Persidangan Dewan Rakyat mesyuarat ke-3 bagi penggal ke-3 yang bermula hari ini akan berjalan selama 25 hari .
Ia dijangka
hangat dengan isu-isu semasa lebih-lebih lagi pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat
ini.
Parlimen
bersidang dalam keadaan yang mencabar, termasuk pengumuman mengenai satu kaji
selidik menunjukkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak tidak lagi mendapat
sokongan rakyat - untuk kali pertama berlaku - lapor akhbar Straits Times (ST) Singapura
kelmarin.
Memetik
keputusan kaji selidik Merdeka Center, akhbar itu melaporkan hanya 31 peratus
pengundi Melayu berpuas hati terhadap kerajaan semasa.
Keputusan
itu menunjukkan sokongan pengundi Melayu berkurangan di bawah 50 peratus untuk kali
pertama sejak agensi berkenaan merekodkan data mengenainya pada Februari 2012.
Kemerosotan
sokongan itu dilihat begitu drastik kerana pada Januari lalu tahap keyakinan di
kalangan pengundi Melayu berada di paras 52 peratus.
Faktor
demografi pula memainkan peranan penting kerana ia membentuk sokongan padu
penyokong Umno yang membantu gabungan pemerintah terus berkuasa ketika parti
lain dalam BN menunjukkan kelemahan.
Lapor ST,
keputusan kajian itu dibentangkan kepada penganalisis sektor kewangan pada minggu
lalu.
Sokongan
keseluruhan terhadap kerajaan juga menurun kepada 23 peratus - tahap terburuk
pernah dicatatkan sejak kaji selidik mengenainya mula dibuat Merdeka Center
pada 2012.
Mengenai
pengundi Cina pula, hanya lima peratus responden menyokong kerajaan berbanding
11 peratus pada Januari lalu.
Kaji
selidik sama juga mendapati kemerosotan sokongan terhadap kerajaan
kebanyakannya disebabkan oleh cara isu ekonomi ditangani.
Data
dikumpul Merdeka Center menunjukkan hanya 17 peratus responden berpuas hati
dengan cara kerajaan menguruskan ekonomi berbanding 78 peratus yang tidak
berpuas hati.
Kaji
selidik itu dijalankan di kalangan responden di Semenanjung Malaysia pada Ogos,
sejurus selepas Najib menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada tugasnya
sebagai timbalan perdana menteri.
Di sebalik
itu, ramai menunggu apakah Usul Persendirian membabitkan usul tidak percaya
kepada Perdana Menteri akan terbiar begitu sahaja atau dibahaskan.
Ahli
Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian mengemukakan notis kepada parlimen
untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Hee
menyenaraikan beberapa sebab untuk memulakan usul itu, termasuk wang RM2.6
bilion yang diterima Najib dalam akaun peribadinya.
Notis yang
boleh diperoleh daripada laman web Parlimen Malaysia itu berbunyi:
“Bahawa Dewan ini mengemukakan undi tidak percaya
terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan
“Wang Derma” berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya
mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut
diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah.
"Dengan tidak menjelaskan mengapa “Wang Derma”
ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak
berpuas hati ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana “Special Task Force”
yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan
sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan,
pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara,
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menjalankan siasatan
terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang
terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana
Menteri, Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan
Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.
"Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan
menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sekarang sehingga ekonomi
menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai
wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat.
"Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya
terhadap perdana menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan
untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.”
Usul
berkenaan sudah ada dalam kertas aturan mesyuarat pada Isnin lalu namun ia
mungkin tidak terlalu mengujakan kerana ia diletakkan pada susunan ke-25
daripada keseluruhan 28 usul.
Keadaan
itu memungkinkan usul berkenaan tidak sempat dikemukakan dalam sidang kali ini.
Ia
mengingatkan kepada rang undang-undang persendirian cuba dibawa Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac lalu bagi membolehkan pelaksanaan hudud di
Kelantan.
Usul
berkenaan dimasukkan dalam aturan mesyuarat tetapi gagal dibentangkan sehingga
sidang parlimen lalu berakhir.
Rasanya
sejarah akan berulang kerana Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sudah menjelaskan
semalam, adalah menjadi keutamaan untuk mendahulukan Usul-Usul dari
Kerajaan dan Rang Undang-Undang.
No 1 dan 2
adalah Usul Kerajaan, No 3 hingga 6 adalah Rang Undang-Undang Kerajaan (bacaan
kali yang kedua), No 7 hingga 28 adalah Usul Persendirian seperti yang
disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
Mengulas
usul yang dikemukakan Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya Selatan berhubung
usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan,
Azalina berkata selain itu, lima Rang Undang-Undang Kerajaan akan dibuat bacaan
pertama pada persidangan kali ini.
“Saya
ingin menjelaskan bahawa usul yang dikemukakan oleh YB PJS disenaraikan sebagai
urusan No. 25 daripada 28 urusan yang secara keseluruhannya dalam Aturan Urusan
Mesyuarat Dewan Rakyat, pada hari Isnin, 19 Oktober 2015 (hari ini) yang
merangkumi Rang Undang-Undang dan Usul-Usul dari Kerajaan serta Usul-Usul
Persendirian daripada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pembangkang,”
katanya dalam kenyataan semalam.
“Kami di
barisan Kerajaan yakin bahawa Tuan Yang di-Pertua seperti biasa akan memberi
pertimbangan yang saksama dan adil kepada semua Usul yang telah dikemukakan
mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” ujarnya.
Justeru
itu menurut Azalina, pertimbangan mana-mana usul adalah tertakluk kepada
Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari
persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada
urusan-urusan lain.
Nampak
gayanya Najib bukan sahaja tidak perlu memikirkan apakah usul akan dibahaskan,
sebaliknya perbahasan dan jawapan kepada soalan-soalan Bajet 2016 yang
sepatutnya ditumpukan.
Cuma yang
pelik, bagaimana Azalina boleh mengatakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri
itu bukan bersifat politik dan tidak perlu dipolitikkan.
Selain
itu, rasanya setiap Ahli Parlimen tahu dan mendukung prinsip
kebertanggungjawaban khususnya dalam mengemukakan mana-mana Usul Persendirian.
Apakah
mengemukakan usul persendirian oleh Hoy San itu menunjukkan beliau mendasarkan
kepada andaian atau spekulasi semata-mata dan melanggar apa-apa syarat Peraturan-Peraturan
Mesyuarat?
Azalina
mengakui sebagai seorang Ahli Parlimen sememangnya menjadi preprogatif dan hak
seseorang Ahli Parlimen untuk membawa mana-mana usul persendirian mengikut
peruntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat. Jadi?
Bagi pengkritik Najib yang selama ini menggesa usul undi tidak percaya dibentangkan terhadap Perdana Menteri tidak perlu menaruh harapan tinggi walaupun Perdana Menteri ketika ini menghadapi serangan berkaitan syarikat yang diilhamkan beliau, 1MDB, serta "derma" RM2.6 bilion dari penderma yang tidak diketahui di Timur Tengah, yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau menjelang pilihan raya umum 2013.
PKR
sebelum ini berkata, pembangkang hanya memerlukan 25 ahli Parlimen Barisan
Nasional (BN) untuk menyokong usul undi tidak percaya bagi memaksa Najib
berundur.
Pengkritik
Najib yang dulunya menyokong beliau, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad, juga menggesa penggubal undang-undang persekutuan daripada BN
memberikan sokongan mereka kepada usul tidak percaya itu.
Setiausaha
Agung PKR Rafizi Ramli mengakui kelmarin, adalah "sukar"
untuk berjaya membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat, tetapi pihak
pembangkang akan tetap cuba melakukannya.
Rafizi berkata orang ramai perlu bersikap realistik
mengenai usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri kerana sistem
parlimen negara ini menyukarkan cadangan berkenaan dilaksanakan.
"Kebimbangan
saya ialah orang ramai tidak memahami peraturan parlimen. Mereka mungkin
menuduh pembangkang menipu. Namun ia masih perlu diusahakan dan anda mesti
bersikap realistik terhadap hasilnya," kata Ahli Parlimen Pandan itu.
"Kita
perlu susun semula jangkaan. Kita tidak mahu situasi di mana selepas Parlimen,
Najib masih berkuasa dan orang menyalahkan kita. Bukan kami yang kawal, Najib
dan speaker (yang kawal)," katanya.
"Betul,
memang sukar tetapi kita kena cuba," kata Rafizi lagi.
Setiausaha
Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata kelmarin, PAS akan menyokong
sekiranya undi tidak percaya terhadap perdana menteri dibawa ke parlimen dalam
persidangan kali ini.
Beliau
yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu bagaimapun berkata, PAS akan menunggu
terlebih dulu untuk melihat jika usul berkenaan benar-benar dibawa ke parlimen.
"Kita
tunggu perkara ini dibentang di parlimen dulu. Ia terpulang kepada Ketua
Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya.
Takiyuddin
berkata undi tidak percaya merupakan sebahagian daripada prosedur dibenarkan
dalam sistem demokrasi berparlimen. "Dan kita akan menyokong undi tidak
percaya," katanya.
Apapun,
persidangan kali ini akan tetap hangat kerana soalan dan perbahasan, walaupun
berkaitan Bajet 2016 akan pasti berkisar sekitar ‘ketidak-kepercayaan’
sebahagian Ahli Parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri.
Cumanya
apakah akan ada suara sumbang daripada penyokong kerajaan,
Ini kerana
ramai juga yang nampaknya bersimpati dan bersetuju dengan pandangan kumpulan
digelar ‘Enam Jahanam’.
No comments:
Post a Comment