Sunday, December 7, 2008

ADA USAHA SEKAT NAJIB JADI PM?

(Sembang Ahad)

Ramai yang pening kepala dan bingung apabila saya melontarkan pandangan mengatakan “Najib Tidak akan Menjadi Perdana Menteri” kira-kira tiga minggu lalu.

Dalam posting saya “AMARAN – NAJIB TIDAK AKAN JADI PM?” yang memetik tulisan Raja Petra Kamaruddin (PRK) melalui kolumnya No Holds Barred bertajuk ‘BALASUBRAMANIAM’S STATUTORY DECLARATION REVISITED’, Jumaat 21 November 2008, ada yang mengatakan perkara seperti ini tidak akan pernah dan tidak mungkin berlaku.

Mereka berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pasti akan menunaikan janjinya untuk melepaskan jawatan apabila Datuk Seri Mohamad Najib Razak secara rasmi menjadi Presiden UMNO.

Namun kini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Najib tidak akan menjadi Perdana Menteri hanya sebagai ‘khabar angin’, tetap memberikan amaran.
Dr Mahathir berkata, pengekalan Abdullah sebagai PM tetap akan menyemarakkan kebencian rakyat kepada Umno dan BN sehingga menyebabkan politik akan bergolak sepanjang masa sehingga pilihanraya. Apabila datang pilihanraya percayalah majoriti rakyat akan tolak Umno dan BN, katanya.

Apakah Dr Mahathir kini turut bimbang serta separuh percaya, cumanya tidak mahu mengesahkan kemungkinan itu?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula berkata, Datuk Seri Abdullah Badawi tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Presiden UMNO pada Mac.

Dalam tulisannya, RPK menyebut, Perlembagaan Malaysia tidak menyatakan seseorang Presiden UMNO semestinya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sambungnya, apa yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia ialah Yang DiPertuan Agong mesti melantik Ahli Dewan (Rakyat) (salah seorang daripada 222 Ahli Parlimen yang mendapat keyakinan atau sokongan daripada majority Ahli Dewan sebagai Perdana Menteri).

Kata RPK, Pak Lah sudah mempunyai 82 ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengannya dan 20 Ahli Parlimen dari UMNO. Yang diperlukan hanya 10 sahaja daripada MCA, MIC dan Gerakan yang kesemuanya berjumlah 20 orang.

Ini bermakna menurut RPK, walaupun tanpa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, Pak Lah boleh kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Dan Malaysian Insider, 3 Disember 2008, memetik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai berkata, Datuk Seri Abdullah Badawi tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Presiden UMNO pada Mac.

“Ia adalah prerogatifnya kerana beliau (Abdullah) mendapat mandat untuk lima tahun,” kata Razaleigh .

Beliau menjawab tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Abdullah masih berminat kekal berkuasa selepas adanya pemilihan parti berkenaan.

Tengku Razaleigh mengakui akan terus menyokong kepimpinan Abdullah dan kerajaan dalam kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.

Razaleigh berpendapat: “Dia (Razaleigh) mendapat keyakinan majoriti Ahli Parlimen. Dan Perdana Menteri dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, bukannya Perhimpunan Agung,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegasnya, dengan UMNO semakin lemah, kini tiada lagi hubungan antara Presiden Parti dengan jawatan Perdana Menteri.

“UMNO hari ini tidaklah sekuat sebelum ini dan kini kita hanya mengawal 30 peratus sahaja kerusi Parlimen.

Sehari sebelum itu, pada 2 Disember 2008, dalam postingnya bertajuk ‘Mac 2009’ Tun Dr Mahathir Mohamad berkata biasanya sesiapa yang menjadi Presiden Umno akan menjadi Perdana Menteri jika Barisan Nasional menang dan menjadi parti yang terbesar dalam Parlimen.
Tetapi ini tradisi sahaja. Jika diberi kepercayaan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, yang bukan Presiden Umno dan Pengerusi BN juga boleh jadi Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr Mahathir, negara tertunggu-tunggu Mac 2009 di waktu mana peralihan kuasa dikatakan akan berlaku. Kepercayaan bahawa ini akan berlaku diasaskan kepada pengumuman oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dia akan serah jawatannya kepada Dato' Seri Najib Tun Razak pada tarikh tersebut.

Abdullah juga menyatakan yang dia tidak akan bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi Umno pada Mac 2009. Justeru tidak ada bahagian yang mencalonkan Abdullah sebagai Presiden.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir member amaran, “Berita angin sudah berkembang bahawa walaupun Najib akan jadi Presiden Umno, tidak semestinya dia akan jadi Perdana Menteri. Berita yang didengar ialah Abdullah masih berminat meneruskan jawatan Perdana Menteri. Jika diambil kira sikap pemimpin dan ramai ahli Umno, kemungkinan ini berlaku tidak mustahil. Mereka tidak akan menentang Abdullah kerana mereka amat selesa dengan kepimpinan beliau dan nikmat tertentu yang mereka dapati darinya.”

Apapun Dr Mahathir berkata, pengekalan Abdullah sebagai PM tetap akan menyemarakkan kebencian rakyat kepada Umno dan BN. Politik akan bergolak sepanjang masa sehingga pilihanraya. Dan apabila datang pilihanraya percayalah majoriti rakyat akan tolak Umno dan BN.

Dr Mahathir berkata, jika Abdullah cuba terus menjadi Perdana Menteri selepas Mac 2009, rakyat harus beri mesej yang jelas yang UMNO serta BN akan dikalahkan.

Melihat kepada ulasan mereka ini, saya ingin sekali lagi melontarkan soalan yang pernah saya kemukakan sebelum ini – benarkah ada gerakan menyekat Najib menjadi Perdana Menteri?

Apakah usaha itu dilakukan secara terancang oleh kumpulan yang mempertahankan Abdullah?

Siapa yang terbabit?

No comments:

Post a Comment