Dengan pencalonan kini daripada 102 Bahagian, persaingan paling menarik ialah pertandingan Naib Presiden.
Lima calon Naib Presiden yang telah layak bertanding iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Syed Hamid Albar dan menjadi pilihan pencalonan.
Kombinasi calon lama, pertengahan dan baru menunjukkan persaingan pada peringkat ini sebagai persediaan pemimpin pelapis untuk menerajui negara pada masa hadapan.
Mereka juga akan bergerak sebagai pasukan dalam kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang kini menghampiri layak untuk menjadi Presiden UMNO.
Di kalangan calon Naib Presiden ini paling berpengalaman dalam UMNO sudah pasti Syed Hamid yang menjadi Ahli MT sejak 1986 diikuti Shafie yang menduduki MT selama lima penggal walaupun Hishamuddin dan Zahid pernah menduduki kerusi ‘Naib Presiden secara automatik’ ketika menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
Dalam konteks pemilihan MT lalu, Zahid mendapat undian kedua paling tinggi dan diikuti Syed Hamid (10), Khaled(11) dan Shafie (12).
Hishammuddin mendapat tiga pencalonan lagi hari ini daripada Jeli, Maran dan Penampang menjadikan jumlah pencalonannya sebanyak 85, Zahid menerima pencalonan daripada Jeli, Maran dan Kota Tinggi (62), Mohamed Khaled menerima pencalonan daripada Jeli (50), Mohd Shafie pencalonan daripada Jeli (45) dan Syed Hamid dua pencalonan Kota Tinggi dan Penampang (22).
Pemimpin lain yang telah mendapat pencalonan bagi jawatan Naib Presiden ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan mengumpul lapan pencalonan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (lapan), Datuk Seri Shahidan Kassim (enam), Tan Sri Rahim Thamby Chik (enam), Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga), Datuk Seri Musa Aman (dua), Tan Sri Annuar Musa (satu) dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam (satu).
Menurut Agendadaily, kejayaan Datuk Seri Syed Hamid Albar memecah monopoli ‘ orang baru’ dalam pencalonan jawatan Naib Presiden UMNO kelmarin mencetuskan tandatanya apakah mungkin ada satu,dua atau tiga lagi ‘ orang lama’ dapat mencelah untuk beradu dengan mereka.
Ramalan setakat ini menunjukkan pertandingan Naib Presiden akan menjadi padang permainan bagi golongan muda iaitu Hishamuddin,Zahid,Shafie dan Khaled. Namun ada juga kalangan yang tidak menolak kemungkinan para perwakilan mungkin terdorong nak letak seorang ‘ orang lama’ dalam barisan naib Presiden bagi mengimbangi kedudukan jawatan itu.
Makanya persaingan sengit dan tidak kurang menarik akan berlaku jika katakan satu atau dua orang lama lagi dapat kelayakan bertanding.
Ada para pemerhati politik sudah cop pertandingan Naib Presiden sebagai ‘ pertandingan dua generasi’.
Bagi jawatan timbalan presiden Umno, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutip dua lagi pencalonan iaitu daripada Jeli dan Maran untuk mara dengan jumlah 65 pencalonan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib juga meraih dua pencalonan baru daripada Kota Tinggi dan Penampang, menjadikan keseluruhan pencalonannya 15.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam masih kekal dengan 22 pencalonan. Ali memerlukan pencalonan lagi untuk layak bertanding.
Datuk Seri Najib Tun Razak terus mengungguli pertandingan bagi Presiden UMNO dan memerlukan hanya untuk disahkan sebagai Presiden.
Hari ini Jeli, Maran, Kota Tinggi dan Penampang memberikan pencalonan terbaru kepada Najib untuk membolehkan beliau memungut kesemua 102 pencalonan.
Menurut Bernama, persidangan perwakilan Umno yang berlangsung sehingga 6 petang ini menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya sebagai calon tunggal untuk jawatan Presiden Umno.
Hanya 32 lagi pencalonan diperlukan oleh Najib untuk mendapatkan 134 pencalonan daripada 89 lagi bahagian bagi dinobatkan sebagai Presiden UMNO yang ke-7.
Setakat ini selain Najib, hanya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden tetapi masih belum memperolehi sebarang pencalonan.
Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih terus menerima pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno apabila Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Pilah yang mengadakan persidangannya hari ini mencalonkan beliau.
Shahrizat, yang sehingga kini masih tidak menyatakan pendirian sama ada untuk bertanding ke jawatan itu walaupun telah layak bertanding, mengumpulkan 56 pencalonan. Penyandang jawatan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz masih mendahului dengan mengumpul 94 pencalonan.
Wanita Umno Kuala Pilah juga mencalonkan Exco Wanita Pusat Datuk Kamilia Ibrahim sebagai Naib Ketua Wanita, menjadikan keseluruhannya 41 pencalonan.
Pemimpin lain yang dicalonkan bagi jawatan Naib Ketua Wanita Umno ialah Shahrizat dengan 92 pencalonan, Ketua Umno Bahagian Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said (10), Ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Sadique (dua), Exco Wanita Datuk Dr Norraesah Mohamad (satu) dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan (satu).
Ini bermakna Azalina memerlukan 10 sahaja lagi pencalonan untuk dapat bertanding Naib Ketua Wanita. Kuotanya ialah 20.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menerima satu lagi pencalonan hari ini iaitu daripada Kepala Batas, menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan yang diperolehnya ialah 45.
Sementara itu, Anggota Parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir setakat ini masih kekal dengan 66 pencalonan manakala bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula memperoleh 47 pencalonan. Sebanyak 159 daripada 191 Pemuda bahagian telah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sejak 9 Okt lepas.
Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, Anggota Parlimen Muar Razali Ibrahim masih mengungguli persaingan dengan memperoleh 79 pencalonan setakat ini manakala pesaingnya iaitu Exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican pula memperoleh 66 pencalonan.
Calon lain untuk jawatan naib Ketua Pemuda Umno ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (3), manakala Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda Umno bahagian Subang Megat Firdaus Megat Junid, Khairy dan Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar Faizal Abdullah, masing-masing masih dengan satu pencalonan.
No comments:
Post a Comment