Monday, April 16, 2012

PRU13 - DR M KATA 'KINI MASA SESUAI' NAMUN BERSEDIAKAH UMNO, BN?

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) wajar diadakan dalam masa terdekat.

Sebelum ini nada bekas Presiden UMNO itu lain tetapi kini katanya, sokongan rakyat terhadap kerajaan sekarang berada pada tahap yang baik.

Bagi beliau, PRU13 wajar segera diadakan pada ketika rakyat beri sokongan yang baik. Inilah masanya pilihan raya!

Namun, apakah Barisan Nasional (BN) bersiap sedia?

Menurut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pihaknya akan mula menghantar surat kepada pemimpin parti komponennya hari ini meminta supaya mereka menghantar senarai nama calon untuk bertanding pada PRU13.

Apakah ini menunjukkan BN belum pasti dengan calon-calonnya?

Pada hakikatnya, saringan peringkat pertama telah selesai dan senarainya akan dihantar kepada presiden parti tidak lama lagi dan BN akan mewujudkan jawatankuasa sendiri bagi menyaring lagi semua nama calon yang diterimanya, termasuk senarai calon dari parti-parti komponen lain, bagi memilih calon yang paling sesuai untuk bertanding.

Arahan supaya dihantar senarai calon itu diarahkan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mereka diberi masa dua minggu untuk mengemukakan senarai calon masing-masing.

Selain itu jelas daripada kenyataan Tengku Adnan bahawa ada parti komponen yang tidak mahu lagi bertanding di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka sebelum ini, sebaliknya menyarankan kawasan tersebut lebih sesuai ditandingi parti komponen lain membuktikan pembahagian kerusi juga belum selesai.

Apakah ia mampu dilakukan dalam masa terdekat?

Di pihak pembangkan, pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara umumnya hampir selesai kecuali di beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang.

Di Terengganu pula, pertelingkahan pemimpin PKR dan PAS semakin memuncak dan dijangka 'perang dingin mengenai kerusi'akan berterusan!

Maknanya di pihak pembangkang pun belum selesai jugalah tu!!!

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata pembahagian kerusi di kebanyakan negeri sudah hampir selesai, cuma ada satu dua kerusi saja lagi yang masih belum muktamad seperti di Perak ada dua dan Pulau Pinang, satu yang masih perlu dibincangkan.

"Kedah umpamanya daripada 40 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), mungkin ada satu dua lagi yang belum selesai.

Ini bermakna kemajuannya sangat baik dan membanggakan," katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera pilihan raya PKR Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Banyak pihak meramalkan pilihan raya akan diadakan Jun tetapi tidak kurang juga yang berpendapat adalah baik selepas Bajet 2013 dibentangkan di Dewan Rakyat.
 
Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April tahun depan.

No comments:

Post a Comment