengarah entiti itu.. Ia dilakukan oleh pemegang saham dan Lembaga Pengarah entiti itu.

EY adalah juruaudit pertama 1MDB yang dilantik pada 25 Mac 2009 oleh Terengganu Investment Authority dan ditamatkan kontrak pada 15 September 2010 sebelum 1MDB mengemukakan penyata kewangan pertama untuk tempoh berakhir 31 Mac 2010. Dikatakan EY meminta untuk menyemak laporan due dilligence yang disediakan oleh pengurusan dan laporan status hak milik aset PetroSaudi International Ltd. (PSI) dalam syarikat usaha sama. EY juga meminta penyata kewangan syarikat usaha sama bagi melaksanakan penilaian nilai saksama terhadap saham, aset, liabiti dan liabiliti luar jangka syarikat tersebut.

Firma dikatakan  melaksanakan penilaian awal dan memohon maklumat tambahan bagi menentukan nilai jangkaan aset PSI. Perkara itu dibangkitkan semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB. Ini menunjukkan EY tidak berpuas hati dengan laporan dan dokumen sokongan dan meminta pihak pengurusan mengemukakan lebih banyak maklumat.

EY tidak menemui dokuman berkaitan status pemilikan sebenar, nilai dan risiko yang berkaitan aset yang dilaburkan oleh rakan usaha sama. EY turut membangkitkan keperluan semula nilai aset bagi proses semakan kaedah perakaunan terhadap pertukaran ekuiti kepada Nota Murabahah dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 namun pada tarikh itu 1MDB tidak mempunyai dokumen yang mencukupi untuk membuktikan pemilikan aset oleh syarikat usahasama.

Semasa mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Oktober 2010, dimaklumkan 1MDB PetroSaudi Ltd belum menyediakan penyata kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif telah menyakin lembaga pengarah perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang. Tetapi tiada sebarang bukti menunjukkan kertas perbincangan berhubung perkara itu pernah dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Pendirian EY menimbulkan situasi kurang senang kepada pengurusan 1MDB dan pemegang saham serta lembaga pengarah memutuskan menamatkan perkhidmatannya.

2.   Berikutan itu, pada  7 Apr 2016 lalu, laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menyebut, bekas juruaudit 1MDB, Ernst & Young (EY) dan KPMG telah digantikan selepas berkeras melihat dokumen mengenai beberapa urusan dana syarikat itu. Akaun-akaun 1MDB dari 15 Sptember 2010 hingga 2012 diaudit oleh KPMG. Perkhidmatan syarikat itu bagaimanapun ditamatkan pada Disember 2013. Menurut laporan jawatankuasa kira-kira Wang Negara berkaitan 1MDB, khidmat KPMG ditamatkan selepas enggan menandatangani akaun-akaun tanpa perincian berkaitan pelaburan bernilai AS$$2.32 bilion.

KPMG dilaporkan dipecat selepas bertelingkah pendapat megenai nilai pelaburan 1MDB dalam Bridge GLobal SPC melalui Brazen Sky Ltd. KPMG telah memutuskan untuk mengeluarkan laporan audit berkelayakan 1MDB untuk laporan kewangan 2013, tetapi firma audit itu tiba-tiba diganti dengan Deloitte.

Berdasarkan minit mesyuarat antara 1MDB dan Tetuan KPMG pada 29 November 2013, Ketua Eksekutif 1MDB pada masa itu Mohd Hazem Abd Rahman cuba meyakinkan Tetuan KPMG mengenai pelaburan berkenaan. Bagaimanapun, Tetuan KPMG tidak berpuas hati jika tiada apa-apa keterangan berdokumen.

Pada mesyuarat lembaga 1MDB pada 9 Disember 2013, Hazem dimaklumkan bahawa Tetuan KPMG tidak berpuas hati dan akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan sama ada maklumat oleh pengurusan 1MDB boleh diterima dan mencukupi bagi maksud audit, atau untuk mengeluarkan pendapat berkelayakan.

Berikutan itu, KPMG telah memilih untuk mengeluarkan pendapat yang berkelayakan, menurut laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen itu. Oleh kerana pertikaian semakin meningkat antara KMPG dan 1MDB, laporan itu berkata 1MDB memberitahu KMPG untuk mendapatkan penjelasan daripada pengurus dananya Bridge Global Absolute Return Fund SPC (Bridge Global) di Kepulauan Cayman.

3.      Deloitte Malaysia yang kemudian dilantik menggantikan KPMG menjelaskan, dalam aduan yang melibatkan beberapa maklumat, jika diketahui pada 2013 dan 2014, akan menyebabkan wujud perbezaan dalam laporan kewangan dan laporan audit olehnya terhadap 1MDB.

Deloitte dikatakan mengesahkan audit untuk tahun kewangan 2013 dan  2014 dengan kedudukan di mana pihaknya tidak mendapat maklumat sebenar  sebenar beberapa maklumat yang dikatakan sebagai ‘kabur’. Berikutan itu, standard audit Deloitte menjadi tanda tanya sejak 2015 selepas 1MDB didapati sukar memenuhi obligasi membayar faedah dan balik hutangnya.

Pada 26 Jul 2016,  1MDB berkata penyata kewangan 2013 dan 2014 yang ditandatangani Deloitte pada 28 Mac 2014 dan 5 November 2014 tidak boleh lagi digunakan sehingga dakwaan dibuat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) ditentukan di mahkamah.Bagaimanapun kata syarikat itu tindakan berkenaan diambil hanya sebagai "langkah berjaga-jaga".


 Pada 20 Julai lalu, DOJ mengumumkan bahawa ia telah memfailkan tindakan undang-undang sivil untuk menyita dan merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion, yang didakwa dicuri dari 1MDB yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Timbalan Pengarah, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Andrew McCabe berkata, rakyat Malaysia telah ditipu pada skala sangat besar dalam skim yang merangkumi sebahagian besar dunia.

Untuk rekod, aduan DOJ turut membabitkan beberapa  nama disebut termasuk anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho yang lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Seorang individu lain juga disebut namun identitinya tidak didedahkan kecuali dirujuk sebagai Malaysian Official 1.

DOJ mahu menyita lebih AS$1 bilion aset yang dikatakan berpunca daripada 1MDB walaupun  pihak Malaysia mendakwa ia tiada kena kena dengan 1MDB. Lembaga 1MDB bagaimanapun berkata mereka yakin tiada sebarang salah laku berlaku.

Laporan menyebut,  1MDB kini  sedang mencari juruaudit baru selepas Deloitte menyatakan keinginan mereka menarik diri pada 26 Februari lalu.

Bagaimanapun, kata syarikat berkenaan, Deloitte kekal sebagai juruaudit 1MDB, termasuk untuk anak syarikatnya TRX City Sdn Bhd, Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Edra Bhd sehingga firma baru dilantik. (Kedudukan ini disahkan oleh Arul Kanda semalam).

Untuk laporan audit akaun 2015,  1MDB diberikan tarik lanjutan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga 30 September  2016  lalu.

Walau apa alasan diberikan Arul Kanda, Deloitte Malaysia, berpendapat maklumat dalam saman DOJ untuk membuat rampasan aset berkaitan 1MDB, menjejaskan laporan audit syarikat pelaburan Deloitte pada tahun 2013 dan 2014. Deloitte turut mengulanginya dengan mengatakan bahawa audit 1MDB bagi tahun itu akan memberi kesan dalam tindakan undang-undang DOJ.

Pada forum semalam, Arul Kanda menegaskan Deloitte meminta dilepaskan daripada tugas itu kerana mereka tidak dapat menyiapkan audit selepas dua tahun, walaupun mereka adalah juruaudit terkenal.

"Kita tidak boleh mengaudit akaun selepas rekod syarikat diambil oleh pihak polis semasa serbuan pada Julai 2015. Semua rekod syarikat telah diambil untuk siasatan lanjut.

"Jadi, walaupun semua akaun telah disediakan, juruaudit memerlukan dokumen syarikat untuk menjalankan audit. Tanpa dokumen itu, audit tidak dapat dijalankan,” tegasnya.

Mengulas lanjut Arul Kanda mengulangi,  Deloitte hanya menarik diri daripada menjadi juruaudit bagi syarikat induk 1MDB, tetapi masih menjadi juruaudit bagi projek Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange milik firma pelaburan negara itu.

Kini terpulanglah kepada rakyat untuk menilai sejauh mana ketelusan dan punca firma juruaudit digantikan berkali-kali.

Apakah jika dilantik, firma juruaudit akan tunduk kepada kehendak lembaga pengarah 1MDB atau aka nada pertelingkahan pendapat mengenai perkara-perkara ‘meragukan’ seperti sebelum ini?

Dengan kegagalan akaun diaudit, selain berbagai perkara yang dilaporan berlaku ketika proses pengauditan dilakukan terhadap syarikat itu sebelum ini, apakah 1MDB dapat  mengatakan ia ‘telus mulus’ dan tiada perkara yang cuba dilindungi mengenai perkara-perkara tertentu dalam syarikat berkenaan?

Yang pasti, iau pengauditan ini tidak terhenti dengan penjelasan Arul Kanda semalam.

Banyak lagi perkara yang akan dipertikaikan dan menjadi tugas pengurusan 1MDB untuk menjelaskannya kepada rakyat, kerajaan dan mungkin pihak asing.