Showing posts with label Media sosial. Show all posts
Showing posts with label Media sosial. Show all posts

Monday, May 29, 2017

SOSIALISASI POLITIK JANGAN SAMPAI WUJUDKAN POLARISASI KAUM, AGAMA...


Poliarisasi dan ketegangan kaum di negara ini sepatutnya sudah menjadi sejarah.

Apa tidaknya, selepas dilaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mulai awal 1970-an yang memakan masa 20 tahun, ia dianggap formula terbaik menyelesaikan masalah polarisasi kaum dalam masyarakat Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, 

Dengan matlamat serampang dua mata – menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat – selain Rukun Negara yang turut diperkenalkan, sewajarnya polarisasi kaum tidak lagi wujud, apa lagi ketegangan kaum selepas pengajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969.

Malah, dengan Perlembagaan Malaysia yang sering dipinda untuk bersesuaian dengan keadaan semasa, wajar sekali isu polarisasi kaum sudah lenyap dan bukan menjadi sesuatu yang menjadi ancaman kepada kestabilan negara.

Namun ternyata kini, malah hari ini, isu polarisasi kaum ini bukan semakin terhakis. Malah, ia kembali berpenyakit dalam kalangan masayarakat Malaysia.

Apakah ini menggambarkan bahawa Gagasan 1Malaysia tidak berkesan atau memerlukan lagi masa atau tempoh untuk merealisasikannya?

Juga apakah slogan 'Sehati Sejiwa' hanya ucapan semata-mata dan pada parktiknya ia untuk sokongan kepada kerajaan semata-mata?

Malah kini, kadangkala polarisasi kaum ini dikaitkan dengan isu agama dan semakin menjadi-jadi, apa lagi apabila kerajaan sendiri nampaknya tidak jelas atau bersungguh dalam menangani isu ini.

Lebih memburukkan keadaan,  politik ketegangan kaum yang cuba diredakan oleh pemuafakatan parti politik perkauman bermula dengan pakatan pembangkang mulai pilihan raya 1990, kini dilihat semakin berkecai.

Namakanlah apa sahaja. Sama ada ia Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan - selain persefahaman bagi tujuan memenangi pilihan raya - matlamatnya ialah menuju ke arah pelupusan ‘konflik dan ketegangan’ antara kaum.

Namun, segala-galanya kini jelas dengan parti pemerintah sendiri – Barisan Nasional (BN) – sering dilihat turut memainkan sentimen perkauman dan agama menyebabkan masyarakat Malaysia menjadi kacau-bilau dan haru-biru.

Formula politik BN yang mulanya menenangkan masyarakat yang seketika dahulu meredakan ketegangan kaum,  kini sudah tidak lagi.

Akhir-akhir ini akibat ‘perbalahan politik’ yang semakin memuncak. apa lagi BN, khususnya Perdana Menteri  begitu bimbang akan kehilangan kuasa, serangan berbentuk perkauman terhadap parti tertentu bersifat perkauman dan sentimen agama amat menakutkan.

Malah tindakan The Star semalam yang menyiarkan gambar orang Islam sedang menunaikan solat di muka satunya beserta dengan tajuk utama 'Malaysian Terrorist Leader', membawa kesan negatif dan tanggapan buruk terhadap masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.



Ini bukan kali pertama kekhilafan seperti ini dilakukan  oleh The Star, menyebabkan sebilangan orang Islam merasakan 'Islam semakin dipersendakan' oleh media yang dikawal oleh pemilik bukan Melayu dan bukan Islam.

Memburukkan keadaan The Star dimiliki oleh MCA - sebuah parti komponen Barisan Nasional - yang sering melaung-laungkan pentingnya  perpaduan kaum menunjukkan sikap dan keputusan editorialnya yang boleh dipersoalkan.

Bayangkan jika media pembangkang melakukan kekhilafan seperti ini, apa akan dilakukan oleh kerajaan, parti-parti komponen BN dan pemimpin BN terhadap media berkenaan?.

Kekhilafan dapat diatasi sekiranya sidang pengarang The Star tidak merangkumkan kedua-duanya, iaitu gambar dan tajuk pada muka yang sama.

Namun, nasi sudah menjadi bubur.

Tekanan terhadap kerajaan agar tindakan keras diambil juga akan menguji sejauh mana sebenarnya kerajaan bersedia bertindak untuk kesilapan yang membawa 'kemarahan orang Melayu dan Islam di negara ini' dapat diredakan.

Sebaliknya, persoalan berkaitan ialah, apakah kerajaan akan menyalahkan orang Melayu dan Islam di negara ini berkaitan kekhilafan oleh The Star ini?

Atau apakah orang Melayu dan Islam akan 'menerima sahaja' apa sahaja keputusan Kementerian Dalam Negeri yang akan membuat keputusan hari ini atau sehari dua ini gara=gara kekhilafan ini?

Amaran atau mungkin sehingga amaran keras adalah tindakan yang biasa dikenakan kepada media yang nyata tidak sensitif kepada isu agam dan perkauman,  namun apa kesan yang tersirat dalam konteks hubungan kaum dan agama di negara ini?

Selain isu seperti ini,  dengan kedudukan di mana penggunaan media sosial yang semakin sukar untuk dikawal, lebih-lebih lagi serangan secara terang-terangan terhadap kaum tertentu yang dijangka akan semakin memuncak apabila semakin dekatnya Pilihan Raya Umum ke-14, sangat berbahaya kepada negara jika tidak segera dikawal.

Amat malang kerana pada ketika Malaysia yang mempunyai berbagai jenis kumpulan etnik, banyak pengguna media sosial berbagai kaum menggunakannya untuk tujuan salah - menunjukkan perasaan tidak puas hati, kemarahan serta kebencian mereka,  selain kejengkelan terhadap kepercayaan agama atau juga budaya kaum lain di laman media sosial.


Sewajarnya media sosial digerakkan ke arah memupuk persefahaman dan meredakan pertelingkahan.

Memburukkan lagi keadaan sama ada oleh parti pemerintah atau juga pembangkang ialah meraka saling salah menyalahi antara satu dengan lain dan tiada ‘mediator’ dan pihak yang menyelesaikan ketegangan secara yang bersungguh-sungguh.

Masa sudah tiba supaya kumpulan 'meredakan ketegangan' diwujudkan..

Banyak kali beban diletakkan di atas bahu kerajaan atau juga pembangkang namun siapa sebenarnya yang sepatutnya mengambil peranan atau fungsi mengatasi isu polarisasi kaum yang semakin membimbangkan ini?

Sering diperhatikan, permasalahan atau tuduh menuduh walaupun seperti nampak lenyap tetapi tetap ‘membakar seperti api dalam sekam’.

Ironinya dan sangat menyedihkan ialah kedudukan dan keadaan kedua-dua pihak – kerajaan dan pembangkang - seperti gembira menggunakan isu ketegangan kaum ini sebagai platform bagi meraih undi.

Penulis bersetuju dengan pendapat pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak,  Edwin Michael yang baru-baru ini bahawa kebanyakan kita – kerajaan atau pembangkang -  gagal memahami bahawa  segala persepsi dan mentaliti anti sesuatu kaum itu kini kebanyakkanya dibentuk melalui proses sosialisasi politik di media sosial.


Kesannya ialah,  akan semakin terhakislah kesepaduan sesama etnik dan kaum akibat proses sosialisasi politik yang seperti terbiar ini

Yang pasti, sosialisasi politik akan membentuk budaya politik dalam sesebuah kumpulan etnik. Keadaan ini sudah pastinya akan membentuk pula hala tuju pemikiran rakyat dalam menilai sesuatu perkara, termasuk dalam isu perpaduan kaum yang akan memberikan kesan kepada budaya politik negeri dan negara.

Apa juga kejadian, peristiwa atau insiden yang menyebabkan kepada ketegangan antara etnik dan kaum pastinya akan merenggangkan hubungan antara rakyat. Akhirnya amalan dan pola politik di kalangan rakyat akan menjadi tidak sihat.

Persoalan mudah, sanggupkah kita melihat antara etnik dan kaum di negara ini tidak menghormati lagi antara satu sama lain?

Sebagai pemerintah,  BN perlu membentuk pelan dan strategi sosialisasi politik di kalangan rakyat, terutamanya kalangan golongan muda yang bijak menggunakan media sosial ke arah perpaduan, bukannya ke arah kebencian.

Apalagi jika media sosial itu menjurus atau membawa kepada ketegangan budaya dan agama.

Pembangkang yang dilihat berkesan mencipta dan menggerakkan sosialisasi politik dalam kalangan penyokongnya di media sosial, juga perlu mengelakkan pertembungan pendapat dan nilai yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini.

Banyak sudah insiden yang mendatangkan kebimbangan kemungkinan akan berlakunya konflik antara kaum, Kerajaan tidak boleh menganggapnya sebagai masalah sementara atau juga terpencil, lebih-lebih lagi insiden seperti pergaduhan berhampiran sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru, Jumaat lalu.

Ia sangat terkesan dan masih ramai lagi yang belum lupa dengan insiden kes kecurian telefon di Plaza Low Yat pada Julai 2015 yang hampir mencetuskan rusuhan apabila dilihat sebagai isu perkauman.

Soalnya apa langkah segera untuk mengawal keadaan ini?

Berikutan itu pandangan pensyarah seni bina Islam di Universiti USCI, Dr Tajuddin Rasdi,  jangan dipandang sebelah mata.


Beliau memberikan cadangan agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengenal pasti punca ketegangan kaum yang ‘sedang membara’ di Malaysia ketika ini.

RCI berkenaan perlu mengenal pasti segera apakah polarisasi kaum yang semakin memburuk kini kesan daripada sistem pendidikan, ekonomi atau sistem kepartian yang terus mementingkan kaum dan agama di negara ini>

Atau apakah ketegangan diakibatkan oleh isu pentadbiran dan perancangan termasuk penguatkuasaan terhadap harga barangan, pengedaran atau apa sahaja yang melibat kepentingan pengguna dan budaya kepenggunaan.

Mungkin juga ada kes yang perlu dilihat dalam aspek penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, polis atau pihak-pihak lain yang ada kena mengena dengan kepentingan masyarakat setempat.

Juga jangan lupa, tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang menyalahgunakan media sosial seperti mengajak ke arah pertelingkahan yang boleh menghasilkan ketegangan kaum.

Parti politik termasuk kerajaan jangan pula membiarkan penyokong menghina kaum atau agama lain dalam kempen atau kritikan mereka terhadap perjuangan atau arah tuju sesebuah parti dan pemimpinnya.

Dengan kedudukan di mana Perdana Menteri sendiri mengatakan masa depan Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan sosial berterusan, iaitu prasyarat menjamin dasar Transaformasi Nasional 2050 (TN50)  berjaya dilaksanakan, selain memerlukan keharmonian antara agama dalam kalangan rakyat Malaysia, adalah wajar parti pemerintah menjadi contoh ke arah usaha ini.

Kenyataan pemimpin kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, termasuk pemimpin politik dari BN sewajarnya tidak melampui garis panduan dalam isu keharmonian kaum.

Kalaupun mahu ‘menyerang’ atau berbalas kenyataan dengan parti lawan, pastikan perkara yang menyentuh agama dan budaya dielakkan.

Apa juga percakapan dan tindakan, pastikannya ia tidak menghala serta mempengaruhi pemikiran rakyat untuk membenci kaum atau agama selain kalangan mereka.

Yang penting, jika tindakan tegas perlu diambil, bertindaklah.

Dan pastikan tindakan itu adil, tidak bersifat berat sebelah dan dilihat tidak mengambil peluang untuk menekan pihak lain.

Tuesday, May 28, 2013

APAKAH PEMIMPIN UMNO, BN MENDENGAR SARANAN SYED ALI?


Tidak pasti sama ada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya yang kalah dalam pilihan raya mendengar atau mengambil, peduli saranan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee.

Bagi yang kalah, mungkin mereka masih meratap sayu. Juga mungkin ada yang geram kerana sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui. Sementara, bagi yang menang, mungkin sedang bergembira.

Namun kemenangan itu hanya untuk tempoh empat atau lima tahun ini sahaja.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 nanti yang saya jangka dalam tempoh empat tahun dari sekarang, mereka akan ‘sesak nafas’ sekali lagi.

Semalam Syed Ali mencadangkan setiap bahagian UMNO perlu mempertingkat keberkesanan penggunaaan media sosial bagi menolak tohmahan yang dilempar pihak lawan meskipun bahang pilihan raya umum ke-13 sudah berakhir.

Ini kerana perkembangan media sosial mempunyai pengaruh besar serta berupaya mengubah minda dan persepsi rakyat.

Beliau berkata tumpuan atau gerak kerja konvensional harus berubah seiring persekitaran politik pada masa ini.

"Pemimpin parti perlu bergerak seiring dengan perubahan tersebut bagi memastikan kita berupaya menyelami denyut nadi rakyat, termasuk memahami aspirasi golongan muda," katanya dalam blog UMNObahagiancheras.blogspot.com semalam.


Syed Ali berkata sudah tiba masanya kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) melakukan tranformasi lebih komprehensif sejajar perubahan sikap dan pemikiran rakyat negara ini sebelum rakyat mencari pilihan yang sesuai dengan kehendak, cita rasa dan keperluan mereka.

Tidak tahulah sama ada pemimpin UMNO di peringkat Bahagian masih tidak sedar-sedar pentingnya media sosial dalam konteks yang ‘sebenarnya’.

Mungkin mereka menganggap dengan adanya Facebook, Twitter atau laman web itu sudah cukup. Bagi mereka dengan memaklumkan pergerakan mereka seperti menyerahkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia, baucer buku atau membantu mereka yang daif sudah memadai.

Yang lain serah kepada ‘tentera siber’ melaksanakan tugas mereka. Kalau dibayar dan berfungsi seperti diharapkan tidak apa tetapi kalau 2 kali 5 bagaimana?

Selepas diberikan telefon bimbit, komputer atau peralatan media sosial serta habuan, anggota ‘tentera siber’ diharapkan turun ke ‘medan perang’ tetapi apa yang berlaku, mereka pun melakukan perkara yang sama dengan bosnya itu iaitu sekadar memaklumkan pergerakan dirinya.

Lebih teruk ada yang menggunakan kemudahan untuk kepentingan diri seperti menceritakan masalah peribadi, keluarga atau santai yang tidak sudah-sudah.

Saya tidak terkejut sekiranya ada 20 atau 30 kononnya anggota ‘ tentera siber’ tetapi yang benar-benar menjalankan tugas hanya dua atau tiga kerat.

Sedangkan ‘tentera siber’ pembangkang menyerang dan terus menyerang pemimpin UMNO dan BN sesuka hati mereka tanpa adanya penentangan sewajarnya daripada ‘tentera siber’ yang mendapat pelbagai kemudahan dan habuan.

Bukan sedikit wang dibelanjakan untuk membawa mereka berkursus, berbengkel dengan kononnya pakar-pakar ‘media sosial’ pro-UMNO di ibu negara, beberapa negeri dan beberapa tempat lain oleh pelbagai agensi tetapi akhirnya tiada kesan besar atau untungnya kepada UMNO dan BN dalam pilihan raya lalu. 

Malah, lebih mendukacitakan, ada kalangan yang mendapat kemudahan berulang-ulang kerana mereka adalah individu dan kumpulan yang sama pada setiap kursus atau bengkel.

Ucapan ‘ketua tentera siber’ kononnya boleh membantu sesebuah negeri atau pemimpin tertentu sebenarnya kelentong semata-mata sekadar mendapatkan keuntungan peribadi umpama syarikat MNC yang ‘fly-by-night’.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mahu BN melakukan perubahan dari segi strategi, pendekatan, pembaharuan program dan lebih pragmatik untuk terus kekal relevan pada pilihan raya umum ke-14.

Najib, yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN, berkata landskap politik negara terus berubah dengan pantas menerusi proses urbanisasi, pendidikan, taraf hidup dan perkembangan teknologi maklumat, memperlihat formula yang diguna pakai BN selama ini mungkin sudah tidak relevan lagi.

Benar sekali apa yang dikatakan oleh Najib. Rasanya pesta ‘media sosial’ (saya sebut pesta kerana ia hanya himpunan beramai-ramai tanpa kesan positif) seperti yang dianjurkan oleh kumpulan tertentu sebelum ini tidak wajar diulangi.

Malah pertandingan blog kononnya untuk mencungkil bakat blogger tidak perlu. Hanya membuang masa dan wang ringgit. Banyak contoh menunjukkan selepas pertandingan itu, tiada blogger atau blog yang aktif yang boleh membantu UMNO dan BN mempertahankan kuasa.

Kita menyambut baik kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Razali Ibrahim, yang menyokong kenyataan Najib, berkata perkara itu harus diteliti dan dibincang secara mendalam selari dengan asas penubuhan BN yang memberi manfaat besar kepada negara.

"Apa yang ada ketika ini sangat baik, cumanya dari segi pendekatan kita perlu tambah baik. BN sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, perlu terus membuat kerja berbanding pembangkang yang sibuk bermain politik," katanya semalam.

Harapan ialah Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO yang diangotai orang muda sewajarnya menggerakan ‘tentera siber’ mereka setanding dengan yang dimiliki pihak lawan.

Tidak perlulah menggelarkan diri dengan nama yang gah tetapi akhirnya tidak ke mana-mana.

Yang penting bukan nama atau kumpulan kerana tanpa bayaran pun ada penggerak media sosial melakukan lebih baik daripada yang menerima bayaran atau menagih bayaran sehingga berlaku pertelingkahan sesama mereka.

Lebih memburukkan keadaan, ada pihak mendakwa kononnya dia memiliki anggota seakan batalion ‘tentera siber’ tetapi rupa-rupanya kumpulan FB yang posting mereka lebih kepada ajakan keluar makan, cerita peribadi dan keluarga selain menggunakan rangkaian untuk berniaga.

Ketua-ketua Bahagian wajar merancang segera untuk menggerakkan penggunaan media sosial bagi menolak tohmahan yang dilempar pihak lawan dan jika perlu menyerang ‘musuh’ dengan cara berhemah.

Rakyat bencikan maki-hamun dan cerca. Dengan kedudukan di mana media sosial mempunyai pengaruh besar serta berupaya mengubah minda dan persepsi rakyat, nyatakan perkara sebenar, bukan memfitnah dan menjatuhkan maruah orang lain.

Integriti media sosial UMNO dan BN penting kerana keyakinan dan kepercayaan rakyat akan terhakis sekiranya ia disandarkan kepada andaian dan tohmahan semata-mata.

Jangan ikut cara pembangkang yang memfitnah dan membuat andaian semata-mata kerana sebagai kerajaan, BN mempunyai banyak fakta yang boleh diketengahkan.

Mungkin ia nampak tidak gempar, panas atau sensasi tetapi melalui fakta yang jelas, bewibawa dan tepat, akhirnya rakyat akan sedar yang mana PALSU dan yang mana BENAR.

Ini tidak bermakna bahawa media sosial UMNO dan BN tidak boleh sensasi tetapi SENSASI yang ditampilkan biarlah yang bernas dan berintegriti.

Jika media sosial UMNO dan BN bercakap di landasan yang tepat dan berfakta, kita yakin ia akan diikuti oleh rakyat yang cintakan KEBENARAN.

Dan dengan kebenaran itulah UMNO dan BN akan dihormati, bukan melalui kenyataan rekaan dan tohmahan yang menjadikan rakyat MELUAT dan semakin menjauhkan diri daripada media sosial yang dianggap propaganda parti untuk kepentingan pemimpin yang menaja mereka.

Friday, January 18, 2013

PASUKAN MEDIA SOSIAL BN KELANTAN, TERENGGANU AKTIF SERANG PEMBANGKANG

 

Tahniah Barisan Nasional (BN) Kelantan. Biar lambat asalkan jangan tiada langsung (Better late than never).

Kenyataan bahawa BN Kelantan akan menggunakan sepenuhnya media sosial untuk memperjelas dan menjawab fitnah dan isu yang dibangkitkan pembangkang adalah langkah tepat. Jangan hanya menjawab tetapi juga menyerang.


Beberapa blog di Kelantan sudah memainkan peranan ini dengan baik. Hakikatnya kini ternyata media sosial adalah paling penting berbading media lain kerana ia berkesan dalam konteks sampai kepada sasaran ‘walaupun dalam apa juga keadaan - rain or shine”.

Cara lama melalui ceramah kini ‘ketinggalan zaman’ kerana beberapa sebab.

Pertamanya untuk menganjurkan ceramah perlu banyak persediaan dengan penceramahnya, audien, peralatan, makan minum yang ‘mahal’.

Isu pula kalau asyik mecerita Amanah Hadi, kafir-mengkafir, perpecahan umat Islam dan pelbagai ‘isu lapok’, menjemukan.


Perhatikan, berapa ramai orang muda datang ceramah. Sedangkan mereka inilah pengundi penting dan penentu.

Asyik-ayik yang datang orang sama termasuk ‘yang dikerah’. Lebih buruk ada kalangan penceramah menjadikan ia sebagai tempat cari makan kerana dibayar untuk umpamnya RM200, kalau 10 kali sebulan sudah RM2,000.

Lebih buruk lagi kalau yang berceramah itu pegawai kerajaan. Mereka pergi menggunakan kereta kerajaan dengan pemandu lagi dan sebagainya yang merupakan kos walaupun niat mempertahankan kerajaan yang ada.

Lebih buruk lagi (lagi) penceramah berkenaan PULA tidak tahu pun menggunakan  IT dan tidak MAMPU AKSES dan punya satu pun laman sendiri sama ada blog atau FB, twitter dan sebagainya. Isi ceramahnya layak didengar audien 1980-an dan pertengahan 1990-an.

Sedangkan melalui media sosial, dengan kos lebih murah, iaitu kira-kira RM2,000, mereka sudah boleh menyebarkan pandangan, ulasan, kritikan, spin dan sebagainya ke seluruh dunia – bukan sekitar Manek Urai atau mungkin Manir semata-mata.

Kerana itu kita menyokong pendirian Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin penggunaan media sosial dapat menarik pengundi terutama golongan muda dan terpelajar untuk memahami kedudukan sebenar politik semasa negara.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata beliau menyedari jentera pilihan raya BN di negeri itu agak ketinggalan dari segi penggunaan media sosial berbanding pembangkang yang turut menyebabkan BN tidak dapat menawan Kelantan pada pilihan raya umum 2008.

"Hasil kajian juga mendapati lebih banyak penulis blog, Facebook dan Twitter terdiri daripada penyokong pembangkang berbanding kerajaan. Oleh itu mulai sekarang kita akan menggembleng tenaga untuk menggunakan sepenuhnya media sosial termasuk Facebook dan Twitter," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus simulasi pilihan raya dan pelancaran jentera siber Pemuda BN Kelantan di Kota Bharu, malam semalam.

Lagi pun seperti kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pendekatan yang diambil itu selaras dengan saranan Presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyedari pentingnya peranan media sosial sebagai platform baharu dalam dunia politik semasa.

Mustapa menyatakan gembiranya dengan langkah Unit Siber Pemuda BN yang memilih Kelantan sebagai negeri pertama untuk diadakan kursus media sosial selepas pelancaran Kelab Media Baru dua tahun lalu. Kelab tersebut diwujudkan sempena pilihan raya kecil kawaswan Dewan Undangan Negeri Guchil pada 2010 dan diikuti penubuhan kelab sosial beliau sendiri iatu Kelab Tok Pa dua bulan lepas.

Sudah pastilah kita juga mengharapkan Kelab Media Sosial Pemuda BN akan merintis jalan dan menjadi platform penting sebagai senjata untuk mempertahan serangan pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Jika Kelantan memberikan ruang untuk media sosial bergerak aktif, BN Terengganu juga memerlukan ‘perjuangan secara team’ dan tidak boleh mengharapkan jentera siber UMNO semata-mata.

Pertengahan Disember lalu, UMNO Terengganu menyatakan ia menggerakkan pasukan media barunya secara lebih agresif bagi menjawab dan menangkis isu, tohmahan serta fitnah dilemparkan pembangkang.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pasukan itu yang digerakkan sejak dua tahun lalu, kini lebih agresif seiring dengan sikap golongan muda yang lebih gemar menjadikan media baru sumber rujukan utama.

Pasukan ini dikatakan memainkan peranan menjawab segala hal berkaitan politik, tohmahan dan fitnah pembangkang.

Pasukan ini akan ditempatkan di semua Parlimen, malah ada ahlinya mengupas isu berkaitan politik secara penuh dan separuh masa di bawah Biro Penerangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri.

Ia kini digerakkan secara lebih agresif sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenainya dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu dan dengan blogger dan pengguna Facebook menangkis segala bentuk tohmahan serta fitnah pembangkang dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, kita yakin seperti disebut Ahmad Razif, pasukan media baharu itu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan memfokuskan kepada para pengundi muda supaya mereka memperoleh maklumat tepat mengenai pelbagai isu.